Jumlah Paparan Halaman

Selasa, Januari 11, 2011

Gentar dengan buku "Menuju PAS Baru": Dr Mujahid nak ubah PAS dan tolak kepimpinan ulama?


Memang ada sesetengah pihak yang merasa "terkejut" dengan pandangan Dr. Mujahid Yusuf rawa (gambar) dalam bukunya "Menuju PAS Baru" yang mungkin dianggap sebagai suatu "penyimpangan" dari kebiasaan bagi sebuah jamaah Islam, tulis penulis veteran Pak Shukor Harun dalam Harakah baru-baru ini.

Kata nya, pihak yang menentang buku tersebut, mahupun Dr. Mujahid sendiri adalah mereka yang sangat sayangkan PAS dan sama-sama berusaha memperkasa dan memelihara kemurniannya sebagai sebuah jamaah Islam. Pihak yang menentang tentu mempunyai hujah mengapa ia menolak buku tersebut yang mungkin dianggap boleh ‘memudaratkan’ PAS.

Demikian pula Dr. Mujahid tentu sekali mempunyai hujah untuk mempertahankan bukunya. Sudah dihuraikannya di majlis pelancaran buku ini dulu bahawa pandangannya itu hanya berupa sebuah ijtihad, boleh saja diterima dan boleh pula tolak. Tidak ada masalah, katanya.

Jika begitu keadaannya maka perbahasan mengenai isu buku ini tentu saja boleh diteruskan, namun perbahasan itu mestilah diuruskan dengan baik, dalam suasana ukhuwah Islamiyah, jauh dari prasangka dan hal-hal negatif.

Dengan itu jika perbahasan mengenai buku ini atau isu-isu lain dalam gerakan Islam diuruskan secara bijaksana, nescaya ia akan memperlihatkan kedinamisme PAS sebagai sebuah harakah Islam kontemporari.

Nescaya ia akan dilihat sebagai model terbaik gerakan Islam moden yang sangat terbuka, toleransi, meraikan percambahan idea, bijaksana, sebuah parti Islam yang sangat dinamik.

0 ulasan: