KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 18, 2008

Persempadanan semula buatan BN mula 'makan tuan'

Muqadimmah: Senario pilihan raya yang berlaku di Permatang Pauh sesuatu keadaan yang memeranjatkan dan agak luar biasa apabila Dato Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti besar walaupun pihak BN habis-habisan berkempen termasuklah menyerang peribadinya. Trend dan mood pilihan raya yang dikatakan sudah suram selepad PRU 12, telah melonjakkan hasrat Pakatan Rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu 16 September ini. Untuk mengetahui bagaimana senario ini berlaku, ikuti temubual dengan Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, DATO' WAN ABDUL RAHIM WAN ABDULLAH.

Komen Dato' tentang trend pengundi di Permatang Pauh yang nampak masih mengekalkan tsunami pilihan raya umum 12 pada Mac lalu.

Dato' Wan Abdul Rahim: Hampir enam bulan PRU berlalu, sikap pengundi semakin jelas menyatakan sokongan. Kemenangan di Permatang Pauh luar biasa dan memeranjatkan apabila melihat beberapa keputusan yang diperoleh, kerana kesemua peti undi di menangi oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Senario ini tidak pernah lagi berlaku. Anwar menang di semua UPU.Pakatan Rakyat menang di 10 peti undi Penanti, sembilan di Seberang Jaya dan di Permatang Pasir. Jadi kemenangan secara menyeluruh di peti undi ini memberi gambaran Pilihan raya umum 8 Mac lalu kini telah merebak ke seluruh tempat tidak ada yang terkecuali termasuk Melayu, Cina dan India.
Apa yang memeranjatkan, kemenangan di tempat majoriti Cina, terlalu luar biasa. Misalnya peti undi Kampung Cross Street 2 (044/11/08) mempunyai 80 peratus kaum Cina. Anwar mendapat kemenangan 1,442 undi manakala Dato' Arif Shah memperoleh 138 undi. Kemenangan di sini menunjukkan 88 peratus adalah undi popular untuk Anwar, dan BN pula mendapat 11 peratus.
Ini menunjukkan bahawa hampir 90 peratus di kalangan pengundi Cina di Permatang Pauh memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Berdasarkan kepada tempat yang majoriti kaum Cina di peti undi Permatang Pauh, Kg Cross Street 2 iaitu 80 peratus.Di Permatang Pauh purata kaum Cina adalah 25 peratus sahaja tapi di Kampung Cross Street kaum Cina adalah 80 peratus, ini bermakna sokongan pengundi Cina hampir 90 peratus kepada Pakatan Rakyat.
Ini merupakan satu trend yang berlaku bukan sahaja di Permatang Pauh tetapi di seluruh negara.Kemenangan ini secara keseluruhan memberi 'swing' begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat oleh kerana kemenangan Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Dato Wan Azizah Wan Ismail, pada PRU lalu hanya dengan undi popular sebanyak 64.16 peratus dengan majoriti 13,388 undi.
Tetapi Anwar, mendapat undi popular 66.6 peratus manakala BN mendapat 33.2 peratus. Jadi kemenangan majoriti 15, 631 untuk Anwar memberi satu gambaran bahawa sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat sebanyak 2.5 peratus. Maknanya daripada 100 pengundi yang sebelum ini mengundi BN, 2.5 peratusnya beralih kepada Pakatan Rakyat.
Secara undi, sebenarnya Anwar dapat menambah undinya berbanding isterinya kepada 31,195 ada pertambahan sebanyak 857 undi. BN pula sebelum ini mendapat 16,950 undi berkurangan sebanyak 1426 undi.Misalnya di Permatang Pasir, berdasarkan undi popular Anwar 66.6 peratus, saya dapat buat kesimpulan tiga undi di Permatang Pasir dua undi memihak kepada Pakatan Rakyat. Di sini kita dapat 2/3 daripada undi popular.
Ini satu pencapaian di luar jangkaan, ramalan dan harapan. Ini bermakna kemenangan yang Allah bagi itu lebih daripada apa yang kita doakan. Di Dun Permatang Pasir, satu-satunya tempat wakil PAS. Di sini undi popular Anwar ialah 73 peratus berbanding BN 27 peratus. PAS dan jentera dari Kelantan banyak memberi tumpuan di Dun Permatang Pasir.
Permatang Pauh juga mewakili keseluruhan kawasan pilihan raya di Malaysia iaitu Melayu 69 peratus, Cina 25 peratus dan selebihnya India dan lain-lain. Dalam satu kawasan pilihan raya seperti ini hampir 70 peratus Melayu ialah satu 'bench mark' yang memberi peluang kemenangan yang cerah.
Tetapi trend pada hari ini komposisi Melayu kurang daripada 70 peratus memberi peluang untuk Pakatan Rakyat menang.Peti undi Samagagah, Anwar mendapat 1834 undi manakala BN 416, bermakna undi popular Anwar ialah 81 peratus. Di sini komposisi pengundi, Melayu sebanyak 54 peratus dan Cina 44 peratus.
Satu peti undi mendapat 81 peratus bermakna jika 10 orang yang keluar mengundi lapan daripadanya mengundi Pakatan Rakyat.Di peti undi Permatang Pauh pula komposisi kaum, Melayu 44 peratus dan Cina 54 peratus, undi untuk Anwar 1179 manakal undi pihak lawan 291. Bermakna 80 peratus mengundi untuk Anwar. BN terpaksa memikirkan strategi pilihan raya akan datang untuk 'survival' dirinya.
BN kena upah satu syarikat daripada luar negara, setakat Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak untuk menangani trend baru politik rakyat Malaysia pada hari ini, tidak cukup.

Bagaimana pula di Dun Sanglang, adakah trend pengundi di situ akan kekal seperti di Permatang Pauh? Kenapa?

Di Perlis, kita masih ingat lagi bahawa pilihan raya kecil yang kita hadapi adalah Parlimen Arau. Sanglang adalah salah satu Dun di Parlimen Arau. Pada tahun 1997 PAS telah berjaya membuat 'swing' sebanyak 16 peratus, menyebabkan PAS dalam PRU 1995 kalah banyak tetapi menang.
Oleh kerana 'swing' rakyat Arau pada waktu itu. Dengan mengambil kira sikap politik rakyat Malaysia dalam PRU lalu di tambah senario di Permatang Pauh 26 Ogos baru-baru ini, sebenarnya kita menunggu pilihan raya di Sanglang. Ini akan memberi satu lagi kejutan kerana rakyat Sanglang memang jelas berpihak kepada kita.
Apa yang berlaku di Sanglang sama seperti kes di Parlimen Pasir Putih pada pilihan raya 2004. Oleh kerana sebab teknikal kita terpaksa buat pilihan raya kecil, sebenarnya tidak perlu. Apa yang berlaku di Permatang Pauh, kemenangan ini akan berulang di Sanglang. Insyallah.

Kempen yang dijalankan oleh BN seperti menggunakan isu liwat dan sumpah, nampaknya tidak memberi kesan kepada pengundi bahkan ia memakan diri BN itu sendiri.

Ya... ia bukan sahaja tidak memberi kesan, ia dianggap 'over kill'. Oleh kerana masa yang dibuat BN bermula dengan sumpah Saiful sehinggalah kepada ulasan Mufti Wilayah. Kesan daripada ini Anwar mendapat simpati kerana teruk sangat 'dipukul'.
Mungkin Abdullah tahu cerita ini sebab dia pun duduk sebelah dengan Anwar iaitu Kepala Batas. Najib pula yang mengendalikan pilihan raya Permatang Pauh tidak mengenali hati budi rakyat Pulau Pinang. Abdullah sudah tahu apa yang akan berlaku. BN menghadapi 'back lash'. Berkempenlah macam mana pun di akhir kempen itu buatlah agar rakyat bersimpati dengan kita.

Desas-desus daripada beberapa parti komponen BN yang akan keluar parti untuk menyertai Pakatan Rakyat? Apa persepsi Dato'?

Soalan ini terlalu besar, untuk orang seperti saya. Tetapi tidak mengapa. Saya secara peribadi, Anwar yang kini Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat hanya memikul satu tugas sahaja pada hari ini, iaitu menunggu. Benarlah apa yang dikatakan orang, Anwar adalah 'PM in waiting'.
Anwar kena tunggu... masa akan tiba, di mana trend yang berlaku dalam PRU diperkukuhkan dengan jelas di Permatang Pauh bahawa kerajaan akan bertukar tidak lama lagi. Cuma 16 September ini ke... tahun depan ke... tidak menjadi hal pokok. Seumpama kami pejuang di peringkat bawah, bagaimanapun boleh menunggu hatta 50 tahun sekali pun. Dato Najib yang akan mengambil alih pada tahun 2010, paling tidak Najib kena adakan pilihan raya akhir tahun 2009.
Jika tidak dia akan menjadi pemimpin Umno yang akan dipahat dalam sejarah sebagai pemimpin yang gagal dalam meneruskan kesinambungan Umno dan BN dalam negara. Jadi tempoh 16 September bagi saya tidak mustahak yang penting Anwar pimpinan Pakatan Rakyat hanya menunggu sahaja.

Sejauhmana Anwar boleh merealisasikan penubuhan Kerajaan Persekutuan yang baharu pada tarikh tersebut?

Perkara yang mahu menjadikan 'realisasi' ini adalah hak Allah S.W.T. Bagaimanapun jalan yang ada pada hari ini sudah dipermudahkan, misalnya rakan-rakan dari Sarawak terbukti mereka hanya mengikut 'main stream'. Mereka tidak akan bercanggah dengan 'main stream'. Jika lihat dari aspek psikologi, sudah jelas kemenangan Pakatan Rakyat, maka tidak akan ada pihak yang akan sanggup menunggu dengan pihak tewas. Apabila sampai masa mereka yang hendak lompat parti tidak boleh disekat. Pengaliran orang datang seperti terkena magnet. Jadi tunggu dan lihat.

Berdasarkan apa yang dijelaskan tadi, apakah yang boleh dirumuskan?

Untuk masa depan selama 50 tahun dengan 12 kali pilihan raya Umno BN menggunakan senjata persempadanan semula pilihan raya setiap dua penggal. Trend hari ini apabila pengundi Cina 80 peratus maka undi Pakatan Rakyat hampir 90 peratus. Apabila pengundi Melayu 54 peratus, Cina 44 peratus seperti di Samagagah undi Pakatan Rakyat sebanyak 81 peratus.
Apabila undi Cina 54 peratus dan undi Melayu 44 peratus, terbukti Pakatan Rakyat mendapat 80 peratus undi popular. Jadi setiap persempadanan semula pilihan raya Umno dan BN memperalatkan SPR untuk membuat sempadan baru supaya jangan ada undi Melayu lebih 70 peratus begitu juga dengan undi Cina.
Jika undi Melayu lebih daripada 70 peratus ianya memberi kecenderungan untuk PAS menang. Jika undi Cina lebih daripada 70 peratus akan memberi kemenangan kepada DAP. Jadi selama ini untuk mengekalkan kuasa, BN akan buat persempadanan semula supaya jangan ada suku kaum yang mempunyai majoriti, iaitu menjadikan undi Melayu atau Cina tidak lebih daripada 60 peratus sebagaimana di peti undi Samagagah dan Permatang Pauh.
Tetapi kali ini ternyata, apa yang digambarkan oleh Umno dan BN tidak akan selamat. BN sudah tidak ada ruang untuk memperalatkan SPR seumpama menggunakan senjata persempadanan semula pilihan raya bagi menghadapi PRU akan datang. Oleh kerana setiap kali persempadan semula dan diiringi dengan pertambahan kerusi.
Di Parlimen sendiri BN tidak akan mampu untuk menambah kerusi dalam persempadanan semula akan datang kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan.Jadi Anwar sebagai Ketua Pembangkang mempunyai kuasa bersama Pakatan Rakyat merangka urusan persempadanan.
Sekiranya ia tidak memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat, pastilah ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak akan memberi sokongan kepada pindaan perlembagaan sekali gus tidak ada penambahan kerusi di Dewan Rakyat bagi negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Tun Mahathir pernah mengkianati orang Melayu dalam persempadanan semula pilihan raya pada tahun 2003. SPR pada waktu itu berhasrat tambah dua kerusi parlimen iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan satu di Perlis. Dr Mahathir pada masa itu menghalang. Beliau sanggup korbankan masa depan orang Melayu kerana tidak mahu menambah kerusi parlimen semata-mata untuk mengekalkan kuasanya kerana bimbang jatuh ke tangan PAS atau KeADILan.
Sebaliknya Dr Mahathir hanya menambah kerusi di Sabah dan Sarawak. Ini terbukti apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir ketika membuat persempadanan semula dimanfaatkan oleh BN pada waktu ini. Malangnya di Terengganu walaupun ada persempadanan semula tetapi kerusi parlimen masih tidak bertambah, kekal 8 kerusi. Jika tidak ada juga pertambahan, jelas memperlihatkan rakyat Terengganu terus menjadi mangsa politik BN untuk mengekalkan kuasa.

Tiada ulasan: