Dewan Muslimat PAS Pusat tidak teragak-agak akan menyaman penulis blog penaksj.wordpress.com yang memfitnah bekas calon PAS bagi PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Normala Sudirman kononnya mahu menyertai Umno dan mengaitkan dengan PAS Johor. Ketuanya, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya penulis blog berkenaan tidak memohon maaf di atas fitnah tersebut.
"Mereka mengada-ngadakan cerita adanya di kalangan pemimpin PAS yang berniat untuk menyertai Umno. Kami nafikan apa yang ditulis dan kini disebarluas di kalangan blogger. Sekiranya penulis itu tidak menghentikan perbuatannya, bersandarkan bukti yang kukuh, kita akan ambil tindakan saman ke atas dia," kata Zailah pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pada 22 Jun lalu.
Sementara itu, Normala yang turut serta dalam sidang media itu, menyifatkan kenyataan penulis blog berkenaan yang mengatakan beliau kecewa dengan PAS dan membuat keputusan untuk masuk Umno adalah keterlaluan. Beliau tidak pernah berniat untuk masuk Umno. Dia berjuang dalam PAS untuk mencari keredaan Allah. Selaku pimpinan muslimat dan isteri, Normala mahu tegaskan beliau dapat sokongan padu daripada suami, keluarga dan jemaah untuk berjuang dalam PAS, katanya. Blog penaksj.wordpress.com yang dipercayai dimiliki oleh penulis blog Umno itu turut mendakwa Normala mengalami masalah kewangan serta masalah tuntutan janji kebajikan yang kononnya pernah dijanjikan PAS kepada beliau, jika kalah dalam PRK Dun Tenang pada 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan