KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 30, 2009

Kerjasama Umno-PAS: Antara polemik dan kesungguhan - Dato A Kadir Jasin


SEANDAINYA Pas dan Barisan Nasional benar-benar serius menubuhkan Kerajaan Perpaduan (Unity Government) mereka tidak harus berpolemik atau membenarkan polemik menjadi penghalang, tulis Dato' A Kadir Jasin pada blognya.

Kalau sekadar berpolemik dan melepas batuk di tangga ia tidak akan sampai ke mana-mana. Kali terakhir Pas dan BN bergabung dalam “kerajaan perpaduan” adalah selepas peristiwa 13 Mei, 1969. Pas menjadi anggota BN apabila Parti Perikatan diperbesarkan dan ditukar menjadi Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Waktu itu rakyat jelata dan kepemimpinan politik negara dalam kejutan dan demokrasi digantung berikutan peristiwa pertumpahan darah kaum di Kuala Lumpur selepas pilihan raya umum 10 Mei, 1969.

Ketika itu Pas memenangi Kelantan dan Terengganu dan hampir-hampir mengalahkan Perikatan di Kedah. Turut sama menyertai BN adalah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang berjaya menakluki Pulau Pinang.

Tetapi pada tahun 1977 Pas dipecat daripada BN oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn. Salah satu sebabnya adalah kebimbangan Umno terhadap perkembangan pesat Pas, khanya di Rancangan Tanah Felda.

Pendapat umum pada waktu itu ialah Pas, melalui Menteri Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas, Allahyarham Mohamed Asri Muda, telah mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk membuka ranting-ranting Pas di projek-projek penempatan Felda.

Tetapi ada juga pendapat mengatakan Hussein, sebagai pemimpin dari Johor, tidak mempunyai pandangan serupa dengan birasnya Abdul Razak mengenai perpaduan Melayu dan kerjasama dengan Pas.

Sejak itu, cakap-cakap mengenai kerjasama Umno-Pas menjadi isu bermusim. Setiap Perdana Menteri dan setiap Presiden Pas mempamerkan wajah (facade) yang mereka bersedia menimbangkan kerjasama. Alasan utama adalah perpaduan orang Melayu dan keamanan negara. Ia muncul apabila salah sebuah daripada parti Melayu/Islam itu mengalami kelemahan.

Selepas pilihan raya umum 2008 adalah giliran Umno menjadi lemah setelah kalah kepada Pas dan sedikit sebanyak kepada Parti Keadilan Rakyat di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Kejayaan besar Pas dan kegagalan Umno berpunca daripada kelemahan Umno di bawah Abdullah Ahmad Badawi dan kejayaan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, merundingkan pakatan pilihan raya di antara PKR, Pas dan DAP. Sampai hari ini pun ia masih berupa pakatan tidak rasmi. Ia belum disahkan oleh keahlian parti-parti yang terbabit justeru itu belum didaftarkan.

Sejak itu, perbezaan fundamental di kalangan tiga parti PR itu menjadi semakin ketara. Pas terus dicabar untuk menegakkan dasar Negara Islam dan Hukum Hudud manakala DAP terus menentang kedua-dua gagasan itu dan sebaliknya mahu Malaysia diisytiharkan negara sekular berdasarkan “Malaysian Malaysia.”

PKR pula, sebagai parti campuran pelbagai kaum dan tergesa-gesa meluaskan sayapnya pada PRU lalu kini mengalami pelbagai masalah dalaman. Sejak kejayaan besar dalam PRU lalu, PKR mengalami masalah demi masalah daripada pemilihan pucuk pimpinan kepada pemberhentian ahli, peletakan jawatan Adun, skandal seks, pemecatan Timbalan Ketua Menteri, pertuduhan rasuah ke atas bekas Adun dan pertuduhan lewat terhadap Anwar sendiri.

Perkembangan-perkembangan ini menyebabkan pembabitan Pas dengan DAP dan PKR semakin bermasalah kerana mencemarkan imej Pas sebagai parti Islam dan parti yang bermaruah.

Sementara itu krisis politik Perak tidak membantu mewujudkan gambaran positif terhadap kewibawaan Pas dalam PR apabila ia dilihat sebagai telah diperalatkan oleh DAP semata-mata kerana mahu memegang jawatan Menteri Besar.

Kerajaan PR Perak runtuh apabila dua Adun PKR dan seorang Adun DAP keluarga parti dan memihak kepada BN. Walaupun Pas berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil 7 Mac lalu, namun undi Melayu yang diperolehnya merosot berbanding PRU tahun lalu. Ia menang kerana undi bukan Melayu.

Selain itu, Pas juga boleh menggunakan ura-ura rundingan dengan Umno/BN sebagai cara memperkukuhkan tuntutannya untuk mendapatkan lebih banyak kerusi dan jawatan lebih baik dalam kabinet bayangan PR yang sedang dirangka oleh Anwar.

Soalnya adakah Umno benar-benar berminat merundingkan gagasan ini dengan Perdana Menteri baru, Mohd Najib Abdul Razak, di mercu kuasa? Seperti kita maklum, cadangan kerajaan perpaduan Pas-BN ini tercetus hasil pertemuan sulit antara Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri yang lalu.

Persoalannya adakah Mohd Najib yang sedang hebat mengenakan copnya ke atas Umno dan pentadbiran negara berminat dan bersedia untuk memperkenalkan dimensi baru dengan duduk semeja secara serius dengan Abdul Hadi?

Dilihat daripada aspek Melayu dan Islam, memanglah perpaduan Umno-Pas melalui BN ada sebab dan logiknya yang tersendiri. Dalam PRU lalu, walaupun Umno/BN kalah teruk, tetapi Pas tidaklah pula menang besar. Yang menang besar adalah DAP dan PKR.

Pas hanya memenangi Kelantan dan Kedah manakala di negeri-negeri PR yang lain – Pulau Pinang, Perak dan Selangor -- Pas hanya menduduki tempat ketiga selepas DAP dan PKR. Di Parlimen, Pas menduduki tempat ketiga juga dengan 23 kerusi selepas DAP (28) dan PKR (31).

Daripada aspek politik nasional dan perpaduan kaum, kerjasama Pas-Umno melalui BN adalah lebih logik kerana BN mempunyai perwakilan kaum dan wilayah yang lebih besar dan teruji daripada PR. Dalam mana-mana gagasan atau pakatan pun, kesahihan dan kewibawaannya tidak dapat diwujudkan jika semua kaum tidak diwakili secara bermakna.

Namun, buat masa ini, ura-ura kerajaan perpaduan Pas-Umno atau Pas-BN ini masih di peringkat awal. Atau lebih tetap di peringkat polemik yang semestinya akan mencetuskan pelbagai pendapat, pandangan dan andaian.

Seperti kata Naib Presiden Pas, Husam Musa, Pas sendiri tidak mempunyai pendirian rasmi mengenai ura-ura kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Abdul Hadi itu.

“Oleh sebab tiada ikatan rasmi, maka jalan yang lebih munasabah ialah memperkuatkan parti dan mendapatkan kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh UMNO,” katanya. Ini adalah pendirian yang sangat logik bagi orang cerdik seperti Husam.

Dia pasti sedar bahawa jika Umno berjaya memulihkan dirinya, ramai ahli dan penyokong parti itu yang berpaling tadah dan mengundi Pas dalam PRU lalu akan kembali semula kepada Umno pada PRU akan datang.

1 ulasan:

Amir Hamzah berkata...

Salam Ziarah, ana merasakan bahawa kita harus memerdekakan sikap 'siapa menang berapa' dalam konteks memahami politik negara dan pilihan rakyat.

PKR mungkin menang lebih kerusi Parlimen daripada PAS atau DAP tetapi bagi penyokong, kita adalah satu.

Inilah kali pertama PKR memenangi lebih daripada PAS dan DAP, PKR tidak perlu bermegah dan saya percaya sememangnya PKR tidak bermegah pun.

Apabila di PEMILU, PAS ke, PKR ke, DAP ke, hatta PSM - semuanya berbanting tulang memenangkan calon Pakatan Rakyat yang pada waktu itu dikenali sebagai Barisan Rakyat.

Dari aspek kerjasama PAS-UMNO pula bagi ana kita harus jauhkan kerana UMNO hanya pandai mengambil kesempatan. Janganlah kita menerima tawaran daripada entiti busuk lagi membusukkan yang akan lenyap sedikit masa lagi.

Wabillahi Musta'an.