KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 18, 2008

51 tahun merdeka, masih gagal kukuhkan perpaduan

Muqadimmah: Sempena sambutan kemerdekaan ke 51, kerajaan memilih tema 'Perpaduan Teras Kejayaan'. Pada masa yang sama, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menggunakan tema 'Merdekakan Rakyat' bagi kempennya di Permatang Pauh. Persoalannya, adakah rakyat sudah cukup 'merdeka' selepas era tsunami politik Pilihan Raya Umum ke 12? Ikuti pandangan sejarawan negara, Prof. Emeritus Dato' Dr Khoo Kay Kim mengenai isu ini.

Pada pandangan Dato' cukupkah dengan pengisian yang kerajaan lakukan hari ini sepanjang tempoh 51 tahun kita mencapai kemerdekaan?

Dr. Khoo Kay Kim: Pertamanya, kita perlu menentukan sejauh mana apabila negara itu menjadi sebuah negara bangsa, pada 31 Ogos 1957. Pada waktu itu matlamat kemerdekaan adalah untuk perpaduan dalam negara.
Tetapi pada hari ini kita dapati ahli politik masih bergaduh tentang isu yang lama seperti soal agama, tempat-tempat di pusat pengajian tinggi serta masalah mengenai strategi untuk membasmi kemiskinan. Banyak lagi masalah yang dari dahulu lagi telah dibangkitkan tetapi sampai sekarang belum ada penyelesaian. Bererti belum ada kemajuan yang memuaskan.

Tema hari kemerdekaan ke 51, 'Perpaduan Teras Kejayaan'. Apakah kemerdekaan yang kita kecapi sebelum ini tidak melambangkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia?

Kita bermula dengan perpaduan. Selepas 51 tahun, saya melihat masih banyak kelemahan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Sewaktu jawatankuasa untuk mengkaji dasar pendidikan kebangsaan melalui Penyata Razak, dikatakan objektif utama sistem pendidikan negara ini adalah perpaduan.
Ini bukan perkara baru dan sepatutnya masalah ini sudah dapat diselesaikan dari dahulu lagi. Sistem pendidikan kita langsung tidak memberi keutamaan kepada perpaduan. Agenda ahli politik bukan untuk perpaduan negara. Mereka mempunyai agenda lain dan menggunakan strategi yang tidak menyatu padu rakyat. Orang mula mempersoalkan ke manakah Malaysia? Kita sepatutnya prihatin tentang perkara tersebut.

Pasca PRU 12 lalu, perubahan dalam landskap politik negara membuktikan rakyat negara kita telah 'merdeka'. Apakah pandangan Dato'?

Perubahan keputusan pilihan raya tidak memadai. Ia belum cukup untuk menunjukkan rakyat telah 'merdeka'. Saya belum yakin pengundi kita sudah boleh berfikir secara rasional. Mereka belum lagi memahami apa itu demokrasi.
Orang kita masih banyak menggunakan cogan kata dengan tidak memahami konsep dan istilah. Mereka boleh menjerit-jerit tetapi tidak faham maksud sebenar kemerdekaan itu. Kita mahu melihat apakah perubahan yang membawa faedah kepada negara.
Sehingga hari ini kita belum nampak faedah tersebut. Apa yang kita nampak, ahli politik bergaduh hampir setiap hari. Saya terperanjat kerana saya masih ingat, banyak isu yang dibangkit selepas Perang Dunia ke II. Kenapa sampai sekarang belum selesai.

Sepanjang tempoh 51 tahun negara mencapai kemerdekaan, pandangan Dato' tentang keadaan ekonomi, sosial dan budaya di Malaysia?

Malaysia memang negara yang kaya. Tentang ekonomi, kita banyak memberi tumpuan kepada sektor usahawan. Tetapi kita lupa bahawa ekonomi bukan bererti kita terus sentiasa memberi peluang kepada usahawan sahaja. Keseimbangan ekonomi bererti keseimbangan antara yang kita dapat dan apa yang difikirkan antara akar umbi.
Itu bererti kekayaan lebih banyak dibolot oleh satu golongan kecil. Kita juga dapati sekarang banyak manipulasi oleh golongan usahawan untuk menambah keuntungan. Dan rakyat yang menderita.
Bagaimana kekayaan digunakan untuk rakyat itu tidak begitu jelas. Daripada segi sosial, golongan muda terdedah kepada nilai-nilai dari negara maju. Mereka suka meniru apa yang mereka tidak faham. Selain itu sebagai contoh, saya melihat peningkatan harga ubat.
Bagaimana golongan miskin dapat membeli ubat dengan harga yang meningkat itu. Bagi saya, sudah tentu lebih banyak kemudahan rawatan seperti hospital dibina untuk mereka yang kurang mampu. Kita tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada golongan yang mampu mendapatkan apa sahaja dengan harga yang tinggi.
Jika harga semakin naik, apa yang akan berlaku kepada mereka yang berada di bawah. Kita tidak membuat strategi yang lebih seimbang supaya seluruh negara mendapat manfaat. Dari segi budaya saya melihat nampak jelas perpisahan antara satu golongan dengan golongan lain. Hingga di universiti pun perbezaan dari segi budaya menyebabkan ada pelajar tidak dapat bergaul.

Pada pandangan Dato' bagaimanakah seharusnya pengisian bagi sambutan kemerdekaan?

Cara yang paling baik menyambut merdeka ialah dengan menentukan bahawa apa yang berlaku dalam negara hari ini menjadi satu realiti dan boleh memuaskan hati negara bangsa.

Tiada ulasan: