KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 18, 2008

'80 peratus elaun saya untuk rakyat' - Ahli Parlimen Rantau Panjang

Muqqadimah: Siti Zailah Mohamad Yusuff merupakan Ahli Parlimen wanita tunggal di Kelantan. Di sebalik sifat kewanitaannya, ibu kepada 12 cahaya mata ini bersemangat waja dan tidak patah semangat dalam menjalankan tugasnya berbakti kepada rakyat. Ketika interbiu dikutip, beliau sedang menziarahi rakyat di kawasan kebun getah di kawasannya di Rantau Panjang. Zailah masih sempat menjawab setiap persoalan yang dikemukakan dengan baik. Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan Ketua Muslimat PAS Kelantan ini juga optimis akan tetap menabur jasa kepada rakyatnya serta berganding bahu untuk pembangunan kawasan dan negeri.

Puan merupakan wakil muslimat yang paling lama di Parlimen bermula sebagai senator dan kini Ahli Parlimen. Dalam tempoh tersebut, apakah cabaran utama yang puan hadapi?

Siti Zailah: Sebenarnya banyak pengalaman dan cabaran yang saya hadapi. Kita berada dalam perjuangan ini bukannya teori tetapi juga praktikal. Saya mengucapkan berbanyak syukur kepada Allah kerana berdasarkan apa yang kita pelajari dalam usrah dan kitab, dapat dipraktikkan bagaimana untuk diperkembangkan - menjadi seorang pemimpin, seorang ibu serta pendakwah.
Yang mana kita tidak meletakkan halangan sama ada daripada segi jantina untuk berkhidmat kepada Islam dan rakyat seluruhnya. Setakat ini saya bersyukur dengan pertolongan Allah. Allah permudahkan segalanya walaupun dengan keadaan yang agak terbatas.
Walaupun baru enam bulan saya menjadi Ahli Parlimen, saya sudah menziarah 44 cawangan dan lebih 1000 buah rumah. Walaupun saya bukan seorang jutawan tetapi saya berusaha habis-habisan membantu rakyat.
Apa yang saya mahu supaya orang nampak kepimpinan Islam adalah kepimpinan yang berbeza dengan kepimpinan sekular. Kita tidak mahu orang memfitnah kita sebagai pemimpin Islam yang tidak berperanan. Saya mahu menjaga imej Islam itu sendiri untuk menunjukkan contoh kepada rakyat.
Saya menggunakan segala kebolehan yang Allah bagi untuk berceramah dan memberi kuliah subuh. Setiap pagi saya memberi kuliah subuh di surau-surau di cawangan-cawangan. Jika perlu, saya juga berdialog dengan penduduk. Saya tidak mengharapkan semua laporan daripada penghulu.
Saya akan turun padang sendiri untuk mendengar masalah rakyat. Jadi rakyat akan lebih berpuas hati. Walaupun laporan itu ada, saya lebih berpuas hati mendengar dan melihat sendiri apa yang berlaku. Di bulan Ramadan ini saya akan menemui rakyat selepas solat subuh. Selain itu saya juga sering mendapat jemputan memberi ceramah ke jabatan-jabatan kerajaan.

Bagaimana pula sekiranya puan bersemuka dengan rakyat yang berlainan ideologi politik?

Sebagai pimpinan kita harus mengambil tahu masalah rakyat walaupun berbeza ideologi politik dalam apa jua keadaan. Dengan cara ini mereka sebenarnya ramai yang terkejut bagaimana pimpinan kita boleh turun sehingga ke tahap ini.
Sebab pimpinan mereka dahulu mungkin tidak ada yang melawat mereka. Macam saya, apabila melawat rakyat saya memandu sendiri masuk ke ceruk-ceruk kampung. Setakat ini memang saya tidak mempunyai masalah dengan mereka. Dan banyak maklumat yang saya dapat, orang BN sendiri cenderung kepada kita.
Maknanya mereka sudah boleh membezakan pimpinan mereka dengan kepimpinan kita. Jika pimpinan mereka banyak protokol tapi mereka lebih mudah berjumpa dengan pimpinan kita yang mudah ditemui bila-bila masa tanpa sebarang protokol.

Difahamkan anak puan yang masih kecil mengalami sakit buah pinggang. Dalam kesibukan puan menjalankan tugasan sebagai Ahli Parlimen, bagaimana pula pembahagian masa untuk anak-anak dan keluarga?

Saya membahagikan masa antara tugasan dengan keluarga. Alhamdulillah suami saya juga memahami dan beliau bersara awal daripada profesion perguruan. Dan saya bergilir-gilir dengannya menjaga anak. Biasanya saya akan bawa anak yang kecil itu setiap kali saya melawat rakyat. Sekiranya dia dimasukkan ke hospital, saya juga bergilir-gilir dengan suami serta anak yang sulung menjaganya.
Biasanya saya akan menjaganya pada sebelah malam. Jika sebelah siang komitmen saya dengan rakyat, sebelah malam pula saya bersama keluarga. Dalam cabaran menghadapi situasi begini, saya mesti tabah menghadapinya. Saya harus banyak berdoa dan bersabar.

Jika dilihat Rantau Panjang merupakan satu kawasan yang agak 'mencabar'. Di situlah pintu masuk utama ke Kelantan dari Thailand dan kawasan tersebut terdedah dengan gejala sosial. Sebagai Ahli Parlimen wanita mungkin puan dianggap tidak mampu 'menjaga' kawasan ini seorang diri.

Setakat ini saya tidak menghadapi sebarang masalah kerana ramai yang membantu saya dalam menjalankan tugas. Ramai pimpinan yang membantu saya. Walaupun saya seorang wanita, dengan kerjasama ketua cawangan, penghulu, pemuda dan muslimat saya dapat melaksanakan tugas.
Kebetulan pula saya tinggal di kampung sendiri, jadi ramai yang menghulurkan bantuan. Jika saya ingin melaksanakan program atau turun ke sesuatu tempat, ramai yang membantu. Syukurlah Allah mempermudahkan saya dalam melaksanakan tugas ini. Sebab saya yakin apabila sesuatu itu kita tidak minta, Allah akan memberikan pertolongan kepada hambaNya. Ini merupakan amanah daripadaNya dan saya juga menerima amanah ini dengan penuh tanggung jawab dan kesabaran.
Walaupun penat tetapi kita mesti berusaha bersungguh-sungguh dan buktikan bahawa Islam ini lebih daripada sekular. Saya ingin melihat bukan sahaja selamat di dunia tetapi juga di akhirat. Dan sekarang ini saya sudah merancang program selepas Ramadan.
Saya akan mendekati remaja untuk menangani gejala sosial. Saya akan bekerjasama dengan pihak polis serta Agensi Dadah Kebangsaan. Mungkin saya juga akan menggunakan khidmat pakar motivasi dan turun ke kampung-kampung supaya remaja mendekati kita. Dan saya akan mencuba sedaya upaya yang ada.
Cuma kita menghadapi tekanan sekarang ini sebab kerajaan pusat menyekat semua peruntukan untuk semua wakil rakyat PAS. Kita kekurangan dana daripada kerajaan sedangkan Ketua Bahagian BN dapat peruntukan Pusat. Ini sesuatu yang luar biasa. Dengan sistem demokrasi di Malaysia, sepatutnya rakyat diberi peluang. Peruntukan tersebut bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk kemudahan rakyat.
Sehingga kini saya menggunakan kira-kira 80 peratus elaun saya untuk rakyat dan selebihnya saya meminta sumbangan daripada rakan-rakan dan orang ramai dalam mengendalikan program.

Bagaimana pula peruntukan untuk Rantau Panjang yang dikenali sebagai tempat pelancongan?

Peruntukan untuk pembangunan diberi oleh kerajaan negeri dan Jabatan Pembangunan Persekutuan. Tetapi apa yang menyedihkan apabila Kementerian Pelancongan baru-baru ini menarik peruntukan sebanyak RM8 juta bagi pembinaan pasar baru di Bandar Rantau Panjang dalam RMK 8 baru-baru ini.Kita amat sedih kerana jika dibandingkan dengan negara jiran kita, di bandar Golok, ia lebih membangun berbanding Rantau Panjang.
Seharusnya kerajaan pusat tidak ada diskriminasi. Imej Malaysia bukan berdasarkan mana-mana parti. Tetapi sekiranya kita tidak meletakkan keutamaan pembangunan terutama di pintu-pintu masuk, maka itulah imej kerajaan Malaysia.

Bagaimana puan melihat muslimat boleh sama-sama mengembeling tenaga dalam pembangunan sesebuah negeri itu?

Sebenarnya Allah memberi kelebihan kepada wanita. Yang mana kita golongan muslimat bukan sahaja berhak mengundi tetapi juga berhak diberi undi. Alhamdullilah kepimpinan kerajaan Kelantan meletakkan kepimpinan muslimat sebagai calon. Selepas Pilihan Raya Umum Ke 12 baru-baru ini, terdapat dua Adun Wanita dan saya merupakan Ahli Parlimen tunggal. Dan ada yang dilantik sebagai exco.
Ini membuktikan ruang untuk muslimat berkhidmat tidak terbatas. Semuanya bergantung atas kemampuan, kesungguhan dan keikhlasan muslimat itu sendiri. Sekiranya kita ingin berjaya, kita tidak meletakkan halangan untuk kita berjaya. Ruang dan peluang terbuka luas untuk wanita dalam semua bidang sama ada ekonomi, politik dan pentadbiran.
Jadi saya melihat dalam pemerintahan Islam ini sebenarnya wanita tidak dipinggirkan dan kita boleh memainkan peranan. Muslimat seharusnya mempersiap serta memantapkan diri supaya boleh memainkan peranan mengikut bidang tugas masing-masing.
Jangan kita letakkan muslimat ini di rumah sahaja sedangkan kita diberi ruang sebagai khalifah Allah untuk berganding bahu dengan golongan muslimin untuk memakmurkan bumi ini dengan hukum Allah. Dan jantina bukanlah penghalang bagi muslimat untuk sama-sama memberi sumbangan kepada pembangunan negeri.

Tiada ulasan: