Tiada pegawal peribadi, memakai hanya satu kereta rasmi, mendiami rumah sendiri dan memakai perabot yang tidak ditukar selama 20 tahun. Ini antara langkah yang diambil Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi menerapkan amalan hidup sederhana bagi memerangi rasuah selama lebih 20 tahun beliau mentadbir Kelantan.
"Selain mengamalkan cara yang dianjurkan Islam, kecekapan menguruskan wang juga penting demi memastikan setiap perbelanjaan itu tidak sia-sia. Wang rakyat mestilah dibelanjakan secara berhemah dan perbelanjaan perlu dilakukan secara berjimat-cermat tetapi tidak sampai dilihat seperti kedekut," TG Nik Aziz berkata ketika mengulas langkah-langkah yang beliau amalkan sehingga Kelantan dinobatkan sebagai bebas rasuah.
Beliau berkata demikian di dalam satu sidang media sejurus selesai ucaptama Wacana Buku Rasuah yang diadakan di Dewan Jubli Perak, bangunan SUK pagi 26 Jun lalu. Dalam sidang media yang sama, beliau yang juga Mursyidul Am PAS mengkritik amalan demokrasi Malaysia yang dilihat tidak adil.
"Contohnya dalam isu royalti minyak di Kelantan, walaupun Tuanku Sultan Kelantan sendiri sudah titahkan dalam Dewan Undangan Negeri namun perkara itu langsung tidak diperdulikan Kerajaan Pusat. Sehingga kini, rakyat Kelantan tidak merasa walau seringgit pun hasil minyak yang diambil dari Kelantan," luahnya dengan kecewa.
Sementara itu, Exco Negeri, Dr. Halimah Ali menjelaskan program hari ini diadakan khusus untuk berkongsi pengalaman dan kecemerlangan Negeri Kelantan sebagai sebuah negeri Kerajaan Pakatan yang bebas rasuah. "Kita ingin memastikan bahawa negeri-negeri Pakatan bebas rasuah dan kita serius bekerja untuk menghapuskan gejala tidak sihat ini di negeri Selangor pula." Beliau berkata Kerajaan Selangor memperuntukkan RM 15 juta di bawah Geran Selangorku untuk diberi sebagai insentif kepada rakyat bagi membantu memerangi rasuah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan