---------------------------------------------------------------------------------------------------
Benarkah apungan saham FGVH boleh menjejaskan masa depan peneroka? Atau ini hanya propaganda Pakatan Rakyat untuk menghalang peneroka daripada mendapatkan keuntungan? Ikuti wawancara Wartawan, AZIZ MUDA bersama bekas Naib Presiden Kanan Felcra, Dato' Ramli Buyong (gambar kemaja kuning sebelah kiri) pada 4 Julai lalu.
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Adakah apungan saham FGVH akan menguntungkan peneroka?
DATO' RAMLI BUYONG: Kalau tidak melibatkan kepentingan peneroka tak apalah, tapi kalau melibatkan kepentingan peneroka, apungan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) itu bukan sahaja satu tindakan yang tak kena, tetapi juga akan melibatkan masa depan peneroka. Dengan apungan saham itu, ladang-ladang peneroka akan diambil alih dan dicagarkan kepada bank oleh FGVH. Sumber pendapatan langsung Felda akan putus. Sebaliknya Felda hanya akan menerima dividen tahunan RM500 juta berbanding hasil ladang sekarang sebanyak RM2.2 bilion.Pendapatan Felda akan jatuh mendadak. Jadi bagaimanakah Felda hendak membiayai kebajikan kepada para peneroka seperti perumahan, pendidikan dan sebagainya? Kalau ladang-ladang peneroka itu diambil alih oleh anak syarikat Felda iaitu FGVH, pendapatan Felda bergantung kepada keuntungan yang diperolehi oleh FGVH sahaja. Adakah Felda boleh menjamin FGVH itu akan untung selamanya? Mustahil. Pasti ada turun naiknya. Pendapatan dari harga kelapa sawit bergantung kepada harga komuditi sawit. Sebelum ini, harga komuditi sawit RM600 setan tetapi sekarang dijangka RM400 setan. Pendapatan FGVH dari ladang pasti akan menurun. Apabila pendapatan FGVH dari ladang menurun, dividen pun pasti turun kerana dividen bergantung kepada pendapatan tahunan Felda.
Bagaimana dengan janji "durian runtuh"...
Pertama, yang dikatakan "durian runtuh" oleh kerajaan dengan pemberian RM15,000 kepada peneroka itu, dari mana sumbernya? Dari mana kerajaan mendapat wang itu untuk dibayar kepada peneroka? Adakah sumber itu dari dana pendahuluan (advance) Felda? Kalau dari advance Felda, bayaran itu pasti akan dipotong balik oleh Felda kepada peneroka. Siapakah yang akan potong balik bayaran pendahuluan (advance) kepada peneroka itu? Adakah FGVH? Jika 'advance' bermakna itu adalah hutang. Kalau hutang, itu bukanlah "durian runtuh". Jadi yang dikatakan "durian runtuh" kepada peneroka itu sebenarnya adalah satu penipuan. Kalau sumber itu dari sumber lain, dari mana sumber itu?
Kedua, peneroka dikehendaki menandatangani borang pinjaman bank yang dilantik. Ada tujuh bank yang dilantik. Antaranya termasuklah ICB Bank, Arab Malaysian Bank dan Affin Bank. Pinjaman maksimum daripada bank kepada setiap peneroka sebanyak RM100,000. Jumlah peneroka diseluruh negara seramai 112,000 orang. Sekarang 80,000 peneroka telah menandatangani borang pinjaman itu. Apabila peneroka dah tandatangan borang pinjaman itu bermakna peneroka telah terikat dengan pinjaman bank. Anehnya, dalam surat pinjaman itu, jumlah pinjaman yang sebenarnya tidak dinyatakan. Sebaliknya ruang bagi jumlah pinjaman itu dikosongkan dulu. Kenapa jumlah pinjaman itu tidak dinyatakan kepada peneroka? Tak pernah berlaku dalam sebarang urusan pinjaman bank ruang bagi jumlah pinjaman itu dikosongkan begitu.
Apa tindakan lanjut menyedarkan hal ini?
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) sendiri yang turut berjuang bagi kepentingan peneroka sehingga sekarang tak tahu jumlah pinjaman sebenar kepada para peneroka itu. Ini bukan salah peneroka, tetapi ini menjurus kepada penipuan kepada peneroka. Pada hal kalau kita nak buat pinjaman dengan bank, kalau pinjam sebanyak RM5,000 pun pasti dinyatakan jumlahnya, tetapi ini tak dinyatakan. Peneroka sendiri tak pasti berapa jumlah pinjamannya itu. Para peneroka jelas dijadikan mangsa. Sepatutnya Felda yang dipengerusikan oleh Tan Sri Isa Samad itu mesti nyatakan jumlahnya. Jika tak dinyatakan jumlahnya, ini jelas satu penipuan kepada para peneroka. Bank pasti akan meluluskan pinjaman berdasarkan aset-aset peneroka. Aset-aset setiap peneroka termasuklah tanah ladang sebanyak 10 ekar, tapak rumah, saham peneroka dalam KPF, harta alih dan harta tak alih. Sekarang Felda masih meminta peneroka-peneroka serahkan salinan geran ladang dan salinan geran tapak rumah. Ini untuk tujuan apa? Adakah untuk cagaran? Sedangkan kalau untuk cagaran, Felda perlu dapatkan semua itu dan mesti diserahkan sebelum tandatangan pinjaman itu dibuat dengan bank.
Mungkin ini mempunyai muslihat tertentu...
Ini disyakki nilai pinjaman itu adalah dengan mengikut harga tanah. Harga tanah pula mengikut harga semasa. Itulah harga tanah-tanah itu. Difahamkan, aset minumum bagi kelayakan pinjaman itu sebanyak RM50,000. Kalau tanah peneroka itu terletak di tempat yang kurang baik, harganya pasti lebih rendah daripada itu.
Bagaimana dengan pembahagian saham?
Mengenai saham, kenapa peneroka yang telah bergelumang dengan pelbagai kesusahan lebih 30 tahun hanya diberikan 800 unit, tak sampai pun satu lot? Satu lot adalah 1,000 unit. Kenapa peneroka tak diberikan satu lot? Dengan hanya diberikan 800 unit, tak sampai pun satu lot, ini lot ganjil, lot yang tak dimainkan di pasaran saham. Kalau dijual pun tak laku. Sedangkan saham diurus oleh remiser. Kalau setakat satu lot, remiser tak berminat nak menguruskannya, apatah lagi kalau tak sampai satu lot. Remiser hanya berminat menguruskan saham yang besar lotnya. Makin besar lot saham yang diuruskan, makin besar untungnya. Kalau lot sedikit, dia tak layan. Jadi jika peneroka hendak mendapatkan lot besar, mereka kena cari sekurang-kurangnya 10 orang peneroka lain untuk digabungkan unit-unit sahamnya. Itu pun kalau setakat 10 lot, remiser tak layan sangat. Apatah lagi kalau setakat 8,000 unit, dia nak layan apa? Jadi apa yang dilakukan ke atas para peneroka ini adalah satu penganiayaan terhadap peneroka secara halus oleh Felda. Kalau Felda ikhlas nak bantu peneroka, Felda akan berikan 100 lot atau 1,000 lot kepada peneroka, bukannya diberikan hanya 800 unit seorang.
Macam mana jika hendak membeli satu lot saham FGVH?
Dengan keadaan itu, jika hendak membeli satu lot saham FGVH bermakna kena beli 1,800 unit. Kalau hendak beli saham FGVH mesti beli satu lot, tapi 800 unit tak sampai satu lot. Jadi untuk membeli satu lot mestilah membeli 1,800 unit. 800 unit itu harganya RM3,600. Persoalannya sekarang, untuk membeli saham sebanyak itu buat apa peneroka buat pinjaman bank sebanyak RM50,000? Sedangkan interestnya pun cukup tinggi sebanyak 6.5 peratus. Tak ke nampak tindakan ini untuk memperbodohkan peneroka?
Siapa yang untung besar dalam apungan saham ini?
Ternyata, yang untung besar bukannya peneroka, tetapi pihak-pihak yang tiada kena mengena dengan peneroka. Mereka yang mengaut keuntungan besar itu terdiri daripada Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang mendapat pembahagian saham khas sebanyak 180,000 unit atau 180 lot. Sedangkan apa jasanya kepada Felda? Jasa apa yang dibuatnya terhadap Felda? Keseluruhan para peneroka hanya mendapat 2.5 peratus daripada keseluruhan saham yang berjumlah 3.6 bilion unit. Jadi, apa ertinya slogan "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan"? Ternyata, bukan rakyat yang didahulukan oleh kerajaan BN. Slogan itu sebenarnya tidak memberikan apa-apa makna kepada rakyat. Sepatutnya, para peneroka sekurang-kurangnya mendapat 51 peratus, bukannya 2.5 peratus. Jadi ini jelas satu penyelewengan.
Pihak kedua yang mengaut keuntungan adalah kakitangan Felda yang berjumlah lebih 20,000 orang. Mereka mendapat agihan saham sebanyak 3 peratus. Para peneroka diseluruh negara berjumlah 112,000 orang. Kenapa kakitangan Felda mendapat agihan yang lebih banyak berbanding peneroka yang sebegitu besar jumlahnya berbanding kakitangan Felda? Jadi saham FGVH itu sebenarnya bukannya untuk rakyat. Jika "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan", para penerokalah yang sepatutnya mendapat agihan saham yang lebih banyak. Manakala pihak ketiga yang mendapat keuntungannya adalah dari luar, iaitu sebuah syarikat dari Perancis yang diberikan 20 peratus daripada keseluruhan saham itu. Syarikat itu pula kalau kita buat kajian didapati dimiliki oleh Yahudi yang berpangkalan di Perancis. Pihak keempat yang mendapat keuntungannya adalah pelabur-pelabur institusi yang antaranya termasuklah Tabung Haji dan KWSP dengan diberikan 20 peratus daripada keseluruhan saham itu.
Adakah tindakan yang dilakukan oleh Felda ini hasil dari kajian yang menyeluruh?
Ternyata, Felda buat ini semua tanpa kajian yang menyeluruh. Saham FGVH ini kalau dipanjangkan sebenarnya boleh dibeli oleh mana-mana pihak di seluruh dunia. Jadi, adakah Felda boleh menjamin saham-saham itu tidak akan terlepas kepada orang luar atau akan kekal berada di tangan rakyat Malaysia?
Sepatutnya Felda belajar dari pengalaman saham Bernas?
Memang benar. Felda sepatutnya belajar dari saham Bernas. Saham Bernas 30.3 peratus setelah diapungkan telah dimiliki oleh satu kumpulan dari Hong Kong, Wing Tak Holdings Private Limited Hong Kong. Kalau ambil iktibar saham Bernas, ternyata kepentingan-kepentingan pesawah telah dinafikan. Orang luar yang menguasai Bernas. Segala lesen pengeluaran Bernas sepatutnya dinikmati oleh pesawah-pesawah, tetapi akhirnya orang luar yang mengutip kepentingan lebih besar. Kalau dirujuk kepada Bernas, kerajaan sepatutnya dah ambil pengajaran supaya dalam Felda pun tidak terjadi begitu. Di Felda pun tak mustahil jika masa depan, orang luar yang akan menguasai Felda. Jadi apa yang boleh kita buat lagi pada masa itu? Orang luar suka untuk ambil Felda sebab kelapa sawit adalah komuniti yang tinggi. Yahudi nak masuk Felda ikut pintu belakang. Adakah Kerajaan Malaysia boleh memberi jaminan, dengan penyenariaan dan apungan FGVH ini, adakah saham FGVH akan kekal di tangan rakyat Malaysia?
Maknanya apungan saham ini tak untungkan peneroka?
Berdasarkan kajian-kajian pelbagai pihak termasuk yang saya nyatakan dari awal tadi, bolehlah dirumuskan, pengapungan saham FGVH itu tak akan menguntungkan para peneroka? Ternyata, ia bukan akan mendatangkan keuntungan kepada para peneroka, tetapi jadi satu ancaman yang besar kepada para peneroka. Ternyata, penyenaraian dan apungan saham FGVH itu adalah satu tindakan yang dirancang yang mempunyai agenda-agenda tersirat untuk kepentingan-kepentingan tertentu oleh pihak-pihak tertentu bagi mendapatkan keuntungan jangka masa pendek, dengan alasan bagi kepentingan-kepentingan peneroka sebagai alat bagi mengelabui mata para peneroka dan rakyat negara ini.
2 ulasan:
It's very effortless to find out any topic on web as compared to textbooks, as I found this paragraph at this web page.
My weblog - small loans
Hello, its pleаsant pіece of ωriting cοncerning
medіa print, we all knοw media is a wondегful sοuгce of infοrmаtiοn.
my blоg post - payday loans
Catat Ulasan