KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Januari 04, 2008

Dr Chua: "Kesilapan Besar Saya Ialah Untuk Melaksanakan Tugas Saya"

By BERNAMA

"KESILAPAN besar saya sejak datang ke Kuala Lumpur ialah untuk melaksanakan tugas saya sebagai Menteri Kesihatan dan naib presiden MCA," kata Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatan parti semalam setelah mengakui bahawa beliau adalah lelaki dalam aksi seks rakaman DVD, salinan cakera itu disebar luas di Johor.

Ahli politik berusia 60 tahun itu berkata lawatan beliau untuk memeriksa kemudahan kesihatan di seluruh negara dan menemui anggota akar umbi parti memberikan spekulasi bahawa beliau ada agenda politik, dan menjadi sasaran orang ramai untuk menjatuhkan karier politiknya.

"Sebagai Menteri Kesihatan dan naib presiden MCA, saya terpaksa pergi ke seluruh negara untuk mengetahui kemudahan perubatan dan membolehkan anggota MCA mengenali saya kerana saya adalah muka baru dalam politik peringkat nasional.(Dr Chua ialah anggota EXCO kerajaan Johor sebelum menjawat jawatan menteri persekutuan tiga setengah tahun lepas).

"Saya merasa bangga telah melawat lebih 100 hospital dan lebih 50 kemudahan kesihatan semasa saya menjawat jawatan menteri selama tiga setengah tahun," katanya pada persidangan akhbar di luar jadual di Kementerian Kesihatan di sini hari Khamis.

Terdapat 131 hospital kerajaan di negara ini.Dr Chua berkata beliau terkejut apabila melawat sesetengah hospital, beliau terperanjat apabila diberitahu bahawa tidak ada ahli politik pernah melawat hospital berkenaan walaupun telah beroperasi sejak lebih 30 tahun.

"Saya ingatkan mereka bergurau atau beramah sopan santun tetapi bila saya lihat hospital tersebut ia adalah benar...tidak ada siapa yang pernah melawat hospital itu.

"Satu contoh ialah banyak kemudahan kesihatan seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sentul, Wangsa Maju...tidak ada ahli politik pernah melawat tempat kesihatan ini walaupun telah mula beroperasi dalam 60-an.

"Dan kerana ini dan apabila saya menemui anggota parti semasa saya membuat lawatan, banyak spekulasi bahawa saya ada agenda dan saya bercita-cita tinggi ...saya fikir itulah kesilapan terbesar saya," kata Dr Chua, yang nampak tenang semasa menjawab soalan daripada wartawan yang agak kasar.

Dr Chua berkata apabila beliau berpindah ke peringkat persekutuan, beliau mahu melawat dan melihat semua hospital di negara untuk mengetahui keadaan sebenar dan di mana-mana anda pergi, anda akan bertemu dengan ramai anggota parti.

"Jadi ramai orang berprasangka buruk mengenai pergerakan saya, kenapa orang ini bekerja keras jumpa anggota...jadi beliau mestilah ada agenda politik. Dia mestilah bercita-cita tinggi."

Ini bertambah buruk disebabkan akhbar. Akhbar sentiasa melaporkan bahawa Dr Chua ialah pencabar terhadap timbalan presiden, terhadap presiden.

"Akhbar membantu membunuh karier politik saya, secara jujur...jadi kebenaran ialah mata pena itu lebih tajam daripada pedang," kata beliau.

Tanpa menuding jari kepada sesiapa, Dr Chua, seorang doktor perubatan, berkata beliau tidak berapa senang dengan "sikap sesetengah pemimpin dalam politik" tetapi ini tidak penting lagi kerana ia telah menjadi sejarah.

Ditanya jika beliau tahu musuh politiknya, Dr Chua menjawab dengan cepat dan tajam: "Orang yang berprasangka buruk dengan saya ialah orang yang akan mendapat kejayaan daripada berprasangka buruk dengan saya."Ini Chua Soi Lek. Saya tidak akan berubah. Orang kata saya angkuh tetapi saya tidak fikir saya angkuh. Saya hanya beritahu anda perkara sebenarnya," kata beliau.

Dengan memberikan nasihat kepada bakal Menteri Kesihatan, kata beliau: "Jika anda naik terlalu cepat, anda mungkin terdedah kepada spekulasi...ini adalah realiti dalam politik."

"Saya setuju apabila sesetengah orang mengatakan ini ialah Menteri Neraka, bukan kerana kerja di kementerian itu tetapi disebabkan sistem politik, tetapi jika anda bekerja keras, orang ingat anda bercita-cita tinggi dalam politik atau anda ada agenda politik," kata beliau.

Dr Chua berkata beliau memahami realiti politik di negara bahawa apabila "anda bukan lagi seorang pemimpin politik, orang mungkin lupakan anda atau menjauhi anda."

"Kadang-kadang orang mungkin tidak mengenali anda lagi....saya telah lihat dengan mata saya sendiri bekas menteri yang menghadiri satu majlis tidak ada tempat duduk," kata bekas anggota Parlimen Labis itu.

Ditanya jika beliau akan berehat selepas episod pahit ini, Dr Chua berkata beliau akan bercuti rehat kerana ini bukanlah "yang menyayatkan."

"Adalah salah jika anda mengatakan apabila anda sangat terkilan anda hendaklah pergi bercuti. Itu salah...ia adalah preskripsi salah kerana apabila seseorang yang sangat terkilan dan pergi bercuti, beliau ada banyak masa untuk memikirkan dan membuat spekulasi dan yang akan meremukkan lagi perasaan ... bagi saya, saya tidaklah sangat terkilan.

"Saya telah mendedahkan mengenai kehidupan peribadi saya kepada semua 26 juta rakyat Malaysia. Apa yang disedihkan. Saya telah meletakkan jawatan daripada semua jawatan kerajaan dan jawatan parti, apa lagi mereka mahu.

"Mereka tidak mungkin mengambil nyawa saya kerana perjuangan politik Malaysia bukanlah sesuatu pertempuran untuk hidup atau mati seperti di Pakistan," kata beliau.

Ditanya jika beliau akan melawat seluruh negara untuk menemui anggota akar umbi MCA, Dr Chua berkata beliau tidak akan berbuat demikian melainkan jika dijemput untuk sesuatu majlis.

"Mereka (pemimpin akar umbi) mestilah memahami jika saya melawat sekarang saya akan gunakan wang sendiri. Saya terpaksa memanggil dan menempah (penerbangan dan bilik hotel).

"Saya bukan tahu tempah tiket, bilik hotel...itulah kebenaran kerana saya telah menikmati kemudahan kerajaan ini sejak 18 tahun lepas.Sejak saya menjadi EXCO Johor sehingga sekarang...tetapi OK. Saya akan melakukannya sedikit demi sedikit. Itu sebahagian daripada kehidupan dan kini saya akan bergerak ke peringkat seterusnya. Lagipun, masih ada kehidupan selepas politik.

"Jika ada jemputan, saya akan pergi itu pun jika ada orang yang masih mengingati saya," katanya.

Dr Chua berkata beliau ke Kementerian Kesihatan hari ini untuk mengemas barang-barang peribadinya kerana Menteri Kesihatan baru mungkin akan menggunakan pejabat itu mulai Isnin ini.

Beliau juga mengulangi bahawa pengedaran DVD seks bukan disebabkan persaingan perniagaan kerana beliau tidak pernah terbabit dalam perniagaan.

"Ia tidak ada kaitan dengan perniagaan kerana saya tidak terlibat dalam perniagaan...ia tidak ada kaitan dengan wang kerana tidak ada siapa yang meminta wang daripada saya...jadi yang lain biarlah orang memikirkannya.

"Siapa musuh saya, saya sebenarnya tidak tahu. Tetapi saya seorang ahli politik dan ahli politik ada musuh dan penyokong, ini tidak ada siapa yang boleh menafikan.

"Tetapi seperti yang pernah saya katakan, saya tidak akan meneruskan ini (merakam dan mengedar DVD) kerana ia tidak ada kesudahan. Saya tidak tahu siapa yang buat.

Tiada ulasan: