KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, September 26, 2008

Kelantan pertahan gelaran 'Serambi Mekah' dari dimusnahkan Umno

Muqqaddimah: KELANTAN sejak berzaman dikenali sebagai Serambi Mekah. Ramai penduduk dari kepulauan nusantara datang menimba ilmu agama di Kota Bharu. Ketika itu terdapat puluhan pondok agama di Kelantan. Biar pun era kegemilangan tersebut sudah berlalu, namun gelaran Serambi Mekah tetap utuh. Ia mula disemarak kembali bermula 1990 apabila Kelantan diterajui kepemimpinan ulama. Bagi melihat dari dekat perkembangan itu ikuti temubual bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah ketika ditemui di pejabatnya Ahad lalu.

Pendidikan agama mendapat peruntukan besar setiap tahun. Adakah sektor ini mencapai tahap yang diharapkan?

Memang pencapaian Yayasan Islam Kelantan (Yik) terus meningkat dari setahun ke setahun. Jumlah pelajar yang masuk bertambah. Kejayaan dalam peperiksaan terus meningkat. Jumlah pelajar Yik ke luar negara terutamanya dalam bidang perubatan sekarang semakin ramai.

Sasaran kerajaan sudah tercapai?

Hasrat kerajaan negeri melahirkan pelajar-pelajar lulusan bidang sains yang mempunyai asas agama setakat ini Alhamdulillah sudah menunjukkan kejayaan. Kalau dahulu pelajar kita hanya melanjut pengajian dalam bidang agama, namun bermula 10 tahun lepas kita telah melangkah lebih jauh dalam bidang profesional seperti perakauan, undang-undang, ekonomi dan sekarang dalam bidang perubatan.

Sudah adakah bekas pelajar Yik yang mengukir nama dalam bidang profesional?

Setakat ini belum ramai lagi. Bekas pelajar Yik sudah ada yang menjadi doktor. Mereka merupakan 'base' pertama pelajar aliran sains di Maahad Muhammadi. Kita baru 10 tahun, belum ramai lagi yang boleh dikenali.

Nampaknya tumpuan kerajaan sekarang terarah kepada aliran Tahfiz Sains?

Sejak lima tahun lepas kita telah meneroka bidang yang baru iaitu tahfiz sains bagi melahirkan profesional yang menghafal al Quran. 'Base' pertama akan mengambil peperiksaan tahun ini. Dan kita berharap mereka akan menjadi pelajar yang cemerlang. Sebenarnya tumpuan kita sama dengan bidang-bidang lain, cuma sekarang diberi kepada tahfiz sains memandangkan ia aliran baru.

Adakah kelas tahfiz sains akan diperluaskan lagi?

Hasrat kerajaan mewujudkan sebuah maahad tahfiz di setiap jajahan, sama ada tahfiz sains atau tahfiz biasa. Setakat ini kita berjaya mewujudkan kelas tahfiz di Tanah Merah, Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh dan terbaru di Kok Lanas. Dan tahun hadapan kita akan memperkenalkan aliran tahfiz sains di Mahaad Muhammadi Gua Musang. Kita berhasrat menjadikan Gua Musang sebagai gerbang ilmu.

Bagaimana sambutan aliran Tahfiz Sains?

Aliran tahfiz sains mendapat sambutan luar biasa. Sebagai contohnya tahun ini kita pada awalnya hendak ambil hanya seramai 180 pelajar tetapi permohonan yang diterima sehingga 996 orang. Ini menyebabkan kita terpaksa menambah pengambilan sehingga kepada hampir 500 pelajar untuk memenuhi hasrat masyarakat.
Pelajar yang memohon kebanyakan cemerlang dalam UPSR iaitu 4A dan 5A. Sedangkan syarat asas hanya 3A 2B. Pelajar datang dari seluruh negara.

Maahad Tahfiz Sains seperti ini mungkin yang pertama di Malaysia?

Setakat apa yang kita tahu, memang ia pertama di Malaysia.

Mungkin model yang ada di Kelantan menarik minat pihak lain?

Setakat ini kerajaan Selangor turut berminat. Kerajaan negeri tersebut mahu mewujudkan sekolah yang konsepnya sama dengan Tahfiz Sains di Kelantan cuma namanya mungkin berbeza. Jabatan Agama Islam Selangor telah mewujudkan jawatankuasa bagi mengkaji model tahfiz sains di Kelantan.
Sudah ada pegawai mereka yang datang meninjau dari dekat. Selain itu ada juga pegawai dari Jakim datang. Malah Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pendidikan Islam (Lepai) pada awalnya mahu mewujudkan sekolah model, dan mereka datang ke Kelantan melihat tahfiz sains.

Mulai tahun hadapan mungkin bajet kerajaan negeri kepada sektor pendidikan berkurangan memandangkan 20 sekolah agama rakyat (SAR) sudah mendapat bantuan Kerajaan Persekutuan?

Pendaftaran sekolah-sekolah agama dibuat dengan mengambil kira keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja yang mahu kerajaan pusat membantu sekolah-sekolah agama rakyat. Kita sebenarnya memenuhi hasrat Majlis Raja-Raja bagi membolehkan SAR dinaik taraf. Jadi kita mengambil langkah mendaftar buat permulaan 20 SAR.

Ada perkembangan positif selepas didaftar?

Selepas didaftar baru-baru ini Kementerian Pelajar meluluskan peruntukan segera sebanyak RM5 juta kepada sekolah terbabit. Jadi bermakna setiap sekolah mendapat RM250,000 bagi melaksanakan program pembangunannya. Kini kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan sedang dijalankan.

Mungkin lebih banyak lagi SAR di Kelantan didaftar?

Tidak menjadi masalah, kita boleh mendaftar lebih banyak lagi SAR sekiranya memberi kebaikan dan kementerian memenuhi janjinya sebelum ini. Jadi kerajaan negeri tidak keberatan untuk mendaftar sekolah-sekolah lain pada masa akan datang. Sekarang kita bagi masa kepada pihak terbabit untuk memenuhi segala janji-janji mereka sebelum ini.

Pengurusan SAR terus kekal di bawah Yik?

Perkara itu tidak berubah. Kita hanya daftar dan pengurusan, hak milik dan semua perkara masih berada di bawah kerajaan negeri. Cuma kementerian memberi bantuan.

Pencapaian lain dalam bidang pendidikan di Kelantan?

Tahun hadapan InsyaAllah kita akan mulakan Kolej Yayasan Islam Kelantan untuk menempatkan pelajar-pelajar tingkatan enam bawah dan enam atas di satu tempat. Sekarang mereka belajar di merata-rata tempat. Kita sediakan asrama untuk mereka bagi memberi tumpuan sepenuhnya bagi menghadapi peperiksan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan STPM.
Kolej Yik sedang dibina di Kok Lanas berdekatan kem tentera yang mempunyai keluasan 11 ekar. Sebahagian tanah itu akan dibangunkan dengan kolej tersebut. Pembinaannya sekarang sedangkan dijalankan dengan peruntukan awal sebanyak RM2 juta.

Bagaimana pula dengan perkembangan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias)?

Kias sekarang sedang merangka pelan tindakan ke arah menjadi kolej universiti. Jadi sekarang kita sedang merangka meningkatkan lagi beberapa perkara bagi mencapai tahap tersebut termasuk kemudahan prasarana, jumlah pelajar dan pejabat.
Kias sedang merancang membina bangunan baru bagi menempatkan perpustakaan dan dewan kuliah. Kos pembangunan itu dianggarkan sebanyak RM6 juta.

Sebelum ini Universiti Al Azhar membatalkan MoU dengan institusi pengajian tinggi termasuk Kias. Adakah ia memberi kesan kepada pelajar?

Memang diakui ada kesannya. Bagi pelajar lepasan Kias yang hendak menyambung pengajian ke Al Azhar memang terhalang. Sebenarnya Kias sejak dua tahun lalu sudah meneroka peluang kerjasama dengan universiti di tempat-tempat lain termasuk di Acheh, Palembang di Indonesia dan universiti di Jordan.
Ini bagi membolehkan pelajar lepasan Kias menyambung pengajian di sana. Jadi apabila Al Azhar membatal MoU sebelum ini kita ada peluang-peluang lain. Setakat ini kita ada tiga MoU dengan universiti di tempat lain.
Kita juga sedang merancang mengadakan persefahaman dengan Kolej Universiti Insaniah di Kedah dan Kolej Universiti Islam Selangor. Sekarang terpulang kepada pelajar untuk membuat pilihan bagi melanjut pengajian ke mana.

Kelantan juga menjadi tumpuan institusi pengajian tinggi swasta?

Ini suatu perkembangan yang sihat dan bertepatan dengan Kelantan menjadi Serambi Mekah. Jadi apabila banyak IPTS beroperasi di sini bermakna Kelantan menjadi tempat tumpuan ilmuan. Lim Kok Wing university juga akan beroperasi di sini tahun hadapan. Bagi mereka yang mahu suasana yang berbeza maka mereka datang belajar di sini.

Apa kemudahan yang mampu diberi kerajaan negeri kepada IPTS terbabit?

Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama dalam aspek permohonan tanah dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Misalnya kerajaan negeri meluluskan permohonan Lim Kok Wing University membina kampus mereka di Machang. IPTS itu akan memulakan operasi tidak lama lagi dengan membuka kampus sementara di bangunan Kelantan Trade Centre.

Bagaimana dengan kemudahan di pejabat-pejabat agama?

Kita sebenarnya sudah siap membina kompleks Islam di Tumpat. Kita juga sudah keluar tender bagi membina kompleks Islam di Gua Musang dan selepas itu di Bachok serta Machang pula. Kita mahu mempastikan pejabat-pejabat agama di peringkat jajahan sesuai dengan zaman dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Kita juga sedang merancang membesarkan kompleks Balai Islam di Lundang. Kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi mengambil balik tanah di kawasan berhampiran. Kita merancang membuat kompleks yang lengkap dengan masjid ala Turki, Pusat Latihan Islam Darulnaim bagi melatih pegawai-pegawai dari segi kefahaman Islam.
Kita juga akan wujudkan lot-lot dalam bentuk bazar perniagaan untuk membolehkan peniaga-peniaga kecil berniaga yang berkaitan keperluan agama dan masyarakat Islam. Selain itu kita akan wujudkan food court yang terbuka. Kos keseluruhan bagi pembangunan kompleks baru kita dijangka menjangkau RM20 juta.
Sekiranya keadaan mengizinkan tahun hadapan pembinaan akan dijalankan. Ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Sejauh mana peranan Unit Dakwah Halaqat?

Gerak kerja memang banyak yang ditumpu di peringkat akar umbi. Mereka terdiri daripada pegawai, pembantu dan guru-guru al Quran. Program tahunan yang dianjurkan Halaqat ialah Tadarus al Quran pada bulan Ramadan dan perayaan Bulan Sembahyang.

Kerajaan negeri juga mengadakan perayaan Hari Hudud, sejauh mana perkembangannya?

Kita secara tidak langsung dapat menambah kefahaman masyarakat mengenai perundangan
Islam. Sekarang semakin ramai orang tahu keperluan dan kepentingan perundangan hudud. Kita mahu masyarakat sedar tanggungjawab mereka terhadap agama. Apabila tiba pelaksanaan hukum tersebut rakyat mudah menerimanya. Program itu lebih kepada mempersiapkan mental dan psikologi rakyat.

Tiada ulasan: