Rakyat belum yakin dengan prosiding dan keputusan prosedur yang dibuat para Suruhanjaya Diraja setakat ini. Kini ada 5 minit lagi baki klip video VK Linggam untuk patut disiasat untuk membersihkan institusi Kehakiman dari pelbagai persepsi buruk!
By TARMIZI MOHD JAM
HARI ini Anwar Ibrahim mendedahkan segmen ketiga rakaman video peguam VK Lingam yang diberikan kepadanya oleh seseorang pada Jumaat lepas, 25 Januari.
Katanya, klip ini memberikan bukti tambahan bahawa konspirasi yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Diraja melangkaui usaha melantik Ahmad Fairuz ke Mahkamah Persekutuan.
Segmen 5 minit ini tegas Anwar yang juga Ketua Umum PKR, secara langsung telah mengaitkan bekas Ketua Hakim Negara, Dzaiddin Abdullah yang didakwa menerima rasuah dari VK Lingam dan Vincent Tan agar beliau (Dzaiddin) tidak mengkritik kedua-dua individu tersebut secara terbuka.
Dzaiddin Abdullah merupakan Ketua Hakim Negara antara Disember 2000 hingga 2003. Di dalam video tersebut disebut VK Lingam menyatakan: “Dan kita telah memberikan beliau hadiah paling mahal. Jangan tanyalah apa bendanya. Saya telah beri kepadanya dan Vincent Tan telah berikan kepadanya.”
Menurut Anwar, meskipun pada awal penubuhan Suruhanjaya Diraja telah memberikan rakyat Malaysia harapan agar kewibawaan dan integriti Kehakiman dapat dipulihkan, namun jelasnya PKR belum yakin dengan prosiding dan keputusan prosedur yang dibuat para Pesuruhjaya setakat ini.
Suruhanjaya Diraja, tambahnya lagi, mestilah dapat menjunjung ketelusan dan integriti agar tidak kelihatan merosakkan lagi imej sistem kehakiman negara.
"Saya dengan ini menyerahkan bukti terbaru ini kepada orang ramai dan menyatakan kesediaan bekerjasama sepenuhnya dengan prosiding Suruhanjaya selama ini." Ujar Anwar dalam satu kenyataan ringkasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan