ISU kehabisan minyak masak di kedai-kedai dan pasaraya mega, cukup memualkan. Macam tidak percaya.
Seolah-olah ada bidak catur sindikit atau perang saraf dalaman untuk mencemas dan meresahkan hati nurani rakyat.
Bukan kerana “demam pilihan raya” kian teruk, semua isu mahu ditangani ikut acuan politik masing-masing.
Tetapi, agak gusar juga bila minyak masak tiada dalam sebuah negara yang dikatakan negara pengeluar minyak masak utama ini.
Tiada guna buka Felcra dan tanah rancangan untuk tanam kelapa sawit. Bongkar hutan, ambil balak dan tanam sawit, jika akhirnya minyak masak domestik terpaksa dicatu.
Natijahnya, rakyat “kelaparan” dan “kehausan” minyak masak dan rak minyak masak kosong dan kosong, di mana-mana.
Saya terjumpa SMS yang humban ke telefon bimbit Penarik Beca. Kemudian dinukilkan kembali Penarik Beca dalam blognya Penarik Beca.
Makin terserlah andaian saya tadi, bahawa ada sesuatu yang tidak kena di sebalik kain “minyak masak habis”.
Kata Penarik Beca, SMS itu diterima dari seorang bekas Ketua Umno Bahagian yang tertulis begini:
“Pembohongan paling BESAR... minyak masak d Thailand hanya RM2.20 sekilo dan d Msia RM2.70 sekilo. Berita dalam Utusan hanya saraf utk alih pandangan rakyat. Kononnya yang dtangkap sorok utk bawa masuk ke Thailand adalah sengaja drancang utk menutup kelemahan kerajaan, iaitu (kononnya) minyak masak tak ada kerana ada pihak sorok utk bawa ke Thailand. SANDIWARA, PORAH…”
Terdapat kebenaran di sebalik SMS ini. Jika minyak masak di Thailand berharga RM2.20 sekilogram, yakni lebih murah dari harga runcit di Malaysia RM2.70; jadi apakah jadahnya petualang negara menyeludup minyak masak ini ke Thailand?
Berapa pula harga borong yang diperolehi petualang ini dari pemborong Thailand? Ini tidak masuk akal.
Bagi saya, rampasan-rampasan yang kononnya dilakukan di sempadan Malaysia-Thai dan dipaparkan secara meluas oleh media cetak dan elektronik mengandungi signifikan tertentu.
Ia tidak lebih dari gerak saraf politik, seperti kata pengirim SMS itu. Untuk mengangkat pandangan rakyat kepada isu sebenar negara.
Seperti laporan polis YB Salahuddin Ayub terhadap kandungan surat Setiausaha Agung Umno kepada Umno negeri-negeri dalam isu apa yang dikatakan “Perkauman”.
Tetapi, apakah sebenarnya yang berlaku? Hingga minyak masak tiada dalam pasaran? Rakyat bertanya dalam keadaan terpinga-pinga.
Apakah betul, khabar angin kononnya pengilang sedang menekan kerajaan untuk menaikan harga produk itu, seperti mana strategi-strategi yang dilakukan sebelum ini.
Ada juga sumber bertiup kencang, kononnya kerajaan gagal melunaskan subsidi seperti yang dinyatakan kepada pengilang, menyebabkan pengilang rugi dan terpaksa menuntut kenaikan harga minyak.
Lantaran itu, jika diperhalusi betul-betul, kelihatan pihak penguatkuasa Kementerian Hal Ehwal Pengguna di bawah Shafie Apdal hanya menyerbu kedai-kedai dan pasaraya mega bagi mempastikan status ketiadaan minyak masak ini.
Adakah anda menontoni atau berita-berita TV3, TV9, TV8 dan RTM? Atau mendengar berita radio pelbagai siaran?
Adakah anda ketemui pihak penguatkuasa menyerbu kilang pengeluar minyak masak itu?
Walhal, pengedar khabarnya tidak mendapat bekalan dari kilang dan ini menyebabkan pekedai dan pasaraya terpaksa mengeluarkan minyak masak secara sedikit demi sedikit dari stok mereka untuk mengelakkan pengguna panik membeli pada kadar yang banyak.
Jika ini terjadi, akan ada pengguna yang tidak mendapat langsung produk ini pada satu-satu masa.
Bagi saya, langkah itu tepat dan strategik. Tetapi pekedai pula ditahan oleh pengutkuasa yang menyerbu dan disabit kesalahan kerana menyorokkan minyak masak walhal mereka sedang mengagih-agihkan secara berperingkat-peringkat.
Jadi apakah sebenarnya yang berlaku? Kini, isu ketiadaan tepung gandum menyusul selepas negara dilanda sifar minyak masak.
Adakah ini sebahagian perang saraf pilihan raya tajaan BN?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan