KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 12, 2008

Signal Kakitangan Kementerian Penerangan Kepada Mamu Zam Maidin!

By TARMIZI MOHD JAM

DARI segi tindakan bekerja, ia macam kakitangan kerajaan bekerja. Jika kita lihat pegawai dan kakitangan sokongan kerajaan bekerja, begitulah gaya dan keletahnya pekerja RTM dulu, kini dan selamanya.

Ada yang menyatakan beza yang jauh, antara cara bekerja pasukan RTM dengan TV3 serta Astro Ria. Macam antara sektor kerajaan dengan sektor swasta.

Maka hasilnya juga berbeda. Dan sudah tentulah perbandingan antara RTM dan kedua stesyen swasta tadi juga dipisahkan oleh kualiti kerja yang akhirnya dapat dinilai dari persembahan stesyen tersebut.

Sekitar tahun 1996, saya menyertai RTM di Angkasapuri sebagai Editor Dunia Jam 10 dan kemudiannya dipindahkan ke meja Editor Berita Perdana dan Berita Jam 6 di TV1. Saya bertugas selama dua tahun.

Ketika itu, terdapat seorang rakan saya, Uttaya Shankar SB yang menjadi editor dan kini pembaca keratan akhbar dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) hampir setiap pagi.

Saya kagum penggunaan dan sebutan Bahasa Malayunya yang anggun dan tepat berbanding rakannya, Hasyim Hanafiah yang seringkali melalut dan tidak betul sebutan nahunya.

Waktu itu, Ketua Bilik Pengawal Berita ialah Muhamat Mat Husein yang kini sudahpun bersara.

Beberapa editor yang masih berlegar dalam ingatan termasuklah Radzi Ismail, Mohd Noor Hassan, Wan Bukhari, Shahbudin Husin dan Ustaz Ismail.

Cara bekerja mereka sama macam kakitangan kerajaan yang lain. Saya membandingkannya kerana saya juga pernah bekerja di Unit Pusat Universiti (UPU), Bahagian Pendidikan Tinggi dan kemudiannya berpindah ke Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), di Jalan Duta.

Apabila Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid mendakwa bahawa Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) masih mempunyai ramai peminat berdasarkan rating yang telah dijalankan, ia cukup memualkan saya.

Bukankah Bernama sendiri telah melaporkan kakitangan Kementerian Penerangan lebih cenderung kepada stesen tv dan radio swasta?

Maknanya TV3, TV9, TV8 dan Astro Ria dan stesyen-stesyen radio seperti Hot FM milik Media Prima.

Laman sesawang KLPos pula telah menyiarkan dengan jelas berita Bernama itu dengan tajuk "93% Kakitangan Kementerian Penerangan Tonton TV3".

Ini suatu tamparan ganas kepada RTM serta menterinya yang juga mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Zainuddin Maidin.

Bagaimana dakwaan Ketua Pengarah Penyiaran boleh bercanggah dengan Bernama? Sedangkan Bernama dan RTM dalam kementerian yang sama. Apakah masej yang hendak disampaikan?

Adalah lebih baik, kajian seumpama itu tidak disiarkan dari ghairah mendakwa-dakwi yang bukan-bukan.

Akhirnya orang tahu jua, RTM adalah “Pusat Penyiaran & Penerangan BN” saban tahun.

Pekerja RTM, samada di stesyen radio mahupun televisyen adalah kakitangan kerajaan dalam Kementerian Penerangan Malaysia.

Kajian dengan jelas menunjukkan mereka sendiri tidak “berkenan” dengan apa yang mereka papar dan perdengarkan kepada audien masing-masing.

Di mana-manapun, saya melihat, lebih ramai yang menonton TV3 dari TV1 dan TV2 RTM. Alasannya mudah, mereka lebih yakin dengan laporan TV3 berbanding RTM yang disifatkan lebih banyak "main politik".

Selain dari terlalu kerap tercetusnya herotan visual, tersalah baca berita, terlalu banyak rancangan gerak saraf BN atas pelbagai nama forum, wawancara, diskusi dan lain-lain; sebenarnya RTM terlalu ekstrem dengan ikatannya kepada parti pemerintah hingga ia dilihat tidak berlaku adil kepada rakyat Malaysia.

Ini telah mengetepikan etika kewartawanan yang bebas dan berkecuali. Jadi, apakah yang diharapkan rakyat dari RTM?

Tidak hairanlah, kaki tangan Kementerian Penerangan sendiri memberontak tidak mahu menonton tv RTM dan mendengar radio RTM.

Mereka tahu apa yang mereka lakukan di RTM, dan semua yang mereka lakukan itu hanya merugikan rakyat semata-mata!

Akhirnya yang malu adalah Zainuddin Maidin, Menteri dan "Ketua Pengarang Kumpulan RTM"!


Tiada ulasan: