Lazimnya parti yang memerintah memimpin dan mendahului. Baik dari segi populariti, insiatif dalam soal polisi dan macam-macam lagi. Ini lumrah dan wajar kerana parti pemerintah memegang mandat dari rakyat dan ia berada di situ kerana kualiti kepemimpinan dan polisi-polisi yang dikemukakannya. Bagaimanapun parti yang memerintah negara ini, Umno, berada di dalam keadaan yang sebaliknya. Setahun dua ini Umno jelas mengikut gerak dan lenggok pembangkang yang kini diterajui oleh Pakatan Rakyat.
Sebagai contoh meskipun saban hari Umno dan media miliknya berusaha keras untuk menghitamkan Bersih 3.0 yang berjaya dan popular itu parti itu kemudiannya cuba melakukan hal yang sama melalui Himpunan 2 juta belia yang akhirnya terpalit dengan kemalangan ngeri itu. Apa pun selepas itu, PAS berjaya menghimpunkan lebih 100,000 orang penyokong di Alor Setar. Berbeza dengan himpunan anak muda yang dianjurkan oleh Umno itu PAS berjaya menganjurkan perhimpunan yang tertib: tanpa kehadiran artis-artis luar negara yang dibayar puluhan ribu ringgit.
Satu lagi contoh betapa Umno bermain mengikut rentak pembangkang ialah pemberian BRIM sebanyak RM500; sesuatu yang jelas merupakan reaksi parti itu kepada pemberian-pemberian tunai di Pulau Pinang dan Selangor. Malangnya manakala kedua-dua negeri Pakatan itu mengadakan pemberian melalui lebihan kerajaan pusat berbuat demikian melalui hutang. Apa tidaknya. Ketika ini hutang negara mencecah tahap paling tinggi sejak merdeka.
Sesuai dengan rasmi orang meniru Umno tidak faham erti dan makna pemberian itu. Manakala di Pulau Pinang dan Selangor pemberian itu dibuat atas rasa terima kasih dan tanggung jawab Umno, sebagaimana yang biasa mereka lalukan, mengungkit dan menghina rakyat dengan pemberian itu - seolah-olah wang itu datang dari poket para pemimpin Umno. Itulah sebenarnya mentality dan falsafah disebalik seranah "haram jadah" yang dihamburkan oleh Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Parti yang sentiasa menang pilihan raya sejak Pilihan Raya Umum pertama 1955 itu jelas tertekan dan mati kutu. Dan kini kelihatan bersendirian kerana komponen-komponen dalam Barisan Nasional, termasuk sekutu asal MCA dan MIC sudah tidak begitu kelihatan lagi. Begitu juga dengan Gerakan yang terus sayup dalam persada politik negara. Ini kian parah dengan dapatan terbaru Merdeka Centre yang merumuskan bahawa populariti Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib turun, terutamanya di kalangan masyarakat Cina yang mencatatkan penurunan hampir 20 peratus.
Hanya di kalangan pengundi Melayu sahaja Najib memperlihatkan kenaikan sokongan. Itu pun hanya sekitar 5 peratus sahaja. Dari satu sudut fenomena mati kutu dan terikut-ikut dengan rentak pembangkang itu membangkitkan persoalan apakah Umno benar-benar memegang mandat yang sah. Mengimbas penipuan dan kepincangan pilihan raya yang berlaku di negara ini persoalan sukar untuk dielak. Bahkan ia sentiasa berlegar di benak kita.
Tatkala debat semakin menjadi kayu ukur yang membantu rakyat membuat keputusan – termasuk di United Kingdom yang mengamalkan sistem yang sama dengan kita – para pemimpin Umno terus enggan berbuat demikian. Tetapi kengganan – yang sebenarnya lebih merupakan ketakutan itu - bukan perkara baru. Kita masih ingat bagaimana debat dengan PAS – yang Umno sendiri cadangkan pada 1984 – akhirnya dibatalkan. Dasar-dasar penting negara tidak pernah dibahaskan di parlimen. Sebab itu rakyat keliru dan tidak tahu asal usul serta rasional dasar-dasar berkenaan. Sebab itu jugalah dasar-dasar dan keutamaan Umno akhirnya mengatasi undang-undang termasuk perlembagaan.
Sebab itu kita terperangkap dengan wacana Dasar Ekonomi Baru yang pada hakikatnya ialah dasar parti dan bukan undang-undang negara. Ini menyebabkan kritikan dan persoalan terhadap dasar itu dianggap pengkhianatan kepada bangsa dan negara. Ramai yang tidak sedar bahawa DEB hanyalah dasar atau lebih tepat lagi tafsiran Umno – yang belum tentu betul dan tepat – ke atas semangat dan kehendak Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang asasnya berakar kepada fasal tertentu di bawah Perjanjian Tanah Melayu 1948.
Sehingga kini dasar-dasar negara – dari Wawasan 2020 hingga kepada Transformasi Najib - dikemukan di luar parlimen. Perkara ini sebenarnya mendedahkan kepada kita satu perkara lain yang lebih serius; yakni perspektif Umno terhadap parlimen. Dan isu ini lebih penting dan lebih mendasar dari fenomena mati kutu dan takut berdebat di pihak Umno. Dan isu ini sebenarnya sudah cukup untuk mempertikaikan landasan moral bagi Umno untuk terus memerintah.
>>> Komentar Dr Abdul Aziz Bari. Beliau ialah mantan Profesor Undang-undang di UIAM dan calon PKR Parlimen Sabak Bernam PRU-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan