KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 04, 2012

Prof Dr Aziz Bari tuduh Umno "makhluk perosak" nombor wahid


Tidak perlulah saya terangkan apa itu makhluk perosak. Semua orang sudah sedia maklum gelagat dan masalah yang dibawa oleh makhluk perosak, khususnya di kalangan petani dan peladang. Dalam konteks sistem pentadbiran negara kita Umno boleh disamakan dengan makhluk itu kerana apa yang mereka lakukan – khususnya terhadap sistem pentadbiran dan perlembagaan negara - banyak yang merosakkan.

Parti politik sepatutnya membawa budaya politik tertentu yang boleh menambah dan melengkapkan apa-apa yang kurang dalam sistem perlembagaan dan pentadbiran kita. Bukan melemah atau memesongkan sistem berkenaan. Di negara-negara maju – seperti di Amerika Syarikat dan Eropah – parti-parti politik memberi dimensi yang berbeza berhubung dengan pelaksanaan pemerintahan. Ini dilakukan melalui dasar-dasar dan pendekatan mereka.

Sistem pemerintahan dan pentadbiran negara kita sebenarnya baik. Siapa pun yang memerintah – asalkan melalui proses pilihan raya yang bersih dan adil – ada faktor-faktor dan hal-hal yang tidak berubah. Ini termasuklah sistem beraja, badan kehakiman dan perkhidmatan awam. Sebab itu sepatutnya tidak timbul soal negara ini akan jadi huru hara apabila Umno-BN tewas. Ini kerana Umno-BN hanyalah sekadar parti politik. Sebagaimana parti politik yang lain ia datang dan pergi tiap-tiap lima tahun. Kerajaan yang memerintah tidak kekal memerintah selama-lamanya. Mereka perlu memperbaharui mandat tiap-tiap lima tahun.

Ciri itulah yang hendak kita kembalikan ke dalam sistem pemerintahan negara. Supaya selepas ini pertukaran kerajaan dapat diterima oleh rakyat – dan parti-parti politik yang bertanding – dengan mudah tanpa sebarang perasaan cemas dan gelisah. Dengan itu pertembungan dan persaingan dengan Umno-BN bukan sahaja sekadar persaingan kuasa seperti yang mereka katakan. Ia lebih merupakan perjuangan untuk menyelamatkan negara dari terus dirosakkan.

Negara-negara demokrasi yang sebenar tidak takut atau gementar dengan perubahan atau peralihan kuasa dari satu parti kepada parti yang lain. Ini kerana  di dalam sistem itu sendiri sebenarnya ada sesuatu yang menjadi insuran; yang mempastikan bahawa siapa pun yang memerintah ada hal-hal yang tetap dan tidak berubah. Dalam sistem demokrasi berparlimen ketua negara – di Malaysia Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan para Yang di-Pertua Negeri – kekal walau apa pun bentuk dan warna parti atau parti-parti yang memerintah. 

Ini menjanjikan atau mempastikan ada hal-hal yang tidak berubah. Selain ketua negara beberapa institusi lain – termasuk badan kehakiman dan perkhidmatan – turut memainkan peranan yang sama. Sebab itu pada hakikatnya tidak harus timbul bahawa "Putrajaya perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun"; seolah-olah Pakatan Rakyat ini membawa bentuk pentadbiran yang berlainan, yang bertentangan dengan apa yang ada sekarang. 

Selain komitmen yang jelas yang telah dirakamkan dalam Buku Jingga apa yang dilakukan di negeri-negeri Pakatan sejak 2008 – termasuk di Kelantan sejak 1990 – menjadi bukti paling kukuh kepada komitmen itu. Sebaliknya Umno-BN telah melakukan pelbagai perkara yang melemahkan sistem beraja, badan kehakiman, perkhidmatan awam dan juga sistem pilihan raya. Hampir 55 tahun Umno memimpin pentadbiran telah banyak kerosakan yang kita perhatikan. 

Dari sistem raja berperlembagaan, perjalanan badan kehakiman, pilihan raya, pengurusan ekonomi dalam macam-macam lagi. Raja-raja telah dikurangkan kuasa mereka melalui cara yang tidak beradab dan memalukan. Begitu juga badan kehakiman. Perkhidmatan awam yang sepatutnya neutral – tidak memihak dan mengatasi politik – sudah jadi alat politik Umno-BN. Yang paling jelas terlibat dalam soal ini ialah pasokan polis. Apa yang disebut oleh Ketua Setiausaha yang baru bulan lalu mengesahkan apa sudah sedia berlaku. 

Dalam pada itu hak asasi rakyat juga semakin terhakis. Dari hak rakyat biasa kepada hak-hak pekerja dan mahasiswa semuanya telah dikekang melalui undang-undang yang dibuat oleh parlimen, satu lagi institusi yang telah dikembirikan oleh Umno-BN. Ini semua tidak akan dapat dipulihkan dengan hanya meletakkan pembangkang yang kuat di parlimen. Atau sekadar menafikan majoriti dua pertiga sebagaimana yang dapat dicapai pada pilihan raya umum yang lalu. Kita memerlukan sebuah kerajaan baru di Putrajaya. Sebuah kerajaan yang lain dari Umno-BN

>> Komentar Dr Abdul Aziz Bari. Beliau ialah mantan Profesor Undang-undang di UIAM 

Tiada ulasan: