KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 31, 2008

Kenduri Rakyat Gamit Himpunan Petugas Pilihan Raya PAS Wilayah


By TARMIZI MOHD JAM

JABATAN Pilihan Raya Negeri (JPN) PAS Wilayah Persekutuan akan menghimpunkan seluruh jentera pilihan rayanya pada Program Kenduri Rakyat, 3 Februari 2008 (Ahad) bermula jam 9.00 pagi.

Ia akan disempurnakan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Ja'afar, di Markaz PAS Darul Ummah, Kg. Pandan.

Selain ucapan Pengarah JPN, Haji Ishak Surin dan amanat Pesuruhjaya, Haji Mohamad Noor Mohd, setiap mereka yang terlibat akan menerima "surat watiqah petugas pilihan raya" sebagai bai'ah kesetiaan dalam menyempurnakan tanggungjawab pilihan raya terhadap jamaah.

Seekor lembu ditumbangkan bagi meraikan Kenduri Rakyat. Ini mencerminkan komitmen dan iltizam PAS Wilayah akan bertarung bersungguh-sungguh dalam kawasan parlimen yang ditandingi.

Hassan Ali, Tuan Ibrahim & Ustaz Ghani CETUSKAN NOSTALGIA Forum Perdana Ehwal Islam RTM

By TARMIZI MOHD JAM

KEPADA para peminat Forum Perdana Hal Ehwal Islam ala RTM yang begitu popular pada era reformasi, kini boleh mengembalikan nostalgia tersebut pada malam ini, 31 Januari 2008 di Padang Bola Sepak, Taman Gombak Ria tidak jauh dari Markaz PAS Pusat, Taman Melewar jam 9.30 malam.

Program ini diberi nafas baru, Nostalgia Forum Perdana Ehwal Islam dengan menampilkan tiga tokoh ahli panel forum tersebut ketika era reformasi iaitu Dato' Dr. Hassan Ali, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Ia inisiatif penuh bermakna Majlis Tindakan Dun (MTD) Gombak Setia dalam memugar keinsafan ummat Islam khususnya di sekitar Gombak.

Program ini diharapkan mampu untuk menarik minat masyarakat untuk menimba ilmu agama dari pelbagai cara dan pendekatan.

PROF Dr ABDUL AZIZ BARI Jawab SANGGAHAN Zulhasmi Tentang ISU MAJISTRET!


By PROF DR ABDUL AZIZ BARI (UIAM)

KEBIASAANNYA saya tidak melayan tanggapan seperti itu tetapi oleh kerana ia telah dipetik oleh Malaysia-Today dan mungkin ramai yang telah membacanya maka saya terpaksa memberi respon kepada Sdr Zulhasmi yang menyanggah saya dalam Harakahdaily.

Saya berasa hairan kenapa Sdr Zulhasmi kelihatan marah dengan komen saya itu.

Apa pun sebabnya saya ingin menyatakan sebenarnya kalau nak sebut 'salah' atau 'gagal memahami' sesuatu itu berlaku kepada semua orang.

Sebab itu semua sistem mahkamah di dunia ini mempunyai mahkamah rayuan.

Ini diwujudkan kerana semua orang tahu bahawa siapa saja boleh terlepas pandang dan melakukan kesilapan.

Berapa ramai hakim mahkamah yang telah melakukan kesilapan yang kemudian menyebabkan hakim-hakim yang lain terikat dengan keputusan mereka?

Saya tak pasti Sdr Zulhasmi sedar akan kenyataan ini atau tidak.

Saya tetap mengatakan bahawa majisteret berkenaan tersalah memahami perlembagaan; khususnya kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara yang harus mengemudi undang-undang lain dan bukan sebaliknya.

Hatta kalau benar ada tekanan sekalipun apabila majisteret berkenaan mengeluarkan perintah sebagaimana yang dipohon oleh polis itu maka dia telah mengizinkan dirinya membuat satu keputusan yang tidak selaras dengan perlembagaan.

Dan kalau dia sedar bahawa keputusan itu bertentangan dengan kehendak perlembagaan maka itu lebih besar salahnya.

Bagi saya sesiapa yang diamanahkan menjadi hakim - baik majisteret, hakim mahkamah tinggi dan seterusnya - perlu berani. Dan mereka perlu tahu bahawa undang-undang melindungi mereka.

Sdr Zulhasmi seakan-akan cuba menyalahkan saya kerana saya gagal mendidik mereka. Saya ingin mengingatkan beliau bahawa saya mengajar manusia; saya bukan membuat barang atau mencipta mesin yang tidak akan berubah dan berkembang selama-lamanya.

Saya yakin semua pelajar saya matang dan mempunyai otak yang baik dan terpulang kepada mereka untuk menggunakan anugerah Allah s.w.t. itu sebaik-baiknya.

Mungkin elok jika Sdr Zulhasmi sendiri mengajar dan lihat sendiri prosesnya.

Saya ingin menyatakan bahawa manusia ini mempunyai potensi untuk berubah; sama ada makin baik atau makin buruk. Ada kalanya seorang pelajar yang begitu baik ketika belajar dengan tiba-tiba berubah setelah bekerja dan terpesona dengan godaan pangkat dan kebendaan.

Sdr Zulhasmi perlu sedar bahawa universiti hanya mengajar yang pokok; universiti tidak menyuap segala-galanya.

Saya fikir sesiapa yang sentiasa belajar dan rendah diri ia tidak akan tersesat dan melakukan kesilapan yang besar.

Pada saya kalau ada kelemahan dan kekurangan dengan graduan di luar sana, itu bukan salah universiti semata-mata. Individu berkenaan dan keseluruhan sistem kita perlu dipersoalkan sama.

Saya tak fikir Sdr Zulhasmi adil dalam menyuruh saya menulis untuk memberi penjelasan. Saya rasa saya sudah cukup banyak menulis dan terpulanglah kepada beliau untuk mencari mana-mana yang sesuai untuk menjelaskan ketidakfahaman dan kekeliruan beliau.

Saya sendiri banyak tugasan lain dan sebenarnya ramai lagi ahli akademik dan pengamal undang-undang (khususnya yang belum menghasilkan apa-apa tulisan) yang seharusnya diseru sama.

Saya tidak pernah mendakwa yang sayalah satu-satunya hamba Allah di negara ini yang ditugaskan untuk itu. Saya sekadar menyumbang mengikut kemampuan saya.

Selasa, Januari 29, 2008

MENYANGGAH Komentar PROF DR ABDUL AZIZ BARI Tentang Isu Terkini POLIS & MAJESTRET

Bukan majistret yang salah memahami undang-undang tetapi polislah yang menyalahgunakan undang-undang.

By ZULHAZMI (Harakahdaily)

SAYA ingin memberi respon kepada tulisan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari mengenai perkara tersebut.

Prof berkata: "Saya fikir majistret berkenaan telah salah dalam memahami undang-undang." Inilah ulasan yang membuatkan saya terpanggil untuk memberikan respon.

Adakah benar majistret berkenaan tersalah atau boleh tersalah dalam memahami undang-undang sedangkan mereka inilah yang mengadili dan / atau melindungi undang-undang?

Atau, mereka terpaksa memberikan perintah-perintah kelakar seperti itu kerana tekanan dari 'majikan' mereka.

Siapa majikan para majistret ini? Ini yang perlu diambilkira sebelum kita katakan majistret itu tersalah tafsir undang-undang atau sebaliknya.

Saya percaya, sebagai rakyat biasa tidak ramai yang tahu 'siapa itu majistret'?

1. Siapa majistret? Majistret adalah hakim yang mengendalikan kes-kes samada kes sivil atau jenayah di Mahkamah Majistret.

2. Siapa majikan para Majistret ini? Majikan mereka adalah Peguam Negara. Mereka tertakluk kepada Peguam Negara. Bukan seperti Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

3. Bagaimana mereka dilantik? Mereka dilantik oleh Peguam Negara melalui permohonan dan temuduga. Justeru segala keputusan, rekod penghakiman akan dinilai oleh Peguam Negara. Jika tidak bagus akan dipindahkan ke jawatan lain seperti penasihat undang-undang di mana-mana jabatan kerajaan seperti JPJ dan sebagainya.

4. Apa kelayakan mereka? Mestilah memegang Ijazah Undang-undang (LLB). Pengalaman? Tidak perlu. Kursus disediakan.

Majistret mungkin salah memahami perundangan?

"Itu pun hanya boleh dibuat secara tidak langsung; yakni melalui undang-undang sebagai mana Akta Polis atau AUKU. Saya fikir majistret berkenaan telah salah dalam memahami undang-undang. Perintah ini sebenarnya menyeret mahkamah ke kancah politik. Cuma yang menyedihkan ialah kenapa mahkamah mengeluarkan perintah itu? Siapa dia majistret yang berbuat demikian dan atas dasar apa? Undang-undang yang mana?"

Saya tertarik dengan perenggan di atas. Siapakah dia majistret yang berbuat demikian dan di atas dasar apa?

Saya percaya seseorang majistret yang dilantik mengisi jawatan tersebut mampu membuat keputusan dan penghakiman dengan bijaksana samada mereka berpengalaman atau tidak.

Siapa dia majistret yang berbuat demikian? Saya percaya pasti Prof sedar dan mengenali siapa majistret yang memberikan perintah larangan tersebut jika Prof tahu namanya.

Ini kerana, ada antara mereka adalah pelajar Prof sendiri di UIA. Prof. boleh periksa sendiri rekod majistret tersebut di UIA. Beliau dapat ijazah dari universiti mana?

Jika beliau tersalah memahami undang-undang seperti yang Prof. nyatakan, saya pasti kuliah beliau di UIA mengenai undang-undang perlembagaan tidak cukup untuk memberikan kefahaman kepada beliau.

Perbetulkan saya jika ada kesilapan. Prof. lebih pakar dalam hal ini. Justeru saya cadangkan Prof menulis suatu rencana berkaitan perkara ini agar masyarakat boleh menilai kenyataan Prof. yang berbunyi:

"Saya fikir majistret berkenaan telah salah dalam memahami undang-undang".

Pada fikiran saya, mereka ini bukannya kurang memahami undang-undang. Tapi mereka bekerja dalam tekanan.

Apabila sesuatu kes melibatkan politik, maka di sinilah tekanan mula memainkan peranan. Mereka berada dalam dilema.

Jika tidak memberikan perintah seperti yang dipohon polis, akan dikatakan melawan kerajaan, melawan Peguam Negara.

Apa akibatnya? Kemungkinan mereka akan dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Miri!

Mungkin akan dipindahkan menjadi pegawai draf undang-undang di Parlimen, mungkin juga akan diturunkan jawatan menjadi penasihat undang-undang di JPJ. Periuk nasi juga hendak dijaga.

Jika memberikan perintah seperti yang dikehendaki polis, masyarakat menyatakan majistret tidak faham undang-undang. Majistret berat sebelah. Inilah dilema para majistret.

Tetapi kalau kes-kes yang tidak melibatkan politik, saya percaya mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

Menurut hemat saya, bukan majistret yang salah memahami undang-undang tetapi polislah yang menyalahgunakan undang-undang.

Saya cadangkan supaya Prof. boleh menulis satu rencana mengenai perkara tersebut.

Akhirnya, saya memohon maaf jika segala tulisan ini menghiris hati mana-mana pihak. Niat saya cuma satu.

Mengelakkan kekeliruan supaya anak panah tepat menuju ke sasaran dan bukannya kepada yang tidak berkenaan.

Isnin, Januari 28, 2008

MAHKAMAH Kini Sudah DIPERALAT Polis? Undang-Undang Apa Yang DIPAKAI Untuk Halang/Tangkap PERHIMPUNAN AMAN? - Prof Dr Abdul Aziz Bari



Tidak pasti undang-undang apa yang dipakai mahkamah berkenaan dalam memberi perintah yang dipohon oleh polis untuk menyekat Perhimpunan Aman anjuran Bersih di Parlimen dan anjuran Protes di KLCC. Hanya Parlimen boleh menyekat hak di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Peranan mahkamah ialah mempertahankan hak itu. Tetapi kini, mahkamah pula menggantung atau menafikannya. Apa sudah jadi dengan isntitusi kehakamian kita?

By PROF DR. ABDUL AZIZ BARI (UIAM)
(Harakahdaily)

ADA beberapa hal yang perlu dinilai semula bagi mengelakkan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan rakyat ekoran tangkapan polis baru-baru ini.

Laporan Malaysiakini.Com menyatakan bahawa pihak polis, buat kali ketiga, mendapat perintah mahkamah untuk menghalang beberapa tokoh tertentu untuk mengadakan protes.

Yang pertamanya, ialah perintah mahkamah yang didakwa oleh polis itu hanyalah perintah Mahkamah Majistret.

Di sisi undang-undang mahkamah, hatta Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi negara, tidak boleh menggantung isi dan hak yang dijamin Perlembagaan.

Inikan masih lagi Mahkamah Majistret?

Yang kedua, kita tidak pasti undang-undang apa yang dipakai mahkamah berkenaan dalam memberi perintah yang dipohon oleh polis.

Apa pun, perlembagaan adalah undang-undang tertinggi dan undang-undang lain tidak boleh mengatasinya. Mahkamah tidak boleh mengambil 'precedent' dari England kerana negara itu tidak mempunyai undang-undang bertulis.

Yang ketiga, hanya Parlimen boleh menyekat hak di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Peranan mahkamah ialah mempertahankan hak itu. Bukannya menggantung atau menafikannya.

Majistret mungkin salah memahami perundangan?

Itu pun hanya boleh dibuat secara tidak langsung; yakni melalui undang-undang sebagai mana Akta Polis atau AUKU. Saya fikir majistret berkenaan telah salah dalam memahami undang-undang.

Perintah ini sebenarnya menyeret mahkamah ke kancah politik. Cuma yang menyedihkan ialah kenapa mahkamah mengeluarkan perintah itu?

Siapa dia majistret yang berbuat demikian dan di atas dasar apa? Undang-undang yang mana?

Apa pun seperti yang disebut di atas, tiada undang-undang yang boleh mengatasi perlembagaan. Mahkamah seharusnya membezakan kes ini dengan perintah biasa. Ini bukan kes sivil atau kes cerai dan lain-lain.

Sekarang, kita bercakap soal perlembagaan, yakni undang-undang awam bukan undang-undang keluarga atau undang-undang sivil tentang hubungan sesama individu yang tiada kena-mengena dengan hak awam.

Ini bukan kes melibatkan pergaduhan suami-isteri atau jiran tetangga yang mahkamah boleh mengeluarkan perintah seperti itu.

Nampaknya, majistret lupa kedudukan dan signifikan perlembagaan. Polis memang sudah lama tidak mempedulikan perlembagaan.

Dengan itu, tak timbul soal menghina mahkamah sebab perintah itu pun diragui kesahihannya. Dan apakah Mahkamah Majistret berkuasa menghukum apa yang dipanggil sebagai menghina mahkamah itu?

Perkara 126 dalam perlembagaan telah menyatakan bahawa kuasa menghukum itu berada di tangan Mahkamah Tinggi ke atas. Mahkamah Majistret adalah mahkamah rendah.

Agak jelas polis sudah kian terdesak dan kita tidak pasti apakah ini nasihat yang diberi oleh Peguam Negara?

Agensi-agensi ini perlu memahami prinsip-prinsip dasar perlembagaan. 'Go to the basics!'

Adi Putra MILIKI Deria GERAK HATI Luar Biasa!

Adi Putra & ayahnya pernah turun sendiri ke kampung mangsa untuk mencari mayat hilang di sebatang sungai dari tengah malam sampai pukul 5 pagi. Kemudian Adi Putra balik. Sekitar 7 pagi, keluarga mangsa telefon memberitahu mereka sudah menemui mayatnya masih dalam keadaan baik!

By ZAMRI RAMBLI
(Harian Kosmo)

GENIUS matematik dari Bagan Serai, Adi Putra Abdul Ghani berusia genap sembilan tahun hari ini. Saya pertama kali bertemu Adi Putra pada November 2005 di rumah datuknya di Tanjung Malim, Perak.

Dalam pertemuan itu, Adi Putra telah menyelesaikan masalah darab matematik sepantas empat saat, sedangkan saya baru separuh jalan menekan punat nombor kalkulator. Adi baru berusia enam tahun ketika itu.

Saya juga terkejut dengan kepantasan Adi Putra mencongak, beberapa kiraan pendaraban yang lain seperti ribu dengan ribu, pengiraan isi padu silinder, pecahan dan perpuluhan di atas.

Dalam diam, saya mengagumi kepintaran Adi Putra dan sekali sekala berasa diri saya kerdil di hadapannya.

Dua tahun kemudian, minggu ini, saya teruja lagi dengan pemilik wajah comel ini - Adi Putra dikatakan memiliki kelebihan lain selain matematik iaitu apa yang dipanggil deria keenam atau gerak hati.

Ahad lepas, Adi Putra berkunjung ke rumah keluarga Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang di Taman Medan, Petaling Jaya, sejak 9 Januari lalu. Menurut Adi Putra, beliau sedang cuba mencari Sharlinie menggunakan 'caranya'.

Ketika lawatannya, Adi Putra turut memberikan formula berbentuk pil bagi menenangkan perasaan ibu dan bapa Sharlinie selain pergi ke padang tempat Sharlinie dilihat sebelum kehilangannya.

Kemudian, Adi Putra membawa sekumpulan anggota polis ke Ulu Yam, Gombak selepas mendapat petunjuk Sharlinie pernah berada di situ.

Walaupun, kecewa kerana hanya mendapat jejak kosong, penemuan satu tulisan bertulis 'media' di atas tanah memang mengejutkan.

Ia dikatakan ditulis oleh penculik terbabit yang marahkan pihak media.

Menurut bapanya, Abdul Ghani Abdul Wahid, 49, sebenarnya ini bukanlah bantuan pertama yang diberikan oleh Adi Putra berkaitan orang hilang.

"Pernah sekali seorang kanak-kanak dipercayai lemas sudah 18 hari tidak ditemui. Keluarganya datang untuk minta tolong kalau-kalau boleh diberi petunjuk walaupun hanya untuk dapatkan tulang anaknya.

"Kami turun sendiri ke kampung mangsa untuk mencari. Bayangkan kami mencari di sebatang sungai dari tengah malam sampai pukul 5 pagi.

Kemudian Adi Putra ajak balik. Sekitar pukul 7 pagi, keluarga mangsa telefon memberitahu mereka sudah menemui mayatnya dan ia masih dalam keadaan baik," cerita Abdul Ghani.

Akui beliau, Adi Putra tidak mahu menemui mayat mangsa secara terus kerana tidak suka mendabik dada.

"Adi Putra usahakan dan biarkan orang lain yang temui, jadi orang tidak terlalu mengaitkannya dengan Adi Putra," katanya.

Dan Khamis lalu, saya berpeluang berbual santai dengan Adi Putra untuk menyelami kepintaran matematiknya dan bagaimana anak kecil ini melihat dunia. Saya juga ingin memahami sisi lain seorang Adi Putra.

Saya dibenarkan menemu bual Adi Putra secara bersendirian tanpa ditemani ibu bapanya - sesuatu yang jarang diperoleh media lain.

"KASIH ibu. Serihana Elias dan suami terus mencari formula terbaik untuk membesarkan anak genius mereka."

Sepanjang temu bual itu, sambil mulutnya semakin lancar menjawab soalan saya (berbanding dua tahun lalu dia lebih pendiam), tangannya juga pantas menekan punat permainan video.

Dan sebelum saya pulang, Adi Putra sempat berpesan: "Untuk abang, Adi nasihatkan baca Alam Nasyrah (surah al-Insyirah) setiap hari."

Saya tanya kenapa surah itu? Jawab Adi: "Untuk rezeki abang." Dan untuk kesekian kalinya, saya melihat keistimewaan Adi Putra dan ia sukar diterangkan.

Selebihnya, Adi Putra seperti kanak-kanak sebayanya - makan KFC, gemar menonton siri kartun Naruto, menunggang motosikal mini dan meminati penyanyi Adam AF2.

Ramli TOLAK DAKYAH Wasilah Diserah Kembali Kepada DATO' HUSAM!

Sebarang kenyataan sama ada Mingguan Wasilah akan diserahkan kepada Dato' Haji Husam kembali atau kini dibawah kendalian Syarikat Dian Daulnaim sebagaimana yang didesas-desuskan adalah merupakan dakyah-dakyah liar yang sangat tidak bermoral - Ramli Abdul Halim

By RAMLI ABDUL HALIM

DALAM kesibukkan saya membuat semakan layout Fajar Islam dan semakan akhir buku-buku yang bakal diterbitkan, saya dikejutkan dengan pertanyaan seorang rakan dari PKR benarkah Mingguan Wasilah akan diserah semula kepada Dato' Haji Husam kerana saya tidak mampu untuk gerakkannya kerana masalah modal.

Rakan dari PKR itu mendapat cerita itu dan kononnya dijaja oleh seorang wakil rakyat Pas di Tumpat. Beliau minta pengesahan saya.

Pada kesempatan ini saya INGIN MENEGASKAN BAHAWA MINGGUAN WASILAH TIDAK AKAN DISERAHKAN KEPADA SESIAPA LAGI UNTUK DIURUS TERBIT.

Sehingga bulan September tahun ini...Mingguan Wasilah adalah dibawah seliaan Yusri Yusoff sebagai Pengarang... sebelum beliau berangkat ke UK menyambung pelajarannya.

Selepas tarikh itu saya akan mengiklankan untuk mendapatkan Pengarang baru yang ada keupayaan mewajahkan Mingguan Wasilah seperti wajahnya sekarang atau pun lebih menarik dan berkualiti lagi dari sekarang.

Sebarang kenyataan sama ada Mingguan Wasilah akan diserahkan kepada Dato' Haji Husam kembali atau kini dibawah kendalian Syarikat Dian Daulnaim sebagaimana yang didesas-desuskan adalah merupakan dakyah-dakyah liar yang sangat tidak bermoral.

Saya cukup berpuashati dengan wajah dan sambutan terhadap Mingguan Wasilah sekarang.

Ianya samalah seperti mana kegemparan yang berlaku di Kuala Lumpur, malah khabarnya diisytiharkan dalam mesyuarat bahawa Mingguan Wasilah telah dibeli oleh Umno apabila saya menarik balik permit Mingguan Wasilah...walhal Umno tidak tahu menahu, apatah lagi terlibat dalam apa-apa pun keputusan saya menarik balik permit Mingguan Wasilah.

Kalau Umno benar-benar berhajat mahu membeli dan menawarkan harga yang boleh menjadikan saya hidup senang lenang... kenapa saya tak sanggup jual jika pertauran KKDN membolehkan saya menjualnya.

Malah jika Pas ke, DAP ke, PKR ke sanggup mahu membayar dengan harga yang tinggi dan seandainya tidak bercanggah dengan peraturan KKDN... kenapa saya tidak sanggup jual.

Tapi ada ke yang nak beli sekeping kertas bernama permit dengan bayaran RM1 juta atau RM5 juta. Kalau tak sanggup bayar sebanyak itu... lebih baik lupakan saja.

Untuk makluman dalam tanah pusaka peninggalan ayahnda... ada tiga kurang dari 500 pokok depu. Kalau harganya RM1,000 sepokok maknanya saya akan dapat hasilnya RM500,000.

Ertinya kalau nak beli permit saya... kena dengan harga RM1 sejuta ke atas. Saya difahamkan ada pimpinan besar parti yang sebut dalam perjumpaan dengan kakitangan Harakah dan Siasah kononnya Mingguan Wasilah 'takleh gi' dan ada permintaan dari pemilik permit supaya urusan penerbitannya diserahkan semula ke Hasrat Tinta yang kononnya selepas ketiadaan Mingguan Wasilah... ianya menjadi agensi berita yang akan bekalkan berita dan iklan kepada Harakah dan Siasah sebagai fungsi barunya.

Permilik permitnya adalah saya. Untuk sepanjang hidup saya...saya tidak pernah mabuk...sasan...sasau...meracau atau celebe tidak tentu kelu untuk memungkinkan saya ada menyebut apatah lagi merayu dan memujuk supaya Mingguan Wasilah diterbitkan kembali oleh Hasrat Tinta.

Kalau ada desas-desus timbul atau ada pihak yang mendakwa mewakili saya...ianya adalah satu bentuk penipuan yang sangat nyata.

Seorang rakan yang diminta mencarkan saya sebuah rumah di KL untuk dijadikan stor dan tempat pemandu dan eksekutif berehat sebelum mereka berkejar ke kawasan tengah, selatan, utara dan timur menggunakan lima buah van datang ke Kota Bharu untuk melihat sendiri keadaan pejabat yang saya baru di buka.

Kononnya, di KL telah tersebar cerita kononnya pengurusan pejabat saya telah bertukar tangan dan saya sendiri sudah tidak boleh masuk pejabat.

Sesampainya di Kota Bharu, rakan berkenaan menelefon saya dan bertanya saya sedang berada di mana. Bila saya kata berada di pejabat...dia macam tidak percaya dan meminta supaya saya jangan bergurau kerana dia serius.

Bila dia datang ke pejabat...dia terkejut beruk melihat saya sedang membuat pindaan layout majalah Fajar Islam dengan para petugas di unit pemasaran, reka bentuk dan pentadbiran am kalut dengan kerja masing-masing.

Unit pengiklanan akan memulakan tugas pada 1 Februari. Bila saya tanya tentang rumah yang disuruh sewa... dia kata dia tak berani nak cari kerana dimaklumkan saya sudah dihalau dari syarikat... orang lain dah ambil alih... dah beli.

Yang peliknya kenapa cerita-cerita yang tidak betul ini boleh berlaku. Hebat sangatkah saya? Bahaya sangatkah saya kepada Pas?

Sebenarnya saya merancang selain dari ada pejabat cawangan di KL saya bercadang akan membuka pejabat cawangan Utara sama ada di Kedah atau Pulau Pinang dan pejabat cawangan Wilayah Selatan di Johor serta pejabat Wilayah Timur A di Temerloh bagi memudahkan kerja-kerja pengedaran, sekaligus akan mengurangkan kos pengangkutan.

Macam mana pula saya boleh timbul cerita saya jual syarikat dengan begitu mudah. Yang peliknya juga macam mana tokoh besar Pas dan wakil rakyat Pas boleh kata Mingguan Wasilah akan diserahkan kembali kepada pihak yang diberi hak menerbitkannya sebelum ini.

Macam mana tokoh bertaraf pemimpin dan wakil rakyat boleh buat andaian dan menyebar dan menjaja maklumat yang tidak tepat.

Tindakan sedemikian sebenarnya boleh merosakan prestasi dan reputasi tokoh pemimpin dan wakil rakyat terbabit... saya tak ada jejas apa-apa kerana saya hanya kelas marhain sahaja... ada nilai apa-apa pada kacmata masyarat.

Betul kata anak kecil saya... biarlah si luncai terjun dengan labu-laubnya. Entah dari mana ungkapan itu dia tahu dan kutip... tak tau 'lah pula saya.

Bagaimanapun, melayan budak-budak bercakap... jauh lebih menyeronokkan dan menginfokan kepala dan dada dengan informasi berbanding dengan mendengar sebaran dakyah murahan wakil rakyat dan pimpinan parti yang takbur dengan merasakan diri hebat... dan dengan kuasa, dengan kedudukan dan pitih yang ada... semuanya boleh dibeli dengan mudah.

Podahhhhh!.

Usaha SINGKIR Adun Bota, DATO' CHE RI DAUD?

Zaim (bersongkok hitam) amat disenangi oleh pengundi kerana memiliki PR yang baik namun pernah ditewaskan oleh PAS melalui calonnya, Dr. Faizol Muhamad dalam pilihan raya 1999.

By TARMIZI MOHD JAM

ADUN Bota yang mewakili BN, Dato' Che Ri Daud dikatakan berada dalam dilema apabila Umno Bahagian Parit, Perak makin kuat untuk "menyingkirkan" beliau dari terus mewakili Dun itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut sumber Umno Parit, Che Ri yang berasal dari Batang Padang, Tapah bukan sahaja dibenci oleh ahli-ahli Umno dan pengundi Bota tetapi khidmatnya yang tidak berkesan sudah menjadi buah mulut Umno Perhubungan Perak.

Che Ri yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian, telah dipilih dalam pilihan raya umum 2004 lalu bertanding di Dun Bota menggantikan Cikgu Ismail Hasbollah yang tewas pada calon PKR sebelum ini.

Cikgu Ismail, anak tempatan berasal dari Kg. Telok Bakong, seorang pesara guru telah tidak dipilih semula ekoran kekalahannya ditangan PKR pada pilihan raya umum 1999.

Sepanjang khidmatnya dari 1995-1999, Cikgu Ismail bukan sahaja tidak disenangi oleh ahli-ahli Umno tetapi penduduk-penduduk Bota amat bosan dengan sikap angkuh dan sombong tidak bertempatnya serta beliau seorang wakil rakyat yang tidak mesra rakyat.

Umno Parit dijangka merombak calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kali ini dengan memindahkan Ketua Bahagiannya yang kini Adun Blanja, Dato' Zaim Abu Hassan ke Parlimen Parit.

Sementara Ahli Parlimen Parit sekarang, Dato' Nasharuddin Hasyim yang juga Pengerusi Felcra Berhad akan berentap di Dun Bota, menggantikan Che Ri Daud yang menunjukkan khidmat buruk kepada pengundi.

Nasharuddin yang juga anak tempatan Bota Kiri dijangka akan dilantik menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri Perak, sekiranya menang di Dun Bota.

Koata Exco itu dikatakan mengambilalih posisi Exco Belia & Kebudayaan dan Agama yang diterajui Zaim sekarang.

Tempat yang akan dikosongkan oleh Zaim di Dun Blanja dijangka akan diisi oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian itu, Ustaz Nizar.

Desas-desus ini kian bertiup kencang ekoran kebimbangan mereka berdepan dengan kekalahan pada calon-calon PAS dan PKR seperti dalam pilihan raya umum 1999.

Rombakan ini adalah sebahagian dari strategi Umno Parit untuk mengekalkan kemenangan.

Pada pilihan raya 1999, Umno Parit dimalukan semahunya apabila PAS berjaya menumbangkan BN di Parlimen Parit melalui YDPnya, Ustaz Basir Rahmat dan Dun Blanja melalui Dr. Faizol Fadli Muhamad. Sementara Dun Bota dimenangi Usaili Alias dari PKR.

Menurut sumber dari Titi Gantong, PAS Kawasan tersebut dijangka akan mempertaruhkan Ketua Muslimatnya, Dr. Najihah Ahmad di Parlimen Parit.

Jika ia benar-benar terjadi, ini adalah kali pertama PAS Perak dan PAS Parit mencalonkan calon pilihan raya dari kalangan muslimat.

Sementara itu, PAS Parit juga dikatakan mengubah strategi dengan meletakkan mantan calon Parlimen PAS yang lalu, Ustaz Ismi Muhd Taib bertanding di Dun Blanja.

Dun Bota pula kekal akan ditandingi mantan Adunnya, Usaili Alias dari PKR sekalipun dikatakan terdapat usaha-usaha PAS Parit untuk merampas kembali Dun itu dari PKR sebelum ini!

Wow! BAKI 5 Minit Lagi Klip Video VK Linggam Yang MENYENGAT!!

Rakyat belum yakin dengan prosiding dan keputusan prosedur yang dibuat para Suruhanjaya Diraja setakat ini. Kini ada 5 minit lagi baki klip video VK Linggam untuk patut disiasat untuk membersihkan institusi Kehakiman dari pelbagai persepsi buruk!

By TARMIZI MOHD JAM

HARI ini Anwar Ibrahim mendedahkan segmen ketiga rakaman video peguam VK Lingam yang diberikan kepadanya oleh seseorang pada Jumaat lepas, 25 Januari.

Katanya, klip ini memberikan bukti tambahan bahawa konspirasi yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Diraja melangkaui usaha melantik Ahmad Fairuz ke Mahkamah Persekutuan.

Segmen 5 minit ini tegas Anwar yang juga Ketua Umum PKR, secara langsung telah mengaitkan bekas Ketua Hakim Negara, Dzaiddin Abdullah yang didakwa menerima rasuah dari VK Lingam dan Vincent Tan agar beliau (Dzaiddin) tidak mengkritik kedua-dua individu tersebut secara terbuka.

Dzaiddin Abdullah merupakan Ketua Hakim Negara antara Disember 2000 hingga 2003. Di dalam video tersebut disebut VK Lingam menyatakan: “Dan kita telah memberikan beliau hadiah paling mahal. Jangan tanyalah apa bendanya. Saya telah beri kepadanya dan Vincent Tan telah berikan kepadanya.”

Menurut Anwar, meskipun pada awal penubuhan Suruhanjaya Diraja telah memberikan rakyat Malaysia harapan agar kewibawaan dan integriti Kehakiman dapat dipulihkan, namun jelasnya PKR belum yakin dengan prosiding dan keputusan prosedur yang dibuat para Pesuruhjaya setakat ini.

Suruhanjaya Diraja, tambahnya lagi, mestilah dapat menjunjung ketelusan dan integriti agar tidak kelihatan merosakkan lagi imej sistem kehakiman negara.

"Saya dengan ini menyerahkan bukti terbaru ini kepada orang ramai dan menyatakan kesediaan bekerjasama sepenuhnya dengan prosiding Suruhanjaya selama ini." Ujar Anwar dalam satu kenyataan ringkasnya.

Anwar DEDAH Satu Lagi Klip Video "SKANDAL" Hari Ini 28 Jan 2008 (Isnin)!

Anwar dedah ada satu klip video baru yang mengaitkan Peguam VK Lingam,para hakim pilihan serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan didedahkan kepada media hari ini 28 Jan 2008 (Isnin)

By AGENDADAILY

GEMPAR apa pula kali ini? Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dakwa beliau ada satu klip video baru yang mengaitkan peguam VK Lingam,para hakim pilihan serta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut posting dalam laman blognya Anwar Ibrahim Blog.Com, Anwar mendakwa beliau memperolehi klip video itu sekembalinya dari Hong Kong Jumaat lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan berapa lama rakaman klip itu dan sumber yang memberinya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau akan mendedahkan klip video itu hari ini (Isnin).

Sehingga berita ini ditulis Ahad malam,beliau belum menyatakan dimana klip video itu akan didedahkan.

“Tunggu dan saksikan adegan menarik Isnin nanti inshaAllah.Apa pula kata ahli Suruhanjaya? Tidak relevan, lupa, atau bukan bidang kuasa kami?,”katanya.

Klip video Lingam yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Diraja didedahkan dalam satu sidang akhbar di pejabatnya.

Sementara itu Suruhanjaya Diraja dijangka akan membuat keputusan Isnin samada akan memanggil Anwar sebagai saksi untuk memberi keterangan dalam siasatannya.

KERJA KUAT belum tentu menang, tak buat kerja DAH PASTI KALAH!!

Pemimpin PAS, PKR terus ditangkap dan dihadapkan dengan pelbagai ugutan. Ini juga sebahagia dari usaha kita untuk menang dan menyelamatkan rakyat tertindas...

By SUHAIMI SAID

SAYA ditakdirkan terlibat bekerja dengan kawasan yang sangat sukar, pekat biru. Hari-hari kena buat kerja, kena jumpa masyarakat, kena edar isalah, kena buat ceramah, kena buat minum petang, kena ada ceramah petang dan ceramah malam.

Sokongan bertambah dari masa ke masa, tapi jauh lagi dari cukup. JDM dah banyak dapat ditubuhkan, tapi jauh dari cukup.

Keahlian banyak bertambah, tapi jauh dari cukup. Bendera dah naik disana sini, tapi jauh dari cukup.

Kerana itu kena buat kerja dan buat kerja. Entah bilalah akan cukup. Jangan berpuas hati. Tumpukan kepada kerja. Buat kerja belum tahu menang, tapi kalau tak buat kerja dah pasti tak menang!

26.01.08, Bob Manolan dan beberapa orang rakannya akan membantu saya berceramah di Kg Penderas dan Kg Pian. 28.01.08 akan diadakan ceramah di Kg Bukit Damak, Pelong.

1.2.08 Dr BadrulAmin akan berceramah jam 9.00 mlm, di Kg Kuala Mai Baru. 3.2.08 jam 9.00 mlm.

Dato Tuan Ibrahim Tuan Man akan berceramah di Felda Jenderak Utara. Kerja lain, tindakan lain, usaha lain -- sedang diatur.

Tapi semua itu belum cukup. Belum cukup untuk menang, tetapi kemenangan itu adalah hak Allah, kita hanya berusaha! Dan saya sangat malu kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Di mana dia dapat tenaga, tak henti-henti kerja. Itulah usaha kearah kemenangan, marilah kita semua berusaha dan lipat kaligandakan usaha kita -- untuk menang!

2008: Selepas 18 Tahun BERKUASA, Kini Giliran KELANTAN Ditumpaskan?

Mampukah PAS Kelantan pertahankan kuasa yang sudah 18 tahun digenggamnya? Selain TG Nik Aziz, Husam Musa dilihat pemain utama yang mampu menafikan cita-cita Umno untuk menguasai Kota Darul Naim.

By BERNAMA

SUASANA politik ketika ini meyakinkan banyak pihak bahawa selepas 18 tahun Kelantan berada di bawah pentadbiran PAS, masanya sudah tiba bagi Barisan Nasional (BN) untuk kembali menerajui jentera pentadbiran kerajaan negeri.

Penganalisis politik berpendapat sokongan rakyat kali ini akan beralih kepada BN, yang sebelum ini mentadbir Kelantan selama 18 tahun, sebelum ia dijatuhkan PAS dalam pilihan raya umum pada tahun 1990.
Bagi kalangan pemimpin BN, nombor 18 adalah angka penting dalam usaha mereka menjulang kembali maruah parti itu di mata rakyat, sekaligus memenangi pilihan raya umum ke 12 ini untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Sungguhpun PAS yakin bahawa rakyat tidak mempunyai sebab menolak mereka di Kelantan, namun bagi BN, tempoh masa 18 tahun pemerintahan PAS sudah cukup membuat rakyat Kelantan menderita dan sudah tiba masanya penderitaan itu ditamatkan.

"Kembalilah ke pangkuan BN, agar kita dapat bawa perubahan kepada negeri Kelantan," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Annuar Musa.

Beliau berkata BN Kelantan kini berada pada kedudukan terbaik untuk kembali menyapu bersih 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum kali ini.

"Ya, kita berada pada kedudukan terbaik dan mempunyai barisan pemimpin berkaliber untuk mencorakkan kembali negeri Kelantan yang ketinggalan ini," katanya.

Perubahan suasana politik itu turut dirasai sebuah parti komponen BN yang baru bertapak di Kelantan iaitu Parti Progresif Penduduk (PPP), yang turut menyuarakan keyakinan BN bakal kembali menguasai Kelantan.

Pengerusinya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata walaupun hampir setahun PPP bertapak di Kelantan, kini sudah lebih 3,000 penduduk Kelantan menyertai parti itu.

"Kita gembira dengan sambutan baik ini, dan anggota baru ini kebanyakan daripadanya adalah kalangan bekas penyokong PAS dan pengundi atas pagar sebelum ini. Kita yakin BN kembali kuat dan perpaduan yang saya lihat antara parti komponen kini semakin jitu," katanya.

Pilihan raya umum 1990 meninggalkan kenangan pahit kepada BN apabila ia kalah teruk 390 kepada PAS, seakanakan merebahkan terus parti gabungan itu, dan pilihan raya berikutnya menyaksikan BN masih terumbang-ambing dalam usaha meyakinkan penduduk Kelantan.

Pada pilihan raya umum 1995 BN memenangi tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen manakala pada 1999 kedudukan BN merosot kembali dengan hanya memenangi dua kerusi DUN dan satu Parlimen.

Namun pada pilihan raya umum 2004 kepercayaan rakyat terhadap BN khususnya Umno begitu mengejutkan PAS, apabila BN menguasai 21 daripada 45 kerusi DUN dan memenangi sembilan daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

Kedudukan PAS semakin terancam apabila BN merampas DUN Pengkalan Pasir pada pilihan raya kecil Dis 2005 menjadikan bilangan kerusi yang dipegangnya kepada 22 kerusi berbanding 23 bagi PAS.

Ada pemerhati politik berpendapat BN sepatutnya memenangi Kelantan pada pilihan raya umum 2004 kerana pada tahun itu rakyat di seluruh negara memberikan majoriti yang tinggi kepada BN dan ia adalah persembahan terbaik BN.

Annuar percaya rakyat Kelantan bijak menilai yang mana batu dan yang mana permata setelah melihat kegagalan PAS memerintah Kelantan.

Katanya jurang kemiskinan di Kelantan terus melebar dan lebih 200,000 rakyatnya terpaksa berhijrah keluar untuk mencari pekerjaan, manakala defisit terkumpul belanjawan negeri pula menghampiri RM400 juta setakat 2006 sementara hutang terkumpulnya sudah hampir RM1,000 juta.

Beliau berkata bilangan rakyat miskin tegar dianggarkan hampir 25,000 orang di Kelantan, jumlah tanah terbiar dianggar 40,000 hektar (100,000 ekar), dan Kelantan juga mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi dalam negara, dengan pendapatan perkapita rakyat antara yang rendah.

"Semakin lama PAS memerintah Kelantan semakin lama negeri ini akan ketinggalan dan rakyatnya akan terus menderita," katanya.

Tarmizi, Maafkan Teman Kerana KETAWA Hari Ini! Respon Artikel "Anwar Boleh Saja Tanding Di MARANG & PANGKALAN CHEPA!"

TG Nik Aziz & Haji Hadi cukup kagum dengan Anwar. Jadi, secara simboliknya, tentu sekali kerusi Pangkalan Chepa dan Marang boleh saja diserahkan kepada Anwar. Soal dia boleh bertanding atau tidak, hanya isu teknikal...

By SHEIKH TELUK INTAN

BUKAN teman sengaja nak tergelak, tapi nak buat macam mana, tak tertahan hati teman dijentik oleh kegelian yang akhirnya menyebabkan teman tak dapat mengelak untuk tergelak.

Maafkan teman kerana tergelak wahai kawan-kawan, termasuklah , kawan teman yang berasal dari satu negeri, yang bernama Tarmizi Mohd Jam yang telah lama teman kenali.

Teman akui dia memang seorang penulis politik yang hebat. Banyak buku-buku tentang isu politik Malaya yang telah beliau tulis.

Teman pun pernah membantu Tarmizi mencetak , majalah yang beliau terbitkan pada tahun 1993. Teman sayang padanya sebagai seorang kawan.

Sekira, teman ada masa yang terluang , teman jenguk juga blognya: SanggahtokSago. Blognya pun bagus kalau dibandingkan dengan blog teman yang serba serbi ,lekeh!

Sekali lagi, teman nak mohon ampun pada kawan-kawan, termasuk Tarmizi kerana cukup suka menulis tentang kawasan Parlimen yang mana satu, Tuan Haji Anuar Ibrahim, mantan Presiden ABIM dan Timbalan Perdana Menteri Malaya akan bertanding dalam pilihanraya umum nanti.

Dan dalam tulisan terbarunya yang teman baca di TranungKite Online pada hari ini, Tarmizi menulis tentang kawasan-kawasan yang dikatakan akan diberi laluan kepada Tuan Haji Anwar Ibrahim untuk bertanding. Beliau menyatakan:

"Sehingga kini, belum ada suatu sumber yang sah berkenaan posisi kerusi yang akan ditandingi Anwar. Sebagai tokoh perdana, dia boleh bertanding di mana-mana sahaja.

Malah saya yakin jika Anwar mahu bertanding di Marang atau Pangkalan Chepa sekalipun, Tok Guru Nik Aziz dan Haji Abdul Hadi Awang tiada keberatan untuk menyerahnya.".

Mizi oh mizi,tidakkah mike sedor, Bang dollah pada bila-bila masa saja akan membubarkan Parlimen.

Bukan teman yang cakap, tetapi ramai pemimpin Pas dan PKR sendiri yang meramalkan bahawa pilihanraya akan diadakan selepas Hari Raya China atau selewat-lewatnya bulan Mac.

Jadi, apakah kes , Mizi meraban bahawa Anwar boleh bertanding dimana-mana sahaja di Malaya, sedangkan satu Malaya tahu bahawa Ketua Umum PKR itu hanya layak bertanding selepas tempoh edahnya tamat pada pertengahan bulan April 2008 berdasarkan undang-undang Malaya.

Lainlah halnya, kalau Bang dollah sengaja memilih untuk membubarkan Parlimen pada bulan April kerana dia merasakan dia sudah terlalu kuat dan hebat dari Anwar ataupun dia sengaja mahu memberi peluang pada Anwar bertanding dalam Pilihanraya Umum, untuk tujuan dia dan menantunya sahaja yang tahu.

Dalam politik apa yang kita anggap mustahil berlaku, akhirnya boleh berlaku juga.

Kalau Tarmizi dan kawan-kawan tersangat kepinggin supaya Tuan Haji Anwar bertanding dalam PRU nanti, cubalah korek-korek dan letupkan beberapa isu yang lebih besar yang tak diketahui umum yang secara alami akan membuat Bang Dollah tersepit dan memaksanya untuk tidak membubarkan Parlimen sehingga isu-isu yang diletupkan disini sana mengambil masa untuk diamankan, yang akhirnya melayakkan Tuan Haji Anwar bertanding.

Teman pun mahu melihat Anwar bertanding dalam pilihanraya nanti. Kalau dia menang, teman nak tengok adakah dia akan kekal bersama Barisan Alternatif, yang teman rasakan adalah satu pakatan yang masih rapuh.

Walaubagaimanapun sebagai tanda kasih sayang teman pada Pas, teman dengan rasa rendah diri, meminta supaya pemimpin-pemimpin Pas berhati-hati dengan permainan politik Anwar yang telah sekian lama beremdam dalam lubuk busuk, UMNO.

Pemimpin tertinggi Pas janganlah terlalu lurus bendul bila bersama dengan manusia yang bernama Anwar Ibrahim kerana beliau pernah kianat pada perjuangan Islam dan pada tahun 1982 pernah menikam Pas dengan menyertai UMNO, sebuah parti yang teman anggap sebagai paksi segala kejahatan di Malaya!

Mizi kawanku, sekali lagi teman mohon maaf kerana ketawa! Tak dapat teman tahan hati ini dari digeteletik oleh rasa geli yang tak terhingga dengan tulisan Mizi dan andaikata teman tersilap kerana kurang faham tentang maksud Mizi bahawa Anwar Ibrahim boleh bertanding dimana-mana di Malaya, maka ketawakanlah teman sepuas-puasnya.

Teman reda. Tak jadi hal! Bukanlah nama kawan, kalau kita tak pandai bergurau senda di antara satu sama lain!

Teks Sasterawan Negara DIBUANG Dari SEKOLAH?

By ANWAR IBRAHIM

CADANGAN Kementerian Pelajaran untuk menggantikan karya-karya para Sasterawan Negara dan penulis tersohor kita dengan penulis-penulis semasa yang dianggap popular di dalam mata pelajaran bahasa dan sastera di sekolah amat mengejutkan dan harus dibantah oleh semua yang menghargai nilai sastera dan warisan khazanah budaya negara.

Rancangan tersebut, yang dicadangkan untuk dilaksanakan pada 2010, dikatakan akan merangkumi penyingkiran karya tokoh-tokoh seperti Shahnon Ahmad, Usman Awang dan Samad Said, untuk digantikan dengan para penulis yang belum lagi terkenal ataupun penulis yang belum diiktiraf para karyawan.

Kekayaan khazanah sastera mencerminkan ketinggian budaya sesebuah masyarakat, dan para sasterawan ini telah membina khazanah tersebut secara berterusan selama ini.

Adakah kerajaan meluahkan penghargaan terhadap sumbangan mereka selama ini dengan tindakan sebegini?

Kami tidak membantah penggunaan teks penulis semasa yang dianggap popular sekadar memberikan pendedahan kepada pelajar tetapi galakan ini tidak seharusnya mengorbankan karya-karya agung bangsa.

Di dalam perkara ini, selain dari mengembangkan karya-karya Bahasa Malaysia, kerajaan mesti turut mengambil peranan proaktif dalam mengembangkan sastera di dalam bahasa-bahasa lain terutamanya minat membaca hasil-hasil klasik sama ada di dalam Bahasa Inggeris, Cina mahupun Arab.

Pendidikan ialah hak asas semua rakyat dan menyediakan pendidikan yang bermutu ialah tanggungjawab pihak berkuasa.

Meskipun Kementerian Pelajaran dalam sepuluh tahun kebelakangan ini sememangnya tidak dikenali kerana dasar dan tindakan yang munsabah, namun cadangan terbaru ini teramatlah tidak masuk akal, malah lebih dikesali andainya ia dibuat atas perkiraaan politik.

Jelas sekali, tidak ada sebarang manfaat daripada cadangan ini. Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang prihatin untuk membantah cadangan yang dikira dangkal dan merendah darjat budaya bangsa.

Benarkah ANWAR Perkakas Anak Badawi Control DAP & PAS Diluar Umno?

Anwar control Lim Kit Siang bagi mempastikan DAP mengikut telunjuknya...

Anwar control TG Haji Abdul Hadi untuk jinakkan PAS bagi kepentingan anak Badawi? Logik tak sifir ini?

By KAPAK JANGAK

KALAULAH tidak dengan kebijaksanaan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini Dato' Seri Anwar Ibrahim masih lagi merengkok di penjara Sungai Buloh. Itu hakikatnya.

Keakraban hubungan antara keluarga Anwar dan keluarga Abdullah terserlah apabila sebaik sahaja dibebaskan, menantu Abdullah iaitu Khairy Jamaludin telah melakukan "political suicidal" dengan menghantar sendiri dengan tangan passport Anwar kepada beliau bagi membolehkannya ke luar negeri.

Inilah agaknya yang dikatakan, cincang air tak kan putus. Antara politik dan keluarga, Khairy memilih untuk menjaga hubungan kekeluargaan. Inilah sifat mulia Khairy yang harus dicontohi.

Anwar faham sangat soal ini. Sebab itu, Anwar juga mengunjungi majlis hari raya yang dibuat oleh Abdullah di Pulau Pinang. Penampilan "public affection" ini jelas menunjukkan betapa mereka menghargai hubungan kekeluargaan.

Oleh kerana hubungan inilah maka dalam apa keadaan sekali pun, Anwar tidak akan melakukan sesuatu yang merosakkan Abdullah dan Khairy. Anwar ialah manusia yang tahu mengenang budi.

Anwar tidak akan melakukan sesuatu untuk mengaibkan Abdullah, iaitu orang yang membebaskannya dari Sungai Buloh. Anwar bukan seperti "melepaskan anjing tersepit".

Malah, Anwar juga tidak berminat untuk menghalang Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Anwar akur, masa untuk beliau menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sudah lama berlalu. Peluang ini tidak akan berulang lagi.

Kedudukan Najib sudah cukup kuat dan tidak boleh digoyang. Buat apa masuk UMNO kalau perlu bersaing dengan Najib. Anwar sudah terlalu tua untuk itu. Sebab itulah, Anwar tidak ghairah untuk kembali menyertai UMNO.

Buat apa tergesa-gesa masuk UMNO kalau tidak jadi PM. Kalau nak masuk UMNO semula, biarlah dengan style. Anwar pernah jadi ahli parlimen. Anwar pernah jadi menteri. Anwar pernah jadi Timbalan PM. Anwar sedar dia tak akan jadi PM.

Jadi, tidak ada insentif untuk Anwar kelam-kabut masuk UMNO semula. Anwar sedar kesemua hakikat ini. Anwar cukup masak dengan politik Malaysia.

Kalau Anwar tidak licik, masakan dia boleh sampai ke tahap TPM dalam jangkamasa yang singkat.

Ada orang masuk UMNO sejak zaman sebelum merdeka, tapi sampai sekarang baru jadi Ketua UMNO cawangan. Tetapi tidak dengan Anwar. Beberapa tahun saja masuk UMNO, dia dah jadi TPM. Itu kelicikan Anwar.

Bagaimanapun, Anwar sedar dia mempunyai misi yang besar. Dia perlu mempertahankan kepimpinan Abdullah. Itu tugas Anwar yang penting. Abdullah tidak bimbang dengan kedudukannya dalam UMNO.

Orang-orang UMNO akan menyokong pemimpin nombor wahid. Tun Dr Mahathir Mohamad juga dibenci, tetapi dia mendapat sokongan penuh orang UMNO.

Abdullah juga dikritik, tetapi orang-orang UMNO tak jadi hal. Semuanya diurus oleh Abdullah dengan baik. Yang susah ialah mengawal orang di luar parti.

Abdullah tidak boleh mengawal Dato' Seri Abd Hadi Awang. Abdullah tidak boleh mengawal Encik Lim Kit Siang dan anaknya, Encik Lim Guan Eng. Abdullah perlu mencari seseorang untuk mengawal mereka, membuat parti PAS dan DAP bagai lembu dicucuk hidung.

Abdullah tidak perlu bimbang tentang PKR -- it is irrelevant. Kata orang, datang tidak menambah. Pergi tidak berkurang.Anwar berada pada kedudukan yang terbaik untuk memainkan peranan ini.

Anwar mempunyai latarbelakang agama yang baik. Anwar dan Hadi pernah sama-sama dalam ABIM. Jadi, ada chemistry. Tak perlu cakap banyak, tengok muka pun dah tahu hasrat hati.

Dengan DAP juga begitu. Anwar memang hebat dalam isu-isu antarabangsa dan hak asasi manusia. Rekodnya berdemonstrasi di Baling menunjukkan bahawa Anwar sanggup berkorban apa sahaja. DAP juga berminat menjuarai isu-isu ini.

Maka, Anwar adalah pasangan secocok bagi DAP dalam hal ini. Dalam senario ini, Anwar boleh membantu Abdullah dengan mengawal PAS dan DAP. Itulah yang sedang dilakukan Anwar.

Hari ini PAS dan DAP berketuakan Anwar. Anwar yang menentukan di mana PAS dan DAP boleh meletakkan calon. Hitam kata Anwar, hitamlah kata PAS. Putih kata Anwar, putihlah DAP.

Ternyata Anwar berjaya dalam misi ini.Ada orang berkata populariti Abdullah menurun dan Barisan Nasional akan mendapat undi yang merosot dalam pilihanraya umum akan datang. Itu cakap orang.

Dengan usaha-usaha Anwar sekarang, tidak mustahil BN akan menang besar. Apa tidaknya, PAS dan DAP sekarang sudah mengikut telunjuk Anwar. Dan, Abdullah sendiri mendapat sokongan penuh dari dalam BN.

Sekarang, terserahlah kepada Anwar untuk menentukan berapa kerusi yang PAS dan DAP akan menang dalam pilihanraya nanti. Memang sukar untuk membuat PAS dan DAP menang pilihanraya, tetapi tidak sukar membuat kedua-dua parti itu kalah besar.

Lihat saja apa yang Anwar lakukan di Ijok. Walaupun dikatakan beribu-ribu orang mendengar ceramahnya setiap malam, tetapi tarian Anwar menghancurkan harapan anak jati Kuala Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, untuk menjadi Yang Berhormat Tan Sri Khalid Ibrahim.Kalau di Ijok, Anwar menari.

Dalam pilihanraya nanti Anwar akan berdrama. Tajuk drama itu ialah "Mencari Jalan Pulang." Kepulangan Anwar ke dalam UMNO akan menjadikan PAS dan DAP seperti anak kehilangan ibu.

Mereka akan meratap dan meraung. Tatkala itu, tangisan sudah tidak berguna lagi. Soal "kesetiaan" Anwar terhadap PAS dan DAP boleh dipertikaikan. Dulupun Anwar pernah berjanji sehidup semati dengan Timbalan Presiden UMNO, Tun Ghafar Baba.

Bagaimanapun, akhirnya Anwar berjaya mengambilalih tempat itu. Anwar cuba bermain sandiwara yang sama dengan Mahathir, malangnya buku bertemu ruas.

Kini, Mahathir sudah tidak lagi berkuasa. Dia hanya seorang penjual roti. Yang menjadi Perdana Menteri ialah Abdullah. Pasti, Anwar kembali ke dalam UMNO. Dan, Khairy Jamaludin sekali lagi akan menghantar passport Anwar di rumahnya.

Kali ini bukan untuk mendapat rawatan di luar negara, tetapi untuk membolehkan Anwar menerima anugerah antarabangsa, Nobel Prize!

Respon Ramli Abdul Halim - Saya juga yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya akan kembali kepada Umno dan beliau akan jadi PM ganti Pak Lah. Bagaimanapun keadaan belum berlaku...kita kena sabar untuk tunggu dan lihat.

Nota Editor: Komen diatas ditulis oleh Analisis Malaysia bertajuk "Anwar Ibrahim : Mencari Jalan Pulang" dalam komen no. 13 pada 23 Januari 2008 jam 9.15 AM dan direspon oleh Ramli Abdul Halim dalam Blog Kapak Jangak pada Respon 125.

ANAK BADAWI Terus PERKOSA Artikel 10 Perlembagaan Malaysia!

Suara rakyat terus digam. Perhimpunan dilarang, sekalipun Perlembagaan mengizinkannya. Inikah sebuah kerajaan yang Hadhari dan Islam?

By ROSLAN SMS

MANSUH sahaja Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan!Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin bahawa setiap warganegara Malaysia berhak bersuara dan mengeluarkan pendapat disamping berhak berhimpun secara aman.

Inilah asas atau tunjang sistem demokrasi yang kita amal dan pertahankan dalam negara kita selama ini.

Sekiranya hak ini disekat, sekiranya hak ini dikenakan dengan pelbagai syarat dan peraturan kecil yang tidak munasabah, maka peruntukkan hak asasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan negara Malaysia yang Merdeka ini sekadar alat soleh untuk mencomelkan para rupa yang pada hakikatnya hodoh bagaikan jembalang.

Sebentar tadi Himpunan Aman PROTES telah digagalkan oleh kuasa yang ada pada pihak polis, kononnya bersandarkan pada perintah mahkamah yang diperolehi, yang melarang perhimpunan itu.

Berpuluh-puluh pimpinan NGO dan parti-parti politik yang cuba berhimpun untuk menjayakan program tersebut telah ditahan antaranya Sdr Muhammad Sabu, Sdr Tian Chua, Dr Hatta Ramli, Dr Badrul Amin, Sdr Arultchelvan, Dr Dzulkifli Ahmad dan ramai lagi.

Hakikatnya kos hidup dan harga barangan serta perkhidmatan telah meningkat dan menjejaskan kehidupan rakyat.

Dan dengan kenaikkan harga minyak yang dijangka diumumkan tidak berapa lama lagi, kos hidup akan terus melambung dan menghimpit kehidupan rakyat.

Atas dasar ini rakyat keluar menyatakan bantahan mereka, itupun salah? Itupun sudah tidak dibenarkan lagi?

Mereka bukannya keluar dengan senjatapi atau besi, kayu dan parang. Mereka keluar dengan tangan kosong atas keyakinan hak mereka untuk bersuara dan berhimpun dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada saya kerajaan ini tidak bermaruah kerana telah memperkosa hak kepunyaan rakyat itu.

Kalau beginilah kerajaan BN maka masukkan sahaja dalam manifesto mereka nanti bahawa kerajaan BN akan memansuhkan samasekali Artikel 10, bukankah lebih mudah dan terang.

Tahniah BN hari ini Artikel 10 telah berjaya kamu perkosa dan bunuh mati!

Ahad, Januari 27, 2008

MOHD SABU, HATTA Antara Yang Ditahan. NURIDAH Dibebaskan 1.00 Tengah Malam Semalam!

Dr. Hatta Ramli antara pemimpin PROTES yang ditahan bersama Dr. Badrul Amin Baharum. Sementara Ustazah Nuridah Salleh dibebaskan jam 1.00 tengaha malam tadi.

Oleh LUKMAN ABDULLAH
(Agendadaily)

SUASANA sekitar KLCC di Kuala Lumpur yang biasanya tenang dan hanya dipenuhi dengan orangramai yang membeli belah dan datang bersiar kecoh sikit petang Sabtu apabila kira-kira 400 orang berdegil dan melanggar perintah mahkamah meneruskan perhimpunan membantah kenaikan harga barangan di situ.

Namun sejurus mereka yang hendak menyertai perhimpunan anjuran PROTES mula hendak berkumpul kira-kira jam jam 3.00 petang, polis yang sudah berkawal sekitar KLCC sejak waktu tengahari terus bertindak menyuraikan mereka.

Ini termasuk dekat stesyen LRT Ampang Park dimana penganjur meminta orangramai berkumpul untuk berarak ke depan KLCC.

Polis telah menahan seramai 56 orang yang engkar arahan polis dan cuba melawan.

Turut ditahan ialah Naib Presiden PAS,Mohd Sabu dan Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli.

Polis sebelum ini telah memberi amaran akan menahan sesiapa saja yang menyertai perhimpunan haram itu.

Ia juga telah memperolehi perintah mahkamah untuk menyekat perhimpunan itu.

ARU, Setiausaha PSM Terus Ditahan Di LOKAP!

By FAUWAS ABDUL AZIZ
(Malaysiakini)

DARIPADA kira-kira 60 orang yang ditahan kerana menyertai perhimpunan Protes, hanya Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan ditahan di lokap di Ibupejabat Polis Kuala Lumpur.

Ahli politik dan aktivis sosial itu dijangka didakwa atas tuduhan melanggar perintah mahkamah yang melarang perhimpunan itu diadakan hari ini.

Sehingga jam 10 malam ini, separuh daripada mereka yang ditahan itu, telah selesai memberi keterangan kepada polis.

Mereka termasuk wartawan Malaysiakini, Syed Jaymal Zahiid. Mereka dijangka dibebaskan kemudian.

MAAF Terdapat Gangguan Pada MAXIS Broadband!

By TARMIZI MOHD JAM


AGAK kerap juga terjadi. Muktahir ini, perkhidmatan Maxis Broadband yang saya langgan sering tergganggu. Semalam dan hari ini, internet tidak dapat diakses. Ia pulih semula jam 10.45 malam tadi.


Hujung minggu lalu, dan sebulan sebelum itu, masalah yang sama terjadi. Bila ditanya pihak Maxis, ia dalam proses penyelenggaraan.

Ini menyebabkan blog ini gagal dikemaskinikan. Wassalam!

Jumaat, Januari 25, 2008

Anak Pontianak BOGEL Di Sebalik Sejadah ISLAM HADHARI!

Untuk mencipta superimpose, bukanlah kerja mudah. Kalau satu keping boleh lagi tetapi kalau sudah tujuh keping dari jarak dekat, konsisten dari segi lighting, bayang dan posing, sudah tentulah sukar untuk dikatakan superimpose. Gambar "Anak Pontianak" bersama teman lelakinya!

By TARMIZI MOHD JAM


KISAH panas tentang penyebaran gambar porno dan aksi ghairah pelokon utama “Anak Pontianak”, Zarina An Juli arahan Suhaimi Baba amat memualkan. Ia sebuah drama bersiri ketagori seram yang diputarkan oleh TV3.

Agak sukar untuk dikatakan gambar-gambar itu telah disuperimpose, bila melihat aksi depan kamera yang mengasyikkan. Walaupun Zarina menafikan pembabitan dan menuduh gambar itu superimpose, ini tidak bermakna isu ini telah selesai.

Melalui enjin Yahoo, pelbagai laman menyiarkan gambar-gambar tidak senonoh anak kacukan Melayu-Iran ini dengan mudah diperolehi.

Norhisyam Abu Bakar dalam komentarnya di mSTAR, melahirkan rasa kurang percaya bahawa gambar-gambar itu superimpose. Ia bukan superimpose, tulisnya.

Untuk mencipta superimpose, katanya bukanlah kerja mudah. Kalau satu keping boleh lagi tetapi kalau sudah tujuh keping dari jarak dekat, konsisten dari segi lighting, bayang dan posing, sudah tentulah sukar untuk dikatakan superimpose.

Gejala merudumnya moral anak-anak Melayu beragama Islam kian merunsingkan. Selain dari trend bohsia-bohjan, mat rempit, mat gian, kaki betina, kaki tonggang arak, rompak mencuri, culik, zina dan sebagainya; kini satu trend dahsyat mulai melekat bangsa yang dikatakan lemah-lembut ini.

Sebelum kes Zarina An Juli ini, sudah ada artis realiti tv swasta yang terjerat dengan gambar bogel (kononnya superimpose katanya). Pihak stesen tv mohon dia berhenti daripada rancangan tv tetapi entah bagaimana nasibnya agak baik.

Selepas berhenti, dia glamour terus dapat kerja menjadi dejay di sebuah syarikat radio swasta.

Dulu, kalau kita masih ingat, pelakon muda Jazlina Hasyim antara yang ditangkap mabuk di sebuah kelab malam, The Zouk, Ampang terlepas setelah campur tangan pihak atasan. Isu teknikal dijadikan alasan membebaskan mereka.

Hasilnya, ketagihan artis-artis muda yang gila glamour, menjadikan kelab-kelab malam sebagai surga mereka kian sukar dibendung.

Apa yang menimpa pelakon Anak Pontianak ini, jelas mempamerkan tabiatnya yang gemar ke kelab malam, malah ada yang mendakwa terlalu sosial dan kaki pil khayal.

Jika ini benar, ia amat menyedihkan.

Telah menjadi trend kini, mereka yang mengejar glamour dan publisiti makin berani mencipta retorik yang tidak senonoh. Semata-mata mahu dijulang namanya. Diingati dan dipahati oleh peminat mereka.

Masih panas dibahaskan, kisah mantan anggota kumpulan nasyid yang “tergelincir rel” kerana memburu glamour dari resipi Barat yang hodoh.

Faizal Tahir yang diumpil bakatnya dari Program One In A Million mempamerkan aksi-aksi melampau dengan membuka baju dalam Rockin Birthday Concert anjuran TV8 hingga mencetuskan kontroversi.

Jika diperhatikan, sudah menjadi satu trend semasa, beberapa artis baru atau yang masih baru mencari tapak untuk popular, mengambil langkah berani sama ada secara sengaja atau tidak menjatuhkan diri mereka dalam kontroversi yang melacurkan maruah diri.

Budaya clubbing, bersuka-ria di kelab malam hingga mabuk yang sudahpun sebati menjadi budaya remaja di Barat, kini artis-artis kita meniru jejaki mereka bagi menepati dunia artis yang glamour dan bercampur-baur.

Inilah yang terjadi. Semakin banyak kes ditemui bagaimana anak-anak remaja kian hilang pegangan agama mereka semata-mata mengejar secebis glamour picisan.

Apa yang menarik, kian kuat Islam Hadhari dimuntahkan kepada rakyat, makin menjadi-jadi gejala sosial remaja, kadar jenayah yang menakutkan, selain isu-isu teruk dan hodoh terus menguasai tempat pertama keruntuhan moral bangsa Melayu.

Walaupun Islam Hadhari diumpan, namun sikap kerajaan yang double standard terhadap pesalah seumpama ini telah memberi impak buruk kepada Islam.

Jelas, Islam Hadhari ala Perdana Menteri tidak membantu apa-apa untuk memulihkan kesedaran dan membaiki mutu akhlaq ummat Islam di negara ini.

Pernah, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dr Ismail Ibrahim ketika isu tangkapan The Zouk menulis dalam ruangan beliau di Mingguan Malaysia bertajuk “Kehidupan malam KL dan UK” yang meluahkan perasaannya darihal keadaan moraliti di Malaysia.

Dr. Ismail telah membangkitkan isu ini dalam muzakarah mufti-mufti seluruh negara dan majlis muzakarah tersebut telah mengeluarkan kenyataan:

“Penguatkuasaan berteraskan amar makruf dan nahi mungkar perlu diteruskan kerana ia dituntut bagi mempertahankan kewibawaan rakyat dan imej negara. Apabila kita pilih kerajaan, kita beri kuasa kepadanya untuk mempertahankan nilai moral rakyat kerana kerosakan moral membawa bencana kepada negara.“ -- (Berita Harian)

“Kerajaan perlu bertegas dalam soal membenteras kemungkaran dan tidak menjadikan “kesalahan teknik” dalam satu dua insiden pihak berkuasa agama sebagai asas menolak undang-undang bagi menjaga moral rakyat. Mufti-mufti berharap kerajaan akan mempertahankan konsep membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran seiring dengan usaha membanteras rasuah, peyelwengan kuasa, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.” -- (Utusan Malaysia)

Ini bermakna kerajaan Hadhari sepatutnya berkewajiban menolak sama sekali memorandum yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang menuntut agar “moral policing” ini dibatalkan atas asas menganggu dan mengekang kebebasan individu.

Kita amat bimbang, trend yang berlaku pada hari ini sebahagian dari rancangan musuh Islam untuk menghancurkan agama Allah yang suci ini dengan memperkenalkan isu-isu hak asasi dan seumpamanya.

Dan sudah pasti, Islam Hadhari yang kurang jelas itu tidak upaya menangkisnya seperti yang terjadi sekarang. Anak kecil tidak selamat. Anak remaja juga tidak selamat. Mereka adalah harta ibu bapa. Rosak mereka maka hancurkan bangsa dan agama!

Bagaimana agaknya jika Faizal Tahir mendabik dada membuka baju di khalayak itu hak asasinya? Apa pula Zarina berhujah, aksi-aksi lucah dan gambar bogel itu juga hak asasinya sebagai manusia?

RM50 ke RM100 Juta HANGUS Lancar KORIDOR Pembangunan!

BN di bawah anak Badawi ternyata tidak cekap dan terlalu lemah untuk memikul tugas dan memulihkan ekonomi negara yang kian parah!

Oleh TARMIZI MOHD JAM

TAN SRI Khalid Ibrahim mendedahkan sikap rakus kerajaan BN dalam membelanjakan wang rakyat sehingga mencecah antara RM50 juta ke RM100 juta hanya bagi membuat persiapan dan majlis-majlis pelancaran koridor-koridor pembangunan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri seluruh Negara.

Katanya, meskipun kerajaan memberi alasan bahawa ia tidak dilaksanakan oleh kerajaan secara langsung, tetapi sebarang perbelanjaan oleh Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) seharusnya dilihat sebagai membelanjakan wang rakyat.

Tan Sri Khalid yang juga Setiausaha Agung PKR dalam satu kenyataan medianya hari ini mendakwa, keutamaan kerajaan di dalam membelanjakan wang rakyat juga terbukti tidak dirancang dengan baik.

Ketika wujud tuntutan rakyat agar harga runcit petrol diturunkan bagi meringankan beban kehidupan mereka yang terlalu tinggi kini, Timbalan Perdana Menteri memberikan alasan ia tidak akan dilakukan kerana kononnya akan menyebabkan negara muflis.

“Tetapi pada masa yang sama, apabila wujud kemarahan rakyat yang tertipu dengan janji kerajaan menghapuskan yuran sekolah, kerajaan segera mengambil keputusan reaksioner untuk mewujudkan dana pendidikan berjumlah RM5 bilion secara tergesa-gesa,” tegas beliau.

Perbelanjaan tanpa perancangan rapi, kata mantan calon PKR pilihan raya kecil Dun Ijok itu, tidak membantu tetapi sebaliknya menyusahkan rakyat. Malaysia seharusnya mengelakkan perbelanjaan-perbelanjaan tidak perlu dan meningkatkan simpanan sebagai persediaan menghadapi ancaman kemelesetan ekonomi akibat krisis kewangan Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat ujarnya, kini menghadapi krisis kewangan akibat perbelanjaan yang terlalu tinggi seperti kos besar yang ditanggung untuk membiayai pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan, pembekalan senjata kepada Israel dan operasi risikan seluruh dunia.

Akibat perbelanjaan-perbelanjaan tidak perlu dan kadar simpanan yang rendah di AS, negara itu kini terpaksa bergantung kepada simpanan negara asing.

“Kadar simpanan rakyat AS yang terlalu rendah dan pergantungan kepada kredit telah menjerumuskan negara tersebut ke kancah masalah kewangan apabila institusi kewangan negara tersebut tidak dapat memperolehi kembali pinjaman yang disandarkan kepada aset hartanah,” tegasnya lagi.

Menurut Tan Sri Khalid, kadar simpanan yang rendah itu juga memaksa bank-bank utama seperti Citigroup dan Merill Lynch mendapatkan suntikan kewangan daripada dana-dana negara Asia seperti Singapura dan negara-negara Arab.

Beliau mengingatkan Kerajaan Malaysia, agar perlu peka terhadap keperluan untuk berjimat kerana hanya itu yang akan menjadi benteng negara ini bagi menghadapi kesan lebih buruk dan kejutan seterusnya krisis ekonomi AS.

Sepanjang empat tahun yang lalu, jelas Tan Sri Khalid, perbelanjaan kerajaan telah meningkat. Perolehan cukai dan hasil lain kerajaan tidak mampu untuk menampung perbelanjaan mengurus.

Tanpa hasil Petronas, negara ini akan terpaksa menanggung hutang yang sangat besar semata-mata untuk terus beroperasi.

PKR tegasnya, melihat Barisan Nasional tidak mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kewangan dan ekonomi negara dengan baik, tambahan pula di kala dunia berada di ambang kemelesetan ekonomi yang berpunca daripada krisis kewangan AS.

Malaysia, katanya lagi, sudah tentu akan merasakan kesannya dan pakar-pakar ekonomi antarabangsa mearamalkan kemelesetan ini akan berpanjangan.

“Oleh itu rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya dan kerajaan perlu cekap dan amanah untuk memimpin rakyat menghadapinya. BN di bawah Abdullah Badawi ternyata tidak cekap dan terlalu lemah untuk memikul tugas tersebut,” ujar Tan Sri Khalid.

Khamis, Januari 24, 2008

TAKZIAH Dari Saya, PAS Batu & JPN Wilayah

Zilah Jalil dan anaknya, moga terus tabah hadapi ujian kehilangan suami dan ayah tersayang...

By TARMIZI MOHD JAM

SAYA bagi pihak keluarga dan kepimpinan PAS Kawasan Batu serta Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) PAS Wilayah Persekutuah mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub ke rahmatullah jam 5.25 pagi tadi di Pusat Perubatan Pantai.

Kepada anak-anak dan isteri-isterinya, Datin Seri Faizah Shuaib dan Norzilah Jalil, banyakkan bersabar dan tempuhilah takdir ini dengan penuh ketabahan. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Allahyarham menghidap kanser prostat bermula 16 bulan lepas dan semasa dikesan ianya sudah berada pada peringkat keempat.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Bandar, Teluk Intan, Perak, pada 8 Disember 1942, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Air Mati, Teluk Intan pada tahun 1949 hingga 1953, sebelum melanjutkan pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, pada 1954.

Allahyarham juga pernah menjadi guru dan pemegang ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Universiti Malaya, mula membabitkan diri dalam arena politik secara serius apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Tun Dr Mahathir pada 1976.

Datuk Ibrahim Call, SETUJU TURUN Ke Darul Ummah!

Permohonan Datuk Ibrahim Ali menjadi ahli PAS masih tergantung. Namun, pengaruhnya di Pasir Mas tidak boleh dinafikan...

By TARMIZI MOHD JAM

AKHIRNYA Datuk Ibrahim Ali, Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) bersetuju hadir ke Ceramah Mega sempena Kenduri Rakyat dan Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan pada 3 Feb 2008 ini.

Jam 9.40 malam tadi, Datuk Ibrahim menghubungi saya. Menyatakan persetujuannya. Tetapi beliau akan datang lewat disebabkan sejak 31hb Jan hingga 3hb. Feb, dia berada di Kelantan dan Terengganu. Memberi ceramah, katanya.

Dia berangkat ke KL dari Lapangan Terbang Pangkalan Chepa pada 3 Feb jam 8.00 malam dan insya-allah tiba ke KL Central kira-kira jam 10.30 malam dari KLIA.

Cepat-cepat saya kata setuju. Saya mahu Datuk Ibrahim turun juga ke program ceramah itu di Darul Ummah, Titiwangsa

Saya buat temujanji dengan Datuk Ibrahim pada 28 Jan ini, untuk bersembang-sembang politik dan interbiu khas berkenaan politik Kelantan dan corak kepimpinan anak Badawi serta peranan menantunya, Khairy Jamaluddin dalam politik Malaysia.

Datuk Ibrahim setuju. Terima kasih Datuk. Jumpa pada 28 Jan ini dan jangan tak datang ke Darul Ummah pada 3 Feb depan. Kami menunggu!

Sokong CABAR PM & PEMBANGKANG Guna TV Jelas Isu Negara!

Setiausaha PAS Batu, Haji Ismail Yahya menyokong penuh cabaran Husam agar PM & pembangkang guna tv jelaskan isu negara!

By TARMIZI MOHD JAM

PAS Kawasan Batu menyokong penuh saranan Naib Presiden PAS, Dato' Haji Husam Musa agar Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi bertindak lebih berani tampil dalam forum terbuka menjelaskan isu-isu besar negara yang melibatkan kepentingan rakyat dan bukan terhad untuk ahli-ahli Umno semata-mata.

Menurut Setiausaha PAS Batu, Haji Ismail Yahya, keberanian Perdana Menteri itu amat-amat diperlukan bagi merungkai pelbagai isu besar yang membabitkan kepentingan rakyat, seperti yang disebut oleh Husam dalam kenyataannya.

Perdana Menteri boleh menggunakan saluran televisyen dan menjelaskan isu-isu yang menjadi kebimbangan serta kebingungan rakyat terhadap masa depan dan kepentingan mereka di negara ini.

Beliau juga menyokong, agar wakil-wakil parti pembangkang diundang dalam program penjelasan itu supaya ia tidak dilihat berat sebelah.

Pada 21 Januari lalu, Perdana Menteri telah menyampaikan taklimat isu-isu semasa kepada Taklimat terhad kepada pimpinan Umno semua peringkat dari seluruh negara, yang disifatkan oleh Ismail sebagai helah dan pakatan Umno untuk menipu dan membohongi rakyat, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke 12 nanti.

Dalam kenyataan Husam Musa sperti yang disiarkan oleh media meminta agar Perdana Menteri memperincikan penjelasannya kepada isu-isu berikut:

1. Kadar jenayah yang meningkat. Sebahagian disebabkan tekanan hidup yang membebankan.
2. Harga barang meningkat bagai layang-layang putus tali dan sikap ambil lewa kerajaan. Ini dibebankan lagi dengan Kerajaan BN sendiri yang mengenakan kenaikkan tol (walaupun syarikat tol sudah untung berlipat ganda) dan kenaikan tarif elektrik walaupun TNB sudahpun untung lebih 4 billion setahun.
3. Minyak yang telah dibayangkan akan naik harga dengan kadar yang dijangka tinggi. 'Tak naik' negara bangkrap'
4. Kos perubatan yg semakin membebankan.
5. Penipuan yuran sekolah percuma.
6. Port Klang free trade Zone (PKFZ) mencecah kerugian 4.3b.
7. Pembelian kelengkapan tentera melalui orang tengah di mana syarikat ini mengaut keuntungan yang begitu lumayan.
8. Pelaksanaan projek tanpa tender yang mengakibatkan kos yang tinggi sekaligus melemahkan ekonomi negara.

"Oleh kerana rakyat yang memberi mandat kepada beliau dalam pilihan raya umum 2004, maka menjadi tanggungjawab dia bagi penjelasan terhadap isu-isu ini. Jangan membisu seribu bahasa. Dan jangan cakap tak tau!" ujar beliau ketika dihubungi.

BENARKAH Taklimat Presiden Umno Tawar, Ramai Yang BELAH?

Setelah memuntahkan taklimatnya kepada pimpinan Umno seluruh negara, apakah anak Badawi masih teragak-agak mahu membubarkan Parlimen?

By DATUK RUHANIE AHMAD

PADA 22 Januari 2008, saya duduk di kedai kopi riverside, PWTC, Kuala Lumpur, sejak jam 3.00 hingga 5.00 petang. Suasana hingar bangar.

Ada kelompok yang membedal Presiden Umno habis-habisan. Ada pula yang mengutuk menantu Presiden Umno dengan suara lantang.

Mereka semua warga Umno. Sebilangan besarnya memakai lencana Taklimat Khas Presiden.

Pada ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang menyampaikan taklimatnya. Tetapi, ramai pula peserta taklimat itu memilih untuk keluar daripada dewan dan melanggani riverside untuk minum teh tarik dan makan goreng pisang.

Di antara mereka yang enggan mendengar taklimat Abdullah adalah beberapa ketuan Umno bahagian, AJK Umno bahagian, AJK Pemuda Umno Bahagian, Timbalan Menteri, ADUN, beberapa orang setiausaha menteri, dan beberapa orang besar daripada bahagian khas Kementerian Penerangan.

Saya bertanya kepada beberapa orang daripada mereka, mengapa tidak mendengar taklimat Abdullah. Jawab mereka: isi taklimatnya sama sahaja. Asyik-asyik kisah modal insan, harga barang terkawal dan lain-lainnya.

Membosankan! Kesemua mereka yang meninggalkan dewan menjinjing satu beg kertas kecil berlambangkan Umno. Di dalamnya ada beberapa risalah – mengenai RMK9, fitnah-fitnah pembangkang dan pemilik portal berita internet, serta ucapan-ucapan semasa Perhimpunan Agung Umno November 2007.

Sewaktu berjalan dari PWTC menuju ke Hotel Sari Pacific, saya terserempak ramai perwakilan yang sudah lanjut usia, lelaki dan wanita.

Saya terdengar rungutan mereka.Antara rungutan yang menarik pendengaran saya adalah: “Panggil orang datang dari jauh, makan pun tak tentu hala, hujung-hujung ucapan Presiden baru ada sikit cerita pilihan raya.

”Seorang ahli parlimen pula terlepas cakap sesama sendiri begini: “Same old story. Wasting my time.” Maksudnya: cerita lama juga. Buang masa aku aje..

Saya tidak akan mentafsirkan kisah di atas mengikut persepsi saya sendiri. Tetapi, satu petanda yang agak jelas ialah, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 mungkin tidak diadakan dalam tempoh terdekat ini.Sebab itulah agaknya Abdullah dipetik oleh Bernama sebagai berkata bahawa “masih ada lagi sedikit-sebanyak yang perlu dibaiki.

Ikut laporan di tempat-tempat yang tertentu, bagi negeri-negeri yang tertentu, tak payah saya sebut negeri mana...ini perlu kita beri perhatian.

"Dalam pada itu, ada pula sumber-sumber memberitahu saya bahawa surat Abdullah untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dikatakan sudah tiba ke Istana Negara!