TOKOH bahasa, Prof. Emeritus Dato' Abu Bakar Abdul Hamid berpendapat terdapat bahasa istana yang digunakan zaman berzaman bagi rakyat menyampaikan pandangannya yang berlainan atau bertentangan dengan titah Sultan.
Beliau menjelaskan terdapat teks Melayu lama yang boleh dijadikan rujukan bagi kekeliruan yang timbul terutama isu 'sembah derhaka' yang diperkatakan umum sejak krisis politik di Perak.
Abu Bakar memetik kisah yang berkaitan daripada dua contoh epik Melayu agung, Hikayat Hang Tuah.
"Setelah istana di Melaka siap dibina, maka raja Melaka pun pindahlah dari Bintan ke Melaka. Adapun Bintan diserahkan kepada adindanya, Sang Jaya Nantaka, bergelar Raja Muda. Tidak lama kemudian Raja Muda telah difitnahkan membuat hubungan baik dengan orang-orang jahat. Raja Melaka murka dan meminta Hang Tuah 'membuangkan', (maksudnya membunuh) Raja Muda.
"Bagaimanapun, Hang Tuah tidak mahu melakukan itu kerana dia sudah bersumpah untuk bersetia dengan tidak berbelah bagi kepada keturunan Bukit Seguntang. Katanya, Ya Tuanku Shah Alam, patik Tuanku melalui titah Tuanku yang maha mulia itu derhakalah. Patik mohonkan ampun dan kurnia di Bawah Duli Yang Dipertuan; yang nama patik mendatangkan tangan patik ke anak cucu raja di Bukit Seguntang mohonlah patik," katanya sebagai memetik contoh daripada Hikayat Hang Tuah.
Abu Bakar menjelaskan, daripada kisah tersebut, Hang Tuah mengatakan beliau tidak bersetuju dengan arahan Baginda Sultan dengan memberikan sebabnya.
"Kalau dengan itu Sultan nak tuduh beliau ‘menderhaka’, beliau dengan segala rendah hati menerimanya. Itulah cara klasik rakyat berbicara di hadapan rajanya apabila tidak bersetuju dengan titah raja. Ini ucapan Hang Tuah sebagai pegawai istana yang setia dan ini tidak sekali-kali bermakna beliau telah menderhaka atau memohon untuk menderhaka.
"Dalam hal ini, bukan saja Hang Tuah tetapi Bendahara dan Temenggung juga tidak bersetuju dengan perintah Sultan itu. Mereka juga menyatakan pandangan mereka dan memberikan alasan berikut: ‘Seolah-olah derhakalah patik ke bawah duli ayahenda.’ Ini bukan bermakna mereka menderhaka. Mereka hanya menggunakan bahasa istana yang halus seperti lazimnya pada zaman itu untuk menyatakan bantahan mereka," katanya.
Selain itu, Abu Bakar turut memberi contoh sebagaimana yang terdapat dalam epik Melayu apabila Patih Kerma Wijaya memfitnahkan Hang Tuah bermukah dengan gundik raja, beliau memulakan ucapannya dengan menyatakan "Ya Tuanku Shah Alam, sembah patik ini sembah derhaka."
"Beliau berbuat demikian kerana mahu menyatakan sesuatu yang dirasakannya tidak berkenan di hati raja kerana Hang Tuah itu pegawai kesayangan raja. Inilah kehalusan bahasa istana," tegas Abu Bakar.
Sehubungan itu beliau berpendapat nasihat dua orang calon Naib Presiden Umno baru-baru ini agar Menteri Besar Perak yang sah, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya jangan menggunakan ungkapan "sembah derhaka" serta mencadangkan frasa lain seperti "mohon menyampaikan pandangan yang berlainan" itu tidak berdasarkan adat raja-raja Melayu.
"Dalam hal ini ternyata yang dinasihati lebih tahunya daripada yang menasihati. Ternyata dalam pergolakan politik yang berlaku di Perak sekarang ini, aspek penggunaan bahasa yang tepat memainkan peranan yang utama. Ternyata pemimpin kanan kita juga tidak lagi arif dengan bahasa Melayu halus," ujarnya.
Berdasarkan isu tersebut, beliau melahirkan kekesalan sekiranya PPSMI dilaksanakan sepenuhnya sehingga ke peringkat pengajian tinggi, bahasa Melayu tidak akan lagi menjadi bahasa ilmu dan budaya tinggi.
"Padahnya nanti lebih ramai yang tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu yang halus dan canggih," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan