KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Januari 28, 2008

2008: Selepas 18 Tahun BERKUASA, Kini Giliran KELANTAN Ditumpaskan?

Mampukah PAS Kelantan pertahankan kuasa yang sudah 18 tahun digenggamnya? Selain TG Nik Aziz, Husam Musa dilihat pemain utama yang mampu menafikan cita-cita Umno untuk menguasai Kota Darul Naim.

By BERNAMA

SUASANA politik ketika ini meyakinkan banyak pihak bahawa selepas 18 tahun Kelantan berada di bawah pentadbiran PAS, masanya sudah tiba bagi Barisan Nasional (BN) untuk kembali menerajui jentera pentadbiran kerajaan negeri.

Penganalisis politik berpendapat sokongan rakyat kali ini akan beralih kepada BN, yang sebelum ini mentadbir Kelantan selama 18 tahun, sebelum ia dijatuhkan PAS dalam pilihan raya umum pada tahun 1990.
Bagi kalangan pemimpin BN, nombor 18 adalah angka penting dalam usaha mereka menjulang kembali maruah parti itu di mata rakyat, sekaligus memenangi pilihan raya umum ke 12 ini untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Sungguhpun PAS yakin bahawa rakyat tidak mempunyai sebab menolak mereka di Kelantan, namun bagi BN, tempoh masa 18 tahun pemerintahan PAS sudah cukup membuat rakyat Kelantan menderita dan sudah tiba masanya penderitaan itu ditamatkan.

"Kembalilah ke pangkuan BN, agar kita dapat bawa perubahan kepada negeri Kelantan," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Annuar Musa.

Beliau berkata BN Kelantan kini berada pada kedudukan terbaik untuk kembali menyapu bersih 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini.

"Ya, kita berada pada kedudukan terbaik dan mempunyai barisan pemimpin berkaliber untuk mencorakkan kembali negeri Kelantan yang ketinggalan ini," katanya.

Perubahan suasana politik itu turut dirasai sebuah parti komponen BN yang baru bertapak di Kelantan iaitu Parti Progresif Penduduk (PPP), yang turut menyuarakan keyakinan BN bakal kembali menguasai Kelantan.

Pengerusinya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata walaupun hampir setahun PPP bertapak di Kelantan, kini sudah lebih 3,000 penduduk Kelantan menyertai parti itu.

"Kita gembira dengan sambutan baik ini, dan anggota baru ini kebanyakan daripadanya adalah kalangan bekas penyokong PAS dan pengundi atas pagar sebelum ini. Kita yakin BN kembali kuat dan perpaduan yang saya lihat antara parti komponen kini semakin jitu," katanya.

Pilihan raya umum 1990 meninggalkan kenangan pahit kepada BN apabila ia kalah teruk 390 kepada PAS, seakanakan merebahkan terus parti gabungan itu, dan pilihan raya berikutnya menyaksikan BN masih terumbang-ambing dalam usaha meyakinkan penduduk Kelantan.

Pada pilihan raya umum 1995 BN memenangi tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen manakala pada 1999 kedudukan BN merosot kembali dengan hanya memenangi dua kerusi DUN dan satu Parlimen.

Namun pada pilihan raya umum 2004 kepercayaan rakyat terhadap BN khususnya Umno begitu mengejutkan PAS, apabila BN menguasai 21 daripada 45 kerusi DUN dan memenangi sembilan daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

Kedudukan PAS semakin terancam apabila BN merampas DUN Pengkalan Pasir pada pilihan raya kecil Dis 2005 menjadikan bilangan kerusi yang dipegangnya kepada 22 kerusi berbanding 23 bagi PAS.

Ada pemerhati politik berpendapat BN sepatutnya memenangi Kelantan pada pilihan raya umum 2004 kerana pada tahun itu rakyat di seluruh negara memberikan majoriti yang tinggi kepada BN dan ia adalah persembahan terbaik BN.

Annuar percaya rakyat Kelantan bijak menilai yang mana batu dan yang mana permata setelah melihat kegagalan PAS memerintah Kelantan.

Katanya jurang kemiskinan di Kelantan terus melebar dan lebih 200,000 rakyatnya terpaksa berhijrah keluar untuk mencari pekerjaan, manakala defisit terkumpul belanjawan negeri pula menghampiri RM400 juta setakat 2006 sementara hutang terkumpulnya sudah hampir RM1,000 juta.

Beliau berkata bilangan rakyat miskin tegar dianggarkan hampir 25,000 orang di Kelantan, jumlah tanah terbiar dianggar 40,000 hektar (100,000 ekar), dan Kelantan juga mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi dalam negara, dengan pendapatan perkapita rakyat antara yang rendah.

"Semakin lama PAS memerintah Kelantan semakin lama negeri ini akan ketinggalan dan rakyatnya akan terus menderita," katanya.

Tiada ulasan: