Exco Kebajikan dan Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa mengingatkan pimpinan Umno supaya mengambil ikhtibar daripada peristiwa bahtera Nabi Noh a.s yang dibina atas perintah Allah untuk menyelamatkan umatnya daripada bah. Katanya, ketika pembinaan itu ramai umat Nabi Noh yang memperlekeh dengan mengatakan Nabi Noh bukan seorang arkitek. Penghinaan itu telah berlaku beribu tahun lalu terhadap Nabi Noh kerana terdapat jurang perbezaan fikiran antara Nabi dengan umatnya.
Sehubungan itu, Husam bertegas tidak memperdulikan kritikan daripada pihak yang memperlekah usaha dan kesungguhan kerajaan Kelantan di bawah Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk membina Lebuhraya Rakyat. "Jika Nabi Noh boleh diperlekeh oleh umatnya, saya tidak kisah jika ada pihak yang memperlekeh Kelantan untuk membina lebuh raya. Kita akan buktikan lebuh raya ini jadi," katanya. Beliau yakin Umno akan celik mata apabila melihat lebuh raya rakyat siap dan ketika itu mereka akan berkata Tok Guru Nik Abdul Aziz memang berfikiran jauh ke hadapan.
Menurut beliau, pembinaan lebuh raya membuktikan kerajaan Kelantan begitu komited dengan amanah dan tanggungjawab untuk menjaga rakyat Kelantan. Sebenarnya, tegas beliau, untuk membina lebuh raya tidak sukar jika kerajaan mempunyai aset negeri yang dapat diurus dengan baik. "Jika aset negeri diurus dengan baik bukan sahaja rakyat Kelantan dapat menikmatinya bahkan seluruh ummah," tegas beliau.
Menurut beliau, membina lebuh raya menggunakan bahan yang sama untuk membina jalan iaitu batu, besi, tapak, tanah, minyak tar dan lebuh raya itu sama dengan jalan raya hanya beza besar sedikit. Katanya, cara kerajaan Kelantan membina lebuh raya tidak sama dengan cara yang dilakukan oleh BN. "Kelantan membina lebuh raya dengan dua fasa. Satu fasa dimulakan dengan pembinaan sejauh 43 kilometer dengan anggaran kos RM700-800 juta," katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, pembinaan lebuh raya itu juga dibuka dengan ruang wakaf dengan tujuan mengajak rakyat untuk menyambung lebuh rakyat ke akhirat. Katanya, dalam soal wakaf Umno jangan perlekah dengan kekuatan wakaf sebab dalam sejarah umat wakaf dapat dikembangkan. "Kalau anda tidak boleh bagi sebiji batu, berilah kata-kata yang baik, jangan sekali-kali jadi seperti umat Nabi Noh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan