KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 18, 2008

Pembebasan Tan buktikan kesilapan besar BN guna ISA

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh mendakwa, pembebasan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, 33, pada petang 13 September lalu menunjukkan kerajaan BN telah membuat satu kesilapan besar dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sesuka hati.

Pembebasan tersebut katanya, menunjukkan Akta ISA dikenakan ke atas sesiapa saja walaupun tanpa alasan yang kukuh.

Ini dakwanya jelas, apabila Menteri Keselamatan Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar membuat kenyataan bahawa wartawan itu ditahan ISA bagi melindungi keselamatan nyawanya selepas menerima panggilan ugutan.

"Ini menunjukkan pengunaan undang-undang ISA digunakan secara sewenang-wenang dan tidak selari dengan apa yang digunakan sebelum ini, iaitu digunakan ke atas mereka yang memudaratkan keselamatan negara," katanya sambil berkata dari awal lagi wartawan itu sepatutnya tidak ditahan di bawah Akta ISA.

Beliau mempersoalkan bagaimanapun secara tiba-tiba undang-undang ISA itu digunakan kononnya untuk melindungi dari ancaman keselamatan. Pada 12 September lalu, Tan bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin ditahan di bawah ISA.

Kata Syed Ibrahim, penahanan wartawan tersebut bukan saja dibantah Gerakan Mansuh ISA (GMI) malah pelbagai pihak menyuarakan pandangan bahawa penahanan adalah satu tindakan yang salah.

"Mereka tidak menyokong undang-undang ISA termasuk beberapa menteri lain antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim. Bagi saya, ini jelas bahawa sukar untuk pertahankan undang-undang yang zalim ini," katanya.

Beliau berkata sekiranya kerajaan serius mereka perlu mewujudkan undang-undang yang lebih adil dan memberi peluang untuk membela diri dalam perbicaraan. Dengan itu katanya, polis boleh membuat penyiasatan secara terperinci, profesional, tanpa membuat andaian terhadap wartawan tersebut.

"Bagi saya dalam konteks penahahan wartawan ini ringkasnya ia penahanan yang berniat jahat dan ia menggambarkan tindakan yang kurang cerdik di pihak polis dan kerajaan," dakwanya.

Begitu juga katanya penahanan yang dilakukan ke atas Teresa Kok dan Raja Petra mengikut Seksyen 73 (1) ISA 1960 yang membolehkan mereka ditahan sehingga 60 hari.
Menurut Syed Ibrahim, tidak ada seorang pun yang boleh ditahan tanpa bicara walaupun sehari. Sehubungan itu, laporan mengatakan Teresa akan ditahan untuk tempoh 28 hari lagi tidak boleh diterima.

"Rasanya tempoh ini pun tidak menentu kerana mengikut Seksyen 73 (1) ISA 1960 membolehkan mereka ditahan sehingga 60 hari. Selepas 60 hari mereka akan dikenakan pula di bawah seksyen 8 untuk penahanan di Kem Kamunting selama dua tahun," katanya.

Kerana itu katanya, biarpun tidak pelik dengan tempoh tersebut tetapi mereka tidak harus menunggu selama 28 hari untuk dibebaskan. GMI katanya, menuntut Raja Petra dan Teresa dibebaskan serta merta tanpa tanpa syarat.

Tiada ulasan: