KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Januari 13, 2008

Mengapa Tidak Salahuddin Ayub Berinteraksi, Berkomunikasi Guna Blog Cetus Impak Berganda?


By TARMIZI MOHD JAM

TIBA masanya, sahabat marhain saya, YB Salahuddin Ayub mengungguli gerakerja harian sebagai orang politik, menjana cerakinan idea dan membina kemesraan sejagat menggunakan blog sendiri.

Tujuannya satu. Untuk interaksi. Untuk komunikasi. Dekat dengan isu dan masalah rakyat. Mendakap rasa tidak puashati dan kekecewaan pengundi. Itu sahaja! Ia berbentuk dua hala. Pemberi dan penerima. Reaksi dan respon.

Berbeza dengan website yang bersifat sehala. Melaporkan aktiviti, komen dan program kita semata. Rakyat hanya menerima. Mereka tidak boleh berkongsi perasaan dan dinukilkan pada sesawang itu.

Layanan seorang YB dan seorang Ketua Pemuda sebuah parti politik Islam terbesar di Malaysia, tentu sarat impaknya. Kenapa tidak dieksploitasikan realiti ini?

Mengapa kita tidak menarah jalan baru tanpa meninggalkan jalan lama yang berliku.

Hanya beberapa jam diperuntukan sehari untuk menjawab, memberi respon, membantu terdaya mungkin, menunjuk arah, berkomunikasi dengan mereka.

Barangkali terdetik pintu hati mereka, apabila YB Salahuddin sendiri berinteraksi, berkomunikasi dan mengutip emel aduan mereka. Emel emosi rakyat.

Besar hati mereka meniti dan membaca bait-bait ayat dari baris respon yang diemelkan semua.

Saya cukup kenal, Salahuddin memang berjiwa marhain. Saya tahu sejak dia Ketua Pemuda PAS Johor lagi sebelum memegang jawatan utama dalam Pemuda Pusat.

Sejak sedari dulu, dia memenuhi undangan ceramah hanya menaiki bas ke masa sahaja dalam Malaysia ini. Tidak pernah kata "tidak", jika tiada pertembungan program utama lain.

Naik bas? Gambarkan sekarang! Ia sukar dibayang kepada tokoh-tokoh lain dalam PAS.

Tetapi, anak muda ini mampu melakukannya dengan cemerlang. Berbekalkan satu beg sandang seperti sukar kita membayangkan Allahyarham YB Ustaz Mawardi Lundang, ke hulu ke hilir dengan kereta lama Volksegentnya...

Akhirnya, Salahudin dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat. Akhirnya diamanah sebagai wakil rakyat. Saya sendiri pernah kata kepadanya, "sampai kiamat anta tak boleh jadi YB kalau tanding di Johor".

Tiket Ketua Pemuda Pusat telah membedah ungkapan saya itu. Sebab itu, saya yakin, Salahuddin boleh menyelami hati nurani rakyat malah boleh istiqammah mengendalikan blog seumpama ini bagi menwujudkan impak berganda kepada parti.

Hanya berbekalkan komputer riba atau PC samada di rumah atau pejabat, cukup untuk menaja impak besar yang berganda kepada parti. Terimalah apa sahaja emel rakyat. Jawablah! Sebagai tanda kita menghargai mereka.

Apakah yang rakyat rasa, jika emel kita "disentuh" sendiri oleh Salahuddin, Ahli Parlimen Kubang Krian, Ketua Pemuda PAS Pusat? Wah! asyikkan.

Komunikasi dan interaksi begini cukup terkesan dalam kampung politik seperti Malaysia ini. Ia sama seperti "tok wakil" menggulung rokok daun, menghirup kopi di warung, mengusung jenazah dalam liang. Inilah yang diharapkan pengundi!

Seperti juga Anwar yang "tidak menang tangan" melayani beratus emel sehari ke blognya, Salahuddin sebagai yang saya anggap sudah mencapai tahap tokoh massa, harus bingkas ke jalan itu.

Bukalah blog Anwar, sekalipun emel yang datang dari jenis picisan, remeh, gedik santai malah tidak ketinggalan ada juga emel yang tegar, serius.

Mengutuk mengeji, memuja memuji; tetap dijawab dan ditangani.

Ini memerlukan jiwa yang besar. Dan inilah sebahagian "gaya dan cara" kita berpolitik mengetuk hati rakyat. Apakah Anwar, ada masa yang cukup untuk semua itu?

Barangkali tiada pemimpin perdana yang sanggup melayan karenah, keletah, sumpah seranah rakyat yang rencam, pelbagai sifat dan tujuannya.

Namun, blognya tetap memuntahkan respon yang saya kira dan cukup percaya "respon" itu datangnya dari Anwar sendiri. Bukan dari "seseorang" lain dari dirinya.

Ini suatu anjakan baru dalam mencetuskan komunikasi dan interaksi dengan para penyokong dan rakyat seluruhnya. Di sini Salahuddin patut berdiri.

Dia sudah dikenali massa, sudah acapkali mempertegaskan kejituan perjuangannya untuk rakyat dan untuk rakyat.

Ayuh, Salahuddin! Jangan tunggu lagi. Gunakan kesempatan "demam pilihanraya" ini untuk melancarkan blog dan berkomunikasi, berinteraksi dengan rakyat. Menerima aduan dan menangani aduan itu secara terkesan.

Jangan dilengah-lengah, itulah yang mampu saya tegaskan. Apa guna ada blog, ada website tetapi tidak diupdate. Sila ke Tranungkite dan tuju ke pautan blog dan web ahli politik.

Berapa banyak yang aktif berbanding yang hanya tinggal pada nama. Siapa pemiliknya? Pemimpin kita yang tersohor juga...

Malah pernah dibangkitkan, kewajaran Presiden PAS memiliki laman sesawang sendiri seperti juga Anwar dan Lim Kit Siang, tetapi hingga kini, sesawang itu belum muncul walaupun Setiausaha Akhbarnya, Roslan SMS tidak letih-letih menulis dan menulis pada blognya Roslan Corner.

Paling tidak, sebelum menganalisis isu ICT dan pemanfaatan sesawang oleh pemimpin lain dalam PAS, suka saya menyarankan agar YB Salahuddin menunjukkan contoh terdahulu dan melihat impak bergandanya kepada PAS.

Tiada ulasan: