KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Februari 04, 2009

Lompat parti sebenarnya melibatkan komplikasi perlembagaan - Dr Aziz Bari


MACAM biasa, saya menghubungi Prosfesor Dr Abdul Aziz Bari bagi mendapatkan penjelasan berkenaan cerita lompat parti yang makin popular sekarang ini. Kemelut di Perakj adalah natijah Adun nak lompat parti.

Dr. Aziz memberikan pandangannya. Katanya, cadangan untuk membuat undang-undang menyekat perbuatan melompat parti tidak mudah untuk dilakukan kerana ia mungkin melibatkan komplikasi perlembagaan.

Demikian dinyatakan oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas pelbagai pandangan mengenai perbuatan melompat parti yang berbangkit ekoran tindakan ADUN Bota dua minggu lalu.

"Sebelum 1993 kedudukannya tidak sulit. Bagaimanapun pada tahun itu Mahkamah Agung - sebelum ia ditukar nama kepada Mahkamah Persekutuan pada 1994 - membuat keputusan bahawa tindakan kerajaan negeri Kelantan meminda perlembagaan untuk menyekat tindakan melompat parti bertentangan dengan hak berpersatuan di bawah Perkara 10," katanya.

Aziz berkata keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang diketuai oleh Tun Abdul Hamid Omar - yang menggantikan Tun Salleh Abas - dengan tiba-tiba merubah keadaan. Sebenarnya Kelantan mengikut jejak langkah Sabah yang mengadakan pindaan sama sebelum itu.

Dengan adanya keputusan mahkamah itu, jelas Aziz, undang-undang yang dicadangkan itu akan dibawa ke mahkamah oleh pihak-pihak yang tidak suka dengan undang-undang tersebut. "Pada 1993 Umno jelas sukakan perbuatan melompat parti kerana ia menguntungkan parti itu. Ini terbukti dengan tindakan Umno mempersoalkan pindaan oleh kerajaan PAS itu. Tak lama selepas itu Umno menggunakan taktik lompat parti untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan."

Aziz berkata meskipun undang-undang menyekat perbuatan melompat parti tidak memerlukan sokongan majoriti dua pertiga tetapi ia mempunyai risiko untuk dicabar di mahkamah.

"Memang ada kemungkinan untuk mahkamah yang ada sekarang untuk mengambil pendekatan yang berbeza tetapi itu hanya satu kemungkinan. Jika mahkamah mengambil pendekatan yang berbeza dengan apa yang dibuat oleh Abdul Hamid Omar pada 1993 ia akan menyelamatkan Umno."

Ditanya apakah yang patut dilakukan sekarang Aziz berkata "mungkin lebih bijak jika ia dibiarkan berlaku kerana pada analisis terakhirnya ia akan dihakimi oleh rakyat apabila pilihan raya tiba nanti. Mereka tentu akan memberi hukuman. Saya tidak fikir mahkamah sesuai untuk dijadikan medan dalam isu ini. Apa pun jelas bahawa undang-undang yang ada tidak memihak kepada Umno meskipun inilah senjata yang mereka gunakan 15 tahun yang lalu", jelas Profesor Perlembagaan itu.

Aziz berkata ada juga kerajaan yang diwujudkan melalui perbuatan melompat atau membeli terus kekal memerintah sebagaimana yang berlaku di Terengganu pada 1962 dan Sabah pada 1993.