Kebimbangan utama orang Melayu dan rakyat beragama Islam terhadap Umno sekarang ialah perjuangannya yang dilihat semakin menipis terhadap kepentingan Melayu, Islam dan seperti sudah melupakan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dahulu. Melalui dasar 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, rata-rata berpendapat bahawa ia tidak seharusnya terlalu dikompromikan terutamanya dalam pengagihan kek ekonomi, pemberian biasiswa, perlaksanaan kouta Bumiputera dan sebagainya.
Sejak DEB diperkenalkan pada sekitar tahun 1970-an oleh Tun Abdul Razak, Umno-BN terus mendapat sokongan kuat daripada rakyat dalam pilihanraya demi pilihanraya sehinggalah tahun 2004. Walaupun Tun Razak tidak mempunyai slogan seperti 1Malaysia tetapi rakyat berbilang kaum hidup berharmoni dan hormat menghormati antara satu sama lain. Hak-hak istimewa orang Melayu seperti kouta dalam perniagaan dan biasiswa tidak terjejas, di samping hak rakyat asing yang lain terus berkembang dengan pesat.
Agama rasmi negara iaitu Islam tidak dihina dan dimomok seperti yang dilakukan sekarang oleh rakan kongsi BN sendiri iaitu MCA. Ramai yang berpendapat Allahyarham Tun Razak, ayahanda Najib sendiri telah memberi harapan kepada rakyat khususnya orang-orang Melayu tetapi harapan itu dihancurkan oleh anaknya sendiri iaitu Najib. Kata Dato' Ariff Sabri dalam blognya Sakmongkol AK47, "Najib bukan Tun Razak..." ini membawa makna yang amat jauh dan dalam.
Hanya pada tahun 2008 BN kehilangan empat negeri selain Kelantan dan juga hilang majoriti 2/3. Ini berlaku kerana seperti kata Tun Mahathir, pimpinan Umno-BN pada ketika itu amat lemah dan lalai, ditambah pula wujudnya sikap rakus "budak-budak tingkat empat". Malangnya, sejak setahun dua ini rata-rata rakyat, termasuk ahli-ahli Umno dan BN sendiri mengkritik kepimpinan hari ini yang disifatkan lebih teruk dari yang baru lepas. Ini tidak termasuk perbincangan hangat orang ramai mengenai perilaku isteri Najib, Rosmah Mansor sendiri yang dikatakan lebih teruk dari "budak-budak tingkat empat". Pendek kata, rakyat rata-rata mengikuti perkembangan semasa.
Isu terbaru yang diperkatakan kebelakangan ini ialah bagaimana Lembaga Tabung Haji (LTH) boleh menjual ladang kelapa sawitnya di Indonesia seluas 83,000 hektar dengan anggaran pendapatan RM3 juta sehari kepada sebuah syarikat bukan Melayu? Perkara ini perlu dijelaskan terutama siapakah yang memberi kelulusan penjualan itu kerana jika benar, ia merupakan pengkhianatan kepada orang-orang Melayu khususnya pencarum-pencarum Tabung Haji.
Saya penuh yakin bahawa kedudukan Melayu dan Bumiputera di negara ini telah difahami oleh semua pihak dan tidak akan menimbulkan apa-apa masalah jika ia diuruskan dengan ketegasan serta kebijaksanaan. Dalam hal ini, Najib bukan saja harus kembali kepada jati diri sebagai orang Melayu dan penganut Islam tetapi sebagai Presiden Umno, Najib juga tidak harus lupa Fasal 3 Perlembagaan Umno yang menuntut antara perjuangan Umno ialah berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
Saya cukup tertarik dengan tawaran Dato' Seri Anwar dan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) kepada para pelajar pusat pengajian tinggi dan ingin memberi pendidikan percuma kepada rakyat. Bagi saya, tawaran Pakatan Rakyat itu amat baik dan relevan demi kepentingan rakyat, generasi muda dan kepentingan melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti untuk negara.
Demi kepentingan rakyat dan untuk mendapatkan kembali sokongan generasi muda dalam pilihanraya umum ini, saya ingin menyarankan agar Najib segera bertindak pantas menghapuskan pinjaman PTPTN ini kerana ia didapati begitu membebankan pelajar dan menyebabkan mereka dibelenggu dengan hutang sebelum pun memasuki dunia pekerjaan. Pinjaman PTPTN ini ternyata amat membebankan generasi muda dan tidak adil jika dilihat daripada kesediaan kerajaan memberikan pinjaman RM250 juta dengan kadar faedah hanya 2 peratus serta diberikan tempoh membayar balik selepas lima tahun yang diberikan kepada projek lembu NFC.
Lagi pun, jika hutang Tan Sri Tajuddin Ramli berjumlah RM589 juta terhadap kerajaan pun dapat dilupuskan, tentulah tiada masalah bagi pihak kerajaan menghapuskan hutang PTPTN ini demi kepentingan modal insan negara. Saya bersetuju dengan pandangan Tengku Razaleigh Hamzah melalui hasil minyak negara sebanyak antara RM80 hingga RM90 bilion setahun, ianya tidak menjadi masalah kepada pihak kerajaan untuk memperuntukkan sebahagian kecil daripadanya untuk membiayai pelajaran anak-anak muda kerana mereka inilah harta negara sebenarnya yang perlu diberi perhatian serta tumpuan.
Mengapakah kerajaan terlalu berkira sangat dalam soal hutang PTPTN ini kerana jika mengikut laporan di mana hutangnya hanya tinggal RM24 billion dan andainya pembayaran balik dilakukan dalam tempoh 10 atau 15 tahun, kerajaan hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang kecil sahaja sedangkan inilah pelaburan terbaik untuk masa depan negara. Oleh kerana cadangan ini datangnya dari Pakatan Rakyat, kerajaan menolaknya dengan alasan yang susah diterima akal yang waras iaitu negara akan bankrap jika sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan. Amat cetek sekali pemikiran dan pendekatan kerajaan dalam menangani isu PTPTN ini.
Yang sedih dan memilukan apabila sekumpulan "askar-askar upahan" mencederakan anak-anak muda (penuntut) yang berpiket secara aman di Dataran Merdeka. Saya diberitahu, anggota polis yang berhampiran mengambil masa agak lama sebelum bertindak seolah-olah mengizinkan insiden tersebut. Begitu juga tindakan kasar Penguatkuasa DBKL. Sekarang ini mereka menyalahkan anak-anak muda ini pula dengan mengheretnya ke mahkamah – Ialah mereka yang berkuasa!!
>> Komentar Tamrin Tun Ghafar. Beliau ialah ahli Umno dan bekas Pengerusi MARA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan