KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Jun 30, 2012

Projek NCO Fasa 1A ATM RM140 juta kepada Sapura tidak telus - Nurul Izzah Anwar


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan telus berhubung projek pembangunan Network Centric Operations (NCO) Fasa 1A Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bernilai RM140 juta yang tertunda dan tidak mengikut spesifikasi oleh Sapura Secured Technologies Sdn Bhd (Sapura).  "Daripada maklumat terkini yang saya dapati, Sapura telah lewat dalam menyiapkan kerja-kerja berkait dengan program NCO ATM Fasa 1A. Khususnya Timeline Detail User Requirements (DUR) yang sepatutnya bermula pada 22 Oktober hingga 21 Mac 2012, tertunda kerana Sapura menggunakan alasan hanya boleh dilaksanakan selepas mereka mendapat bayaran pendahuluan, dan pada masa sama Sapura lebih banyak meluang masa dalam persiapan Lima ‘11, hingga menyebabkan aktiviti DUR kurang diberi perhatian," jelasnya dalam kenyataan.

Projek pembangunan NCO dianugerahkan secara tender terus kepada Sapura untuk pembangunan berfasa dari RMK-10 hingga RMK-13 iaitu dalam tempoh 20 tahun. Kos projek itu bagi tempoh dua tahun sahaja menelan belanja sebanyak RM140 juta. Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Haji Abdul Latiff menjelaskan, sistem NCO bukan sahaja merangkaikan markas, pasukan ATM, malahan membantu perkongsian maklumat dan aset bergerak.

Menurut Izzah, enjin aplikasi yang didakwa dipunyai Sapura sebenarnya tiada dalam pegangan mereka kerana gagal menunjukkan contoh aplikasi yang disimulasi menggunakan enjin aplikasi yang dikenal pasti. "Selain itu, peletakan jawatan oleh tiga bekas ketua jurutera perisian Sapura dalam tempoh setahun, daripada Mei 2011 hingga Februari 2012 turut merumitkan keadaan," katanya.

Ekoran itu, Izzah mengajukan beberapa soalan kepada kerajan antaranya:
1. Adakah kerajaan akan menghormati saranan dan kritikan ATM?
2. Adakah kerajaan akan menamatkan kontrak dengan Sapura kerana gagal menyiapkan kerja seperti yang dipersetujui dalam fasa 1A, dan membuat bidaan baru melalui tender terbuka untuk program NCO?
3. Adakah pemilihan dan pembelian aset pertahanan selari dengan Dasar Pertahanan Nasional seperti yang berlaku sebelum ini apabila kereta kebal ringan dipasang sistem meriam yang tidak sesuai dan pesawat pejuang yang pincang sistem senjata.
4. Adakah kerajaan sedia membuat satu Audit Pertahanan melibatkan pihak pembangkang sebagai wakil rakyat di mana maklumat audit boleh dirahsiakan?
5. Adakah kerajaan bersedia melaksanakan reformasi Parlimen dengan memperkenalkan sebuah Jawatankuasa Tetap Parlimen untuk perolehan pertahanan negara supaya segala kepincangan dan pemberian kontrak kepada syarikat yang sub-standard dielakkan?

Justeru, Izzah menggesa kerajaan memandang serius perkara yang melibatkan keselamatan negara di mana segala pertanyaan dan maklum balas mesti diambil kira demi mempertahan kedaulatan negara. "Kita semua tidak mahu sebarang program yang bakal menelan lebih RM1 bilion tersadai dan menanggung perbelanjaan berlebihan akibat ketidakcekapan dan kerja-kerja sub-standard," katanya lagi.

Tiada ulasan: