KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 18, 2012

PAS kini sudah tawan Putrajaya?



PAS pada simboliknya telah berjaya menawan Putrajaya, apabila kira-kira 1,000 anak muda berjaya mengelilingi kawasan pentadbiran Kerajaan Pusat itu dengan konvoi bermotorsikal sambil mengibarkan bendera PAS pada 14 Julai lalu.Program simbolik itu dilangsungkan sempena Perhimpunan Hijau PAS Wilayah Persekutuan Ke Putrajaya, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Perarakan motorsikal itu dan turut diiringi tidak kurang 100 buah kereta pelbagai jenis.

Sebelum berkonvoi, mereka berkumpul di hadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya atau Putrajaya International Convention Centre (PICC) mengikuti amanat Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan beberapa pemimpin PAS Wilayah Persekutuan. Mereka memakai baju T hijau dan mula berkonvoi secara aman jam 10.50 pagi, sebaik selesai acara melepaskan belon ke udara yang disempurnakan Mohamad. Dalam ucapannya, Mohamad berkata, penyelewengan yang dilakukan oleh para pemimpin Umno dan BN kini sudah tidak dapat disembunyikan lagi oleh mereka daripada pengetahuan rakyat kerana ia bukan hanya didedahkan oleh para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, tetapi turut disahkan oleh Jabatan Audit Negara. 

Ustaz Idris dalam ucapannya sebelum itu berkata, kebangkitan anak muda di kota memang amat membanggakan sehingga menyebabkan mereka sendiri turut melakukan pelbagai usaha untuk mengubah landskap politik tanah air. PAS pula, menurut beliau, sememangnya diyakini dapat mentadbir negara dengan baik sekiranya diberikan mandat memerintah negara bersama dengan Pakatan Rakyat pada PRU-13 akan datang dengan dibuktikan pada kemampuannya mentadbirkan negeri dengan baik termasuk di Kelantan dan Kedah, di samping Selangor dan Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat. "Sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat dapat memerintah negara pada PRU-13 akan datang, antara penekanan yang akan diberikan termasuklah dengan melaksanakan penjimatan wang negara dan ketelusan dalam segala aspek bagi kepentingan negara dan rakyat," tegas beliau. 

Sementara Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzaman Mohamad pula berkata, kejayaan PAS Wilayah Persekutuan berkumpul dan berkonvoi di Putrajaya pada 14 Julai lalu merupakan sesuatu yang amat bermakna, setelah PAS dinafikan hak oleh Kerajaan Umno-BN untuk berkumpul di dewan-dewan dan di padang-padang terutama di kawasan itu. Bermula di hadapan PICC, mereka menjelajah aman tanpa sebarang kekacauan ke segenap presint Putrajaya. Ini menyebabkan seluruh penduduk yang melihat "pemandangan" itu terpukau dengan "izzah" yang ditunjukkan oleh PAS di tengah-tengah tekanan Umno-BN trehadap Pakatan Rakyat.  

Sementara itu pada sebelah malamnya, lebih 1,000 orang membanjiri  Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru bagi mendengar amanat pemimpin PAS dalam merealisasi sasaran ke Putrajaya dapat dicapai. Majlis bermula dengan solat Magrib dan Isyak berjemaah serta diikuti munajat yang diketuai Ahli Badan Perhubungan PAS Wilayah, Ustaz Dr(H) Ali Jamil. Selain pimpinan PAS Pusat dan Wilayah Persekutuan, turut menjadi tetamu pada malam tersebut ialah bekas AJK Umno Bahagian Gopeng, Nazri Nordin; bekas Naib Presiden Kanan Felcra Bhd, Dato' Ramli Buyung serta lagenda bolasepak negara, Abdullah Ali. 

Selain Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, antara yang berucap ialah AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Hj Ahmad dan Mazlan Aliman. Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Noor Mohamad; Timbalan Pesuruhjaya, Ahmad Zamri A'sad Khuzami; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh; Pengerusi Kelab Penyokong PAS Wilayah, Vincent Lee serta Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali. Rata-rata pemimpin PAS dalam ucapan mereka mengajak rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan bekerja keras dalam menghadapi PRU-13 agar dapat memacu kejayaan untuk menawan Putrajaya.

Puisi 'Ku Lihat Hijau' yang dideklamasi Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan yang merupakan hasil nukilan beliau sendiri turut menyemarakkan lagi semangat penyokong PAS yang hadir. Selain itu, Himpunan Hijau PAS Wilayah Persekutuan menyaksikan pelancaran Pertubuhan Sekretariat Kebajikan Bekas Angkatan Tentera (Kerabat) peringkat Wilayah Persekutuan yang disempurnakan pengerusinya, Ahmad Nazari. Semangat hadirin semakin berkobar apabila lagu "Barisan Kita" diputarkan dan hadirin turut berdiri menyanyikan lagu tersebut dengan diiringi paparan montaj menggambarkan perjuangan prajurit tanah air.

Suasana program sepi seketika untuk mendengar ucapan daripada tetamu yang diterbangkan khas daripada Mesir iaitu Pengurus Kempen Presiden Mesir (Dr Mohamad Morsy), Ismail Hamid Ismail Nasir. Ismail dalam ucapannya yang diterjemahkan AJK Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Imran Al Malizi menyampaikan mesej utama beliau kepada seluruh ahli PAS. Antaranya beliau menekankan setiap kekuatan dalam perjuangan datangnya daripada Allah dan perancangan Allah adalah paling tinggi.

Tiada ulasan: