KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 18, 2008

Islam itu universal dan bukan untuk orang Melayu sahaja - Hu Pang Chow

Muqadimah: Pengerusi Kelab Penyokong PAS, HU PANG CHOW berusaha gigih mengumpul ahli-ahli yang terdiri dari kalangan bukan Islam untuk menyokong PAS. Sejak dari tahun 2005, beliau berusaha menubuhkan kelab penyokong PAS disetiap negeri dah hasilnya sehingga kini sudah berjaya mengumpul 10,000 ahli. Untuk mengetahui perancangan masa depan Kelab Penyokong PAS dan apa harapan mereka untuk melihat perubahan lanskap politik negara, ikuti temubual ini.

Boleh saudara ulas ucapan pergulungan yang saudara buat ketika Muktamar PAS Ogos lalu?

Hu Pang Chow: Saya nak bagi kesedaran kepada akar umbi diseluruh Malaysia. Kalau PAS nak langkah lebih jauh lagi kekuatan yang ada sekarang ini tidak mencukupi. Kerana kita berhasrat nak jadi kerajaan pusat, bukan hanya nak jadi parti pembangkang atau hanya parti yang memerintah beberapa buah negeri sahaja.
Jadi kalau ke arah nak jadi kerajaan pusat, PAS memerlukan sokongan dari semua kaum, perlu sokongan dari orang Cina dan juga India. Adakah kita telah bersiap sedia untuk menerima sokongan kaum cina dan india dengan hati terbuka ataupun kita masih was-was bahawa sokongan kaum cina dan india itu benar-benar ikhlas.
Jadi ucapan saya itu menegaskan bahawa melalui kelab penyokong PAS kita telah pun berjaya mengemblingkan tenaga memperolehi sokongan dari masyarakat bukan Islam sejak 2005. Kemenangan 2008 ini sebahagian besar kerana sokongan masyarakat bukan Islam seperti di Dun Kota Lama, Parlimen Kuala Krai, Dun Galas dan parlimen Kota Raja. Semua kawasan ini mempunyai bilangan pengundi bukan Islam yang lebih ramai.
Di Kedah juga ada kawasan yang bilangan pengundi bukan Islam lebih ramai tetapi disebabkan oleh usaha-usaha yang kelab penyokong PAS telah lakukan, pengundi-pengundi ini telah memberikan sokongan kepada calon-calon PAS. Sebab itu ketika muktamar baru-baru ini, saya tegaskan bahawa kelab Penyokong PAS perlu menjadi salah satu sayap parti iaitu kita mahu jadi Dewan Penyokong PAS.
Kita tahu kalau kita nak sertai PAS sebagai ahli ini akan memberikan kesan yang besar kepada ahli-ahli PAS. Sebab itu saya dah terangkan kepada ahli-ahli kelab penyokong PAS kenapa kita tak boleh jadi ahli PAS. Saya ambil contoh dalam masyarakat Cina ada Pertubuhan Hokkien, setelah berpuluh tahun kita cuba keahlian kepada Hainan atau lain, tentunya ahli-ahli pertubuhan itu akan mempersoalkan kenapa nak ambil ahli-ahli yang bukan Hokkien.
Jadi soal mahu jadi sayap kanan parti itu saya dah tegaskan dalam ucapan saya, perkara ini bila muktamar tahun depan kita nak ianya dah lulus bukan peringkat bincang lagi.

Apakah ahli-ahli kelab penyokong PAS hanya mahu menjadi ahli kelab penyokong sahaja atau sebaliknya?

Ahli-ahli kelab penyokong PAS memang mahu jadi ahli PAS sepenuhnya bukan sekadar jadi ahli kelab penyokong saja tetapi kita faham bahawa kita perlu menjaga hati ahli-ahli PAS yang lain. Susah kalau kita nak bawa budaya yang lain ke dalam PAS, ia akan menyebabkan timbul masalah kepada PAS.
Kita tak mahu jadi macam tu. Kita tak nak PAS pecah belah. Kita nak jaga perpaduan dalam parti. Untuk mengelakkan perkara selisih faham ini berlaku pada masa hadapan jadi kita elakkan. Buat masa ini kita cuma mahu jadi sayap kanan parti dengan menjadi Dewan Penyokong PAS.

Di masa hadapan macam mana? Adakah ahli kelab penyokong PAS berharap mereka diterima sebagai ahli?

Kalau masa depan, kita akan tengok keadaan. Kalau ahli-ahli PAS sudah biasa dengan budaya ahli-ahli PAS yang bukan Islam, sudah terbuka dengan cara kita, tak jadi masalah.
Bagaimana saudara melihat trend semasa dimana banyak parti yang cuba menjadi parti pelbagai kaum. Apakah saudara harap PAS juga berubah menjadi parti pelbagai kaum?

PAS memang parti pelbagai kaum sebenarnya. Orang Melayu, Cina, India, Iban dan lain-lain boleh sertai PAS, boleh jadi ahli jika mereka beragama Islam. Maknanya PAS sudah parti pelbagai kaum, cuma keahliannya untuk orang Islam. PAS sudah ditubuhkan sejak tahun 1951, hingga hari ini sudah 57 tahun, ahlinya sudah biasa dengan suasana yang ada hari ini, jadi ia mengambil masa untuk sesuaikan diri.
Kita tengok keputusan pilihanraya umum ke 12, rakyat sudah bosan dengan politik perkauman. Negara Malaysia ini milik semua. Jadi ahli-ahli PAS pun kena terbuka. Islam sendiri untuk semua, universal bukan hanya untuk orang Melayu sahaja.

Apa yang saudara dan ahli kelab penyokong PAS lakukan untuk menambah ahli? Apakah saudara lakukan sendirian atau menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pemimpin PAS?

Kita sudah turun padang bersama Lujnah Perpaduan Pusat dan kawasan kita pergi program masyarakat Cina atau India kita akan buat penerangan. Bukan hanya untuk masyarakat Cina dan India yang akan kita beri keterangan tetapi masyarakat Melayu juga kita beri keterangan.
Saya dan Dr Mujahid pergi jumpa mereka, terangkan kepada orang Melayu yang kita bukan mahu menjatuhkan PAS. Kalau kita nak jatuhkan PAS untuk apa kita sertai PAS. Dari luar kita boleh jatuhkan PAS.
Tetapi kita sertai PAS kerana kita mahu kuatkan PAS. Kita mahu satu masa PAS akan dapat memerintah negara tetapi syaratnya ahli-ahli PAS perlu berfikiran terbuka dan menerima hakikat bahawa untuk kekal kukuh dan menjadi sebuah parti yang kuat, penyertaan dari kalangan bukan Islam adalah salah satu caranya.
Kita tak minta sekarang, kita faham situasi dan kita juga tak mahu masyarakat bukan Islam menyertai PAS dengan tidak memahami perjuangan PAS dan tidak memahami apa itu Islam.

Bagaimana dengan pemimpin PAS, adakah mereka menerima cadangan untuk membuka keahlian kepada masyarakat bukan Islam?

Setakat ini, pimpinan tidak ada trend untuk menolak penyertaan masyarakat bukan Islam. Cuma saya beritahu pimpinan PAS, apakah kalau kita buka keahlian kepada masyarakat bukan Islam apakah kita mampu untuk tarik ahli bukan Islam sebanyak sejuta orang? Saya tak rasa kita dapat kerana masih banyak parti lain seperti DAP dan KeADILan.
Tetapi biarpun tidak mencapai target itu tidak mengapa asalkan ianya tidak menjejaskan matlamat asal perjuangan PAS. Kalau tanya saya, jawapan yang akan saya berikan, kita mahu ahli-ahli bukan Islam yang mahu menyertai PAS mesti menerima dasr perjuangan PAS iaitu Islam dan perlu faham bahawa Islam itu universal bukan hanya untuk orang Melayu.

Mengenai hasrat yang saudara katakan tadi untuk menjadikan kelab penyokong PAS sebagai salah satu sayap kanan parti, apa perkembangan setakat ini?

Melalui Lujnah Perpaduan PAS Pusat, kita telah adakan perbincangan. Pada 15 November nanti kita akan adakan seminar dimana wakil di setaip negeri akan datang dan akan diberi penerangan tentang perjuangan sebenar PAS.
Mereka ini kemudiannya akan balik dan beri penerangan kepada ahli-ahli kelab PAS yang lain. Mereka kena faham, apakah perjuangan PAS ini untuk mengIslamkan semua orang kerana sehingga hari ini masih ada yang berfikiran begitu, masih ada keraguan itu.
Kita nak terangkan bahawa Islam bukan hanya untuk orang Melayu dan bukan PAS nak Islamkan semua orang. Kita nak nilai-nilai suci murni seperti keadilan, keikhlasan dan yang lain-lain yang diajarkan oleh Islam itu diterapkan kepada semua lapisan masyarakat kerana kita percaya dengan hanya itu kita boleh lahirkan masyarakat yang sejahtera. Kalau itu kita berjaya makanya Malaysia ini tidak akan ada soal perkauman.

Adakah berlaku kesukaran atau timbul masalah memberikan kefahaman tentang dasar perjuangan PAS kepada masyarakat bukan Islam?

Perkara ini hanya berlaku di kawasan atau negeri yang tak ramai orang Islam. Kalau di Kelantan, Kedah dan Terengganu tak ada masalah itu semua. Jadi di negeri-negeri yang tak ramai orang Melayu ini kita tubuhkan banyak kelab penyokong PAS.

Setakat hari ini berapa jumlah kelba penyokong PAS dan berapa ramai ahli yang sudah berdaftar?

Jumlah kelab kita tak dapat tentukan jumlahnya tetapi ahlinya adalah sepuluh ribu orang di seluruh negara termasuk Sarawak. Sekarang kita sedang menyiapkan satu borang yana mana setiap kelab yang ditubuhkan perlu isi borang dan nama ahli disertakan kemudian serahkan kepada PAS Pusat untuk kita kemaskini jumlah ahli dan kelab.
Kita memang berusaha agar ahli kita akan bertambah dan sasaran kita menjelang muktamar tahun depan kita dapat kumpul hingga 15,000 hingga 20,000 ahli baru. Dan setiap negeri ada 30 cawangan kelab penyokong PAS. Jadi PAS tidak lagi hanya bergantung kepada sokongan orang Melayu sahaja.

Macam mana timbul idea untuk menubuhkan kelab penyokong PAS? Dan bagaimana caranya saudara yakinkan masyarakat bukan Islam tentang perjuangan dan dasar PAS?

Selepas pilihanraya 2004 kita bawa masuk rombongan dari Johor, Pulau Pinang, Perak, Kedah untuk pergi Kelantan. Kita nak mereka lihat sendiri, macam mana pemerintahan PAS di Kelantan. Kita juga bawa mereka jumpa orang bukan Islam di Kelantan. Tanya mereka ini macam mana mereka jalani hidup selama lebih sepuluh tahun di bawah PAS di Kelantan.
Kita nak meraka tahu apa masalah yang timbul. Bila mereka tahu macam mana cara PAS perintah Kelantan, secara automatik mereka ini menjadi jurucakap kerajaan PAS Kelantan. Bila mereka balik, mereka tubuhkan kelab penyokong PAS dan beri penerangan kepada masyarakat bukan Islam yang lain. Pada awalnya agak sukar untuk mereka beri penerangan tetapi sekarang sudah tidak jadi masalah.

Ahli-ahli kelab penyokong PAS ini asalnya mereka ini dari parti mana?

Ada MIC, ada MCA dan ada Gerakan serta ada yang tak ada parti. Orang MCA dan Gerakan paling ramai tubuhkan kelab penyokong PAS.

Apakah sebelum menyertai rombongan ke Kelantan itu mereka sudah tertarik dengan PAS atau mereka ini langsung tidak mendapat gambaran yang baik mengenai PAS?

Sebelum ini gambaran mereka melalui apa yang mereka dapat dari pemimpin-pemimpin mereka, Kelantan ini diperintah dengan cara zalim. Orang bukan Islam ditindas. Nak meniaga pun susah. Nak terima pendidikan dalam bahasa ibunda pun susah.
Bila mereka pergi mereka terkejut kerana apa yang mereka dengar tak sama dengan apa yang sebenarnya berlaku. Jauh beza dengan apa yang pemimpin mereka jelaskan. Kalau tak kerana keselesaan PAS di Kelantan, saya rasa kerusi Dun Kota Lama, Dun Galas dan Parlimen Kuala Krai tak akan dapat kekal ditangan PAS.

Apakah sokongan mereka makin kuat atau sebaliknya?

Setakat ini kita tengok daripada bilangan kelab penyokong PAS ditubuhkan kita tahu sokongan makin kuat. Kalau tak bertambah tentulah kita tahu sokongan makin lemah. Kelab penyokong PAS sekarang ini macam hot cake.
Bila timbul isu muzakarrah dengan Umno, apa perasaan ahli-ahli kelab penyokong PAS?
Selepas Abdullah Ahmad Badawi umukan bahawa adanya muzakarrah dengan PAS, saya dapat panggilan telefon daripada masyarakat Cina yang minta saya sampaikan kepada pemimpin PAS yang mereka sokong PAS bukan kerana nak pemimpin PAS kerjasama dengan Umno. Mereka cakap pada saya, kita sokong PAS sebab kita nak PAS jadi kuat dan kerana kita yakin PAS boleh perjuangkan nasib rakyat. Mereka memang kecewa bila adanya muzakarrah antara PAS dan Umno. Apa yang mereka nak saya sampaikan saya beritahu kepada pemimpin.

Macam mana reaksi pemimpin PAS? Adakah mereka menerima suara-suara dari ahli-ahli kelab penyokong PAS?

Pemimpin PAS terima kerana kalau mereka tak terima, sokongan yang mereka dapat sebelum ini akan berubah. Masyarakat bukan Islam akan menolak PAS. Jadi untuk apa mereka berjuang selama ini untuk fahamkan masyarakat bukan Islam tentang perjuangan mereka kalau mereka sendiri khianati.

Apakah ahli kelab penyokong PAS ini mempersoalkan hak orang Melayu sepertimana yang digembar-gemburkan oleh pemimpin Umno?

Mereka tak persoalkan hak orang Melayu. Mereka cuma persoalkan apakah Umno itu betul-betul perjuangkan untuk orang Melayu. Kalau betul Umno ini perjuangkan untuk orang Melayu, kenapa masih banyak orang Melayu yang susah. Yang kaya dan dapat projek besar cuma beberapa kerat Melayu sahaja.
Jadi ini yang menyebabkan ahli kelab penyokong PAS kecewa bila ada pihak dalam PAS yang mahu bergabung dengan Umno dengan alasan untuk kepentingan orang Melayu dan Islam. Kalau Umno betul-betul perjuangkan Islam dan Melayu, saya rasa orang Melayu pun tak tolak Umno. Dewa dengan syaitan jauh bezanya. Kenapa dewa nak kawan dengan syaitan?

Apa pandangan saudara tentang hasrat untuk menukar kerajaan pusat yang sedia ada ini?

Masyarakat Cina dan India sudah suarakan hasrat mereka yang mahu kerajaan yang ada sekarang ini ditukar. Mereka sudah benci dengan kerajaan yang ada hari ini. Bagi masyarakat Cina, pandangan politik mereka berbeza, bila mereka tengok Barisan Nasional (BN) yang didominasi oleh Umno tidak menjaga orang Melayu. Kalau orang Melayu pun Umno tak jaga, macam mana dengan orang Cina dan India.Lagi teruk jadinya. Jadi mereka nak kerajaan yang ada ditukar.
Orang Cina bukan persoalkan kenapa orang Melayu dapat banyak kelebihan dan mereka bukan nak kurangkan. Orang Cina pun nak orang Melayu jadi kaya, begitu juga India. Sebab orang Cina ini meniaga, kalau dua kaum lain susah, macam mana mereka nak meniaga?

Tapi dikalangan orang Melayu masih ada keraguan, jika kerajaan pusat bertukar, hak-hak mereka akan tergugat. Apa komen saudara tentang perkara ini?

Kita faham keadaan itu. Jadi kita balik kepada perlembagaan. PAS sendiri ada perlembagaan sendiri. Parti lain pun ada perlembagaan. Perlembagaan persekutuan sudah jelas mengatakan tentang hak-hak orang Melayu. Kalau kerajaan yang memerintah nak tukar perlembagaan persekutuan, mampukah mereka nak buat macam itu?
Kalau ahli politik yang bijak mereka tak akan buat macam itu sebaliknya mereka akan berusaha untuk jaga hati rakyat. Dalam pepatah Cina ada menyebut, rakyat itu umpama air, air boleh naikkan kapal dan juga boleh jatuhkan kapal tak kira besar atau kecil. Begitulah rakyat kerana hanya rakyat boleh jatuhkan kerajaan.
Soalnya sekarang, hak orang Melayu sudah dirampas. Cuba tengok projek-projek mega itu siapa yang dapat? orang Melayu biasa masih perlu bangun pagi dan balik lambat untuk cari rezeki, sedangkan hanya segelintir saja Melayu yang dapat rasa nikmatnya. MCA pun cakap perkara sama, kalau PAS perintah orang Cina akan hilang peluang untuk berniaga. Kita tanya balik selama ini, MCA ada dalam BN, apa yang orang Cina dapat? Sama juga dengan apa yang berlaku pada orang Melayu. Begitu juga dengan orang India.

Apa harapan saudara untuk melihat perubahan lanskap politik negara?

Kita mahukan politik yang baru. Semua kaum dapat rasa selesa di Malaysia. Kita mahu semua kaum dapat rasai kemewahan. Bukan hanya segelintir saja yang dapat rasa.

Tiada ulasan: