KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 04, 2012

Kanser PRU-13: Nizar Jamaluddin yakin Umno-BN sedang menanti ajal


---------------------------------------------------------------------------------------------------
Muqadimah: Kebangkitan hijau di negeri-negeri BN dan penghijrahan luar biasa golongan artis ke dalam PAS adalah suatu fenomena yang dilihat mampu membantu PAS menuju ke Putrajaya. Wartawan, NYZA AYOB mendapatkan pandangan kedua bekas Menteri Besar Perak yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Nizar Jamaluddin mengenai perkara ini.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Bagaimana Dato' Seri melihat kebangkitan Hijau ke Putrajaya? 

DATO' SERI NIZAR JAMALUDDIN: Ini merupakan satu fenomena yang menakjubkan khususnya kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Kebangkitan hijau ke Putrajaya ini, apabila ia dilancarkan pimpinan PAS di Kedah baru-baru ini juga menambah kegerunan kepada Umno-BN. Saya melihat akibat daripada gelombang hijau yang disemarakkan di Kedah, ia kini telah menjalar ke negeri-negeri. Negeri Perak juga tidak ketinggalan mengadakan program seakan-akan Hijau Menuju Ke Putrajaya ini, dan sambutannya agak memeranjatkan kerana kehadiran dalam skala yang agak besar. Tidak pernah kita adakan perhimpunan sebesar itu, yang diadakan di Parit Buntar. Gelombang hijau ini menular bukan sahaja kepada Pakatan Rakyat tetapi juga rakyat marhain. Gelombang ini memberi tamparan yang tinggi terhadap Umno-BN dalam pelbagai aspek. Walaupun Umno cuba mengecilkan sambutan yang diterima, ia tetap menjadi tarikan.

Apakah penghijrahan golongan artis  ke dalam PAS kebelakangan ini juga terhasil kerana momentum daripada kebangkitan hijau itu?

Dalam konteks hari ini, penghijrahan golongan artis yang telah lama terlibat dalam alam fantasi hiburan ini merupakan perkara yang baru dalam PAS. Kalau berlaku pun hanya satu atau dua kes. Fenomena ini saya anggap satu anugerah yang cukup istimewa kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Ia amat istimewa kerana bukan hanya golongan artis bahkan bekas kakitangan kerajaan yang pernah memegang jawatan tinggi turut menyertai PAS. Kemasukan mereka ke dalam PAS adalah satu cantuman yang mengukuhkan lagi serta meraikan lagi himpunan Hijau ke Putrajaya. Ia berlaku pada waktu dan ketika yang sama.
Saya melihat paling syahdu apabila kenyataan yang keluar daripada bekas-bekas penghibur ini, mereka seolah-olah mencari satu kebenaran dalam kehidupan di samping mereka mencari pendapatan harian. Apabila perkara ini mereka temui dalam PAS dan mereka menzahirkan perasaan mereka, kegembiraan terserlah pada mereka. Ini kerana mereka mula dicantumkan dalam PAS sehingga mereka meluahkan, jangan dipandang mereka hanya sebagai golongan yang hanya menghibur sedangkan mereka juga berpandangan mereka adalah insan biasa yang ingin terlibat dengan proses perubahan. 

Mungkin juga antara faktor utama mereka mendekati PAS kerana pendedahan daripada media alternatif  yang lebih membuka minda mereka dan seterusnya mereka menilai sendiri bahawa kebobrokan dalam sistem pemerintahan hari ini hanya dapat diubah apabila berlaku pertukaran pemerintahan?

Ya, itu tidak dapat dinafikan kerana apabila mereka hauskan berita dan maklumat terkini yang sahih, mereka akan mendapatkannya dalam media alternatif. Melalui media alternatif inilah menjadi jambatan kepada mereka untuk membuat perubahan.  

Apakah kebangkitan golongan penghibur ini juga akan lebih menarik minat orang ramai khususnya golongan muda untuk bersama-sama menyertai PAS?

Saya melihat golongan artis diberi ruang sebebasnya dalam media supaya pengikut mereka akan menjadikan mereka ini sebagai idola. Jadi, apabila mereka menyertai PAS, pengikut mereka di kalangan anak muda ini sedikit sebanyak akan turut terdedah dengan apa yang PAS laksanakan. Perkara ini memberi kebaikan yang amat besar kepada PAS. Saya merayu agar lebih ramai lagi golongan artis ini bersama-sama dalam perjuangan PAS. Saya difahamkan di kalangan artis yang telah masuk ke dalam PAS, ada ramai lagi kalangan rakan mereka berminat dengan PAS. Saya doakan individu yang dimaksudkan itu akan rapat dengan PAS untuk bergerak bersama-sama perjuangan yang mulia ini.

Penyertaan golongan profesional dan dan bekas kaki tangan kerajaan ke dalam PAS juga mungkin akan mendorong lebih ramai sokongan terutama  apabila semakin hampir dengan pilihan raya?

Ya, penyertaan mereka akan lebih menarik minat di kalangan orang Melayu termasuk belia Melayu yang sebelum ini mungkin hanya di atas pagar. Mereka teragak-agak kerana mungkin kerana termakan dengan dakyah media Umno. Tetapi oleh kerana hari ini ramai di kalangan profesional dan bekas kaki tangan kerajaan menyetai PAS, saya yakin ia akan turut menggamit golongan di atas pagar ini?

Pada pandangan Dato' Seri, mampukah gelombang kebangkitan hijau ini menyemarakkan hasrat Pakatan Rakyat menukar Kerajaan BN dalam PRU-13 nanti... 

Saya melihat gelombang ini sedang disemarakan dan akan beri kesan kepada PRU-13 nanti. Di Perak misalnya, walaupun hanya sembilan bulan PAS menerajui negeri itu, kita telah mendedahkan anak muda pada satu suasana yang amat terbuka. Begitu juga dengan Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Jadi sudah tentu gelombang hijau ini amat mendatangkan kesan positif di negeri naungan BN. Saya mengatakan demikian kerana anak-anak muda di negeri-negeri bukan Pakatan Rakyat sebelum ini masih dihidangkan dengan program-program yang dianjurkan Umno-BN yang berkonsepkan hiburan semata-mata sebagai contoh di negeri Johor. Di sinilah sebenarnya gelombang hijau itu mudah diterokai di negeri-negeri BN ini dan jauh lebih hebat kerana kita menyajikan program yang boleh membuka minda mereka.

Akhir sekali, agaknya gelombang hijau ini juga menandakan sudah sampai 'ajal' Umno-BN untuk terus berkuasa di Malaysia?

Allah berfirman di dalam Surah Al A'raf ayat 24 yang bermaksud "bagi setiap manusia itu ada ajalnya". Apabila ajal itu sampai, ia tidak boleh mengundur ke belakang walau sesaat. Biasanya apabila parti-parti politik ini akan menumui ajalnya, ia akan membuat perkara di luar pemikiran manusia. Ia akan melatah dan buang tabiat. Jika kita lihat enam bulan kebelakangan ini, Umno-BN mempamerkan fenomena latah dan buang tebiat yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kapal selam, lembu, tindakan kurang sopan di hadapan rumah Ambiga semua ini menunjukkan mereka sebenarnya tidak boleh lagi hendak ke depan dan belakang. Ajal ini akan sampai apabila tahap kezaliman itu semakin memuncak.

Tiada ulasan: