Muqaddimah: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, DR HAJJAH HALIMAH ALI bukan hanya sibuk menguruskan rumahtangga tetapi juga memikul amanah untuk menjaga warga Selat Klang. Ikuti temubual bersama Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan ini untuk mengetahui lebih dekat tugas yang dipikul beliau dan perkembangan semasa apa yang berlaku di Selangor.
Selain dari menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Dr juga telah dilantik sebagai salah seorang exco dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Apa portfolio YB sebagai exco di Selangor?
DR HALIMAH: Selain dari Adun Selat Klang, saya juga telah dilantik sebagai Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Boleh jelaskan lagi skop tugas Dr sebagai Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan?
Skop tugas saya agak luas juga iaitu kalau kita bercakap soal pendidikan ianya bermula dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah. Bagi pendidikan tinggi pula ia menjurus kepada kolej-kolej hingga universiti. Bagi pembangunan modal insan pula ianya bermula dari dalam perut hinggalah ke liang lahad. Minal Mahdi Illa Lahdi.
Ianya melibatkan semua lapisan masyarakat.Bidang tugas saya melibatkan semua perkara tersebut contohnya kalau pendidikan, kita mahu memastikan prestasi pembelajaran dan pengajaran serta mutu pendidikan di Selangor ini mencapai tahap kualiti yang terbaik. Mereka akan mengalami dasar pembelajaran yang formal satu dua lagi.
Dari segi pendidikan ini kita memang ada masalah dengan Kerajaan Pusat iaitu dengan Kementerian Pendidikan. Pusat tidak boleh bekerjasama dengan sebaiknya. Kita tak boleh masuk sekolah, tak boleh rasmikan mesyuarat PIBG, ada guru-guru yang takut nak jumpa kita bahkan ada sekolah yang tak dibenarkan letak gambar Menteri Besar.Apa pun saya akan gunakan kaedah yang lain.
Maksudnya, sekarang ini kita tidak dibenarkan masuk ke premis sekolah melainkan jika ada kebenaran untuk kita masuk dari Jabatan Pelajaran. Tapi itu satu masalah besar juga bagi kita untuk dapat.
Dalam keadaan sekarang, dalam kawasan sekolah itu dan waktu sekolah kita tak boleh jumpa tetapi selepas waktu belajar dan di luar kawasan sekolah, kita tak ada halangan untuk bertemu pelajar dan guru-guru. Kita boleh membantu, kita akan mempastikan bahawa pembelajaran mereka, prestasi kecermelangan mereka ini ditingkatkan terutama yang diluar bandar. Ini yang sedang saya usahakan untuk diseluruh Selangor.
Saya juga sekarang diamanahkan untuk menguruskan tentang perpustakaan di seluruh Selangor. Jadi saya akan gunakan premis perpustakaan ini, kalau kita tak boleh masuk sekolah, kita guna premis perpustakaan untuk kita buat aktiviti yang boleh mempertemukan kegiatan pembelajaran dengan program kita, program 'Jejak Ilmuan Selangor'.
Kita akan jadikan perpustakaan sebagai nadi aktiviti yang melibatkan pelajar, guru-guru dan ibu bapa.Bagi pendidikan tinggi memang kita mahu menjadikan institusi pengajian tinggi di Selangor ini institusi yang bertaraf antarabangsa. Universiti yang merupakan milik kerajaan Selangor adalah Unisel.
Baru-baru ini saya baru balik dari Russia di mana kita telah menandatangani MOU dengan sebuah universiti di sana, universiti kedua terbesar di Russia untuk pertukaran pelajar dan pensyarah-pensyarah lakukan kajian. Selain itu Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) akan kita naik tarafkan menjadi universiti penuh menjelang 2010 nanti.
Selain menaik tarafkan universiti atau ipts-ipts ini, kita juga telah menjadualkan satu program Spies iaitu satu model untuk pembangunan modal insan, Spies untuk siswazah dan spies untuk pensyarah.
Apakah yang dimaksudkan dengan Spies ini? Dan adakah ianya satu program yang baru dirancang atau sudah pun berjalan?
Apakah yang dimaksudkan dengan Spies ini? Dan adakah ianya satu program yang baru dirancang atau sudah pun berjalan?
Spies ini adalah merupakan satu program atau model yang dibangunkan untuk pembangunan modal insan. Ianya adalah satu perancangan kerajaan negeri yang ada sekarang dan telah pun dijalankan'S' itu maksudnya spiritual yang berdasarkan kerohanian, maknanya sebab ia bertaraf universal, ia bermaksud 'inner concius'.
Kalau nak bercerita tentang 'accountability', intergriti semua yang membawa maksud unsur-unsur dalaman, kalau dalam Islam kita sebut akidah inilah spiritual.'P' itu 'Physicall' (fizikal), kita mahu rakyat negeri Selangor orang yang baik. Selain dia baik kita mahu dia sihat dan kuat, mementingkan aspek kesihatan, fizikalnya, kekuatannya. kita nak mereka produktif. 'I' maksudnya intelek. Kita nak membangunkan intelek insan.
Kita mahu rakyat Selangor menggunakan intelek mereka semaksima mungkin. Kita tmereka hanya menerima unsur-unsur negatif yang mungkin datang dari luar, menerima propaganda dari luar tanpa memikirkan apakah perkara itu benar? Apakah benda itu baik?
Kita tak mahu mereka menerima bulat-bulat tanpa memikirkan kesan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Kita ambil contoh orang yang ambil dadah. Kalau kita guna intelek kita, kita tahu benda itu tak baik jadi kita tolak. Sama juga dengan rokok, gunakan intelek. Kalau dulu kita biasa dengar 3M, membaca, menulis dan mengira tetapi di Selangor kita tambah lagi dua 'M' iaitu kemahiran untuk dilatihkan iaitu kemahiran 'memikir'.
Bukan sahaja nak hafal-hafal tetapi memikir apa sebenarnya. Katakan solat. Kenapa kita solat? Kenapa kita rukuk? Apa ertinya kita sujud. Kenapa kena hormat ibubapa? Kenapa jadinya budaya lepak? Kerana tak suka belajar? Kenapa mereka tak suka belajar? Kenapa mereka ponteng sekolah? Kerana mereka tak suka sekolah. Jadi mereka memikirkan kenapa perlu ke sekolah. Begitu juga guru-guru. Mereka tidak dilatih kenapa mereka mengajar? Untuk dapat duit saja?
Begitu juga pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua kampung. Alhamdulillah ketua-ketua kampung yang kita lantik dan kita serapkan model ini.Dan satu lagi 'M' yang nak kita perkenalkan adalah 'mengamalkan'. Ilmu ada tapi tak amal. Bukan tak tahu benda tu tak baik tapi nak buat juga. Bukan tak tahu sedekah itu satu amalan yang baik tapi tak nak buat. Mengamalkan ilmu itu penting.
Contohnya sekolah agama, dia ajar Tauhid tetapi tidak meresapi. Hafal macam mana sekalipun kalau tak boleh meresapi dia tak boleh mengamalkan. Begitu juga sungai di selangor ini kita gelarkan seperti sungai yang sudah mati. Kenapa alam sekitar di Selangor ini begitu teruk?
Kerana rakyatnya tidak mengamalkan yang mereka belajar iaitu kebersihan itu adalah sebahagian dari iman. Dia tak jaga kebersihan dan alam sekitar yang diajar oleh guru-guru mereka. Mereka ini tak mengamalkan apa yang mereka belajar. Bila dah habis belajar, dah dapat ijazah, mereka tarah semua benda. Macam tak ada ilmu juga.'E' ialah emosi.
Kita nak rakyat selangor bukan sahaja baik, sihat, kuat, bijak tetapi harus juga pandai mengawal emosi. Orang yang membunuh orang itu pun bijak tetapi mereka tak pandai mengawal emosi. Emosi harus kita kawal, perlu stabil. Kita nak bangunkan insan yang tahu kawal emosi. Kita nak latih mereka mengawal emosi secara sedar.
'S' ialah sosial. Makanya kalau kita cakap pembangunan sosial seseorang manusia, kita nak bangunkan manusia yang faham mereka hidup dalam masyarakat. Mereka harus faham mereka pandai mengurus diri sendiri sendiri dan mengurus diri dengan orang lain. Mengurus diri sendiri maknanya mereka harus mencari pendapatan untuk mendapat hidup yang berkualiti. Jadi tidak ada pengangguran. Kalau dia kukuh kewangan jadi dia boleh tolong orang lain biarpun dia hanya petani.
Macam mana dengan perkembangan mangsa-mangsa bencana alam di Dun Selat Klang yang dilanda ribut awal Ramadhan baru-baru ini?
Seramai 750 orang telah diberikan sumbangan. Sebanyak 60 buah rumah telah diperbaiki. Pembersihan telah dilakukan oleh sukarelawan kita yang datang dari seluruh Malaysia. Kita menunggu untuk memberikan sumbangan kepada 550 orang yang belum dapat.
Nama mereka tak tersenarai kerana mereka ini ada yang balik kampung dan ada yang tunggu nak tengok dulu dapat atau tidak jadi mereka lambat bagi nama.Terdapat 22 buah rumah yang rosak teruk juga akan kita baiki kerana rumah-rumah ini tak mampu dibaiki oleh unit amal. Ini kerosakan teruk kita kena panggil betul-betul tukang rumah.
Dr diberikan tanggungjawab besar dalam menguruskan masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa benca alam ini. Bagaimana Dr menerima tugas ini?
Bila berlakunya kejadian ini, secara peribadi ianya satu penghormatan kepada saya bila Menteri Besar amanahkan saya selaku Adun dan exco untuk uruskan bencana yang begitu besar kerana beliau tahu saya Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia dan pernah mengetuai misi kemanusian ketika Tsunami Aceh, gempa bumi Di Jogyakarta, gempa bumi di Pakistan dan membantu mangsa peperangan di Lebanon ketika Lebanon diserang selain yang lain-lain seperti banjir di Johor.
Dalam kejadian ini juga telah timbul cerita yang mengatakan bahawa Menteri Besar Selangor tak ambil tahu dan tak turun padang melihat mangsa-mangsa tersebut. Dr tentunya lebih tahu dan rasanya boleh menjelaskan tentang hal ini?
Beliau mengambil tahu semua perkara. Kami berhubung melalui telefon. Beliau sering bertanya perkembangan dari masa ke semasa. Bukan beliau tak ambil tahu. Itu satu fitnah.Saya juga menggerakkan di peringkat daerah itu sendiri. Kami mendapat kerjasama dari polis dan Majlis Daerah Klang.
PAS kini tampil dengan motto 'PAS Untuk Semua' iaitu bukan hanya untuk orang Melayu atau Islam sahaja. Selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu, bagaimana dengan sokongan masyarakat bukan Islam di Selangor terhadap PAS?
Alhamdulillah seperti Dun Selat Klang sendiri, suatu masa dulu ada tempat yang saya tak dapat nak masuk sekarang dah ada cawangan PAS seperti di Sungai Sireh. Dulu saya nak masuk kerana bimbang keselamatan. Setakat ini sudah ada tiga cawangan PAS yang dibuka di kawasan-kawasan yang dulunya sukar untuk kita tembusi.
Itu hanya di Dun Selat Kelang. Saya difahamkan di seluruh Selangor juga saya difahamkan semakin ramai rakyat yang yakin dengan PAS. Kalau dulu mereka tak yakin PAS atau Pakatan Rakyat boleh memerintah tapi sekarang mereka begitu menerima kehadiran kami dan memberikan sokongan. Mereka lebih yakin dengan PAS berbanding Umno.
Adakah mereka ini menjadi faktor kemenangan Dr dalam pilihanraya umum yang lalu?
Penyumbang besar kemenangan saya dalam pilihanraya umum yang lalu adalah di kalangan orang bukan Islam dalam Kelab Penyokong PAS. Di Pulau Ketam, di mana bekas Adun Selat Klang kata dia yakin boleh menang kerana di Pulau Ketam itu memang kubu kuat BN, tapi alhamdulillah sekarang di Pulau Ketam kita berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS di Pulau Ketam.
Di Dun Selat Klang ada 500 ahli kelab penyokong PAS. Malah saya diberitahu di Kota Raja kita ada 60 cawangan Kelab Penyokong PAS melebihi cawangan PAS.
Apakah Dr rasa mereka akan terus menyokong PAS dan kenapa mereka ini akan terus menyokong PAS?
Insya-Allah kerana kita memang menjaga kebajikan mereka. Kita bukan jenis yang ketika berkempen saja kita dekati mereka tetapi sentiasa didekati tak kira sebelum pilihanraya dan selepas pilihanraya. Itu juga penyebab mereka menyokong kita kerana mereka dapat melihat dan merasai sendiri kehadiran kita. Sebelum kita menang pun mereka dah menyokong kita dan menyebabkan kita menang.
Setelah dipilih sebagai wakil rakyat di Selat Klang, apa masalah utama di Dun tersebut yang dapat Dr kesan?
Masalah bekas setinggan. Yang dipaksa keluar dari rumah mereka seperti di Flat Sri Perantau. Rumah kena lelong sebab mereka tak mampu bayar kepada bank. Mereka ini dipaksa oleh kerajaan negeri yang sebelumnya supaya keluar dan membeli flat tersebut dengan cara berhutang dengan bank.Kes Sri Perantau jadi kajian Exco Perumahan , Exco Setinggan, Exco Kemiskinan, Exco Kebajikan tapi bila melibatkan bank, kita tak boleh bantu yang kita boleh bantu hanya dari segi kebajikan sahaja.
Kebajikan bukan hanya untuk warga Sri Perantau tetapi semuanya termasuk warga emas dan OKU.Dan saya juga lihat dari segi infrastuktur di Selat Klang teruk. Longkang teruk, banjir yang kerap. Surau pun banyak mengalami risiko untuk dinaiki air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan