KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 12, 2008

Chua Soi Lik Mangsa Jawatan Timbalan Perdana Menteri II?

Ada kemungkinan, Chua menjadi mangsa konspirasi dalaman MCA ekoran isu TMP II selepas pilihanraya ke 12 nanti!

By TARMIZI MOHD JAM

ADA sesuatu yang menarik dari sembang-sembang tengah malam tadi di Restoran Taqwa, Taman Melewar, tidak jauh dari Markaz PAS Pusat.

Selepas menghadiri Taklimat JPN kepada JPPP di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, lazimnya kami bertandang sekejap di restoran ini untuk bertukar oksigen dan menyental sekeping roti canai.

Selepas Ketua Penerangan, Cikgu Azharuddin Husein dan Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Mohd Nazir Zakaria beredar, tinggallah saya, Cikgu Ishak Surin (Pengarah JPN), Haji Ismail Yahya (Bendahari JPN) dan Haji Azmi Johari (YDP Bukit Bintang) meneruskan garapan hasil pertemuan JPN dengan JPPP sebentar tadi.

Tiba-tiba muncul YB Salahuddin Ayub ke meja kami. Macam biasa, dia order nescafe tarik dan sekeping roti canai. Baru balik dari ceramah, katanya.

Ringkaskan cerita, bicara makin panas dengan isu "Skandal DVD Lucah Chua Soi Lek". Jam menunjukkan pukul 2.15 pagi.

Bicara terus rancak. Cikgu Ishak bertegas mengatakan, walaupun Chua letak jawatan, dia tetap tidak bermoral. Orang Cina bukan setuju dengan perempuan simpanan atau gundik walaupun amalan itu wujud.

Haji Ismail melontar dakwaan, mungkin Chua diperangkap oleh mana-mana ahli perniagaan yang gagal mendapatkan bisnes dari beliau.

Ia dibantah oleh Haji Azmi yang menyifatkan "girl friend" Chua itu adalah "hadiah bisnes". Sudah tentulah bisnes telah diperolehi kepada seseorang.

Dalam kerancakan itu, YB Salehuddin mengandaikan Chua sebagai mangsa politiking dalaman MCA.

Saya menyiyakan kerana sudah ada desas-desus bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri II akan diwujudkan selepas pilihan raya ke 12 ini.

Salahuddin setuju. Jawatan itu untuk MCA. Jadi siapa yang bakal menjadi TPM II tersebut jika ia menjadi kenyataan? Tentulah Ong Ka Ting, tegas saya!

"Jadi, apa kaitannya dengan Chua?" saya bertanya. Haji Azmi melihat Chua sebagai ancaman kepada Ong dan Tan Chan Koy, Timbalan Presiden.

"Eh! Bukankah Chua kroni Lim Liong Sik dulu. Maknanya, kroni Ong lah juga..." celah Haji Ismail. Cikgu Ishak kelihatan setuju. Saya juga sedikit keliru.

Salahuddin mengiyakannya tapi itu dulu. Sekarang, katanya, Chua dilihat sebagai ancaman dan ahli-ahli MCA semua peringkat cukup berkenan dengan Chua yang bersahaja dan ramah.

Kata Salahudin lagi, beliau sendiripun tidak tergamak nak menyindir atau mengherdik Chua dalam Parlimen. Selain serius dengan kerja, agak sukar untuk melihat kesalahannya termasuk dalam isu rasuah.

Kelebihan Chua, ikut penelitiannya dan diakui oleh rakan-rakan Cina yang lain, ialah kepekaannya terhadap sekolah Cina.

Kalau Chua ada urusan rasmi ke mana-mana di sesuatu tempat, dipastikannya "turun padang" ke sekolah Cina yang terdekat, dengan tempat urusan rasminya untuk bertanya khabar.

Ini cukup menyentuh hati orang-orang Cina.

Oleh kerana Chua diterima semua ahli MCA, maka ungkapan Chua "kerana dia bekerja keras, penuh dedikasi" telah menyebabkan dia terhumban ke kancah "DVD Lucah" dan seterusnya fail politiknya terbakar dalam sekelip mata.

Namun, masing-masing kami tertanya-tanya, angkara siapakah dan kenapakah Chua harus dijerat?

Salahuddin setuju, kemungkinan besar Chua ada masalah dengan Ong Ka Ting. Dia ada mendengar beberapa sumber mendakwa demkian. Tetapi, tak tahu atas isu apa. Yang jelas isu-isu dalaman MCA.

Pihak polis setakat ini tidak mendalami siasatan hingga kepada isu konspirasi. Sebaliknya hanya memburu perakam dan pengedar DVD Lucah itu sahaja.

Akhirnya, mata kami mula mengantuk. Berkuap dah berkali-kali. Kami meninggalkan Restoran Taqwa jam 3.40 pagi dan terus pulang.

Tiada ulasan: