Pakatan Rakyat yakin akan memperoleh sekurang-kurangnya 105 kerusi Parlimen dengan selesa, dan boleh menambah tujuh lagi kerusi untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan peringkat Persekutuan pada PRU-13. Pengarah Strategi KeADILan, Mohd Rafizi Ramli berkata, pihaknya meletakkan keyakinan itu berdasarkan perkembangan demografi dan sokongan pengundi termasuk di Johor, Sabah dan Sarawak.
"Ini bukan lagi harapan, tetapi keyakinan. Kami yakin boleh memperoleh 105 kerusi selepas menolak beberapa kerusi, kemungkinan tiga hingga empat kerusi yang kami miliki sekarang boleh kalah, tetapi kami akan menang di tempat-tempat lain. Pada pilihan raya umum 2008, kami (Pakatan) menang 82 kerusi. Status quo jumlah kerusi 2008 akan kekal, selepas tolak dan tambah kerusi yang akan dimenangi dan kemungkinan kalah, kami yakin akan memperoleh kerusi tambahan di Johor, Sabah dan Sarawak," kata beliau seperti dilaporkan Sinar Harian.
Secara purata, katanya, Rafizi berkata, Pakatan boleh memperoleh 24 kerusi, masing-masing lapan dari Johor, Sabah dan Sarawak. "Di Johor, daripada 26 kerusi Parlimen, sebanyak 18 kerusi berada dalam bahaya, kesemua kerusi-kerusi yang mempunyai pengundi campuran," kata beliau. "Kalau tengok keadaan 'mood', saya yakin kami boleh mendapat lapan kerusi di Johor. Begitu juga di Sarawak, dengan mengambil kira perkembangan politik dan prestasi pilihan raya negeri tahun lalu, kami boleh memperoleh tambahan lapan kerusi Parlimen dan begitu juga di Sabah," katanya lagi.
Rafizi melahirkan keyakinan itu khususnya di kawasan-kawasan majoriti bukan Muslim di Sabah dan Sarawak. Pada PRU-12, Pakatan yang terdiri daripada DAP, KeADILan dan PAS, pembangkang menang satu kerusi Parlimen dan 25 oleh BN. Di Sabah dan Sarawak, yang masing-masing menawarkan 25 dan 31 kerusi, BN memperoleh 54 kerusi. "Kira-kira 100 daripada 140 kerusi dimenangi BN empat tahun lalu datang dari tiga negeri ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan