KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 02, 2009

Dunia gempar, Adun Behrang berdalih "hilang" kerana cuti sakit dan dakwa masih Exco lagi!

Jamaluddin Mohd Radzi menimbulkan kontroversi lagi apabila beliau menafikan "hilang" sebaliknya mengambil cuti sakit!

SENARIO politik Perak makin kalut apabila Exco Kerajaan Perak, Jamaluddin Mat Radzi menafikan beliau telah menghilangkan diri minggu lalu dan telah meletakkan jawatan sebagai Adun Behrang. Apakah muslihat kenyataan dan penafiannya itu?

Timbul persoalan, mengapa baru sekarang, setelah lima hari "hilang" tanpa berita, baru muncul dengan kenyataan menafikan? Mengapa tidak ketika sibuk semua pemimpin Pakatan Rakyat mencari dan mencari beliau, Adun Behrang ini tidak muncul? Teruk sangatkah sakitnya?

Dalam kenyataannya yang diedarkan kepada media hari ini di sebuah hotel dekat dengan lapangan antarabangsa KLIA, wakil rakyat KeADILan itu berkata beliau mengambil cuti sakit selama tiga hari mulai 28 Januari. Tentu sekali cuti sakit ini, boleh dibuat tetapi paling utama apakah sakitnya hinggakan beliau tidak boleh menghubungi mana-mana pemimpin PKR atau Menteri Besar sendiri?

"Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti," katanya.

Kenyataan yang diedar oleh pegawai khasnya Firdaus Saharuddin, Jamaluddin juga berkata beliau masih berkhidmat sebagai Adun Behrang dan menyifatkan kenyataan Speaker DUN Perak pada 1 Februari "tidak berasas sama sekali". Jamaluddin sepatutnya hadir dalam sidang akhbar berkenaan.

Dalam sidang media ringkas, pegawai itu berkata Jamaluddin kini sedang dalam perjalanan dari Pahang ke Kuala Lumpur. maka ini lagi menambahkan kekeliruan. Apakah tugasnya beliau ke Pahang? Dan adakah "sakit" yang membolehkan beliau cuti itu dapat di Pahang? Mengapa Pahang? Inilah persoalan yang cuba dirungkai atau sudah terjawab?

Jamaluddin dalam kenyataan itu, bagaimanapun menafikan wakil rakyat KeADILan itu bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno berhubung desas-desus melompat parti kepada BN.

Terdahulu, Speaker Dun Perak, V Sivakumar telah memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak mengenai kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang.

Beliau menemui pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Adli Abdullah pada jam 8.00 pagi tadi..

Sementara semalam, Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Jamaluddin bagaimanapun menafikan beliau telah meletak jawatan dan masih kekal sebagai ahli dewan undangan negeri. Beliau yang juga exco kerajaan negeri turut mencabar kesahihan surat tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau: Merujuk kepada laporan media semalam yang menyatakan saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Unangan Negeri (Adun) kawasan Behrang. Sukacita saya sekai lagi ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sehingga kini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk melepaskan jawatan setelah dipilih oleh rakyat. Berhubung dakwaan bahawa saya telah menghilangkan diri kerana mahu melompat parti, suka saya menjelaskan bahawa saya tidak pernah menghilangkan atau melarikan diri daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya, ingin saya jelaskan bahawa saya telah bercuti dari 28 Januari hingga 30 Januari 2009 kerana sakit.Pada 31 Januari 2009 hingga 1 Februari 2009 pula adalah cuti hujung minggu dan tempoh tersebut digunakan oleh saya untuk berehat.

Bagaimanapun, laporan berita semalam yang kononnya saya telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat benar-benar mengejutkan saya. Dalam hubungan ini, adalah jelas kenyataan yang dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tidak berasas sama sekali.

Lebih-lebih lagi saya sendiri semalam tidak berada di Perak, apatah lagi untuk menghantar sendiri surat peletakan jawatan saya ke rumah beliau. Kenyataan tuan Speaker tersebut benar-benar mengejut saya dan telah menimbulkan kekeliruan dan kegemparan di seluruh negara sedangkan perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Buat masa ini, saya akan meneruskan tugas saya dan tanggungjawab saya seperti biasa dan tidak timbul isu kononnya saya telah bertukar parti.

Saya berharap penjelasan ini akan menghuraikan kekeliruan yang ada dan saya berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak benar demi kepentingan politik pihak tertentu. Yang benar,YB Jamaluddin Mohd Radzi2 Februari 2009.

Yang benar,
YB Jamaluddin Mohd Radzi
2 Februari 2009

Tiada ulasan: