Pembelian kapal selam kelas Scorpene dengan DCNS Perancis dan Sepanyol Navantia untuk perolehan dua buah kapal selam, hingga menimbulkan dakwaan mengatakan ada pihak tertetu yang mendapat komisen bernilai RM540 juta, kini menghantui Umno dan Presidennya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Apa tidaknya, kisah ini berlarutan kerana ia juga dikaitkan dengan "penulis ucapan" Perdana Menteri, Abd Razak Baginda, hinggalah berlaku pembunuhan seorang wanita Mongolia, Attantuya Shaariibuu yang penuh misteri, kerana pendedahan ini bermula dari Kedutaan Mongolia di Thailand, yang menghubungi polis Bukit Aman.
Keputusan pembelian kapal selam ini berlaku dalam tahun 2002. Di Malaysia, syarikat yang dikatakan mendapat peluang menjadi agen kepada Kementerian Pertahanan ialah Perimekar Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Abd Razak. Kemudiannya beberapa bukti yang menunjukkan Abd Razak memang mengenali Altantuya yang memainkan peranan sebagai jurubahasa, menyebabkan kematiannya dikaitkan dengan ramai orang yang berprofil tinggi.
Hari ini, rakyat yang terdedah dengan pelbagai maklumat hairan mengapa Najib mendiamkan diri dari mengulas dakwaan yang mengatakan beliau terbabit secara langsung dalam menerima komisen pembelian kapal selam ini. Malahan, tindakan Imigresen Malaysia yang mengusir Peguam Bourdon yang mengendalikan kes Scopene juga menimbulkan tanda-tanya. Apakah sebenarnya yang hendak disembunyikan dan selagi kes ini tidak diselesaikan, selagi itulah tertanam di benak rakyat bahawa memang apa yang didakwa itu benar-benar berlaku.
Sebenarnya, rakyat Malaysia memang terbeban dengan pelbagai dakwaan penyelewengan. Bukan sahaja kes Scorpene, malahan banyak lagi kes-kes lain yang cukup memalukan. Bayangkan, betapa rendahnya pandangan negara asing dengan Malaysia kerana "cerita komisen dan rasuah" ini? Setahun yang lalu, laman web Peranhis, Rue89 mendedahkan syarikat Perancis, Armaris tidak membayar Perimekar Sdn Bhd sebanyak RM493 juta sebagaimana didakwa tetapi ia sebenarnya dibayar oleh kerajaan Malaysia sendiri. Najib sebagai Menteri Pertahanan ketika pembelian kapal selam ini jangan terus berdiam diri. Kesannya amat besar. Bukan sahaja kepada Najib sendiri, malahan, kesannya kepada Umno dan barisan Nasional (BN).
Jangan Najib cuba membebankan Umno dan BN dengan cerita-cerita seperti ini kerana Umno dan BN sudah terlalu banyak terbeban dengan pelbagai skandal. Beberapa menteri yang sedang dihadapkan ke mahkamah kerana dakwaan penipuan sepatutnya menyebabkan Najib juga tidak boleh terlepas begitu sahaja. Walaupun Najib tidak boleh dikatakan bersalah selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman bersalah, tetapi isu ini tidak boleh didiamkan begitu sahaja. RM540 juta amat besar jumlahnya dan jika Najib tidak bersalah, kenapa harus takut untuk menyelesaikan kes ini di Mahkamah Pengadilan Tinggi Perancis.
Ia bukan isu peribadi tetapi isu negara. Ia bukan duit peribadi tetapi duit negara. Siapa yang mendapat komisen pembelian kapal selam yang suatu ketika dahulu tidak boleh menyelam itu perlu diketahui umum kerana ia melibatkan kepentingan awam. Tulisan ini tidak langsung menyentuh kes yang melibatkan dua anggota UTK Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar kerana mereka sudah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Apa yang dibincangkan ialah, begitu mudah sesebuah syarikat di Malaysia yang mempunyai hubungan baik dengan menteri, boleh mendapat projek dan menelan komisen yang bukan sedikit.
Apabila ada rakyat mengaku susah, bukan main banyak karenah dan birokrasi yang patut ditempuh, hanya untuk mendapatkan seratus dua sebagai bantuan. Ketika BN dan Umno buat persiapan untuk menghadapi PRU-13, rakyat terus digula-gulakan dengan BR1M dan bantuan seratus dua bagi anak-anak di bangku sekolah, tetapi mereka yang berada di puncak kuasa, sehari semalam, mereka boleh mengaut komisen ratusan juta. Tidak ada apa yang Najib harus takutkan jika beliau tidak terlibat dengan pemberian dan penermaan komisen ini.
Bak kata orang, berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau Najib sebagai bekas Menteri Pertahanan tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam isu pembelian Scorpene ini, apa yang hendak dibimbangkan. Apa yang hendak ditakutkan. Jika perlu, Perdana Menteri ketika itu, juga kena tampil memberi penerangan. Janganlah mendiamkan diri kerana sampai bila-bila isu ini akan menghantui mereka yang berkuasa ketika itu. Mereka semua tidak boleh melarikan diri dari dakwaan makan komisen ini kerana jumlah yang sebesar itu tidak mungkin boleh disembunyikan di bawah tudung saji.
Isu Scorpene ini sebenarnya ibarat bangkai gajah yang mahu disembunyikan. Bukan sahaja objeknya tidak boleh disembunyikan, malahan baunya juga tidak mungkin dapat disekat dari dihidu oleh semua orang. Hari ini, mereka yang terlibat mungkin boleh selamat, tetapi lambat laun ia akan terdedah juga. Maka, apa yang hendak Umno dan BN jelaskan kepada rakyat jika isu ini ditimbulkan dalam PRU-13 akan datang? Kehilangan penyiasat persendirian P Basuramaniam selepas membuat pengakuan bersumpah juga menimbulkan pelbagai andaian. Jadi, isu ini sebenarnya memakan banyak korban, selain Altantunya dan mungkin Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, kerana secara tidak langsung, ia juga turut menyebabkan ada yang kehilangan ibu, ada yang hilang anak, ada yang hilang tunang dan ada juga yang hilang maruah.
>>> Komentar Safar Jumaat, penulis bebas, penganalisis isu semasa tanahair.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan