Selepas usai saya dan Cikgu Ishak Surin berceramah di PPR Desa Rejang, membantu calon PAS, Dr. Lo Lo Datuk Ghazali, kami dipertemukan dengan anak Ketua Kaum Ibu PAS era 50an, Allahyarhamah Khadijah Sidek, iaitu Mohd Hatta Hamzah (gambar tengah). Sepenggal pilihan raya hampir menutup tirai. Dr Lo' Lo' yang menang dalam PRU 2008 di Parlimen Titiwangsa itu pun, kini sudah meninggalkan kita setahun yang lalu. Namun kenangan berkempen, masih terasa bahangnya. Berceramah di atas pacuan empat roda, dengan pembesar suara dihalakan ke rumah flat yang tersergam memacak bumi.
Khadijah pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Johor dan pernah menjadi Ahli Parlimen PAS yang pertama dari kalangan wanita setelah menang di Parlimen Dungun, Terengganu. Dalam pertemuan ringkas itu, kami tidak dapat memperincikan sembang-sembang kami selain dari bertanya khabar dan berkenal-kenalan.
"Kami akan konteks Hatta lepas ini. Kita jumpa, sembang panjang," ujar Cikgu Ishak yang macam sudah mengenali beliau, berpeluk-pelukan meninggalkan pertemuan itu. Setelah mendapatkan nombor telefonnya, dan hujan mulai turun dengan lebat, masing-masing kami meninggalkan tapak kempen berlari ke kereta untuk pulang. Sehingga kini, saya mahu pun Cikgu Ishak tidak pernah bertemu dengan Mohd Hatta yang menetap di PPR Desa Rejang itu. Alangkah baiknya, Hatta diziarahi, bisik hati saya apabila melihat kembali gambar bersamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan