KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 12, 2012

BN tuju ke kubur: Utusan putar belit isu 90 kerusi DAP tanding untuk takutkan pengundi Melayu



Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan Utusan Malaysia sah sebagai "surat khabar pembohong" dan bukannya akhbar apabila ia jelas tidak jujur dan membelakangkan etika kewartawanan. Katanya, ini ekoran laporan mereka yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding di 90 kerusi parlimen untuk mendominasi Pakatan Rakyat dan melantik Perdana Menteri pada PRU-13 nanti sebagai tajuk utama muka hadapan. Utusan mendakwa DAP akan bertanding 90 daripada 222 kerusi parlimen meliputi 40.5 peratus jumlah kerusi parlimen, manakala PAS dan KeADILan akan bertanding masing-masing 66 buah kerusi parlimen.

"Ini sebuah kempen jahat, anti-nasional dan tidak bertanggungjawab oleh propagandis Umno semata-mata untuk menyemarakkan lagi kecurigaan  antara kaum bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa politik sekiranya Umno tewas dan BN digantikan dengan Pakatan Rakyat pada PRU-13 nanti," kata Kit Siang dalam kenyataannya. Menurutnya, pada minggu lalu, beliau telah menempelak taktik menakut-nakutkan rakyat oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sendiri apabila beliau memberi amaran bahawa pengundi Cina merupakan penentu (kingmakers) keputusan PRU-13.

Orang Melayu dakwa beliau dibahagikan kepada tiga bahagian kecil malah dakwanya lagi, pengundi Cina pula akan menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya. "Saya telah jelaskan bahawa realiti yang sebenarnya menunjukkan bahawa pengundi Cina tidak akan menjadi penentu berdasarkan aritmetik pilihan raya," jelasnya. Katanya, faktanya, cuma terdapat 34 buah kerusi dari 222 kerusi parlimen yang menempatkan majoriti pengundi Cina. 

Malah sekiranya Pakatan Rakyat memenangi semua kerusi pengundi Cina, ia cuma sekadar mewakili 15 peratus dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen, ujar beliau. Lagipun, jelasnya, terdapat 55 kerusi parlimen lagi dimana pengundi Cina cuma membentuk 30 hingga 50 peratus pengundi.  Walaupun katanya, Pakatan mampu memenangi 80 peratus undi masyarakat Cina, ia masih memerlukan antara 35 hingga 40 peratus sokongan dari komuniti lain untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut. Secara keseluruhan ia bermaksud pengundi Cina hanya membentuk lebih 30 peratus jumlah pengundi di 89 kerusi parlimen, jelas beliau.

Beliau berkata, sekiranya Pakatan memenangi keseluruhan kerusi ini (yang mana ia memerlukan sokongan majoroti dari komuniti lain), ia hanya akan membentuk 40 peratus dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang sebenarnya tidak mencukupi untuk merangkumi majoriti kerusi parlimen. "Sekarang, propagandis Umno telah melakukan kempen menakut-nakutkan rakyat untuk menyemarakkan rasa curiga dan saling tidak percaya antara kaum – yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding 90 kerusi manakala KeADILan dan PAS masing-masing 66 kerusi. 

"Dakwaan ini adalah dakwaan liar dan tidak berasas sama sekali," tegas beliau. Penentuan kerusi antara parti-parti Pakatan Rakyat juga masih belum selesai sepenuhnya dan DAP pula tidak akan mempertimbangkan untuk bertanding lebih dari 60 kerusi atau kurang dari 28 peratus dari 222 kerusi parlimen.

Tiada ulasan: