KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Januari 25, 2008

RM50 ke RM100 Juta HANGUS Lancar KORIDOR Pembangunan!

BN di bawah anak Badawi ternyata tidak cekap dan terlalu lemah untuk memikul tugas dan memulihkan ekonomi negara yang kian parah!

Oleh TARMIZI MOHD JAM

TAN SRI Khalid Ibrahim mendedahkan sikap rakus kerajaan BN dalam membelanjakan wang rakyat sehingga mencecah antara RM50 juta ke RM100 juta hanya bagi membuat persiapan dan majlis-majlis pelancaran koridor-koridor pembangunan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri seluruh Negara.

Katanya, meskipun kerajaan memberi alasan bahawa ia tidak dilaksanakan oleh kerajaan secara langsung, tetapi sebarang perbelanjaan oleh Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) seharusnya dilihat sebagai membelanjakan wang rakyat.

Tan Sri Khalid yang juga Setiausaha Agung PKR dalam satu kenyataan medianya hari ini mendakwa, keutamaan kerajaan di dalam membelanjakan wang rakyat juga terbukti tidak dirancang dengan baik.

Ketika wujud tuntutan rakyat agar harga runcit petrol diturunkan bagi meringankan beban kehidupan mereka yang terlalu tinggi kini, Timbalan Perdana Menteri memberikan alasan ia tidak akan dilakukan kerana kononnya akan menyebabkan negara muflis.

“Tetapi pada masa yang sama, apabila wujud kemarahan rakyat yang tertipu dengan janji kerajaan menghapuskan yuran sekolah, kerajaan segera mengambil keputusan reaksioner untuk mewujudkan dana pendidikan berjumlah RM5 bilion secara tergesa-gesa,” tegas beliau.

Perbelanjaan tanpa perancangan rapi, kata mantan calon PKR pilihan raya kecil Dun Ijok itu, tidak membantu tetapi sebaliknya menyusahkan rakyat. Malaysia seharusnya mengelakkan perbelanjaan-perbelanjaan tidak perlu dan meningkatkan simpanan sebagai persediaan menghadapi ancaman kemelesetan ekonomi akibat krisis kewangan Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat ujarnya, kini menghadapi krisis kewangan akibat perbelanjaan yang terlalu tinggi seperti kos besar yang ditanggung untuk membiayai pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan, pembekalan senjata kepada Israel dan operasi risikan seluruh dunia.

Akibat perbelanjaan-perbelanjaan tidak perlu dan kadar simpanan yang rendah di AS, negara itu kini terpaksa bergantung kepada simpanan negara asing.

“Kadar simpanan rakyat AS yang terlalu rendah dan pergantungan kepada kredit telah menjerumuskan negara tersebut ke kancah masalah kewangan apabila institusi kewangan negara tersebut tidak dapat memperolehi kembali pinjaman yang disandarkan kepada aset hartanah,” tegasnya lagi.

Menurut Tan Sri Khalid, kadar simpanan yang rendah itu juga memaksa bank-bank utama seperti Citigroup dan Merill Lynch mendapatkan suntikan kewangan daripada dana-dana negara Asia seperti Singapura dan negara-negara Arab.

Beliau mengingatkan Kerajaan Malaysia, agar perlu peka terhadap keperluan untuk berjimat kerana hanya itu yang akan menjadi benteng negara ini bagi menghadapi kesan lebih buruk dan kejutan seterusnya krisis ekonomi AS.

Sepanjang empat tahun yang lalu, jelas Tan Sri Khalid, perbelanjaan kerajaan telah meningkat. Perolehan cukai dan hasil lain kerajaan tidak mampu untuk menampung perbelanjaan mengurus.

Tanpa hasil Petronas, negara ini akan terpaksa menanggung hutang yang sangat besar semata-mata untuk terus beroperasi.

PKR tegasnya, melihat Barisan Nasional tidak mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kewangan dan ekonomi negara dengan baik, tambahan pula di kala dunia berada di ambang kemelesetan ekonomi yang berpunca daripada krisis kewangan AS.

Malaysia, katanya lagi, sudah tentu akan merasakan kesannya dan pakar-pakar ekonomi antarabangsa mearamalkan kemelesetan ini akan berpanjangan.

“Oleh itu rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya dan kerajaan perlu cekap dan amanah untuk memimpin rakyat menghadapinya. BN di bawah Abdullah Badawi ternyata tidak cekap dan terlalu lemah untuk memikul tugas tersebut,” ujar Tan Sri Khalid.

Tiada ulasan: