KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 24, 2008

Balasungkawa: KEKALAHAN Megat Junid Di PARIT, Menutup Karier Politiknya!

Allahyarham Megat Junid masih semangat hadir ke satu program anjuran NGO bersama Tun Mahathir tahun lalu. Kelihatan perubahan kritikal pada raut wajahnya akibat penyakit kanser yang dihadapinya ketika itu.

By TARMIZI MOHD JAM

AL-FATIHAH! Mantan Menteri Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Ayub telah meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi tadi (24 Januari 2008) di Hospital Pantai, disebabkan penyakit kanser yang dihadapinya sejak dua tiga tahun ini. Kisah politik beliau, pernah saya ungkapkan.

Megat Junid mungkin mangsa politik dalam kafilah Umno yang dirundung malang. Beliau disingkirkan di Pasir Salak dan ditalqinkan karier politiknya di Parit pada tahun 1999. Tragis memang tragis.

Kata Ustaz Basir Rahmat, Ahli Parlimen Parit yang menumpaskan dia pada 1999 itu; “Kali ini Megat benar-benar kalah. Paku terakhir buat keranda Megat,” usik beliau dan selalu saya sebut dalam kempen pilihan raya itu, kedatangan Megat ke Parit akan ditalqinkan oleh orang-orang Parit.

“Ayuh, kita talqinkan Megat, undi bulan. Tolak BN!” Begitulah setiapkali saya mempengerusikan majlis atau berceramah di Parit ketika itu.

Cukup menarik politik hari ini. Yang kalah dalam pemilihan, mengaku mahu bersara, sambil menyindir seseorang; “Saya tidak sanggup untuk terus berkecimpung dalam politik disebabkan politik wang.”

Seolah-olah mereka yang bercakap mengenai politik wang itu, tidak terlibat dengan gejala jijik ini. Tetapi pada masa yang sama, mereka juga sebenarnya turut menabur wang disamping janji ketika pertandingan berlangsung.

Pada hemat saya, tiada seorangpun yang dapat menafikan mereka tidak terlibat dengan politik wang dalam Umno. Cuma mereka tidak “ditangkap” kerana “terlepas” dan bukan disebabkan tidak melakukan kesalahan.

Sambil bergurau, seorang kawan saya memberitahu; “Ramai yang memandu tanpa lesen memandu tetapi tidak ramai yang ditahan ketika sekatan jalan raya.”

Apakah anda masih ingat dengan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub? Jawatan akhirnya dalam kabinet ialah Menteri Hal Ehwal Pengguna dan kawasan parlimen akhir yang ditandinginya ialah P066 Parit (Perak).

Dia adalah mantan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Salak dibawah Tan Sri Ramli Ngah Talib yang sekarang dibekukan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Megat tumpas ditangan Ramli sewaktu pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian Umno Pasir Salak, kira-kira selepas pilihan raya umum 1999. Setelah kecundang, Megat menyatakan hasratnya untuk bersara politik.

“Saya akan menolak sebarang desakan untuk meminta saya bertanding dalam pilihan raya,” ujar beliau dalam satu kenyataan. Bagi saya, Megat bukanlah dari golongan yang bernasib baik. Bintangnya kelam dan akhirnya gelap “gulita”.

Sepanjang menjadi orang kuat Tun Mahathir, saya difahamkan, dia hanya diamanahkan selain dari menjadi Setiausaha Politik paling lama kepada Tun, menjadi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan akhirnya menteri penuh mengetuai Kementerian Hal Ehwal Pengguna. Khabarnya, Tun amat sayang dengan anak Pasir Salak ini.

Sejak kalah dalam pilihan raya umum 1999 di kawasan orang lain, diarah bertanding iaitu Parlimen Parit, dia kemudiannya kecundang lagi dalam mempertahankan kerusi MKT Umno dalam pemilihan tahun 2000 berikutnya.

Selepas dua kali kalah, akhirnya perwakilan Umno cawangan-cawangan dalam Pasir Salak menolaknya sekali lagi sebagai Ketua Umno Bahagian itu. Kekalahan ketiga berturut-turut ini memberi signal kepada Megat Junid supaya dia bersara dan menggunakan masa lapangnya itu untuk mendekati anak-anak dan dua isteri tersayangnya.

Paling menarik, bagi saya ialah bukan sahaja Megat Junid yang mahu bersara tetapi mantan Menteri Besar “lembik” macam Pak Lah juga mahu bersara jika ditakdirkan tumpas ditangan Megat ketika pertandingan itu.

Dalam ucapan penggulungannnya, Ramli menegaskan; “Saya akan menghantar surat perletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri jika saya kalah…” Walaupun masih kekal sebagai Ahli MKT ketika itu, dan Timbalan Pengerusi Umno Perak, Ramli nampak “berkecil hati” dengan Megat Junid yang pernah ditolonginya.

Menurut cerita orang-orang Hilir Perak, Megat Junid memulakan karier politiknya di Alor Setar dan bukan di Perak. Apabila dipilih bertanding di Parlimen Pasir Salak, Ramlilah antara orang yang cukup kuat bekerja bagi mempastikan Megat Junid menang besar.

Sampailah Megat menapak tinggi dalam politik dengan menjawat jawatan Timbalan Menteri dan akhirnya Menteri, sebelum tewas dalam pilihan raya pada 29 November 1999 di Parit. Megat ditumpaskan oleh Ustaz Mat Basir Rahmat, Yang Dipertua PAS Kawasan Parit dan mantan guru agama Sek. Tunku Abdul Rahman (STAR) Ipoh.

Bermula dari kekalahannya di Parit itulah, bintang Megat mulai suram dan padam. Ustaz Basir yang dikatakan amat berpengaruh menjelang pilihan raya itu, menjadi “hantu jembalang” yang menaikkan bulu roma ketakutan Megat diperingkat awal dia berkempen di Parit.

Cuba bayangkan, dalam satu pertemuan Umno Cawangan Padang Marhum, Teluk Bakong, bertempat di Dewan Orang Ramai, sewaktu kempen pilihan raya 1999 itu, seorang ahli Umno bangun sambil menuding jari menunjuk kepada Megat dengan kata-kata demikian; “Yang mike Megat datang ke Parit ni, ngape? Orang Parit dah takde yang codik, yang pandai ke? Keme tak akan undi mike kali ni. Umno Parit bodoh, ade kawasan bagi orang luo. Dulupun bagi orang luo,” bentak si ahli Umno tersebut.

Yang ada pada waktu itu, kalau tidak silap saya, selain Megat sendiri ialah calon BN Bota, Cikgu Ismail Hasbullah yang saya tentang dalam pilihan raya umum 1995 di Dun Bota, Datuk Zaim Abu Hassan, calon Dun Blanja yang juga Ketua Bahagian Umno Parit dan beberapa orang kuat Umno Parit dan orang kuat Megat Junid sendiri.

Saya waktu itu, Ketua Penerangan PAS Parit. Setelah saya tewas dalam pilihan raya umum 1995 ditangan cikgu saya, Cikgu Ismail, saya terus menggerakkan jentera penerangan dengan menganjurkan ceramah kecil-kecilan dan ceramah umum sekitar Parit.

Hinggalah pada tahun 1997, aktiviti penerangan makin diligatkan lagi.

Sewaktu muncul bonus politik kepada pembangkang, ketika Anwar ditangkap dan dipecat pada tahun 1998 jentera penerangan kami makin sibuk dan sampir saban malam ceramah dan aktiviti parti diadakan di Parit. Ceramah pada waktu itu bagaikan pesta, orang kampong turun padang berduyun-duyun tanpa mengira lelaki dan perempuan termasuklah JKKK Umno.

Kawan-kawan di Kuala Lumpur, selalu mengusik kalau ditengok dalam Dairy Harakah, macam seolah-olah negeri Perak itu, hanya Parit sahaja yang aktif. Ini kerana dua tiga iklan program PAS Parit tersiar setiap kali Harakah terbit. “Ada sesaje programnye!”

Inilah yang menakutkan Megat bila masuk Parit. Apa tidaknya, saban malam, Ustaz Basir diusung berceramah ke merata Parit, sedangkan Megat baru terkial-kial membetulkan kesilapan Ainon Khariah, emak saudara Ramli Ngah Talib (Ketua Wanita Umno Pasir Salak) yang dipaksakan kepada Umno Parit beri laluan bertanding di kawasan ini pada pilihan raya 1990.

Pendek kata, Parit terus jadi sebahagian dari pemerintahan Umno Pasir Salak. Maka suku-sakat Ramli di Pasir Salak yang gila nak jadi calon, akan dihantar ke Parit. Mereka mahu bertanding tetapi kawasan Pasir Salak tidak boleh menampung kerana calon-calon mantapnya sudah ada.

Mahu tidak mahu, Ramli menggunakan pengaruhnya sebagai Ketua Perhubungan Umno Perak, mengasak Ketua Umno Parit, Zaim, anak didiknya dulu beri laluan itu.

Zaim pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Ramli. Maka ikatan ini menjadikan Zaim terus longlai dan lembik. Zaim terpaksa “melacurkan” Parit untuk Umno Pasir Salak. Untuk Ramli. Asalkan kerusi Zaim di Dun Blanja tidak diusik dan jika menang dilantik EXCO Kerajaan Negeri.

Inilah nasib Umno Parit yang berketuakan pemimpin yang tiada prinsip dan jati diri tempatan. Apabila hidungnya sudah dicucuk, maka mudahkan Ramli menariknya ke hulu dank e hilir.

Hingga kini, Zaim masih terus kekal sebagai EXCO kecuali musim beliau tewas pada 1999 dahulu.Selepas kalah teruk dan bintang Megat padam, dia menghabiskan masanya menulis buku. Menceritakan semula sumbangan dan jasanya kepada Umno dan kepada Anwar Ibrahim, ketika Anwar mula menyertai Umno.

Saya difahamkan juga. waktu itu, selepas gelap “gulita” membungkus politiknya, dikatakan Megat suka sangat dalam bualan dan sembang-sembangnya kalau dapat menyindir Ramli dan sesekali membuat dakwaan Ramli jadi MB Perak kerana sokongannya.

Megat juga sering mendakwa, Ramlilah yang telah meletakkannya bertanding di Parit walaupun tahu peluang calon BN menang cukup tipis. Namun, ada pula yang mendakwa Tun Mahathir sendiri yang bersetuju Megat bertarung di Parit kerana Tun amat percaya, sebagai seorang menteri, di manapun dia diletakkan pastinya akan menang.

Pada hemat saya, Megat sendiri setuju juga ke Parit, sebab dalam hati kecilnya berkata-kata Umno akan menang kalau kerja kuat dan mustahil Umno dan BN sudah patah taringnya dek kerana isu pemecatan Anwar.

Megat lupa, dia tidak terfikir yang orang Parit sudah marah dengan wakil rakyat Umno sebelum itu, Ainon Khairiyah, emak saudara Ramli Ngah Talib yang banyak “menyakitkan hati” orang Parit terutama pemimpin Umno Bahagian.

Selepas kalah, barulah Megat Junid tahu rupa-rupanya undi orang Parit amat berharga dan bernilai. Kempen-kempen drastik lebih setahun lamanya di Parit, telah memberi kekuatan kepada orang Parit membuat keputusan.

Mereka diasak oleh pelbagai penceramah dari pelusuk Malaysia, berceramah serata Parit, kampong dan taman, markaz dan rumah perseorangan.

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kerjasama rakan-rakan dan penceramah memenuhi undangan saya ketika itu untuk mengisi program di Parit.

Macam Dato’ Fadhil Mohd Noor (allahyarham), Dato’ Hassan Ali, Ann Wan Seng, Ibnu Muslim (allahyarham), Cikgu Ezam Ahmad, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Subri Arshad, Dr. Lo Lo, Ustazah Kalthom, Zunar, Ahmad Lutfi Othman, Haji Subky Latiff, Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Taib Azamuddin, Ustaz Tuan Man Tuan Ibrahim, Yusuf Husein, Ustaz Harun Taib, Ustaz Husein Awang, Haji Mustapha Ali, Mohsinon Tahir, Ustaz Wan Jamil, Ustaz Ibrahim Mahmood, Ustaz Zulkifli Yaakob, Ustaz Bunyamin Yaakob (allahyarham), Cikgu Ishak Surin, Ustaz Idris Ahmad.

Macam Ir. Khalid Samad, Ustaz Tarmizi Shamsuri (allahyarham), Ustaz Misbahul Munir, Akil Hai, Gobala Krisnan, Ustazah Mariam, Kamal Koh, Salahuddin Ayub, Haji Mahfuz Omar, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok, Pak Chik Jamal, Ustaz Mokhtar Senik, Haji Mohd Sabu, Shahnon Ahmad dan ramai lagi.

Kebanjiran ceramah bertubi-tubi itu terus mendapat sambutan, ditambah pula aktiviti Rawatan Percuma yang dianjurkan sebagai produk baru ketika itu untuk mendekati masyarakat.

Ternyata ianya berjaya seperti kita tidak boleh dinafikan aktiviti ceramah kecil mahupun mega yang ditaburkan ligat hingga beberapa pemimpin PAS Parit merungut kerana terlalu banyak ceramah dan menyusahkan mereka. Malah, ada yang “memboikot” atas alasan peribadi.

Inilah yang memadamkan bintang Megat Junid. Kini, Megat diserang penyakit kanser.
Apa yang jelas, tumpasnya Megat ditangan Ustaz Basir Rahmat telah memadamkan kepercayaan akar umbi Umno di Pasir Salak dan telah tidak melayakkan beliau dilantik oleh Tun ke sebarang jawatan kabinet. Tidak lagi boleh jadi menteri.

Adatlah… dalam Umno bila kamu jatuh, dipijak-pijaklah dek orang lagilah.

Parit mengubah segala-galanya untuk Megat. Jika dia menang, maka itulah tangkal dan azimatnya. Saya yakin Tun akan melantik dia menteri penuh di kementerian paling berpengaruh dan jika Megat menentang Ramli selepas itu, pastinya dengan mudah dia menguis mantan MB Perak yang tidak bermaya dan suka dengar cakap isteri itu.

Tiada ulasan: