KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, September 26, 2008

Ayuh ke Istana Negara sekarang...

HARI ini 23 September. Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah nekad tidak akan mengadakan sidang Parlimen tergempar seperti yang diinginkan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Penolakan Abdullah itu sebenarnya suatu yang serius dan beliau tidak sepatutnya menolak sidang Parlimen tergempar itu. Ini kerana kalau dakwaan Anwar itu betul maka Abdullah wajib meletak jawatan seperti yang dikehendakki Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Selepas menemubual pakar Perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, saya sempat berbincang panjang dengan beliau, tentang jalan menuju Putrajaya oleh Pakatan Rakyat.

Adakah masih ada jalan lagi? Atau perlu diasak bertubi-tubi Perdana Menteri yang sudah tidak popular itu untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar?

Dan sehingga komentar ini ditulis, Pakatan Rakyat belum lagi menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan dari hal tersebut.

Nampaknya, usaha menyerahkan senarai nama ahli parlimen BN yang menyokong Pakatan Rakyat sebelum membentuk kerajaan baharu, belum diutus lagi. Ia disahkan oleh orang kuat Anwar, Johari Abdul.

Isu ini sangat penting. Soal sama ada kerajaan BN yang memerintah ini masih punyai sokongan untuk terus kekal mentadbir negara perlu diselesaikan segera. Biarlah '16 Sept pergi'.Ia tidak boleh dibuat main-main atau ditangguh-tangguhkan.

Peri pentingnya isu ini melibatkan banyak keputusan yang kesahannya bergantung kepada kerajaan (BN) yang ada itu sah atau sebaliknya. Dan dakwaan ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Parlimen, bukannya pekikan kaki lima.

Jalan yang ada, Ketua Pembangkang boleh terus mempersembahkan nama-nama itu kepada
Agong. Ini kerana Perkara 43(4) tidak pun mewajibkan proses mempastikan kebenaran dakwaan Anwar (yang menyatakan bilangan ahli parlimen yang menyeberang) semestinya melalui undi tidak percaya di parlimen.

Anwar ada sebab yang cukup kuat untuk mempersembahkan nama-nama itu terus kepada Agong sekarang. Agong mempunyai peranan untuk mempastikan bahawa Perlembagaan berjalan tanpa diganggu.

Abdullah sebenarnya telah melakukan sesuatu yang menghalang proses biasa Perlembagaan bila menolak sidang tergempar Parlimen. Dalam situasi begini, Agong perlu bertindak; sama ada memanggil parlimen melalui kuasa simpanannya (lihat Perkara 55) atau mungkin menyingkirkan Perdana Menteri yang menganggu proses Perlembagaan itu.

Dan apabila timbul persoalan mengenai kredibiliti dan legitimasi sesebuah kerajaan, Agong tidak boleh bersikap tunggu dan lihat sahaja. Baginda wajar bertindak proaktif dan mengawal keadaan. Tidak ada institusi lain yang boleh memainkan peranan ini kecuali Agong.

Soalnya, wajarkah Agong menjemput Ketua Pembangkang untuk menghadap dan mempersembahkan senarai ahli parlimen yang beliau dakwa? Atau Anwar yang wajib menghadap Agong?

Agong bukan sahaja wajar malah itu menjadi tanggungjawab baginda. Sebagai Raja Berperlembagaan, baginda perlu bertindak mengikut nasihat kerajaan dan baginda perlu mempastikan bahawa kerajaan yang memberi nasihat itu sah kedudukannya di sisi Perlembagaan.

Jika dakwaan Anwar benar, Agong boleh menitahkan Abdullah letak jawatan dan menggantikannya dengan Anwar. Dalam kedudukan Abdullah yang dhaif, kemungkinan beliau berkeras, adalah tidak mungkin.

Ini bermakna, peranan Agong cukup penting dalam mempastikan demokrasi berjalan dan peralihan kerajaan baharu terbentuk. Bertemulah segera Anwar, menghadap Agong! Ayuh Anwar ke Istana Negara sekarang...

Setelah PM tolak, Agong perlu panggil Ketua Pembangkang

Muqqaddimah: PERKEMBANGAN sejak 16 September lalu begitu mencemaskan. Banyak isu dan persoalan timbul. Cadangan Ketua pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim agar diadakan sidang Parlimen tergembar sudah ditolak Perdana Menteri. Pilihan lain yang ada, menghadap Yang Di-Pertuan Agong. Pengarang Berita Harakah, TARMIZI MOHD JAM menemui Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar Perlembagaan untuk mendapatkan penjelasan tentang beberapa isu yang sedang diperdebatkan.

Sekarang timbul kemelut politik apabila Pakatan Rakyat yang dipelopori Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mendakwa 35 orang ahli parlimen dari BN telah 'menyeberang' menyertai Pakatan. Tetapi Perdana Menteri telah menolak sidang tergempar Parlimen yang dipohon oleh Anwar. Boleh profesor jelaskan sedikit hal ini?

Dari segi teorinya Perdana Menteri tidak wajar menolak permintaan itu kerana ini melibatkan soal yang sangat-sangat penting yakni sama ada kerajaan yang ada sekarang sah atau tidak. Ini kerana kalau dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu benar maka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajib meletak jawatan.
Ini yang dikehendakki oleh Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Soalan yang melibatkan sama ada kerajaan yang memerintah itu masih mempunyai sokongan untuk terus kekal mentadbir negara - atau negeri kalau di peringkat negeri - perlu diselesaikan tanpa tangguh-tangguh kerana ia melibatkan banyak keputusan yang kesahannya bergantung kepada kerajaan yang ada itu sah atau sebaliknya. Dan dakwaan ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Parlimen, bukan sebarangan orang.

Kalau sidang tergempar Parlimen ditolak, apa cara lain untuk Pakatan menubuhkan kerajaan baru ini? Memujuk Yang Dipertuan Agong?

Saya berpendapat Anwar boleh terus mempersembahkan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Perkara 43(4) tidak pun mewajibkan bahawa proses mempastikan kebenaran dakwaan Anwar - yang menyatakan bilangan ahli parlimen yang menyeberang - semestinya melalui undi tidak percaya di parlimen.
Apalagi di dalam keadaan permintaan Anwar telah ditolak oleh Abdullah; dengan kata lain Anwar mempunyai sebab yang cukup kuat untuk menyembahkan nama-nama itu terus kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai beberapa peranan dan kuasa khusus yang boleh digunapakai dalam situasi sekarang. Baginda boleh mendapatkan bantuan daripada Majlis Raja-Raja yang diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk membincangkan apa sahaja perkara yang dirasakan perlu. Apa peranan Yang di-Pertuan Agong dalam situasi sekarang?

Di dalam teori Perlembagaan yang melatari peruntukan-peruntukan Perlembagaan kita, baginda mempunyai peranan untuk mempastikan bahawa Perlembagaan ini berjalan tanpa diganggu.
Jika ini berlaku baginda boleh mengambil langkah-langkah yang drastik untuk mengetepikan gangguan itu. Baginda bertindak seperti doktor bedah yang perlu melakukan pembedahan pintasan - 'bypass surgery' - bagi mengeluarkan sekatan yang sengaja dibuat untuk menyelamatkan diri.
Apabila beliau menolak mentah-mentah permintaan Anwar itu Abdullah sebenarnya telah melakukan sesuatu yang menghalang proses biasa Perlembagaan. Yang Di-Pertuan Agong perlu bertindak; sama ada memanggil parlimen melalui kuasa simpanannya - lihat Perkara 55 - atau mungkin menyingkirkan Perdana Menteri yang menganggu proses Perlembagaan itu.
Ini pernah berlaku di salah sebuah negeri di India sekitar hujung 1960an apabila Gabenor menyingkirkan ketua menteri yang menghalang undi tidak percaya terhadapnya.

Apabila timbul persoalan mengenai kredibiliti dan legitimasi sesebuah kerajaan, Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh bersikap tunggu dan lihat sahaja. Baginda wajar bertindak proaktif dan mengawal keadaan. Tidak ada institusi lain yang boleh memainkan peranan ini. Tapi apa yang berlaku?

Ini yang berlaku di Malaysia sekarang. Berbanding dengan negara-negara lain termasuk United Kingdom, India, Australia hatta negara-negara di luar Westminster pun seperti Jepun dan Thailand perubahan kerajaan berlaku dengan mudah dan pantas. Tidak terkial-kial dan degil untuk terus berkuasa meskipun isyarat sudah begitu jelas.
Memang benar, hanya Yang di-Pertuan Agong yang boleh bertindak kerana Perdana Menteri sudah jelas menghalang. saya fikir Majlis Raja-Raja boleh bersidang dan membuat resolusi segera. Atau Anwar pergi ke mahkamah untuk memohon perintah mandamus bagi meminta Abdullah meletakkan jawatan.
Apa yang Anwar perlu lakukan ialah buktikan kepada mahkamah yang majoriti ahli parlimen menyokong beliau dan Abdullah tidak berhak untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Bolehkah kita bergantung dengan kerajaan sedia ada (BN) tatkala kesahihan kerajaan tersebut sendiri sedang dipertikaikan seperti sekarang?

Sudah tentu tidak kerana takkanlah kita hendak mengharapkan ia menjadi hakim bagi mengadili kesnya sendiri. Dan memang sudah jelas kerajaan sedang menggunakan segala pengaruh dan kuasa yang ada untuk menyelamatkan dirinya. Ini amat menyedihkan. Malah memalukan. Seluruh dunia melihat sistem politik kita yang amat primitif dan tidak 'sporting' ini.

Tapi bolehkah pula Anwar menghadap Yang Di-Pertuan Agong jika protokol dengan ketat digunakan? Apakah terdapat halangan nanti?

Memang ada protokol tapi saya fikir pegawai-pegawai istana janganlah terlalu jumud dan statik. Mereka perlu mempertimbangkan bahawa ini soal penting; soal sama ada kerajaan yang ada ini sah atau sebaliknya. Isu ini perlu diselesaikan segera.
Jangan tangguh-tangguh. Dalam keadaan sekarang protokol soal yan kecil dan tidak penting. Takkanlah dalam situasi gawat dan kritikal kita masih nak bercakap soal protokol.

Wajarkah Yang Di-Pertuan Agong menjemput Ketua Pembangkang untuk menghadap dan mempersembahkan senarai ahli parlimen yang beliau dakwa akan menyokong Pakatan Rakyat dalam kerajaan baru?

Saya fikir ia bukan sahaja wajar malah ia menjadi tanggungjawab baginda. Ini kerana sebagai Raja Berperlembagaan, Yang Di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat kerajaan dan baginda perlu mempastikan bahawa kerajaan yang memberi nasihat itu sah kedudukannya di sisi Perlembagaan.
Dalam rangka ini baginda bertanggung jawab mengambil apa sahaja inisiatif yang selaras dengan peranan itu. Dan juga demokrasi. Tindakan menolak dan menghalang sidang khas parlimen oleh Barisan Nasional menentang demokrasi dan Perlembagaan.

Sekiranya Yang Di-Pertuan Agong mendapati dakwaan Anwar adalah benar dan Anwar memang mempunyai sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli parlimen, adakah Agong boleh menitahkan agar Abdullah meletak jawatan?

Saya fikir begitulah. Yang diPertuan Agong perlu menitahkan Abdullah meletakkan jawatan kerana ia perlu untuk baginda melantik Anwar sebagai Perdana Menteri baru. Sebenarnya tindakan seperti itu tidak drastik kerana pada hakikatnya Abdullah sudah tidak berhak menjadi Perdana Menteri sebaik-baik sahaja Anwar memiliki majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Jadi Yang diPertuan Agong sekadar mengkafan dan mengkebumikan Abdullah sahaja. Baginda sebenarnya tidak membunuh karier politik beliau. Dalam soal ini baginda tidak berpolitik sebagaimkana yang dilihat oleh pegawai-pegawai istana yang tertentu; mereka ini nampaknya kabur dengan peranan dan kuasa Yang Di-Pertuan Agong.

Bagaimana kalau Abdullah enggan?

Abdullah tidak boleh melawan. Saya tidak fikir beliau boleh berbuat apa-apa sekiranya Yang Di-Pertuan Agong menitahkan beiau meletakkan jawatan. Lagipun Umno sendiri yang sekarang mahukan beliau berundur tidak akan sanggup mempertahankan beliau.

Bagaimana profesor melihat kemelut ini dari sudut Perlembagaan? Dan dari segi politik, agaknya apa yang akan terjadi jika tiada respon dari Agong dan sidang tergempar Parlimenpun gagal diadakan?

Jika tidak ada sebarang tindakan diambil oleh Yang diPertuan Agong negara akan terus tenggelam di dalam kekeliruan dan krisis. Kita sudah lihat bagaimana kerajaan terus berdegil meskipun kesahan kedudukan mereka sudah dipersoalkan.
Mereka terus enggan untuk diadili oleh parlimen. Dan ini ditonton oleh seluruh rakyat dan dunia. Perlembagaan hanya menyediakan formula dalam keadaan biasa; apa yang kita lalui sekarang memang luar biasa dan tidak pernah berlaku sejak 1957.
Sebab itu Yang Di-Pertuan Agong perlu tegas. Baginda tidak boleh teragak-agak kerana sejarah akan menghukum baginda sekiranya baginda memilih untuk bersikap pasif. Perlembagaan dan negara mesti diselamatkan.

Pakatan Rakyat yakin bentuk kerajaan dalam masa terdekat

Muqqaddimah: Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul begitu optimis Kerajaan Pakatan Rakyat peringkat persekutuan akan dibentuk dalam waktu yang terdekat ini. Ikuti temubual terus-terang dengan orang kuat Anwar ini.

Setengah pihak menimbulkan kekeliruan mengenai tarikh 16 September. Ada yang beranggapan tarikh tersebut merupakan tarikh akan terbentuk sebuah kerajaan baru di Malaysia. Boleh saudara jelaskan kenapa tarikh tersebut dipilih dan macam mana perkembangan pembentukan kerajaan baru ini?

JOHARI ABDUL: Pemimpin pakatan rakyat yang terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP memilih tarikh 16 September kerana ia merupakan tarikh penubuhan Malaysia. Malah kita juga telah mendokong agar tarikh tersebut dijadikan cuti umum.
Tarikh 31 Ogos adalah tarikh Tanah Melayu mencapai kemerdekaan namun ianya belum lagi disertai oleh Sabah dan Sarawak. Tarikh 16 September itu adalah tarikh keramat yang menyatukan semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Namun begitu kita menyebut tarikh 16 September sebagai tarikh akan berlakunya proses untuk perubahan kerajaan. Ia bukan mengambil masa yang singkat seperti pertukaran jawatankuasa PIBG, pertukaran kerajaan atau proses mengambil alih sebuah kerajaan ini harus mengalami satu proses yang panjang dan juga perlu melalui pelbagai peringkat baik dari segi undang-undang dan juga perlembagaan.
Dato' Seri Anwar sendiri memegang prinsip apa-apa proses peralihan kuasa harus dilakukan dengan penuh tertib kalau tidak kita akan jadi macam negara lain seperti kita tengok di Thailand, dah berapa Perdana Menteri tetapi masih banyak juga yang belum selesai. Sebab itu kita lakukan dengan penuh cermat dan bersistematik.
16 September itu adalah asas tarikh kita. Ia boleh jadi lebih dari tarikh itu. Tetapi harus faham 16 September itu adalah titik tolak atau tarikh permulaan proses pengambilalihan kerajaan. Contohnya pada 15 September lalu, saya bersama Dr Hatta Ramli dan wakil DAP ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk menyerahkan surat yang meminta Perdana Menteri agar bertemu dengan Pemimpin Pakatan Rakyat.
Tetapi Perdana Menteri menolak permintaan kita itu. Dia tak mahu layan permintaan kita.
Itu proses yang pertama, yang paling lembut kita minta tetapi kalau dia tak nak kita hantar sekali lagi surat minta supaya proses ini dilakukan melalui parlimen. Kalau Abdullah merasakan cara menyerahkan kerajaan dengan rundingan itu menderhaka kepada Umno atau BN tak mengapa kita pergi ke parlimen.
Kita hantar satu lagi surat minta diadakan sidang tergempar parlimen. Kita hantar surat ini lebih awal dari tarikh yang kita minta diadakan sidang tergempar itu. Kita minta dia fikir panjang-panjang dan dia ada masa untuk buat keputusan. Empat ke lima hari untuk buat keputusan. Kita hantar hari mesyuarat Majlis Tertinggi Umno diadakan.
Selepas itu Abdullah buat sidang media katakan tak perlu adakan sidang tergempar pada 23 September kerana parlimen akan bersidang pada 13 Oktober.
Ada sebab dan strategi kita pilih 23 September. Kita bukan hanya main pilih sahaja. Kenapa kita minta tarikh itu, kerana masalah dalam Umno itu sendiri dah teruk hingga menjejaskan ekonomi.

Abdullah mendakwa Anwar adalah punca ekonomi negara ini semakin meruncing. Apa pendapat saudara?

Mereka ini dalam keadaan terdesak jadi mereka cari sasaran lain untuk tutup kelemahan mereka sendiri tapi dia harus ingat pelabur tak masuk bukan tahun ini tetapi sejak empat tahun dulu. Bila dia ambil alih dari Dr Mahathir, pelabur dah mula tak yakin dengan dia. Ini bukan masalah kita.
Ahli kabinet dia sendiri kritik dia secara terbuka kenapa dia nak kata ini salah Anwar? Cuba lihat SAPP keluar dari BN, mereka keluar bukan sebab kita tetapi sebab sudah tak yakin dengan BN. Dan bila mereka nak join kita, tentulah kita terima. Tetapi asasnya, mereka sudah hilang keyakinan kepada BN.

Setakat ini berapa bilangan Ahli Parlimen BN yang mahu menyertai Pakatan Rakyat?

Anwar sebut kita sudah melepasi angka 31 tetapi kita tak nak sebut berapa jumlahnya. Yang penting kita sudah ada lebih 31 orang ahli parlimen untuk membentuk kerajaan. Kalau kita sebut, macam-macam yang akan dilakukan oleh BN. Ini akan menjadikan huru-hara. Kita tak nak perkara itu berlaku.
Ini kali pertama pengambil alihan kerajaan berlaku di negara ini. Sebelum ini tak pernah beralaku. Kita belajar dari apa yang berlaku di Thailand dan Filipina. Kita perlu lakukan dengan penuh cermat kerana kita sedar negara ini amat sensitif dengan masalah kaum. Sekali anda jolok saja soal ini, dia akan meletup. Dan ini yang mereka cuba lakukan seperti di Pulau Pinang baru-baru ini tetapi kerana kita dah tahu itu adalah senjata mereka jadi kita tak respon.
Kemudian Raja Petra dan Teresa ditangkap. Wartawan dan blogger ditangkap. Ini semua tujuan untuk menakut-nakutkan blogger dan wartawan serta aktivis atau ahli politik. Ini semua kita tahu dan sebab itu kita tak respon kepada perkara ini.

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Anwar hendaklah mengemukakan usul terhadap kerajaan dan jika terbukti cukup majoriti, barulah beliau boleh mengadap YDP Agong, pandangan saudara?

Betul. Sebab itu kita minta diadakan sidang tergempar parlimen. Tetapi bukan itu sahaja penyelesaiannya. Masih ada cara lain mengikut perlembagaan. Tapi kita tak bermaksud nak menyanggah kenyataan KuLi. Tetapi kita rujuk dengan pakar-pakar perundangan dan perlembagaan jadi kita lakukan satu demi satu mengikut apa yang perlu.

Bagaimana dengan tuduhan membeli wakil rakyat BN?

Nak beli berapa kita nak beli? Sejuta? Dua juta? Kalau kita nak beli berapa puluh juta kita ada? Ini cuma propanganda dari mereka yang nak menunjukkan bahawa mereka adalah yang paling setia dalam BN. Mereka gunakan material sebagai bahannya.
Kita tak pernah buat apa-apa tawaran kerana kita berpegang pada prinsip yang telah kita sepakati. Kita tak nak mereka yang boleh dibeli dengan wang keran mereka ini kalau katakan hari ini kita tawar sejuta mereka masuk, esok kalau ada orang lain tawar dua juta, dia pergi kesana pula. Kita tak nak yang macam ini.

Tetapi adakah mereka ini akan ditawarkan jawatan sebagai menteri?

Yang itu sudah pasti. Kita nak berlaku adil. Cuma apa jawatannya terpulang kepada pucuk pimpinan. Tapi yang penting, impian kita nak jadikan Malaysia yang baru. Tak ada lagi yang murung. Perniagaan boleh berjalan lancar. Ekonomi stabil. Kita boleh hantar orang untuk meninjau pelaburan di luar.
Pakatan Rakyat mempunyai 15 perkara utama atau 15 perkara yang diselesaikan sebaik sahaja ambil alih kuasa. Macam bebaskan tahanan ISA. Nak hapuskan ISA kita kena lalui parlimen tapi kita akan buat juga tapi yang penting kita bebaskan dulu yang ditahan dah enam atau tujuh tahun.

Ada dakwaan bahawa andainya Pakatan Rakyat memerintah maka hak orang Melayu akan terpinggir?

Itu cuma perang saraf mereka. Di antara yang akan kita pertahankan adalah perlembagaan negara. Kedudukan raja Melayu kita akan pertahankan. Perkara 153, hak orang Melayu akan kita pertahankan dan juga kedudukan Bahasa Melayu.
Tapi disebabkan sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang lebih kepada kita mereka rasa takut dan buat propanganda macam itu. Kita lihat di Perak, Dato' Seri Nizar jadi Menteri Besar. Berapa banyak kerusi PAS? Kurang dari KeADILan tetapi adakah hak orang Melayu dah tergadai? Dan Nizar masih berjaya sebagai Menteri Besar.
Cuma propanganda BN membuatkan kita dilihat terlalu melebihi orang bukan Melayu. Sokongan dari bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat bukan bermaksud kita jual Melayu. Ini adalah propaganda BN semata-mata.

Adakah perkara ini telah dipersetujui oleh semua parti komponen Pakatan Rakyat?

Perkara itu memang dipersetujui oleh parti komponen Pakatan Rakyat. Malah DAP pada tahun 2006 telah tukar perlembagaan parti mereka iaitu mereka pegang prinsip-prinsip perlembagaan iaitu hak orang Melayu dan bahasa Melayu akan dipertahakan. Malah mereka terima Islam sebagai agama rasmi. Sebab itu Karpal Singh sama Utusan sebab dia tak cakap pasal Islam itu.

Selepas permintaan mengadakan sidang tergempar parlimen tak dilayan, apa langkah seterusnya?

Kita ada beberapa langkah yang telah disusun. Cuma tunggu dan lihat. Yang penting kita jalankan kerja untuk mecapai apa yang kita rancangkan. Kita dah minta dua perkara yang besar, adakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan juga sidang tergempar parlimen. Kita dah ikut prosedur, jangan pula kata kita biadap. Yang tak nak cuma mereka bukan kita.

Pakatan Rakyat sekarang telah meletakkan tarikh baru iaitu 1 Oktober. Apakah ini tarikh terakhir atau ianya cuma untuk mengerunkan BN?

Mungkin lebih awal dari itu. Tengok keadaannya. Yang penting kita dah susun rapi apa yang patut kita buat. Langkah kita seterusnya memastikan apa yang dirancang berjaya. Yang kita nak mereka tak nak ikut jadi kalau kita buat apa yang kita nak buat jangan pertikaikan. Kita ada cara yang tak perlu sampai tulis surat tapi kita tak nak macam itu kerana kita tak nak bercelaru. Bukan hanya parti bercelaru tetapi rakyat yang bercelaru.

Apakah tidak terdapat usaha-usaha dari BN untuk mengagalkan rancangan ini dengan cara menawarkan jawatan kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat atau membeli mereka?

Tak ada pun usaha dari BN untuk gagalkan usaha ini. Kalau nak kata mereka nak beli kita, saya sendiri ahli parlimen tak pernah pun terima panggilan ajak masuk BN. Bawa pergi Taiwan, untuk apa? Nak larikan daripada 16 September? Kalau tak dapat 16, kita boleh pindah ke 17 atau 18.
Tapi bila kita hantar wakil kita ke Taiwan, mereka lari malam. Dipaksa balik. Semua ini apa? BN sudah tak ada kekuatan untuk bertahan. Dia buat apa pun mereka tahu mereka dah tak kuat. Sebab itu tak ada usaha dari mereka untuk membeli atau menawarkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sertai mereka kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada BN.

Perpaduan Pakatan Rakyat sekarang bagaimana?

Perpaduan adalam Pakatan Rakyat kukuh. Kalau sebelum ini terdengar dalam PAS ada yang tak puas hati tetapi bila keputusan muktamar agar kukuhkan Pakatan Rakyat, perkara itu sudah tak timbul lagi. Saya tak tahu masalah dalaman PAS tetapi saya rasa sudah tidak timbul masalah. Hubungan kita semakin rapat. Kita dah bersama bukan tahun ini saja tetapi sejak 1999. Ada yang sebelum ini tak jadi wakil rakyat sekarang sudah jadi wakil rakyat. Macam saya lah. Kita dah berkawan lama, tak ada masalah yang timbul.

Apa harapan saudara dalam usaha membentuk kerajaan baru ini?

Saya mempunyai impian untuk melihat Malaysia ini berubah lanskap politiknya. Pentadbiran yang lebih telus dan kekayaan dapat dikongsi bersama oleh semua rakyat. Jadi saya harap ianya akan menjadi kenyataan dan semoga rakyat terus bersabar dan berdoa agar impian ini akan menjadi kenyataan.

Kelantan pertahan gelaran 'Serambi Mekah' dari dimusnahkan Umno

Muqqaddimah: KELANTAN sejak berzaman dikenali sebagai Serambi Mekah. Ramai penduduk dari kepulauan nusantara datang menimba ilmu agama di Kota Bharu. Ketika itu terdapat puluhan pondok agama di Kelantan. Biar pun era kegemilangan tersebut sudah berlalu, namun gelaran Serambi Mekah tetap utuh. Ia mula disemarak kembali bermula 1990 apabila Kelantan diterajui kepemimpinan ulama. Bagi melihat dari dekat perkembangan itu ikuti temubual bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah ketika ditemui di pejabatnya Ahad lalu.

Pendidikan agama mendapat peruntukan besar setiap tahun. Adakah sektor ini mencapai tahap yang diharapkan?

Memang pencapaian Yayasan Islam Kelantan (Yik) terus meningkat dari setahun ke setahun. Jumlah pelajar yang masuk bertambah. Kejayaan dalam peperiksaan terus meningkat. Jumlah pelajar Yik ke luar negara terutamanya dalam bidang perubatan sekarang semakin ramai.

Sasaran kerajaan sudah tercapai?

Hasrat kerajaan negeri melahirkan pelajar-pelajar lulusan bidang sains yang mempunyai asas agama setakat ini Alhamdulillah sudah menunjukkan kejayaan. Kalau dahulu pelajar kita hanya melanjut pengajian dalam bidang agama, namun bermula 10 tahun lepas kita telah melangkah lebih jauh dalam bidang profesional seperti perakauan, undang-undang, ekonomi dan sekarang dalam bidang perubatan.

Sudah adakah bekas pelajar Yik yang mengukir nama dalam bidang profesional?

Setakat ini belum ramai lagi. Bekas pelajar Yik sudah ada yang menjadi doktor. Mereka merupakan 'base' pertama pelajar aliran sains di Maahad Muhammadi. Kita baru 10 tahun, belum ramai lagi yang boleh dikenali.

Nampaknya tumpuan kerajaan sekarang terarah kepada aliran Tahfiz Sains?

Sejak lima tahun lepas kita telah meneroka bidang yang baru iaitu tahfiz sains bagi melahirkan profesional yang menghafal al Quran. 'Base' pertama akan mengambil peperiksaan tahun ini. Dan kita berharap mereka akan menjadi pelajar yang cemerlang. Sebenarnya tumpuan kita sama dengan bidang-bidang lain, cuma sekarang diberi kepada tahfiz sains memandangkan ia aliran baru.

Adakah kelas tahfiz sains akan diperluaskan lagi?

Hasrat kerajaan mewujudkan sebuah maahad tahfiz di setiap jajahan, sama ada tahfiz sains atau tahfiz biasa. Setakat ini kita berjaya mewujudkan kelas tahfiz di Tanah Merah, Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh dan terbaru di Kok Lanas. Dan tahun hadapan kita akan memperkenalkan aliran tahfiz sains di Mahaad Muhammadi Gua Musang. Kita berhasrat menjadikan Gua Musang sebagai gerbang ilmu.

Bagaimana sambutan aliran Tahfiz Sains?

Aliran tahfiz sains mendapat sambutan luar biasa. Sebagai contohnya tahun ini kita pada awalnya hendak ambil hanya seramai 180 pelajar tetapi permohonan yang diterima sehingga 996 orang. Ini menyebabkan kita terpaksa menambah pengambilan sehingga kepada hampir 500 pelajar untuk memenuhi hasrat masyarakat.
Pelajar yang memohon kebanyakan cemerlang dalam UPSR iaitu 4A dan 5A. Sedangkan syarat asas hanya 3A 2B. Pelajar datang dari seluruh negara.

Maahad Tahfiz Sains seperti ini mungkin yang pertama di Malaysia?

Setakat apa yang kita tahu, memang ia pertama di Malaysia.

Mungkin model yang ada di Kelantan menarik minat pihak lain?

Setakat ini kerajaan Selangor turut berminat. Kerajaan negeri tersebut mahu mewujudkan sekolah yang konsepnya sama dengan Tahfiz Sains di Kelantan cuma namanya mungkin berbeza. Jabatan Agama Islam Selangor telah mewujudkan jawatankuasa bagi mengkaji model tahfiz sains di Kelantan.
Sudah ada pegawai mereka yang datang meninjau dari dekat. Selain itu ada juga pegawai dari Jakim datang. Malah Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pendidikan Islam (Lepai) pada awalnya mahu mewujudkan sekolah model, dan mereka datang ke Kelantan melihat tahfiz sains.

Mulai tahun hadapan mungkin bajet kerajaan negeri kepada sektor pendidikan berkurangan memandangkan 20 sekolah agama rakyat (SAR) sudah mendapat bantuan Kerajaan Persekutuan?

Pendaftaran sekolah-sekolah agama dibuat dengan mengambil kira keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja yang mahu kerajaan pusat membantu sekolah-sekolah agama rakyat. Kita sebenarnya memenuhi hasrat Majlis Raja-Raja bagi membolehkan SAR dinaik taraf. Jadi kita mengambil langkah mendaftar buat permulaan 20 SAR.

Ada perkembangan positif selepas didaftar?

Selepas didaftar baru-baru ini Kementerian Pelajar meluluskan peruntukan segera sebanyak RM5 juta kepada sekolah terbabit. Jadi bermakna setiap sekolah mendapat RM250,000 bagi melaksanakan program pembangunannya. Kini kerja-kerja menaik taraf sekolah berkenaan sedang dijalankan.

Mungkin lebih banyak lagi SAR di Kelantan didaftar?

Tidak menjadi masalah, kita boleh mendaftar lebih banyak lagi SAR sekiranya memberi kebaikan dan kementerian memenuhi janjinya sebelum ini. Jadi kerajaan negeri tidak keberatan untuk mendaftar sekolah-sekolah lain pada masa akan datang. Sekarang kita bagi masa kepada pihak terbabit untuk memenuhi segala janji-janji mereka sebelum ini.

Pengurusan SAR terus kekal di bawah Yik?

Perkara itu tidak berubah. Kita hanya daftar dan pengurusan, hak milik dan semua perkara masih berada di bawah kerajaan negeri. Cuma kementerian memberi bantuan.

Pencapaian lain dalam bidang pendidikan di Kelantan?

Tahun hadapan InsyaAllah kita akan mulakan Kolej Yayasan Islam Kelantan untuk menempatkan pelajar-pelajar tingkatan enam bawah dan enam atas di satu tempat. Sekarang mereka belajar di merata-rata tempat. Kita sediakan asrama untuk mereka bagi memberi tumpuan sepenuhnya bagi menghadapi peperiksan Sijil Tinggi Agama Malaysia dan STPM.
Kolej Yik sedang dibina di Kok Lanas berdekatan kem tentera yang mempunyai keluasan 11 ekar. Sebahagian tanah itu akan dibangunkan dengan kolej tersebut. Pembinaannya sekarang sedangkan dijalankan dengan peruntukan awal sebanyak RM2 juta.

Bagaimana pula dengan perkembangan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias)?

Kias sekarang sedang merangka pelan tindakan ke arah menjadi kolej universiti. Jadi sekarang kita sedang merangka meningkatkan lagi beberapa perkara bagi mencapai tahap tersebut termasuk kemudahan prasarana, jumlah pelajar dan pejabat.
Kias sedang merancang membina bangunan baru bagi menempatkan perpustakaan dan dewan kuliah. Kos pembangunan itu dianggarkan sebanyak RM6 juta.

Sebelum ini Universiti Al Azhar membatalkan MoU dengan institusi pengajian tinggi termasuk Kias. Adakah ia memberi kesan kepada pelajar?

Memang diakui ada kesannya. Bagi pelajar lepasan Kias yang hendak menyambung pengajian ke Al Azhar memang terhalang. Sebenarnya Kias sejak dua tahun lalu sudah meneroka peluang kerjasama dengan universiti di tempat-tempat lain termasuk di Acheh, Palembang di Indonesia dan universiti di Jordan.
Ini bagi membolehkan pelajar lepasan Kias menyambung pengajian di sana. Jadi apabila Al Azhar membatal MoU sebelum ini kita ada peluang-peluang lain. Setakat ini kita ada tiga MoU dengan universiti di tempat lain.
Kita juga sedang merancang mengadakan persefahaman dengan Kolej Universiti Insaniah di Kedah dan Kolej Universiti Islam Selangor. Sekarang terpulang kepada pelajar untuk membuat pilihan bagi melanjut pengajian ke mana.

Kelantan juga menjadi tumpuan institusi pengajian tinggi swasta?

Ini suatu perkembangan yang sihat dan bertepatan dengan Kelantan menjadi Serambi Mekah. Jadi apabila banyak IPTS beroperasi di sini bermakna Kelantan menjadi tempat tumpuan ilmuan. Lim Kok Wing university juga akan beroperasi di sini tahun hadapan. Bagi mereka yang mahu suasana yang berbeza maka mereka datang belajar di sini.

Apa kemudahan yang mampu diberi kerajaan negeri kepada IPTS terbabit?

Kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama dalam aspek permohonan tanah dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Misalnya kerajaan negeri meluluskan permohonan Lim Kok Wing University membina kampus mereka di Machang. IPTS itu akan memulakan operasi tidak lama lagi dengan membuka kampus sementara di bangunan Kelantan Trade Centre.

Bagaimana dengan kemudahan di pejabat-pejabat agama?

Kita sebenarnya sudah siap membina kompleks Islam di Tumpat. Kita juga sudah keluar tender bagi membina kompleks Islam di Gua Musang dan selepas itu di Bachok serta Machang pula. Kita mahu mempastikan pejabat-pejabat agama di peringkat jajahan sesuai dengan zaman dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Kita juga sedang merancang membesarkan kompleks Balai Islam di Lundang. Kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi mengambil balik tanah di kawasan berhampiran. Kita merancang membuat kompleks yang lengkap dengan masjid ala Turki, Pusat Latihan Islam Darulnaim bagi melatih pegawai-pegawai dari segi kefahaman Islam.
Kita juga akan wujudkan lot-lot dalam bentuk bazar perniagaan untuk membolehkan peniaga-peniaga kecil berniaga yang berkaitan keperluan agama dan masyarakat Islam. Selain itu kita akan wujudkan food court yang terbuka. Kos keseluruhan bagi pembangunan kompleks baru kita dijangka menjangkau RM20 juta.
Sekiranya keadaan mengizinkan tahun hadapan pembinaan akan dijalankan. Ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Sejauh mana peranan Unit Dakwah Halaqat?

Gerak kerja memang banyak yang ditumpu di peringkat akar umbi. Mereka terdiri daripada pegawai, pembantu dan guru-guru al Quran. Program tahunan yang dianjurkan Halaqat ialah Tadarus al Quran pada bulan Ramadan dan perayaan Bulan Sembahyang.

Kerajaan negeri juga mengadakan perayaan Hari Hudud, sejauh mana perkembangannya?

Kita secara tidak langsung dapat menambah kefahaman masyarakat mengenai perundangan
Islam. Sekarang semakin ramai orang tahu keperluan dan kepentingan perundangan hudud. Kita mahu masyarakat sedar tanggungjawab mereka terhadap agama. Apabila tiba pelaksanaan hukum tersebut rakyat mudah menerimanya. Program itu lebih kepada mempersiapkan mental dan psikologi rakyat.

Ramadan sebagai latihan, bukan semata-mata Lailatur Qadar

Muqqaddimah: Berbicara mengenai kedatangan malam 1,000 bulan atau Lailatul Qadar yang merupakan bonus yang dikurniakan Allah swt kepada umat Islam setelah pelbagai ganjaran sepanjang Ramadhan yang penuh barakah ini. Ikuti temubual bersama Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din mengenainya.

Menjelang kemuncak Ramadhan iaitu 10 malam terakhirnya yang dijanjikan satu malam istimewa iaitu Lailatul Qadar, apakah ia serta bilakah malam itu?

Dr. Haron Din: Lailatul Qadar merupakan satu malam khusus yang Allah swt istilahkan sebagai Malam Penentuan. Allah menentukan Dia menurunkan al-Quran kepada manusia daripada luh mahfuz ke suatu tempat di langit dunia yang dikenali sebagai Baitul Izzah (iaitu rumah kemuliaan) tempat yang al-Quran berada.
Hatta tempat pun telah menjadi kemuliaan, mesejnya ialah mana-mana negara yang meletakkan Al-Quran sebagai tempat yang tinggi penghayatan pelaksanaan hukum-hukumnya - izzah. Individu yang hafaz al-Quran dan masyarakat yang menghayati kehendak al-Quran adalah mereka dimuliakan Allah swt kerana itulah setahun sekali Malaikat Jibril turun membawa rahmat kepada penduduk dunia pada Allah.
Ulang-ulang setiap tahun ada satu malam dipanggil laiLatul Qadar dengan lain perkataan saat turunnya sebuah kitab al-Quran ke alam dunia. Allah sebut sebagai Lailatul Qadar dan pada tiap tahun Allah swt izinkan Malaikat Jibril turun semula ke dunia.
Juga dipanggil malam Qadar, malam itu malam bonus Allah swt telahpun menganugerah dengan anugerah kepada mukminin yang berpuasa.Pertama, anugerah kerahmatan pada satu pertiga pertama puasa. Kedua, anugerah keampunan pada satu pertiga kedua puasa. Ketiga, anugerah terbebas daripada api neraka pada satu pertiga terakhir.
Itupun telah besar ditambah dengan bonus anugerah malam Qadar di mana beribadah pada malam itu lebih afdal daripada 83 tahun 4 bulan. Kerana itulah maka mesej yang jelas daripada Allah. Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun, Bijaksana mengatur perancangan buat hambaNya dengan menawarkan begitu banyak imbuhan untuk tujuan manusia mengenali, mengasihi dan menyintai ajaran Allah untuk dihayati.

Banyak yang mencari-cari Lailaltul Qadar, bahkan tidak kurang yang menekannya dengan pelbagai teori. Pada pandangan ustaz, macam mana kita nak kenalpasti malam itu dan apakah doa yang sesuai dibaca?

Malam Qadar dirahsiakan Allah kepada hambaNya hatta kepada kekasihNya Muhammad Rasulullah saw. Allah tidak memberitahu beliau. Aishah pernah bertanya kepada suaminya tentang bilakah malam Qadar.
Rasulullah hanya menjawab dengan memberi tip antaranya hadis-hadis sahih dengan menyebut, "intai-intailah kamu kedatangan atau berlakunya malam Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan. Ada yang bertanya lagi dalam 10 malam terakhir itu agak-agaknya bila.
"Rasulullah saw menyebut pada 10 terakhir, bila ditanya apakah tanda-tanda, inilah yang banyak disebut oleh ilmuan islam. Antara tipsnya malam itu tidak berlaku dengan ketara bencana besar, tiada ribut mengganas, keadaan tenang dan nyaman, pagi esoknya matahari bersinar tetapi tidak menyengat dan macam-macam lagi.
Yang boleh saya simpulkan boleh kita gunakan kaedah mendekatkan kita dengan berjumpanya dengan malam Qadar dengan mengambil kira hadis-hadis 10 malam terakhir tidak berlaku pada malam genap, kemungkinan ia berlaku pada malam ganjil. Memandangkan kalendar sambutan hari raya setiap negara berbeza, begitu juga dengan sambutan 1 Ramadhan.
Justeru, kemungkinan untuk malam 21 dan 29 itu boleh jadi bukan. Malam 29 itu malam lihat anak bulan, malam akhir itu ada kalendar yang berbeza antara negara. Contohnya Brunei berpuasa sehari lebih lewat daripada kita menyebabkan saya pun jadi ragu.
Dalam keadaan sekarang, tinggal lagi empat hari iaitu 21,23, 25 dan 27. Malam 21 terlalu awal, maknanya yang amat menenangkan ada tiga iaitu 23, 25 dan 27. Tiga malam sahaja kita tetapkan dengan 'intai-intai'. Fokuslah pada 23, 25, 27 untuk mengintai dan mengisi tiga malam ini sekurang-kurangnya dengan ibadah khusus yang lebih daripada biasa.
Aishah pernah bertanya kepada Rasulullah, "Seandainya saya terkena itu pada malam Qadar, apakah doa yang paling baik yang saya mohon?" Rasulullah menjawab, "berdoalah dengan doa ini: 'Ya Allah, Kamulah Tuhan yang amat suka memberi keampunan. Kamu Maha Mulia, ampunilah dosa-dosaku dan dosa kedua-dua ibubapaku, dengan rahmatMu ya Allah, Tuhan yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihani.
"Ertinya Rasulullah mengajar Aishah dan umatnya meminta yang terbaik bagi manusia bukan kekayaan bukan pangkat, bukan kedudukan, bukan kuasa. Yang mustahak sekali keampunan Allah. Kalau ini didapati, maka kita memperolehi keuntungan dunia dan akhirat. Dunia dapat redha Allah dan akhirat pastilah di syurga Allah.

Bagaimana pula amalan ibadah yang boleh dilakukan bagi mereka yang uzur syarie, yakni mereka yang sakit, tidak mampu membaca al-Quran, wanita yang haid atau nifas?

Beribadah pada malam Qadar tidak ditentukan bentuknya. Khusus bagi yang uzur syarie lelaki atau wanita yang tidak berpuasa, ada yang boleh beribadah iaitu zikrullah, bertasbih kepada Allah, berdoa kepada Allah, yang lebih baik bersedekahlah kepada yang memerlukan.
Sedekah ini memanglah disebut dengan hadis Rasulullah saw yang sahih: "Seorang yang pemurah akan tetapi baginda akan lebih-lebih pemurah pada bulan Ramadhan. Saya mengingatkan kepada penyumbang-penyumbang sedekah atau derma tentang ayat al-Quran yang kita wajib yakini kerana saya tahu banyak orang yang tidak yakin.
Ayat yang bermaksud: "Dan apa sahaja yang kamu sumbang ke arah kebaikan akan diganti balik oleh Allah yang lebih baik daripadanya dan Dia (Allah) sebaik-baik yang menganugerahkan rezeki kepadamu." Inilah peluangnya untuk mencontohi nabi dan para ummahatul mukminin, para sahabat terdahulu. Mereka banyak bersedekah pada malam-malam Ramadhan. Mungkin bagi orang-orang yang uzur syarie dapat melakukan ini pada malam-malam ini khususnya pada 27 haribulan atau 15 haribulan dengan berzikir, berdoa, bertasbih dan berdoa adalah amalan-amalan yang digalakkan oleh Islam.

Selain amalan-amalan pada malam Qadar, apakah amalan lain yang boleh dilakukan apabila menempuh 10 malam terakhir Ramadhan ini? Ada yang berpendapat, apakah amalan yang sesuai bagi yang telah menemui malam Qadar?

Bagi yang mengejar 10 malam akhir, mereka akan mengejar untuk mendapat apa sahaja. Pada awal puasa sehingga akhir. Ada sesetengah berpendapat bahawa tidak pernah ada hadis mengatakan adanya malam Qadar, namun kepada yang berharap kepada redha Allah, tidak akan berhenti menjalankan amalan seperti solat terawih, witir dan tahajud.
Orang-orang seperti ini akan terus melakukan ibadah itu di sepanjang Ramadan. Bagi yang memenuhi segenap Ramadan, sudah pastilah mereka telah menemui Lailatul Qadar, tetapi bagi yang tidak menghayatinya langsung yakni yang tidak berpuasa dan tidak mengerjakan solat sunat tarawih, dengan sendirinya Allah menyimpangkan mereka daripada anugerah ini.
Kerana itu, Ramadan sebagai latihan bukan beribadah semata-mata kerana malam Qada. Tetapi beribadah kerana Allah, kerana anugerah Qadar adalah anugerah bonus. Maka terpulanglah kepada Allah, kita redha dengan pemberiannya dan akur pada penentuannya.

Sebagai muslim, bagaimanakah seharusnya kita meraikan penutup kepada bulan Ramadan kerana belum tentu kita akan bertemu lagi dengan Ramadan akan datang?

Dalam hadis Rasulullah: "Mukmin yang sejati menunggu-nunggu kedatangan Ramadan dengan penuh rasa kecintaan kepada kedatangannya. Bila datang ramadan, mereka amat sukacita. Apabila menjelang hari-hari akhirnya, mereka akan berdukacita.
"Nabi akan menyebut dalam hadis-hadis yang lain bermaksud: "Sekiranya manusia benar-benar mengetahui kelebihan anugerah Allah di bulan Ramadan, pasti mereka akan berangan-angan dan meminta kepada Allah agar semua bulan adalah bulan Ramadan.
"Kerana itu sebagai muslim yang elok menghayati hadis-hadis tadi memperbanyakkan ibadah pada akhir Ramadan atas ingatan bahawa mungkin Ramadan ini terakhir bagi diri kita dan memperlengkapkan kehendak sebuah hadis lain yang bermaksud,"Alangkah ajaibnya bagi orang yang sempat hingga akhir Ramadan tetapi ia tidak mengambil kesempatan untuk berusaha diampunkan dosanya."

Pesanan ustaz...

Saya harapkan umat Islam khususnya pendokong perjuangan Islam supaya menjadikan seluruh Ibadah adalah untuk tujuan memperolehi redha Allah.

Isnin, September 22, 2008

Rahsia & risipi Kelantan bangkit semula selepas cemas-cemas tumbang - TMB Kelantan

Muqqaddimah: Apabila bercakap mengenai kerajaan Islam, Kelantanlah menjadi fokusnya. Sehingga kini sudah lebih 18 tahun ulama mentadbir negeri terbabit. Sepanjang tempoh itu ada pasang dan surutnya. Biar apa pun Kelantan terus gagah meredah arus politik. Penggal lalu kerajaan PAS berada dalam suasana paling gentir. Seumpama telor di hujung tanduk. Namun biar pun dijarak dengan kelebihan satu kerusi kerajaan PAS terus utuh. Apa rahsianya. Ikuti temubual bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakub bagi melihat dari dekat lonjakan kembali PAS di Kelantan ketika ditemui.

Apa rahsia PAS Kelantan dapat bangkit selepas hampir rebah pada penggal lalu?

Kita mendapat lonjakan sokongan pada pilihan raya baru-baru ini kerana hasil kerja keras sebelum ini, di samping itu jentera kita penuh disiplin. Selain itu kerajaan negeri juga melaksanakan beberapa program baru yang lebih kepada kebajikan kepada rakyat.
Ini menyebabkan rakyat memberi keyakinan semula kepada PAS. Manifesto dalam pilihan raya baru-baru ini untuk melebarkan lagi program kebajikan rakyat. Utama sekali istiqamah serta dakwah 'bil hal' dan pemimpin kita berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Islam.
Dalam keadaan kita menang dengan satu kerusi pada penggal lalu wakil rakyat kita berpegang teguh kepada prinsip Islam. Biar pun ditawarkan dengan jutaan wang ringgit namun mereka tetap dengan perjuangan. Dan ini mendapat pujian daripada rakyat terhadap sikap wakil rakyat PAS.

Ada sesuatu program yang Dato' rasa telah menarik minat rakyat?

Program yang kita lancar antaranya Pembangunan Ladang Rakyat sehingga menjelang pilihan raya baru-baru ini hampir 100 orang dari setiap Dun dipilih sebagai peserta. Ini bermakna mereka dapat menerima bantuan secara langsung daripada kerajaan hasil daripada Ladang Rakyat sebanyak RM200 sebulan.
Kita beri dalam tempoh tiga bulan sekali iaitu berjumlah RM600. Ini sedikit sebanyak dapat menampung kehidupan mereka lebih-lebih lagi kenaikan harga minyak yang begitu tinggi baru-baru ini. Selain itu program Skim Takaful Kifaalah.
Ini cukup berkesan kerana kerajaan begitu prihatin terhadap kesusahan rakyat. Pada hari kematian diberi RM500 dan tidak lama selepas itu akan diberi RM2,000 lagi. Dalam penggal lepas program belia sangat berjaya di bawah Abdul Fattah Mahmood dengan pelbagai program untuk bersama belia.

Banyak pihak mengatakan kekuatan PAS di Kelantan kerana faktor Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz. Sejauh mana Dato' melihatnya?

Ada kebenarannya. Sudah menjadi budaya di Kelantan menghormati Tok Guru sebagai pemimpin, ketua atau apa sahaja. Tok Guru menjadi lambang yang dihormati. Budaya ilmu di Kelantan disebar oleh Tok Guru. Mungkin kita tidak dapat mencari satu calon yang sama dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Namun kita boleh dengan cara kolektif dan suara ramai untuk meneruskan dasar Membangun Bersama Islam asasnya di bawah pimpinan ulama. Maka kita mampu menyediakan pelapis ke arah itu.

Ini bermakna Dato' rasa sudah ada calon boleh menggantikan Tok Guru sekarang?

Bagi saya ramai pemimpin berwibawa dalam PAS sekarang, cuma selagi Tok Guru masih ada kita beri peluang kepadanya untuk terus memimpin. Jadi dalam waktu ini belum nampak lagi calon lain yang menonjol kerana belum lagi diberi peluang. Memang ada calon-calon yang dianggap sesuai.
Namun belum lagi kita tunjukkan. Biasanya pimpinan Islam silih berganti. Selagi kita bergerak di atas dasar Islam dan tidak lari daripada prinsip itu InsyaAllah kita tidak akan ketandusan pemimpin pelapis.

Apa persediaan Dato' sekiranya diberi peluang mengetuai kerajaan?

Saya setakat ini masih lagi Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan (ketawa).

Sejauh mana kejayaan Kelantan kalau dibanding dengan negeri-negeri lain, selepas lebih 18 tahun berada di bawah PAS?

Apa yang paling ketara ialah dari segi amanah. Pemimpin walaupun bijak dan hebat tetapi kalau tidak ada amanah akan berlaku ketirisan dan kecurangan. Ini yang tidak berlaku di Kelantan. Kita boleh berbangga dengan sifat amanah yang begitu tinggi menjadi amalan pemimpin di sini.

Kelantan sehingga kini masih lagi dilabelkan sebagai tidak membangun dan ketinggalan. Benarkah demikian?

Pada saya Kelantan sudah jauh membangun kalau hendak dibanding dengan sesetengah negeri lain. Mungkin mereka dipengaruhi pemikiran lama yang masih bersisa.
Pembangunan tetap berlaku cuma yang belum ada industri secara besar-besaran. Kita
tidak ada pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa. Dalam jawatankuasa infrastruktur negeri ada cadangan untuk membina pelabuhan di Tok Bali, Pasir Puteh dan KuaLa Besar. Industri besar-besar juga mungkin memberi kesan yang tidak baik kepada alam sekitar.
Bgaimana pun kita cuba mewujudkan pelabuhan melalui pembangunan ekonomi wilayah timur (ECER). Kita cuba padukan dan saya rasa tidak timbul tiada pembangunan.

Bagaimana penyelesaian masalah tanah?

Sebahagian besar masalah permohonan tanah lebih tertumpu di kawasan Kelantan Selatan, misalnya Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah. Kerajaan sentiasa memberi hak milik tanah kepada rakyat sekadar untuk sara hidup mereka. Kita juga sedang melaksanakan program pembanngunan tanah melalui agensi kerajaan khususnya Perbadanan Menteri Besar dan Perbadanan Ladang Rakyat.

Sejauh mana hak milik tanah sudah diselesaikan?

Sudah banyak diluluskan untuk rakyat. Namun program baru yang sedang kita usaha iaitu tanah-tanah yang diberi kelulusan dasar melebihi 50 ekar, kalau pemiliknya tidak dapat membayar premium dan upah ukur, kerajaan mengambil pendekatan tanah-tanah itu akan diberi milik kepada pemohon melalui kerjasama Perbadanan Ladang Rakyat.
Ladang Rakyat akan membayar premium dan upah ukur. Satu perjanjian akan dibuat bersama peneroka yang akan dimajukan Ladang Rakyat sehingga 30 tahun akan datang.
Apabila ladang yang diusahakan mendapat hasilnya akan dipotong pendahuluan yang diberi pada peringkat awal. Kawasan tersebut ada tempatnya seluas 1,000 ekar dan di tempat lain pula 2,000 ekar.
Kita kenalpasti ada 11 kawasan yang sudah dilulus dasar oleh kerajaan. Kelulusan dasar sudah lama diberi namun penduduk tidak mampu untuk membayar premium sehingga kerajaan tidak mendapat sebarang hasil.
Melalui kaedah baru hasil dapat kepada kerajaan dan peneroka diberi hak milik tanah. Sekarang kawasan itu tidak ada hasil. Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah jajahan akan membuat pemutihan ke atas pemohon kelulusan dasar dan mereka akan diminta membayar premium dan upah ukur sebelum tanah itu diluluskan.
Ladang Rakyat akan tolong membayarnya terlebih dahulu dan akan memajukan kawasan itu. Masalah ini juga dapat menyelesaian penerokaan tanah secara haram peringkat demi peringkat. Syarat tanah tersebut hanya diterima sebelum 1995. Permohonan tanah baru kita tidak benarkan.

Bagaimana sokongan orang bukan Islam terhadap PAS?

Kita dapati sokongan meningkat kerana kita tidak berjuang di atas dasar bangsa. Kita berjuang di atas dasar agama. PAS sekarang sudah berjaya menjelaskan mengenai Islam kepada orang bukan Islam biar pun sebelum ini dihalang parti lawan.
Umno banyak menghalang usaha dakwah kita, namun sekarang orang bukan Islam mulai faham. Sebab itulah orang bukan Islam di Kelantan semakin ramai memberi sokongan kepada PAS. Ini terbukti dengan kaum Cina dan India kepada calon PAS di Dun Kota Lama meningkat dengan mendadak.
Ini kerana kita tidak pernah mengubah budaya mereka dan tetap dapat diamalkan. Kita kemukakan Islam sebagai satu cara penyelesaian bagi kehidupan manusia.

Sistem gadaian Islam (Ar Rahn) yang dipelopori kerajaan negeri nampaknya semakin berkembang. Sejauh mana prestasinya sekarang?

Kita sediakan sistem tersebut bagi memudahkan rakyat menyimpan barang kemas bagi mendapat wang tunai. Kita tidak kenakan sebarang faedah. Ini menyebabkan orang ramai semakin berminat untuk menggunakan perkhidmatannya sehingga Ar Rahn berkembang sehingga ke luar Kelantan.
Berkaitan kes pecah masuk baru-baru ini kerajaan negeri sudah memberi jaminan akan membayar ganti rugi sepenuhnya kepada penyimpan. Dan rakyat yakin dengan kemampuan kita mengurusnya.

PAS juga didapati mendapat sokongan padu anak-anak perantau pada pilihan raya umum lalu?

Kita menghargai pengundi di kalangan rakyat Kelantan yang tinggal di luar negeri, di mana mereka balik mengundi dengan tidak ada upah. Mereka balik dengan menyatakan tidak mahu lagi kepada BN. Ini menggambarkan satu arus yang berlaku.
Mereka sudah merasaikan dari dekat kerenah pemimpin Umno sekarang. Mereka balik dengan penuh kesedaran. Dan ini menyebabkan pemimpin Umno kecewa. Sebelum itu mereka mengharapkan pengundi dari Lembah Kelang, Johor, balik memberi undi kepada BN tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Rakyat yang tinggal di sana sudah mengetahui BN menghadapi banyak masalah.
Selain itu, parti-parti lain dalam BN sudah tidak rapat lagi dengan BN. Sebab itulah ramai penduduk bukan Islam daripada kaum India dan Cina banyak memberi sokongan kepada PAS pada pilihan raya umum lalu. Saya memfokus kepercayaan rakyat kepada PAS dan mereka hilang keyakinan kepada BN.

Pandangan Dato' situasi politik negara sekarang?

Selepas pilihan raya Permatang Pauh dan hari ini selepas berlaku pertukaran jawatan di mana Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan dan Kewangan diberi kepada Dato' Seri Najib menyebabkan saham kita jatuh menjunam 3.09 peratus atau 39.09 mata.
Ini suatu kejatuhan yang sangat membimbangkan ekonomi negara. Perletakan jawatan Dato' Zaid Ibrahim dan keadaan yang semakin tidak menentu menyebabkan rakyat semakin tidak yakin dengan kerajaan BN.
Masa inilah yang terbaik bagi ahli Umno meninggalkan parti dengan menyertai parti lain termasuk PAS. Saya yakin dalam masa tidak lama akan kerajaan BN akan runtuh.

Gagalkah 16 September? Ia tetap jadi kejayaan Pakatan Rakyat - Tian Chua

Muqqaddimah: Pada 12 September lalu, empat orang wakil KeADILan telah ke Taiwan bagi menemui dan berunding dengan Ahli Parlimen BN yang telah diarahkan 'bercuti' di negara tersebut bermula 8 September lepas. Salah seorang wakil KeADILan yang terbang ke Taiwan menjejaki mereka adalah Ketua Penerangannya, Tien Chua. Apakah maklumat terkini hasil pertemuan empat wakil KeADILan itu. Ikuti temubual bersama Tien Chua yang juga Ahli Parlimen Batu.

Boleh saudara ceritakan apa tujuan empat orang wakil KeADILan ke Taiwan baru-baru ini dan bagaimana boleh timbul cadangan untuk pergi ke sana?

TIAN CHUA: Kami ke Taiwan kerana Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN-BBC) ke Taiwan, jadi kita perlu ikut kerana nak pastikan sokongan kita masih ada untuk tukar kerajaan.Tujuannya dua iaitu yang pertama untuk memastikan orang yang mahu ikut masih tetap bersama kita. Kedua kita gunakan untuk beri penerangan kepada masyarakat Taiwan apa yang berlaku di Malaysia. Masyarakat Taiwan memang berminat untuk mengetahui apa yang berlaku di Malaysia memandang mereka menerima sejumlah yang besar rombongan dari BN-BBC.Mereka pun nak juga tahu kenapa begitu ramai ahli politik tiba-tiba datang buat lawatan sambil belajar ke Taiwan.

Adakah tercapai matlamat bila pergi ke sana? Dan apakah dapat ditemui ahli parlimen BN yang berada di sana ketika itu?

Saya tak boleh beritahu tentang itu.

Kumpulan saudara tiba di sana ketika Ahli Parlimen BN sudah bersiap untuk kembali ke tanahair, jadi adakah tercapai sasaran untuk ke Taiwan?

Mereka balik keesokan harinya. Mereka diarahkan meninggalkan Taiwan untuk pergi ke Hong KOng. Kita sampai hari ini, esok mereka pergi ke Hong Kong.

Adakah ketika di Taiwan langsung tidak dapat berhubung dengan mana-mana ahli parlimen BN memandangkan mereka semua ke Hong Kong sehari selepas kumpulan saudara tiba?

Kita dapat berkomunikasi. Kita dapat maklum balas daripada mereka. Sebab kita tinggal di hotel yang sama. Saya tidak dapat menceritakan lebih lanjut kerana seperti yang sudah dijelaskan oleh Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat sudah memperolehi lebih dari 30 orang ahli parlimen BN yang akan menyertai penubuhan kerajaan baru.
Biarpun mereka diarahkan ke Hong Kong sehari selepas kami tiba tetapi saya boleh katakan misi kami berjaya kerana kami masih dapat berkomunikasi dengan mereka dan rakyat Taiwan juga dapat menerima penerangan kami tentang situasi politik di Malaysia.

Apa komen saudara bila Perdana Menteri melabelkan Anwar Ibrahim sebagai ancaman kepada kerajaan?

Bagi pihak pemerintah siapa pun yang menentang itu ancamanlah (ketawa). Saya pun pernah jadi ancaman (ketawa). Jadi ini satu perkara yang kurang bertanggungjawab.

Bila kenyataan begitu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, pada hemat saudara, ada kemungkinan atau tidak Anwar Ibrahim akan ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)?

Saya tak nampak begitu. Saya yakin Anwar tidak akan ditangkap di bawah ISA. Kalau mereka tangkap Anwar, ini akan mempercepatkan lagi pertukaran kerajaan.

Pada 17 September lalu, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan pertukaran portfolio antara beliau dan Dato' Seri Najib Razak. Pertukaran dari jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan itu berkuatkuasa serta merta. Apa komen saudara mengenai perkara tersebut?

Ianya merupakan satu drama yang lucu. Saya anggap ini satu lakonan yang agak lucu. Dan Abdullah kata biasanya Perdana Menteri ini kalau nak ada peralihan kuasa kena jadi Menteri Kewangan dulu.
Itu salah dari segi fakta. Tidak ada seorang pun yang memegang jawatan Menteri Kewangan pun yang berjaya jadi Perdana Menteri. Abdullah jadi Menteri Kewangan selepas dia jadi Perdana Menteri. Menteri Kewangan sebelum ini tak ada yang jadi Perdana Menteri kerana mereka ini dipecat atau disingkirkan.

Namun begitu timbul pula spekulasi mengatakan bila Abdullah memegang jawatan Menteri Pertahanan, beliau akan menggunakan kuasa tentera untuk menggagalkan usaha Pakatan Rakyat, bagaimana pendapat saudara mengenai spekulasi ini?

Kita tak boleh tolak ada kemungkinan. Tetapi saya nampak apa yang dia lakukan ini akan mempercepatkan kejatuhan beliau. Sebagai rakyat dan aktivis, saya tak nampak itu ada risiko yang besar, bagi saya kalau pemerintah sekarang mengguna kekerasan atau mana-mana cara yang kejam ianya tidak akan didukung oleh rakyat dan rakyat akan lebih cepat lagi bangkit untuk mengulingkan mereka.

Ada pihak yang mengatakan Pakatan Rakyat telah tersasar dari target sebenar untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September lalu?

Kita tak terlepas sasaran. Kita pilih tarikh 16 September sebagai tarikh Hari Malaysia supaya semua rakyat ingat ini adalah tarikh pembentukan Malaysia iaitu pengabungan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.
Pada hari itu kita mempunyai cukup ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru. Pengistiharan itu menandakan kejayaan kita. Sama seperti pengistiharan Malaysia, ia ditubuhkan pada 16 September. Pada hari itu bukannya semua wakil Inggeris keluar dari Malaysia. Pada hari Malaysia dibentuk bukan institusi kerajaan atau jabatan telah dipegang oleh orang Malaysia tetapi masih banyak yang dipegang oleh Inggeris. Selama setahun atau dua tahun kemudian baru orang kita pegang semua ini.
Jadi dalam kes Pakatan Rakyat, untuk mengambil alih kerajaan kita kena hadapi proses teknikal tetapi pada 16 September lalu kita berjaya mendapat sokongan lebih dari 30 orang ahli parlimen untuk bersama kita. Itu juga satu kejayaan dan itu merupakan satu pengistiharan ke arah pembentukan kerajaan baru.

Media arus perdana mencanangkan bahawa kegagalan menubuhkan kerajaan pada tarikh tersebut telah memberikan kesan negatif kepada Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim. Apa komen saudara?

Media arus perdana memang tidak pernah bersama kita. Kalau dia kata memberi kesan kepada Pakatan Rakyat atau Anwar, apa kesannya? Yang pasti kesannya kita telah berjaya. Soal ini teknikal boleh kita pinda, bila kita boleh ambil alih kerajaan mengikut perlembagaan. Tidak timbul soal memberi kesan buruk kepada Pakatan Rakyat atau kepada Anwar Ibrahim.

Apa nasihat saudara untuk penyokong Pakatan Rakyat yang ternanti-nantikan penubuhan kerajaan baru ini?

Rakyat perlu bersabar kerana Pakatan Rakyat sudah semakin hampir untuk menubuhkan kerajaan. Kita sekarang sedang menyelesaikan masalah teknikal. Bila perkara ini selesai, kerajaan yang lebih berwibawa akan ditubuhkan. Dan rakyat pastinya tidak akan lagi terbeban seperti yang dilakukan oleh kerajaan yang sedia ada.

Kelab Penyokong PAS: Pesuruhjaya & YDP mesti ambil serius

Muqqaddimah: Transformasi Kelab Penyokong PAS menjadi sayap penting membuka lembaran baru dalam PAS. Namun bagi meraih sokongan yang berterusan daripada bukan Islam, komitmen semua pihak harus digemblengkan. Menelusuri pandangan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Mujahid Yusuf berhubung isu ini.


Kelab Penyokong PAS kini semakin berkembang dan akan menjadi sayap PAS. Bagaimana Dr melihat sokongan ahli Kelab Penyokong PAS boleh bertahan dalam pilihan raya ke 13 akan datang?

Dr. Mujahid: Kelab Penyokong PAS kini telah berkembang. Mesej yang jelas apabila Muktamar baru-baru ini, Presiden dan kepimpinan yang lain bersetuju Kelab Penyokong PAS menjadi sayap parti. Dan untuk melaksanakan sedemikian, terdapat beberapa implikasi. Kelab juga perlu distrukturkan semula dari segi keahlian dan kepimpinan di peringkat kawasan dan negeri.
Oleh kerana ia akan menjadi sayap parti, mungkin ia mesti ada perlembagaan sendiri. Dan mungkin implikasi pada tubuh badan Perlembagaan PAS sendiri yang akan mengiktiraf sebagai sayap penting. Dan kita sudah pun menjalankan penyusunan semula kelab. Sekarang ini kita sedang mengutip data.
Alhamdulillah data tersebut telah kita perolehi. Sekarang ini kita mempunyai kira-kira 10,000 ahli Kelab Penyokong PAS seluruh negara. Sebab itu saya katakan pentingnya Kelab Penyokong PAS ini kita jadikan sayap dalam PAS.
Sebagai sayap penting parti ia mempunyai peranan strategik yang mengekalkan kekuatan dan sokongan moral yang boleh mendekati masyarakat bukan Islam. Dengan adanya sayap ini, tujuannya ialah untuk mengekalkan sokongan bukan Islam kepada PAS.
Jadi golongan bukan Islam ini akan melihat PAS sebuah parti yang meletakkan bukan Islam dan satu elemen penting bukan sahaja untuk mendapat sokongan mereka tetapi memberi kedudukan yang baik kepada mereka.

Sehingga kini bagaimana sokongan negeri-negeri kepada Kelab Penyokong PAS ini?

Negeri yang terakhir menubuhkan Kelab Penyokong PAS ialah Perlis, walaupun bilangan penduduk bukan Islam tidak signifikan. Kelab Penyokong PAS tetap ditubuhkan di Perlis mungkin kerana PAS Perlis melihat kepentingan kelab itu sendiri dan mereka telah berjaya menubuhkan.
Sehingga hari ini tidak ada mana-mana negeri yang tidak ada Kelab Penyokong PAS. Kelab Penyokong PAS hari ini menjadi keperluan kepada parti. Di kawasan-kawasan khususnya negeri Perak tumbuh bagaikan cendawan.

Difahamkan terdapat sesetengah kawasan menyerahkan perkara berkaitan Kelab Penyokong PAS ini kepada Lajnah Perpaduan Nasional semata-mata dan ini menyukarkan perkembangan kelab. Sejauh mana kebenaran tersebut?

Di peringkat awal pihak yang bertanggung jawab dalam kelab ini ialah Lajnah Perpaduan Nasional. Bagaimanapun, apabila ia sudah menjadi satu keperluan strategik dan berkembang begitu pesat, akhirnya lajnah melihat keperluan untuk memastikan perkembangan ini bukan sahaja terletak atas bahu lajnah semata-mata.
Ia sebenarnya sebagai elemen penting kepada kawasan secara seluruhnya. Begitu juga di Pusat. Di Pusat sekarang ini telah kita rasai dengan perkembangan kelab dan keperluan strategik jelas tidak mampu menampung keperluan ini. Walaupun ia mengasas dan mengendali serta mentadbirnya.
Dari segi perkembangan pesat ini, apabila timbul isu 'sayap' (kelab) ia akan terbang sendiri dan menjadi elemen tersendiri, bukan hanya diperhatikan oleh lajnah tetapi sebagai elemen strategik parti. Begitu juga di peringkat kawasan.
Saya harap di kesempatan ini untuk menyampaikan mesej bahawa kelab ini apabila ia sudah muncul sebagai satu sayap parti, ia bukan hanya di bawah tugas lajnah. Ia merupakan tanggung jawab organisasi secara menyeluruh bagi memastikan perjalanan sayap ini bergerak lancar. Lajnah Perpaduan Nasional terbatas.
Justeru saya menyeru Pesuruhjaya dan Yang DiPertua PAS mengambil berat mengenai Kelab Penyokong PAS ini. Mereka sendiri yang kena mengendalikan kelab ini dan bukan menyerahkan kepada pengerusi lajnah. Dari segi penumpuan dan fokus kepada Lajnah Perpaduan Nasional perlu diberi perhatian oleh Pesuruhjaya dan Yang DiPertua Kawasan.

Bagaimana Dr melihat sokongan bukan Islam terhadap arus 16 September yang diuar-uarkan baru-baru ini?

Saya melihat masyarakat bukan Islam lebih ghairah dengan isu tersebut. Mungkin impak pilihan raya yang lalu dan momentum sokongan itu belum lagi berakhir. Ini bermakna mereka masih ghairah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Dan idea 16 September itu disambut baik.
Saya sempat hadir pada sebuah forum anjuran Suaram di Pulau Pinang baru-baru ini. Hampir semua yang hadir ialah golongan Cina dan India. Dan saya melihat sambutan dan respons, mereka mengharapkan 16 September benar-benar berlaku.
Dan tidak kiralah walaupun bukan 16 September, tetapi yang penting mereka mengharapkan perubahan besar politik berlaku di Malaysia. Itu respons kaum bukan Melayu. Dan jika dilihat suasana di Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil yang lalu, berdasarkan undian yang diperolehi Dato' Seri Anwar Ibrahim, sokongan orang Melayu meningkat.
Jadi, mungkin trend ini yang membimbangkan Barisan Nasional (BN) . Jika orang Melayu betul-betul dapat berubah, keadaan ini menjadikan BN lebih parah.

Berkenaan isu muzakarah atau muqabalah yang timbul dalam PAS baru-baru ini, adakah Dr merasakan isu ini akan menghalang sokongan bukan Islam kepada PAS?

Sudah tentu harapan besar kepada PAS ialah PAS menyertai perubahan ini. Mereka melihat PAS merupakan faktor utama yang memungkinkan perubahan ini berlaku. Apa sahaja langkah yang boleh mengalih perhatian supaya tidak berlaku perubahan itu, seterusnya dengan isu muzakarah dan muqabalah sudah tentu akan menjejaskan PAS itu sendiri.
Memang menjejaskan. Saya sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan wakil rakyat, sewaktu meninjau kawasan, saya mendengar luahan dan harapan mereka. Kata mereka, kalau boleh mereka mahu PAS terus bersama Pakatan Rakyat.
Ada antara mereka yang merayu, 'tolonglah pastikan PAS bersama perubahan ini'. Rayuan mereka ini memberi mesej bahawa isu PAS bermuzakarah dan muqabalah ini boleh menjejaskan perubahan. Dalam pilihan raya yang lalu, mereka tidak mahu mana-mana parti yang dikaitkan dengan Umno.
Contohnya Gerakan yang telah tumbang. Gerakan ini tidak semuanya tidak elok. Dari segi idealisme, PAS boleh berbincang dengan sesiapa. Tetapi dari segi pergerakan dan strategi buat masa ini, saya rasa lebih baik ditumpukan kepada memupuk kemenangan dan kekuatan Pakatan Rakyat. Dan sudah tentu isu yang besar dalam bab ini ialah tentang Melayu dan tentang Islam.
Tetapi kita mesti ada kekuatan dan tidak semestinya perpaduan Melayu itu ada melalui hanya dengan Umno. Perpaduan Melayu boleh berlaku dalam Pakatan Rakyat. Isu Melayu ini adalah paksi dalam kekuatan mana-mana politik. Kalau dalam Pakatan Rakyat Melayu mesti kuat, dalam BN pun Melayu mesti kuat.
Isu Melayu ini termasuk dalam perlembagaan dan sebahagian daripada sejarah. Dan jika orang menyatakan kita menyertai Pakatan Rakyat, jiwa akan lemah dan Islam akan lemah, itu tidak betul.
Islam dan Melayu sama ada BN atau Pakatan Rakyat tetap menjadi faktor yang sama. Jadi terpulang kepada kita untuk memastikan Melayu Islam itu terus terjamin dalam konteks yang lebih prinsipal daripada emosi dan sentimen.

Apabila Kelab Penyokong PAS sudah menjadi sayap parti, bagaimana dengan isu keahlian bukan Islam.

Menjadi sayap parti tidak semestinya mensyaratkan keahlian penuh. Ia masih menjadi ahli kepada sayapnya sahaja dan di waktu yang sama terikat dengan strategi parti secara menyeluruh. Isu jika ditubuhkan sayap dan untuk menukar syarat keahlian, tidak menjadi isu.
Mereka boleh menjadi ahli kelab penyokong PAS. Dan apa yang berubah ialah dari segi struktur sahaja. Penyertaan kelab berada pada sayap parti. Dan tidak timbul isu kena ubah keahlian. Jika Kelab Penyokong PAS menjadi sayap parti, isu keahlian bukan Islam bukan menjadi satu keperluan dan kemestian.


Akhir sekali, apakah pesanan Dr kepada ahli-ahli Kelab Penyokong PAS dan sokongan daripada ahli PAS kepada mereka?

Apabila Kelab Penyokong PAS telah 'transform' kepada sayap parti, ahli kelab itu sendiri menunjukkan kesungguhan mereka. Ahli-ahli PAS harus melihat bagi menjayakan misi ini sebagai keperluan strategi parti dan keperluan Lajnah Perpaduan Nasional lagi.
Ahli PAS harus memastikan kelab yang wujud di bawah mereka ini diberi perhatian dan mendekatkan mereka dengan ideologi parti. Apabila mereka dekat dengan PAS, mereka bukan sahaja menubuhkan kelab tetapi pada masa yang sama mereka mengenali PAS dan ideologi perjuangan PAS.
Memang selama ini mereka menyokong PAS bukan sekadar untuk menubuhkan kelab. Cuma perlu diperkukuhkan lagi. Dan Insya-Allah apabila proses tersebut berjalan lancar dan satu seminar kepada seluruh ahli kelab kepada seluruh Malaysia akan diadakan. Kita akan mengetengahkan PAS ini kepada mereka supaya mereka melihat kesamaan mereka dengan kita sebagai bukti keyakinan mereka terhadap keadilan yang diperjuangkan oleh PAS ini.

Sabtu, September 20, 2008

9 Oktober, paku terakhir buat 'keranda' Pak Lah?

TELAHAN Dato' Mustapha Ali tentang '16 September' sebenarnya berasas dari segi fakta. Atas sifir itu, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menuntut agar Parlimen mengadakan sidang tergempar Selasa ini membahaskan usul tidak percaya terhadap kerajaan. Tetapi sudah ditolak mentah Perdana Menteri.

Anwar menghantar surat kepada Abdullah bagi membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya, selewat-lewatnya 23 September ini. Tapi ia sudah berakhir dengan respon Abdullah menolaknya. Parlimen dijadual bersidang semula pada 13 Oktober ini.

Anwar hanya ada satu pilihan. Menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan beliau punya majoriti lebih dari yang dibolot Abdullah.

Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang juga mengiyakan sudah membelek-belek sebahagian nama-nama mereka yang datang dari Sabah dan Sarawak. Dakwa Anwar, seramai 35 Ahli Parlimen BN akan 'melompat' ke Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Apakah Anwar akan menghadap Agong dalam masa terdekat ini? Anwar memang tidak boleh memaksa Parlimen bersidang. Itu adalah kuasa Agong atas nasihat Perdana Menteri. Ini bermakna, kunci Parlimen ada ditangan Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan pengaruhnya untuk memujuk Perdana Menteri mengadakan sidang Parlimen, jika itu yang diinginkan oleh baginda.

Dalam hiruk-pikuk dan gelabah sakan Abdullah bergelut dengan masalah dalaman Umno, beberapa langkah dratik diambil bagi meredakan semua senario yang boleh mentalqinkan karier politiknya.

Bukan sahaja wartawan Shin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dilepaskan tetapi Terasa Kok juga dibebaskan. Dan tentulah selepas ini Raja Petra Kamaruddin menyusul. Tangkapan dibuat bagi meningkatkan 'ketengangan' emosi rakyat.

Selepas itu mereka dibebaskan satu persatu untuk membuktikan 'kebaikan' Abdullah. Barangkali beliau hanya mahu 'berlakon' penuhi kehendak MT Umno, agar ISA digunakan untuk memadamkan 'api perkauman' yang dikatakan cukup membakar!

Abdullah sendiri, sudah maklumkan beliau tidak ada rancangan menangkap Anwar dengan ISA, selepas Terasa, Tan dan Raja Petra dicekup. Langkah ini bagi meredakan amarah rakyat kononnya Anwar termasuk dalam rancangan untuk disumbat ke Kem Tahanan Kamunting, kerana 'modus operandinya' mengancam keselamatan negara.

Cerita Anwar mahu menawan Putrajaya menerusi ‘pintu belakang’ cukup ditakuti Abdullah dan Najib. Tekanan MT Umno pada 18 September, agar Abdullah undur secara terhormat, masih dicuba untuk diatasi.

Akhirnya, memujuk kumpulan Najib, diserahkan kuasa Menteri Kewangan 1 kepada TPM dan beliau menggalas kuasa Menteri Pertahanan. Sebenarnya, Abdullah cukup-cukup terjepit dengan sebarang kemungkinan untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri lebih awal daripada yang dirancang mengikut pelan peralihan 2010.

MT dan akar umbi mahu Abdullah meletak jawatan sebelum 9 Oktober ini. Iaitu tarikh bermulanya mesyuarat bahagian yang akan berlangsung selama sebulan sehingga 9 November. Sebanyak 193 Bahagian Umno akan membuat pencalonan bagi jawatan bermula daripada Presiden hingga MT untuk bertanding dalam pemilihan parti Disember ini.

Apakah Abdullah mampu raih 30 peratus atau 58 pencalonan dari bahagian untuk layak bertanding jawatan Presiden? Ia berbeza sebelum ini. Beliau memegang jawatan Presiden tanpa bertanding. Kali ini, rentaknya amat berbeda.

Apa yang akan dijulang Anwar untuk menghentak BN selepas ini belum diketahui tetapi amukan akar umbi Umno sudah memanaskan punggung Abdullah. Silap-silap perkiraan, 9 Oktober pula jadi penentu hayat Presiden Umno ini.

Apakah tarikh ini akan menjadi paku terakhir untuk 'keranda' Abdullah?

Zaid Ibrahim, lawan Pak Lah atau lawan ISA?

Perletakan Jawatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Mohd Zaid Ibrahim telah mencatatkan sejarah dalam senario politik negara sejak 51 tahun kemerdekaannya.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Mohamad Burok berkata peristiwa seumpama tersebut tidak pernah terjadi dalam sejarah sejak 51 tahun negara mencapai kemerdekaan.

"Ini merupakan kali pertama seorang menteri yang kecewa dengan pelaksanaan dasar dalam negara meletakkan jawatan.

"Ianya tidak pernah terjadi dalam sejarah negara sejak 50 tahun merdeka, seorang menteri yang mohon untuk diberhentikan," katanya ketika dihubungi Harakah.

Jelasnya, umum sebelum ini melihat perkembangan yang berlaku dalam negara apabila Zaid yang secara terang-terangan mengumumkan pandangan beliau yang seringkali bercanggah dengan kerajaan dan badan kehakiman.

"Jadi, menjadi hak Zaid untuk berhenti apabila pandangannya tidak diterima oleh kerajaan kerana beliau sememangnya dilantik untuk membantu melakukan perubahan dalam undang-undang serta badan kehakiman negara," ujarnya.

Mohamad Burok yang juga Penasihat kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia berkata rakyat mengalu-alukan tindakan serta pendirian Zaid yang berprinsip menggambarkan 'dia buat kerja' yang diamanahkan.

"Beliau telah diamanahkan untuk menjalankan kajian terhadap relevansi ISA yang kemudiannya hasil kajian tersebut tidak dapat diteruskan setelah didapati ianya tidak menepati kehendak kerajaan," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang menegaskan perletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan pergolakan dalaman Umno menjelang pemilihan parti itu, memberi kelebihan kepada Pakatan.

Bagi AJK Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Edmund Bon pula, tindakan Zaid dianggap menjatuhkan kredibiliti Abdullah serta seluruh kabinet.

"Memandangkan ianya pertama kali dalam sejarah, sekaligus membuktikan menteri kabinet lain menyokong penggunaan ISA itu secara menyeluruh," ujarnya lagi.

Namun katanya, Zaid juga seharusnya turut melepaskan jawatan beliau sebagai senator bagi membuktikan kekecewaan serta rasa protes terhadap kepimpinan negara di bawah teraju Abdullah.

"Walaupun dia dah 'resign' sebagai menteri, tetapi jika beliau masih lagi senator Dewan Negara, menunjukkan beliau masih lagi bertanggungjawab sebagai 'back bencher' (penyokong) kerajaan.

"Ini membuatkan beliau masih kena ikut apa sahaja yang kerajaan buat, tidak cukup sekadar tidak berpuas hati dengan ISA sahaja," katanya lagi.

Ujar Ahmad, kerajaan Umno-BN yang mula diterajui Abdullah pada 2004 lalu kononnya berjanji untuk melakukan perubahan besar dalam negara.

"Kononnya ingin melaksanakan dasar yang lebih terbuka, telus dan bebas, lalu melantik menteri yang menjaga undang-undang dan badan kehakiman.

"Tetapi malangnya, apabila beliau menegur kerajaan dan kabinet ianya tidak dapat diterima.

"Bahkan beliau keseorangan dalam mempertahankan tuntutan serta pandangan yang dianggapnya memberikan kesan positif kepada badan perundangan dan sistem kehakiman, sekaligus memusnahkan agenda reformasi badan tersebut," tambahnya.

Tegasnya ia sekaligus membuktikan pihak kabinet yang menjadi penyebab kepada kerosakan nama baik negara.

"Bukan menteri yang rosakkan, tetapi kabinetlah yang memburukkan nama negara. Mula-mula lantik Zaid untuk buat perubahan tetapi diapun gagal berbuat apa-apa 'reform' pada kabinet," tambahnya lagi.

Said Zahari tidak tolak kemungkinan ISA boleh cekup Anwar

Gelombang reformasi kedua telah lama tercetus sejak Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada tahanan.

Tokoh wartawan veteran, Said Zahari berkata gelombang reformasi tidak perlu menunggu Anwar ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa untuk melihat kebangkitan amarah rakyat.

"Kita lihat betapa hebat gelombang tersebut sewaktu pilihan raya kecil di Permatang Pauh baru-baru ini, maka tidak perlulah kita menunggu dia ditahan sekali lagi untuk melihat kebangkitan rakyat," ujarnya kepada Harakah.

Ditanya mengenai kemungkinan Penasihat KeADILan itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, beliau tidak menolak kebarangkalian tersebut.

"Sehingga kini kita telah menyaksikan pelbagai kejadian berlaku, apatah lagi setelah pertukaran portfolio yang dibuat Perdana Menteri serta timbalannya sudah pasti mempunyai sebab yang tersendiri.

"Namun setiap pemimpin pembangkang sememangnya terdedah kepada risiko untuk ditahan pihak berkuasa," katanya lagi.

Beliau turut menegaskan hal demikian boleh juga terjadi melihat kepada kegugupan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menangani situasi politik sejak kebelakangan ini.

"Abdullah begitu gugup sejak perkembangan mutakhir ini dan jika sekiranya beliau merasakan keadaan begitu tergugat, ia (penahanan pemimpin pembangkang termasuk Anwar) boleh berlaku.

"Apalagi dalam satu kenyataannya baru-baru ini, Abdullah menyatakan Anwar boleh menjadi ancaman kepada negara dan Syed Hamid pula telah membayangkan kemungkinan itu terjadi," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Said turut mengulas mengenai realiti pelan 16 September sebagai tarikh peralihan kuasa Pakatan rakyat terhadap kerajaan BN.

Katanya, jika benar Anwar telah mempunyai ahli-ahli parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan baru ia seharusnya dibuktikan.

"Anwar kena buktikan, bukan sekadar kata-kata," tegasnya.

Walau bagaimanapun tambahnya, Pakatan Rakyat perlu menunggu proses mengikut prosedur Perlembagaan yakni ianya perlu dibuat sewaktu palimen bersidang.

"Sekarang ia bergantung kepada sejauhmana kejayaan Anwar dan Pakatan Rakyat untuk menunjukkannya kepada rakyat, saya percaya ia akan menjadi kemuncak kepada pembentukan kerajaan yang baru kelak," demikian katanya.

Pergolakan dalaman Umno-BN telah sekaligus mengocak kestabilan negara sehingga memaksa Abdullah melakukan tindakan drastik yang mengejutkan semua pihak.

Mustafa, Nik Aziz bertemu selesaikan isu 16 September

Akhbar talian internet Malaysiakini pula melaporkan, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengarah Pilihanraya Pusat parti itu, Datuk Mustafa Ali mengadakan pertemuan 'empat mata' hari ini difahamkan bagi menyelesaikan 'pertelagahan' antara mereka berhubung isu peralihan kuasa yang diusahakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan dilihat sentiasa memberi sokongan moral kepada Anwar untuk menjadikan peralihan kuasa itu satu realiti.

Manakala Mustafa yang juga pesuruhjaya PAS Terengganu pula dilihat tidak yakin usaha Anwar itu akan menjadi kenyataan.

Dalam pertemuan tersebut, Malaysiakini difahamkan kedua-dua pemimpin tertinggi PAS telah memperjelaskan pendirian masing-masing dan 'hubungan mereka kini kembali seperti sediakala'

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mustafa mengesahkan mengadakan pertemuan tersebut di Kota Bharu pagi tadi atas permintaan Nik Aziz.

Mustafa enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan yang bermula jam 10 pagi tadi, tetapi beliau kedengaran ceria ketika bercakap dengan Malaysiakini.

Menurutnya, pertelagahannya dengan Nik Aziz itu berpunca daripada "salah faham" semata-mata.

"(Perkara ini) macam ayah dengan anak," tambahnya.

Ahad lalu, dalam ceramahnya di Taman Melewar, Gombak, Nik Aziz secara terbuka mengkritik kenyataan Mustafa yang tidak yakin pertukaran kerajaan pada 16 September.

Merujuk kepada kenyataan Mustafa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia serta wawancaranya dengan Harakah mengenai isu tersebut, Nik Aziz menyifatkan pengarah pilihanraya PAS itu "sudah menjadi lidah Umno" dan "betul-betul serupa dengan nada presiden Umno".

Malah, Nik Aziz turut menyifatkan PAS Terengganu "telah tersalah memilih seorang pesuruhjaya".

Bagaimanapun, Mustafa sebelum ini, enggan mengulas kritikan menteri besar Kelantan itu.

"Dalam pertemuan pagi tadi, (kami) bincang perkara itu (perselisihan faham) sekejap saja. Yang lain kita sembang-sembanglah," kata Mustafa.

Mustafa Ali akui 'mengerti' makna tersirat teguran Mursyidul Am

Harakahdaily melaporkan, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustapa Ali menjelaskan faham segala teguran Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadapnya baru-baru ini.

"Jadi apa sebab Tok Guru tegur saya itu saya fahamlah. Dan selepas itu saya ambil sikap tidak jawab Tok Guru. Saya sebagai anak, Tok Guru boleh panggil saya pada bila-bila masa sahaja.

"Jadi saya terus terang apabila keluar dalam Harakah kata Tok Guru tegur saya itu sebenarnya saya sudah menghantar mesej kepada Setiausaha Politiknya, Haji Annual Bakri Haron.

"Saya kata sampaikan terima kasih saya kepada Tok Guru. Jadi rasanya ada sesuatu yang Tok Guru tegur saya dan saya sendiri rasa tidak jelas. Jadi hari ini jelaslah," katanya kepada media selepas pertemuan dengan Menteri Kelantan di JKR 10, hari ini.

Baru-baru ini dalam wawancara ekslusif bersama Harakah, Mustafa yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat mendakwa pertukaran kerajaan pada 16 September tidak menjadi kenyataan.

Ekoran itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegur kenyataan tersebut kerana dianggap bertentangan dengan keputusan yang dicapai pada muktamar di Ipoh Ogos lalu.
Pesuruhjaya PAS Terengganu itu berkata, beliau tidak boleh hendak cerita apa dimaksudkan jelas itu.

"Sebagai anak saya kena mari. Jadi apa yang diterangkan Tok Guru saya fahamlah. Bagi saya sekarang sudah tidak ada apalah.

"Dan InsyaAllah seterusnya tidak ada apa. Saya puas hati dan faham apa hasil pertemuan tadi," katanya.

Menurutnya beliau dan Tok Guru sebagai ayah dan anak dan hubungan di antara ayah dengan anak.

"Hubungan ayah dengan anak kadang-kadang ada benda-benda kecil, sebab ayah rasa dia hendak tegur dia tegur.

"Dan sebagai anak apabila kena kena tegur kadang-kadang ada rasa hendak cakap atau lagu mana ke... itu sudah menjadi perkara biasa," ujarnya.

Beliau menjelaskan isu itu bermula ada hubung kait interview khasnya yang disiarkan Harakah sebelum ini.

"Jadi tidak berbangkit dengan mana-mana isu lain dan ia hanya ada kaitan dengan interview saya dalam Harakah sahaja. Saya hormat Tok Guru macam ayah saya," katanya.
Oleh itu beliau menolak andaian yang menyebut PAS dilanda krisis.

"Bukan krisis sebagaimana diperkatakan. Kita akui ada perbezaan pendapat itu dan bukan krisis. Tok Guru akan tegur semua," katanya.

Manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, isu itu seumpama kiambang bertaut bagi merapatkan hubungan kepemimpinan PAS.

Apa perlu Abdullah terajui Mindef?

Muqadimmah: Pandangan Dato' A Kadir Jasin berhubung isu pertukaran suka sama suka portfolio kabinet antara Pak Lah dan Najib cukup menarik untuk disorot. Najib kini Menteri Kewangan 1 dan Pak Lah pula Menteri Pertahanan.

ANTARA bukti keakraban dua sahabat adalah apabila mereka saling tukar menukar. Tukar menukar kereta. Engkau pakai kereta aku, aku pakai kereta engkau. Tukar menukar pakaian. "Engkau pinjam baju aku, aku pinjam baju engkau."

Di sesetengah tempat dan dalam sesetengah masyarakat dan kumpulan, mereka memanifestasikan keakraban mereka dengan bertukar-tukar isteri atau suami - 'wife/husband swapping'.

Maka begitulah akrabnya perhubungan di antara Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Mohd Najib Abdul Razak apabila mereka (pada 17 September) saling tukar menukar kementerian.

Abdullah memberikan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib dan Mohd Najib menyerahkan Kementerian Pertahanan kepada Abdullah.

Perdana Menteri berkata ini adalah sebahagian daripada persetujuan peralihan kuasa di antara beliau dengan Mohd Najib.

Boleh jadi saya buta maklumat atau nyanyuk, tetapi tidak pula terbaca atau teringat bahawa tukar-menukar kementerian ini adalah antara syarat peralihan kuasa di antara Abdullah kepada Mohd Najib.

Tetapi tidak apalah. Saya rasa pemindahan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib adalah langkah yang baik di dalam suasana ekonomi negara yang terumbang-ambing dan ekonomi dunia diancam kemelesetan akibat krisis pembankan di Amerika Syarikat sekarang.

Saya sangat berharap Mohd Najib dapat memberi gambaran yang lebih jelas dan meyakinkan kita semua mengenai hala tuju ekonomi dan kewangan negara.

Seperti saya nyatakan terdahulu: "Hatta ahli ekonomi yang terbaik dan ahli perniagaan yang paling bijak pun tidak pasti arah tuju ekonomi negara sekarang".

Saya secara terus terang dan terbuka pernah menulis di dalam kolum Other Thots, majalah Malaysian Business bahawa Abdullah tidak patut memegang jawatan Menteri Kewangan terlalu lama kerana kementerian itu memerlukan penumpuan masa yang rapi dan kewibawaan yang tinggi.

Semua orang tahu bahawa ekonomi dan kewangan bukanlah 'forte' atau kepakaran Abdullah.

Jadi sangat eloklah pada ketika ekonomi negara dan dunia diancam krisis ini jawatan Menteri Kewangan dipindahkan kepada seorang yang lebih tahu.

Saya tidak mahu mempertikaikan pengambilan alih Kementerian Pertahanan oleh Abdullah selain mengatakan bahawa Abdullah mungkin berasa perlu ada sebuah kementerian di bawah jagaannya.Namun sudah pun ada orang yang bertanya apa perlunya Abdullah mengambil alih kementerian tentera.

Abdullah sekali lagi mengulangi yang dia tidak akan berundur sebelum 2010.

Ekonomi negara makin teruk, kepimpinan Pak Lah kian goyah

Pada 18 September lalu, indeks Komposit Bursa Malaysia menjunam ke bawah paras garis psikologi 1000 mata iaitu pada kedudukan 973. 35 mata, yakni penurunan sebanyak hampir 30 mata daripada mata selepas ditutup sehari sebelumnya.

Manakala kaunter-kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 458 berbanding cuma 47 kaunter untung sementara 100 lagi tidak berubah.

Di kebanyakan negara Asia, indeks-indeks merudum teruk, Kospi di Korea turun sebanyak 34.53 mata atau 2.42 peratus kepada 1,390.73, Nikkei Jepun 225 mata jatuh atau 2.81 peratus kepada 11,420.02 dan indeks Straits Times Singapura turun 3.21 peratus kepada 2,341.6.

Keseluruhan sentimen pasaran adalah lemah apabila pelabur masih bimbang dengan situasi politik tempatan yang tidak menentu dan krisis kewangan Amerika Syarikat(AS) ekoran keruntuhan bank pelaburan gergasi Lehman Brothers dan penurunan gred penarafan ke atas kumpulan insurans utama AS, American International Group.

Tindakan AS yang bertindak menyelamatkan American International Group Inc (AIG), iaitu tindakan menyelamat kali kedua dalam bulan ini bagi mengelakkan kegagalan syarikat insurans itu telah memberikan kesan kepada pasaran kewangan serta mengancam ekonomi negara itu yang sedia rapuh.

Pelabur asing juga terus melepaskan pegangan mereka dalam saham perladangan dan kewangan dengan kaunter utama dalam sektor ini mengalami kejatuhan menjunam.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zulkefli Ahmad berkata, keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai negara sasaran kini telah hilang.

"Ini ditambah dengan belanjawan negara yang dibentangkan Perdana Menteri pada 1 September lalu yang gagal memberikan rangsangan kepada sektor pelaburan," katanya kepada Harakah.

Indeks komposit katanya, yang diramalkan jatuh pada penghujung tahun ini telah mengalami situasi ini menjadi bukti kegagalan kerajaan menarik pelabur asing menanam modal di negara ini.

"Keadaan ini diperburukkan dengan keadaan politik negara yang tidak stabil dan hilang arah di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

"Ia seharusnya mendapat pemerhatian pemimpin negara," katanya lagi. Jelasnya, nilai matawang ringgit pula jatuh berbanding dolar Amerika sekaligus meletakkan 'rating' atau kedudukan negara ini semakin terancam yang semakin terancam.

"Ini diparahkan lagi apabila Belanjawan 2009 baru-baru ini tidak membantu mengecilkan 'rating' ini.

"Situasi sekarang ini lebih mencemaskan peniaga dengan kejatuhan nilai ringgit yang mengheret 'sovereign rating' menyebabkan bon menjadi lebih mahal," demikian katanya.
Hal ini ujarnya menyebabkan negara ini mengalami 'deep financial crisis'. Kesan daripada keadaan ekonomi kritikal ini katanya menyebabkan import negara menjadi mahal serta imbangan dagangan dan akaun semasa pula terjejas.

Keadaan ini katanya ditambah dengan pinjaman yang dibuat oleh Malaysia lebih mahal, menunjukkan ianya masih berada dalam krisis ekonomi yang sangat parah.

Beliau yang juga ahli parlimen Kuala Selangor berkata kesemua situasi ini boleh dipulihkan dengan perubahan kepimpinan negara tidak lama lagi.

Namun, ujarnya mereka (BN) tetap mahu menyalahkan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kononnya menjadi faktor penyebab ketidakstabilan ekonomi ini.

Bahkan, tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Barisan Nasional menyebabkan majoriti kerajaan BN di Parlimen telah menurun menjadi 54 apabila dua orang ahli parlimen SAPP akan ditempatkan di kerusi pembangkang.

Tuduhan Abdullah terhadap Anwar sebagai ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara telah ditolak mentah-mentah oleh rakyat kerana ia jelas merupakan satu 'escapisme' Abdullah terhadap kelemahan pemerintahannya yang kini cuba menyalahkan orang lain.

Pertukaran portfolio diantara Abdullah dan timbalannya Dato' Seri Najib tidak mampu untuk meyakinkan rakyat khususnya para pelabur setelah kemusnahan yang berlaku dan kelayakan Najib untuk mentadbir dan mengurus ekonomi negara juga diragui selepas beliau bercadang untuk menganugerahkan RM1juta kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik lalu, adalah satu bukti beliau tidak tahu menguruskan dana negara dengan baik tatkala ekonomi sedang berada di ambang kejatuhan.

Ramai pemerhati politik berpendapat bahawa pertukaran kerajaan nampaknya tidak berupaya untuk dielakkan apabila berlaku penghijrahan beramai-ramai ahli parlimen BN kepada Pakatan Rakyat kerana tidak yakin terhadap kepimpinan Abdullah-Najib.

'Api perkauman' produk lama BN pertahan serambi kuasa

Muqaddimah: Isu perpaduan antara kaum seolah-olah dilihat tergugat terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-12, yang akhirnya menyebabkan ada pihak cuba 'mencucuh api' bagi menyalakan kemarahan sesetengah pihak. Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar yang juga mangsa tahanan ISA ketika 'Operasi Lalang' 1987 cuba melihat isu ini dari perseptif terkini.

Secara umumnya apa pandanagn YB terhadap isu dan tahap perpaduan di negara ini?

Mahfuz: Bagi saya tahap perpaduan cukup baik di negara kita cuma ada kelompok tertentu yang cuba untuk mempolitikkan persoalan perkauman yang sempit ini dan akhirnya mengakibatkan terjejasnya persoalan perpaduan.
Namun saya melihat dari segi akar umbi rakyat secara keseluruhannya, memperlihatkan bahawa perhubungan antara kaum di negara kita tidak ada masalah.Sejak dahulu lagi sebenarnya tidak ada masalah tetapi oleh kerana ada sekelompok orang politik ini mereka menggunakan soal perkauman sempit dengan meletakkan kononnya ia kerana kepentingan agama dan bangsa yang sengaja diapi-apikan dan akhirnya ia menjadikan perpaduan itu dilihat seolah-olah goyah.
Sebenarnya dari segi realiti kehidupan rakyat, saya lihat tak ada masalah, mereka hidup dalam ketenangan, namun saya tetap bimbang mereka yang hidup dalam ketenangan ini apabila diusik emosinya ia akan menyebabkan dia dipengaruhi soal emosi dan sentimen yang akhirnya menjejaskan perpaduan.

Maknanya ada pihak yang sengaja mencetuskan isu ini untuk kepentingan politik?

Ia, benar.

Timbul isu kenyataan pedih Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail, hingga menyebabkan kemarahan Parti Gerakan dan MCA. Sejauh mana isu ini sebenarnya berlaku dan menggoncang perpaduan, atau ada muslihat di sebaliknya?

Saya melihat isu ini bukan isu Ahmad Ismail, beliau hanya pencetus yang keluarkan kata-kata sahaja.Sebenar isu ini bukan setakat ucapan Ahmad Ismail pada waktu itu, sebelum ini selepas pilihan raya sudah berkali-kali soal perkauman ini dibangkitkan dan cuba ditimbulkan oleh kelompok Umno sendiri, bila mereka hilang kuasa politik di lima negeri terutamanya di Perak dan Pulau Pinang, lalu mereka cuba timbulkan isu-isu yang menggambarkan ketakutan di kalangan Melayu seolah-olah Melayu sedang digigit oleh kaum lain, tetapi hakikatnya isu ini dibangkitkan hanya kerana kehilangan kuasa dan kepentingan politik sempit.
Adalah tidak adil apabila kita nak nyatakan bahawa kepentingan Melayu terhimpit tergugat kerana DAP menguasai Pulau Pinang atau DAP ada di Selangor dan Perak. Adalah tidak adil kesempitan hidup orang Melayu ini dieksploitasi yang sebenarnya telah berlaku dalam 50 tahun Umno, Perikatan dan akhirnya BN memerintah.
Jadi tidak wajar untuk kita nak membangkitkan perkara-perkara soal perkauman kononnya orang lain nak ganggu hak kita. Begitu juga dalam isu kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tentang UiTM.
Apa keperluan Umno buat perarakan di kalangan mahasiswa jika bukan hanya kerana kepentingan politik sempit mereka? Sedangkan Umno sendiri telah laksanakan hal demikian. Umpamanya 10 peratus kuota bukan Bumiputera kepada MRSM, Matrikulasi dan sebagainya.
Bagi saya isu Ahmad Ismail ialah hanya semata-mata nak menonjolkan bahawa Umno adalah hero Melayu tatkala kalah dalam Pilihan Raya Umum lalu.
Sebelum ini Umno sendiri ada cuba tonjolkan bahawa merekalah hero kepada bangsa Melayu selepas hilang kuasa. Dan hari ini baru kita lihat kononnya Umno berani maki bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Kohd Tsu Koon tetapi semasa waktu mereka (BN) pegang kerajaan Pulau Pinang Umno tak buat sesuatu pun untuk jaga kepentingan Melayu.
Ia tak lebih kerana ada segelintir kecil Ahmad Ismail, yang didalangi kelompok kepentingan Umno, Umno lah yang cetus isu ini untuk timbulkan kebimbangan di kalnagan Melayu, hakikatnya merekalah yang takut hilang kuasa lebih besar selepas hilang kuasa di lima buah negeri.

Menyentuh isu kehilangan kuasa, kita tengok Pakatan Rakyat cuba bentuk kerajaan baru. Pelbagai isu ditimbulkan kepada rakyat kononnya jika Pakatan Rakyat memerintah, dikatakan Melayu akan jadi boneka kepada Cina, apakah maknanya?

Ini hanya andaian dan usaha untuk gagalkan pembentukan kerajaan baru sekaligus untuk berikan talian hayat kuasa politik Umno-BN sedangkan rakyat di bawah ini amat terasa tertekan dengan kehidupan di bawah BN, untuk berikan perkhidmatan yang baik.
Ini satu andaian yang kita katakan bahawa perkara yang belum kita lihat terjadi tetapi nak dakwa Melayu jadi alat kepada Cina. Apakah selama ini Melayu Umno tak jadi alat kepada BN? Kalau kita nak ukur mengikut realiti, ukuran ialah dalam tempoh 50 tahun BN memerintah, apa yang Umno buat untuk kepentingan Melayu?
Bagi saya dan rakyat melihat apa yang tergambar kepada soal Melayu yang menunjukkan Melayu Umno ini sebenarnya menjadi televisyen kepada 'remote kontrol' yang dipegang oleh orang lain atau bangsa lain.
Dia hanya jadi televisyen dalam perkara-perkara tertentu, saya rasa tak wajar nak katakan bahawa jika berlaku perubahan kerajaan kepada Pakatan Rakyat, Melayu akan jadi alat kepentingan kepada kaum lain ini tak wajar.
Hal ini umpama sebelum kahwin kita dah dakwa wanita itu dah mandul sedangkan kita belum kahwin lagi dengan dia. Dalam keadaan hari ini Umno seolah-olah membayangkan kepada rakyat bahawa jangan ubah kerajaan sebab kalau ubah nanti kepentingan Melayu tergugat ini sebab mereka nak kuasa mereka diteruskan.

Mutakhir ini, timbul pula seakan campur tangan di kalangan pihak berkecuali seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam isu perpaduan ini, apa pandangan saudara?

Saya melihat sebelum ini belum pernah berlaku.Kenyataan Panglima Angkatan Tentera tiba-tiba muncul dalam suasana seperti ini timbul kenyataan ini. Sudah tentu dilihat semua pihak ada unsur-unsur untuk campuri urusan-urusan politik dalam negara.
Keduanya dilihat seolah-olah ada unsur-unsur untuk melibatkan tentera dalam konspirasi politik dalam negara ini untuk timbulkan keadaan yang resah. Isu Ahmad Ismail itu juga dilihat bila media memainkan perdebatan antara Ahmad Ismail, Koh Tsu Koon dan pemimpin MCA dan Umno negeri yang sokong Ahmad Ismail.
Ia dilihat seolah-olah ada satu agenda untuk menimbulkan satu krisis politik kaum dalam negara kita yang akhirnya boleh menyebabkan isu-isu pergaduhan itu mungkin boleh menjadi alasan kepada pihak tertentu dalam kemelut politik tak menentu ini dan dilihat ia adalah suasana yang baik untuk sebahagian agenda talian hayat Umno itu dapat dipanjangakan melalui pengambilalihan pihak tentera dan pengisytiharan mageran dan sebagainay.
Bagi saya dalam hal ini saya melihat tentera tidak sepatutnya diletakkan dalam percaturan politik yang amat sempit dan jijik oleh kepenatingan Umno BN.

Secara umumnya adakah saudara melihat isu perkauman ini benar-benar berlaku di kalangan rakyat atau ia berlaku dalam komponen BN sahaja?

Ia bukan rakyat yang berhadapan dengan masalah perpaduan kerana rakyat tidak ada masalah dengan soal perpaduan, hubungan antara kaum dan agama cukup baik dan sebelum ini rakyat boleh hidup dengan aman dan baik antara satu sama lain tanpa mempersoalkan hak perkauman.
Tetapi yang berhadapan dengan masalah ialah dalaman BN itu sendiri yang mana mereka antara satu sama lain bercakar soal kepentingan yang menyebabkan sebenarnya komponen BN itu yang tidak berpadu.
Dalaman BN itu sebenarnya berhadapan krisis keyakinan, Umno berhadapan krisis keyakinan Melayu, MCA gerakan pula berjadapan krisis keyakinan kaum Cina dan MIC pula hilang kepercayaan di kalangan India, akibat mereka hilang kepercayaan sokongan daripada masyarakat ini, dan inilah yang berlaku pada tahun 1987 yang mana menyebabkan saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Isu perkauman di waktu itu yang tertonjol antara Dato' Seri Najib Tun Razak dan Lee Kim Sai (MCA) lalu berlaku pertembungan dan perdebatan isu Melayu-Cina hingga akhirnya usaha Umno untuk mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur dengan bangkitkan semangat nak bakar rumah orang Cina, nak tumpahkan darah Cina.
Ketika itu Umno mengharapkan kembalinya sokongan orang Melayu ke atas mereka dan di pihak MCA pula mereka mengharapkan agar kembalinya sokongan orang Cina ke atas mereka. Dan akhirnya ketika itu memang ia berjaya.
Agenda itu tercapai dan akhirnya himpunan di Kuala Lumpur dibatalkan dan akhirnya pemimpin pembangkang seperti saya di 'kambing hitamkan' dan ditahan di bawah ISA sementara Najib dan Kim Sai diberi cuti rehat di Australia di waktu itu.

Adakah peristiwa tersebut mungkin berulang kembali?

Saya katakan tak mustahil jika rakyat berbilang kaum tidak ada kebijaksanaan dan akan berlaku sedemikian, sebab saya lihat selepas pilihan raya ada berlaku isu perkauman cukup kuat dimainkan oleh Umno terutama di negeri-negeri yang ditawan Pakatan Rakyat seperti Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
Namun saya melihat bahawa kematangan rakyat berada pada tahap yang cukup baik yang akhirnya tidak terpedaya dengan momokan perkauman yang cuba dijalankan Umno/BN berikutan hilangnya kuasa mereka.
Ia bergantung kepada soal emosional ini yang terlalu mudah untuk di bakar perasaannya itu, tetapi kalau kebijaksanaan mengatasi emosi kita, saya rasa Umno tak berjaya buat demikian.

Seruan kepada rakyat?

Saya harap orang Melayu Islam tidak terperangkap dengan isu perkauman ini, dan lebih-lebih lagi dalam kita menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadan ini yang mendidik kita jadi umat yang bertakwa dan seharusnya kita perlihatkan sifat yang lebih mula bersedia untuk berbincang dan berhubungan dengan semua kaum dan tak terpengaruh dengan agenda politik sempit BN.
Saya juga seru kaum-kaum lain supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang sentuh soal perpaduan seperti isu Islam dalam forum-forum yang bincang persoalan Islam yang gambarkan menggugat kepentingan Islam itu sendiri.Saya juga harap kalangan Pakatan Rakyat juga semuanya kena lihat agenda negara kita, masa depan perpaduan negara ini untuk memastikan agenda kita berjaya.
Harapan rakyat dalam situasi terdekat ini ialah mahu melihat kerajaan Umno-BN ini jatuh oleh kerana kegagalan mereka mentadbir negara dari semua aspek, justeru saya harapkan tidak ada pihak yang memberi perspektif negatif terjadap usaha Pakatan Rakyat ini untuk membentuk kerajaan baru yang sebenarnya dimahukan rakyat itu sendiri sebab kita nbak pastikan kembalikan persoalan perpaduan mantap dan tidak lagi menggunakan kepentinagn politik sempit dan perkauman yang akhirnya meghancurkan tamadun negara.