KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 31, 2008

PROF Dr ABDUL AZIZ BARI Jawab SANGGAHAN Zulhasmi Tentang ISU MAJISTRET!


By PROF DR ABDUL AZIZ BARI (UIAM)

KEBIASAANNYA saya tidak melayan tanggapan seperti itu tetapi oleh kerana ia telah dipetik oleh Malaysia-Today dan mungkin ramai yang telah membacanya maka saya terpaksa memberi respon kepada Sdr Zulhasmi yang menyanggah saya dalam Harakahdaily.

Saya berasa hairan kenapa Sdr Zulhasmi kelihatan marah dengan komen saya itu.

Apa pun sebabnya saya ingin menyatakan sebenarnya kalau nak sebut 'salah' atau 'gagal memahami' sesuatu itu berlaku kepada semua orang.

Sebab itu semua sistem mahkamah di dunia ini mempunyai mahkamah rayuan.

Ini diwujudkan kerana semua orang tahu bahawa siapa saja boleh terlepas pandang dan melakukan kesilapan.

Berapa ramai hakim mahkamah yang telah melakukan kesilapan yang kemudian menyebabkan hakim-hakim yang lain terikat dengan keputusan mereka?

Saya tak pasti Sdr Zulhasmi sedar akan kenyataan ini atau tidak.

Saya tetap mengatakan bahawa majisteret berkenaan tersalah memahami perlembagaan; khususnya kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara yang harus mengemudi undang-undang lain dan bukan sebaliknya.

Hatta kalau benar ada tekanan sekalipun apabila majisteret berkenaan mengeluarkan perintah sebagaimana yang dipohon oleh polis itu maka dia telah mengizinkan dirinya membuat satu keputusan yang tidak selaras dengan perlembagaan.

Dan kalau dia sedar bahawa keputusan itu bertentangan dengan kehendak perlembagaan maka itu lebih besar salahnya.

Bagi saya sesiapa yang diamanahkan menjadi hakim - baik majisteret, hakim mahkamah tinggi dan seterusnya - perlu berani. Dan mereka perlu tahu bahawa undang-undang melindungi mereka.

Sdr Zulhasmi seakan-akan cuba menyalahkan saya kerana saya gagal mendidik mereka. Saya ingin mengingatkan beliau bahawa saya mengajar manusia; saya bukan membuat barang atau mencipta mesin yang tidak akan berubah dan berkembang selama-lamanya.

Saya yakin semua pelajar saya matang dan mempunyai otak yang baik dan terpulang kepada mereka untuk menggunakan anugerah Allah s.w.t. itu sebaik-baiknya.

Mungkin elok jika Sdr Zulhasmi sendiri mengajar dan lihat sendiri prosesnya.

Saya ingin menyatakan bahawa manusia ini mempunyai potensi untuk berubah; sama ada makin baik atau makin buruk. Ada kalanya seorang pelajar yang begitu baik ketika belajar dengan tiba-tiba berubah setelah bekerja dan terpesona dengan godaan pangkat dan kebendaan.

Sdr Zulhasmi perlu sedar bahawa universiti hanya mengajar yang pokok; universiti tidak menyuap segala-galanya.

Saya fikir sesiapa yang sentiasa belajar dan rendah diri ia tidak akan tersesat dan melakukan kesilapan yang besar.

Pada saya kalau ada kelemahan dan kekurangan dengan graduan di luar sana, itu bukan salah universiti semata-mata. Individu berkenaan dan keseluruhan sistem kita perlu dipersoalkan sama.

Saya tak fikir Sdr Zulhasmi adil dalam menyuruh saya menulis untuk memberi penjelasan. Saya rasa saya sudah cukup banyak menulis dan terpulanglah kepada beliau untuk mencari mana-mana yang sesuai untuk menjelaskan ketidakfahaman dan kekeliruan beliau.

Saya sendiri banyak tugasan lain dan sebenarnya ramai lagi ahli akademik dan pengamal undang-undang (khususnya yang belum menghasilkan apa-apa tulisan) yang seharusnya diseru sama.

Saya tidak pernah mendakwa yang sayalah satu-satunya hamba Allah di negara ini yang ditugaskan untuk itu. Saya sekadar menyumbang mengikut kemampuan saya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

SCOREA elearning business

sertai scorea business untuk menbantu pelajar mencapai kecemerlangan sambil menjana pendapatan lumayan.


hubungi saya untuk keterangan lanjut - radzi (013-4372508)