KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Julai 31, 2012

BN Sabah goncang: Keluar BN tubuh Angkatan Perubahan Sabah



Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Seri Wilfred Bumburing telah mengumumkan keluar parti itu, yang merupakan satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah. Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis yang dihadiri oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dalit, dekat sini. Bumburing berkata beliau bersama beberapa pemimpin akar umbi Upko yang lain telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada ibu pejabat parti berkenaan minggu lepas.

"Setelah mengambil kira semua faktor, saya dengan ini mengumumkan keluar BN," katanya. Beliau turut mengumumkan penubuhan Angkatan Perubahan Sabah atau Sabah Reform Front. Pada 23 Julai lepas, Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran. Semalam, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta merta dan mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

Video Video eksklusif serangan puak Rakhine di Myanmar: 60 Wanita Diperkosa Di Mandao, apakah sikap kamu!



Simpang siur informasi tentang Muslim Rohingya di Myanmar hingga kini masih terjadi. Bagaimana keadaan sebenarnya? Pihak PBB baru-baru ini menyebutkan terjadi korban tersebar di beberapa wilayah, tetapi rejim Myanmar tidak mengizinkan setiap organisasi ataupun media untuk memasuki negaranya.

Dalam video yang sudah dilihat 90.483 orang ini, terlihat api membumbung tinggi dan kebakaran beberapa rumah penduduk. Terlihat wajah-wajah orang panik saat kamera mensyuting mereka. Warga Muslim nampak menyematkan diri ke tempat lebih aman. Terdengar suara dan teriakan takbir berkali-kali, seolah menunggu pertolongan.

"Allahuakbar... Allahuakbar... Allahuakbar," jerit mereka. 

Ahmad mengaku, ada sekitar 115,000 warga etnis Muslim Rohingya saat ini berada di Kamp pelarian di 5 wilayah. Seorang aktivis lain mengatakan, sudah 2000 orang terkrban, sedang 10 ribu orang hilang dan 60 wanita diperkosa di daerah Mandao. Yang cukup membuat hati tersentuh, di akhir tayangan, ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak nampak menuju sebuah danau, mereka beramai-ramai mengangkat tangannya berdoa untuk memohon bantuan.

Khamis, Julai 19, 2012

Artis bukan "Askar Upahan" - PAS ubah artis jadi ahli politik jadi-jadian!




Setiausaha Perhuungan PAS Perak, Muhaimin Sulam dalam blognya menulis begini. Maka satu demi satu, artis atau seniman menyertai PAS atau setidak-tidaknya berdiri atas pentas parti pembangkang ini. Lalu, tawaran lakonan dan konsert sudah bertukar kepada jemputan menjadi penceramah politik. Ada yang sambil-sambilan dan ada yang sepenuh masa. Tambahan pula, memang PAS yang menganjurkan program akan menyediakan 'sampul' kepada mereka sejurus seusai program berkenaan.

Ada yang buat list harga perkhidmatan perjuangan mereka. Memang ada di kalangan mereka yang tak faham bahawa ahli PAS tegar yang tidak pernah ponteng untuk duduk depan pentas ceramah adalah para marahen yang sangat pemurah. Mereka sanggupkan kosongkan kocek mereka demi tabung jihad parti. Askar upahan seperti juga para demonstran di kota Jakarta. Protes mereka dibayar. Lagak ngeri mereka juga dibayar mengikut pakej yang ditawarkan. 

Artis bukan askar upahan yang membunuh berdasarkan bayaran yang diberikan. Ada yang tidak mengira soal samada 'sampul' itu tebal atau nipis. Bagi mereka usaha yang mereka lakukan adalah untuk membantu perjuangan. Inilah yang dinamakan askar sebenar. Tapi aneh, mengapa harus mereka menjadi pemidato politik atau ahli panel berbanding kehebatan mereka sebagai artis! PAS telah mengubah artis menjadi makhluk lain atau artis itu yang sudah berubah menjadi ahli politik jadi-jadian?

Umno rekrut 10 ribu Cybertrooper lancar serangan kepada Pakatan Rakyat



Pada bulan November tahun lepas, Perdana Menteri Najib Razak telah melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur, dengan merekrut 2,000 pengguna media sosial yang telah menghadirkan diri sebagai angkatan tentera baru pahlawan siber UMNO-Barisan Nasional. Semenjak itu, kira-kira 10 konvensyen media sosial telah diadakan di negeri-negeri yang berlainan, iaitu sebahagian daripada program untuk merekrut lebih 10,000 cybertrooper UMNO-BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Seperti yang ditekankan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim dalam pelancaran edisi Selangor padabulan lepas, cybertrooper UMNO-BN haruslah "menyerang balas segala fitnah yang sedang berlaku di laman-laman sesawang". Tambah beliau, "Jika orang ramai mahu terus tweet yang 'Bersih itu bersih' orang ramai akan percaya bahawa gerakan tersebut adalah tulen. Tweet balik dan katakan yang Bersih itu kotor.

Najib harus menjelaskan mengapa dana awam harus dibelanjakan untuk merekrut angkatan tentera lebih dari 10,000 cybertrooper UMNO-BN menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan datang, tidak kiralah melalui Biro Tatanegara (BTN) atau Sekretariat 1Malaysia. Rakyat Malaysia yang membayar cukai juga wajib diberi penjelasan jumlah daripada peruntukan dana awam yang telah digunakan di atas setiap satu Konvensyen Media Sosial 1Malaysia sejak bulan November lalu untuk merekrut lebih 10,000 cybertrooper UMNO-BN, terutama sekali yang menyamar di bawah program Jelajah Janji Ditepati oleh Perdana Menteri.

Rakyat Malaysia kini mula khuatir mengenai Konvensyen Media Sosial 1Malaysia Najib yang berusaha untuk merekrut 10,000 cybertrooper UMNO-BN sememangnya anti-nasional dengan tidak mengendahkan objektif 1Malaysia untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang beretika, harmoni dan bersepakat. Ini jelas dapat dilihat oleh konvensyen media sosial anjuran BTN dan Sekretariat Media Sosial 1Malaysia pada hari Sabtu di mana Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia Mohd Zaini Hassan telah mengesahkan lagi kewartawanan yang tidak beretika dan tidak jujur dalam memutarbelitkan fakta serta menjadikan yang palsu itu benar.

Inilah kesalahan Utusan dalam tiga tahun Najib sebagai Perdana Menteri, penyebaran perkara yang palsu sebagai fakta, samada dalam berita muka hadapan Utusan baru-baru ini yang melaporkan yang DAP akan bertanding 90 daripada 222 kerusi parlimen dalam PRU13 untuk mendominasi Pakatan Rakyat dan untuk melantik Perdana Menteri dalam Pilihanraya Umum Ke-13 sebagai sebahagian daripada kempen kejam untuk mengapikan-apikan sentimen dan syak wasangka di antara kaum, menakut-nakutkan rakyat serta dakwaan awal bahawa DAP mahu menubuhkan Malaysia di mana agama rasminya Kristian dan perlantikan Perdana Menteri beragama Kristian atau untuk menubuhkan satu Negara republik dan memansuhkan sistem raja-raja berperlembagaan.

>> Komentar Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Umur 14 tahun jual tubuh sebab nak "gian" beli gajet tercanggih


Kegilaan terhadap pelbagai gajet dan alat telekomunikasi canggih menyebabkan seorang gadis berusia 14 tahun di Johor Bharu menjual tubuh termasuk meniduri lelaki berusia 60-an bagi mendapatkan wang untuk membeli barangan kegemaran mereka itu. Perlakuan pelajar tingkatan dua dari Ulu Tiram, dekat sini, itu terbongkar apabila keluarganya menyedari dia memiliki barangan berjenama serta gajet terbaru yang setiap satu daripadanya berharga ribuan ringgit.

Gadis terbabit pada awalnya mendakwa gajet berkenaan kepunyaan rakan sekolah namun keluarga yang curiga membawanya mendapatkan kaunseling di Pejabat MCA Johor Jaya sebelum dia mengakui menjual tubuh kerana mahu memiliki barangan berkenaan. Ketika berkongsi pengalamannya, gadis mahu dikenali sebagai Sarah berkata, dia terbabit kegiatan tidak bermoral itu sejak awal tahun ini.

"Setiap kali menjual tubuh, saya memperoleh RM200 hingga RM300. Jumlah itu lumayan dan membolehkan saya membeli pelbagai gajet terbaru seperti komputer tablet termasuk iPad dan telefon pintar, BlackBerry selain beg tangan berjenama terkenal."

Citizens International tuduh TV Hijrah pecahbelahkan umat Islam


Kepada:
Ketua Pegawai Eksekutif
Al Hijrah Media Corporation
Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana,
50480 Kuala Lumpur, Malaysia.

Assalamualaikum wr wb

Menyemai Perpecahan Dalam Kalangan Umat Islam 

Saluran televisyen Al Hijrah merupakan salah satu saluran yang mempunyai ramai bilangan penontonnya. Sikap, pemahaman, pandangan dan tindakan mereka yang menonton rancangan televisyen itu akan dipengaruhi apa yang mereka tonton. Oleh sebab itu, sebagai pengendali saluran Islam, anda mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melaksanakan penelitian yang rapi dalam penyampaian mesej melalui saluran televisyen kepada penonton agar ia tidak melanggar ajaran al Quran yang menuntut kebaikan dan melarang kemungkaran.

Al Hijrah, dalam kenyataan misi dan visinya, telah berjanji untuk menjadi stesen penyiar dengan misi untuk mendidik, menghibur dan menyatukan umah melalui siaran yang berkualiti dan kreatif berdasarkan ajaran Islam yang sesuai dengan masyarakat tempatan dan antarabangsa. 

Memandangkan  misi yang suci ini, kami amat terkejut apabila mendapati bahawa TV  Al Hijrah  menyiarkan suatu diskusi panel di mana ahli panel yang dianggap sebagai sarjana Islam membuat tuduhan tidak berasas terhadap Syiah yang hanya akan menimbulkan perpecahan dan kebencian dalam kalangan umat Islam.

Mereka menuduh Syiah berkomplot bersama Yahudi,  menganggap Islam Sunni sebagai anjing, mengamalkan penipuan, dan tuduhan lain yang mengapi-apikan yang boleh menimbulkan kebencian Islam Sunni terhadap saudara Syiah mereka. Kenyataan provokasi seperti itu jelas melanggar perintah Allah swt: Berpegang teguhlah dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah antara kamu... [Surah Al Imran 3:103].

Siaran TV yang mengutuk Syiah menjejaskan inisiatif yang diambil untuk menggalakkan pemahaman yang lebih luas antara mereka dan kita golongan Sunni dalam usaha untuk menguatkan perpaduan Islam selaras dengan pengajaran al Quran. 

Pada Julai 2005, berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh 24 ulamak kanan (termasuklah Sheikh Al Azhar, Ayatollah Sistani dan Sheikh Qaradawi), Raja Abdullah II dari Jordan telah menganjurkan satu persidangan Islam antarabangsa yang dihadiri oleh 200 sarjana Islam terkemuka dunia dari 50 negara yang telah mengeluarkan fatwa berikut:

• Sesiapa sahaja yang patuh kepada salah satu daripada empat Usuluddin Islam mazhab Sunni (Hanafi, Maliki, Shafei dan Hanbali), dua Usuluddin Islam mazhab Syiah (Ja’fari dan Zaydi), Usuluddin Islam  mazhab Ibadi dan Usuluddin Islam mazhab Thahiri adalah seorang Islam. Mengisytiharkan seseorang itu sebagai murtad adalah mustahil dan tidak dibenarkan.

• Terdapat lebih banyak persamaan antara pelbagai mazhab Usuluddin Islam berbanding dengan perbezaan antara mereka. Pengikut lapan mazhab Usuluddin  Islam ini bersepakat dalam perkara prinsip asas Islam.

• Semua percayakan Allah (Tuhan), dimuliakan dan ditinggikan, esa dan unik; al Quran itu suci dan wahyu yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah, dimuliakan serta tiada sebarang perubahan dan pindaan; dan Muhammad s.a.w adalah Rasul dan Nabi untuk semua manusia.

• Semua bersetuju mengenai lima rukun Islam: mengucap dua kalimah syahadah; solat; mengeluarkan zakat; berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Mekah. Semua bersepakat mengenai rukun Iman: percaya kepada Allah, Malaikat, Al Quran, Rasul, Hari Kiamat dan Qada dan Qadar.

• Ketidaksepakatan antara ulama antara lapan mazhab Usuluddin Islam itu hanya pada cabang agama (furu) dan beberapa asas (usul) [agama Islam]. Ketidaksepakatan tentang  cabang agama (furu) adalah satu rahmat. Lama dahulu dikatakan bahawa kepelbagaian pendapat dalam kalangan ulama adalah satu rahmat.

Fatwa itu diterima dengan sebulat suara di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam di Mekah pada Disember 2005 dan oleh enam perhimpunan ulama Islam antarabangsa lain, kemuncaknya dengan Akademi Fekah Islam Antarabangsa yang berpusat di Jeddah pada Julai 2006. Jumlahnya, lebih 500 ulama Islam terkemuka dari seluruh dunia menerima dengan sebulat suara fatwa dan Mesej Amman. [Kunjungi laman sesawang rasmi Mesej Amman (Amman Message) untuk senarai lengkap mereka yang menerima fatwa itu].

Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa, Islam dan Satu Ummah, dan mazhab Usuluddin  Islam, menyeru supaya diketepikan ketidaksepakatan antara orang Islam, menghormati antara satu sama lain, menguatkan hubungan persaudaraan dan tidak membenarkan perpecahan dan campurtangan luar.

Ia menasihatkan pengajaran fekah berkaitan perpaduan Islam kepada pelajar sekolah menengah dan universiti. Ia menyarankan pihak berkuasa berkaitan di negara Islam mengambil langkah untuk mencegah percetakan, penyebaran dan pengedaran penerbitan yang menambahkan lagi perpecahan ummah.

Resolusi 152 juga menekankan jangan menyalahkan mana-mana lapan mazhab Usuluddin Islam kerana  tindakan yang salah daripada pelampau seperti membunuh mereka yang tidak bersalah, menjatuhkan maruah dan merampas harta mereka. Terdapat elemen pelampau dalam kalangan Syiah dan Sunni yang di beberapa negara menggunakan kekerasan, malah kadangkala di dalam masjid sendiri. 

Elemen seperti ini perlu didedahkan dan diasingkan kerana ia menyemai perpecahan dalam kalangan umat Islam dan  memperburukkan lagi Islam. Dialog antara Syiah dan Sunni mestilah digalakkan dan disuburkan, dan sebarang perbincangan mengenai perbezaan mestilah dibincangkan dalam suasana persaudaraan.

Imam Khomeinie berpesan kepada golongan Syiah yang mengerjakan Haji agar tidak mengasingkan diri mereka daripada orang Islam yang lain.

Beliau menasihati jemaah Haji: "Rakyat Iran dan golongan Syiah dari negara lain dikehendaki untuk mengelakkan semua tindakan yang boleh menimbulkan perpecahan sesama umat Islam. Mereka juga perlu menyertai perhimpunan Sunni dan mengelakkan menghadiri atau membentuk solat di rumah atau memasang pembesar suara untuk menentang mereka. Mereka mestilah mengelakkan daripada melutut di makam suci atau melakukan apa sahaja yang tidak selaras dengan undang-undang yang mulia."

Kita perlu menyedari bahawa konflik mazhab sebenarnya digalakkan oleh kuasa Barat yang mahu mengenakan hegemoni mereka ke atas umat Islam dan mengawal sumber di negara Islam. Pecah dan perintah telah menjadi dasar mereka sejak berakhirnya Perang Dunia Pertama. Mereka menipu pemerintah Arab supaya menyokong perang mereka terhadap Khilafah Usmaniyah dengan menjanjikan kemerdekaan bagi tanah Arab, tetapi selepas mengalahkan Turki, Britain dan Perancis membahagikan wilayah antara mereka dan menubuhkan Israel dan Arab Saudi.

Kita dapat melihat ulangan dasar yang sama di Iraq, Lebanon dan Pakistan. Kuasa penjajah berusaha untuk memecahkan negara ini melalui mazhab dan suku kaum; menghasut negara Arab "Sederhana" menyertai Amerika Syarikat dan Israel bagi memusnahkan Hisbullah di Lebanon, Hamas di Palestin dan melakukan pertukaran rejim di Iran. 

Amat dikesalkan sekali, beberapa ulama membenarkan diri mereka digunakan sebagai alat oleh penjajah dan pemerintah-pemerintah bagi mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Kita perlu memberi perhatian kepada amaran yang diberikan oleh Imam Khomeini lebih 25 tahun yang lalu: "Tangan kotor yang memburukkan perbezaan antara Syiah dan Sunni bukanlah terdiri daripada golongan Syiah dan Sunni. Ia merupakan tangan penjajah yang merancang untuk membawa keluar negara Islam daripada tangan kita. Kuasa penjajah yang mahu merampas kekayaan kita melalui pelbagai skim dan konspirasi adalah mereka yang melahirkan rancangan untuk mewujudkan perpecahan di antara fahaman Syiah dan Sunni."

Kami merayu kepada anda agar memainkan peranan proaktif dalam menggalakkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan memberikan publisiti yang meluas kepada Mesej Amman dan Resolusi 152 Akademi Fekah Islam Antarabangsa. Anda juga perlu menghasilkan program berhubung sejarah asal cabaran yang dihadapi oleh umat Islam terutama sekali Balkanisasi dan penjajahan Barat di Semenanjung Arab selepas Perang Dunia Pertama. Kami juga menyarankan supaya penerbit rancangan anda mengkaji The Unmaking of the Middle East oleh Jeremy Salt dan The Ethnic Cleasing of Palestine oleh Ilan Pappe dan menghasilkan rancangan berdasarkan karya itu.

Bersama ini saya sertakan dokumen untuk maklumat anda dan menyebarkannya kepada penerbit rancangan TV Al Hijrah:
The Amman Message
Resolution 152 of the International Islamic Fiqh Academy
Ahmed Deedat on Iran: A nation Reborn
Qaradawi and Shia-Sunni dialueog

Kami percaya bahawa anda akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap ulasan dan saranan dengan niat untuk menjadikan  Al Hijrah sebagai saluran TV yang benar-benar Islam.

Jawapan awal daripada pihak tuan amat dialu-alukan. Terima kasih.

Yang benar,
S.M Mohamed Idris
Pengerusi, Citizens International

Sami Yusuf tak profesional batal Konsert Salaam saat akhir



Kumpulan Rabbani menyifatkan tindakan penyanyi antarabangsa Sami Yusuf membatalkan Konsert Salaam Sami Yusuf yang sepatutnya berlangsung pada 14 Julai lalu di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor adalah tindakan yang tidak profesional. Menurut wakil daripada kumpulan itu, Azadan Abd Aziz, dia bersama Rabbani Productions Sdn Bhd yang turut bekerjasama dengan penganjurnya, Offshore Entertainment Production (OEP) begitu kecewa dengan cara penyanyi tersebut melaksanakan peranannya.

"Kami yang mengendalikan bahagian pengurusan karnival berasa sangat simpati terhadap golongan peniaga yang sudah pun membuat persiapan berniaga bersempena dengan konsert tersebut. Lebih kasihan lagi apabila pihak penganjur menanggung kerugian yang besar. Pada pendapat saya Sami tidak profesional dengan pembatalan konsert itu," katanya yang ditemui pada sidang akhbar perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana di sini, Selasa.

Teruja: Pelakon Yatt Hamzah hadir ke Himpunan Hijau PAS Selangor




Seorang lagi pelakon muda drama dan filem telah ditemui di Himpunan Hijau Ke Putrajaya Selangor di perkarangan Stadium Malawati Kuala Selangor. Beliau berada di celahan ribuan manusia yang membanjiri stadium petang Ahad, 15 Julai. Beliau ialah Yatt Hamzah atau Norhayati Hamzah yang satu ketika dahulu pernah kisahnya disiarkan dalam pelbagai media apabila kepalanya melekat lebih setengah jam pada sejadah ketika dia melakukan solat taubat.

Dalam sujud yang lama itu, Yatt berkata, dia nampak jelas setiap wanita mendedahkan aurat dipanggang api neraka yang amat dahsyat. Apapun tahniah kepada Yatt Hamzah yang telah berhijrah dan ahlan wa sahlan ke dalam perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

90 peratus murid sekolah Katolik di Birmingham beragama Islam



Sebuah sekolah Katolik di bandar Birmingham mendedahkan 90 peratus muridnya beragama Islam. Bangunan sekolah itu penuh dengan ikon dan patung berkait dengan agama Kristian dan murid melakukan upacara keagamaan Katolik setiap hari. Namun, hanya 40 kanak-kanak yang belajar di situ adalah penganut Katolik. Ada di kalangan bapa murid itu adalah imam sementara sebahagian pelajar tinggal di kawasan masjid berhampiran. 

Bagaimanapun, Sekolah Rendah Katolik Rosary yang terletak di kawasan penduduk majoriti Islam menegaskan, hubungannya dengan gereja Katolik adalah kukuh. Ada murid Islam bertindak sebagai pelayan paderi di perhimpunan sekolah. Di Sekolah Rendah Kaholik Rosary di Kota Birmingham, seramai 360 pelajar dari kalangan Muslim. Pengetuanya, John Gub- bins berkata: "Kami mengikut program pelajaran Gereja Katolik untuk pelajaran agama yang diberikan kepada murid antara 10 hingga 15 peratus seminggu."

Van "bergoyang" pasangan bogel dicekup asmara depan rumah orang tuanya



Sepasang kekasih di Petalng Jaya yang asyik tanpa segan silu berasmara dalam kenderaan di hadapan rumahnya di Jalan SS 5a/15, Kelana Jaya dicekup oleh anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) SS 5A dalam keadaan berbogel. Perbuatan tidak bermoral itu dilakukan pada jam 12 malam disedari penduduk  yang  melakukan rondaan di sekitar kawasan tersebut. Pada mulanya, mereka tersentak selepas melihat sebuah kenderaan pelbagai guna yang terletak di bahu jalan "bergoyang-goyang".

Ahli  Jawatankuasa  KRT Zuhri Othman  berkata,  hasil intipan dilakukan mendapati terdapat bayangan orang  seperti sedang menari  dalam kenderaan itu. Mengesyaki terdapat aktiviti tidak bermoral berlaku, penduduk menghampiri kereta terbabit dan dapat melihat dengan  jelas, lelaki dan wanita bertelanjang bulat sedang terbaring berpelukan. "Bila kami ketuk cermin, kedua-duanya bingkas bangun dan hanya sempat menutup anggota sulit masing-masing  dengan pakaian dan tangan," katanya

Zuhri  berkata, remaja lelaki berusia 19 tahun yang dicekup berkenaan adalah penuntut sebuah kolej swasta. Remaja  itu  mengaku baru pulang menonton wayang mahu menghantar teman wanitanya ke rumah. Ketika kejadian, ibu bapa remaja perempuan itu sedang nyenyak tidur dan tidak langsung menyedari kelakuan sumbang anaknya di luar rumah.

Aziz Desa dakwa Tok Guru Nik Aziz adalah produk istimewa Kelantan



Ketua Pegawai Operasi Kelantan Trade Cantre (KTC) Aziz Desa menyifatkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah produk istimewa di negeri itu. Katanya, kerana keistimewaan yang ada pada Tuan Guru, masyarakat di negara ini termasuk luar negara datang khusus ke negeri Tadahan Wahyu itu semata-mata untuk bertemu dengan Tuan Guru dari dekat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ceramah keibubapaan "Zuriat Kita Tanggungjawab Kita" anjuran Kelantan Trade Cantre (KTC) dan Buraqoil, di sini, 14 Mac lalu. Aziz Desa, personaliti TV adalah bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ketika Kedah diperintah oleh BN sebelum ini.

Pada masa yang sama beliau berkata, hasrat kerajaan Kelantan untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) seramai 6 juta orang akan berjaya. Jelasnya, ini kerana pelbagai keunikan yang tersendiri dapat dinikmati oleh pelancong termasuk mengikuti kuliah seorang Menteri Besar di Dataran Ilmu, Kota Bharu. KTC akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjayakan hasrat itu dan insyaallah, esok seramai 40 orang rombongan para guru dari Kedah akan menginap di sini dalam rangka lawatan mereka selama dua hari," ujarnya. 

Rabu, Julai 18, 2012

Bila pulak pelakon drama televisyen Aripah Damanhuri nak sertai PAS?


Bila pulak nak tunggu pelakon darama televisyen Aripah Damanhuri nak sertai PAS? Ha ha hah anaknya yang berkopiah putih dan berselendang ala kiyai tu, adalah AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu, Fais Al-Hajari. Dia kena jawab la. Kuatkan kempen... Yatt Hamzah (sanggup datang event Pas kat Kuala Selangor), Aishah Ariffin, Bob Lokman, Leman Raja Lawak dan Hairie Othman sudah masuk PAS. Moh kita ikut ramai-ramai... Apa macam?

Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir bangga kibar bendera PAS yang punyai "roh" perjuangan



Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil dengan bangga melaungkan; "Saya megah pada hari ini kerana dapat mengibarkan bendera yang mulia ini. Ini adalah bendera kemegahan PAS sebuah parti yang berumur 61 tahun. Satu parti yang telah sama-sama menyumbang pengorbanan untuk memerdekakan negara ini." Menurut beliau, PAS sudah diterima oleh semua kaum dan agama dan PAS merupakan tulang belakang politik negara serta tunjang politik untuk menuju ke Putrajaya.  Beliau yang menyertai Umno selama 56 tahun begitu megah dengan parti Melayu itu tetapi malang sekali apabila Umno diambil alih oleh penyanggak, penyamun dan perompak. 

"Umno cukup zalim, tidak ada belas ihsan kepada rakyat, tapi cukup indah cerita mereka dalam tv dan surat khabar," katanya. Beliau menegaskan mana ada sebuah negara yang digelar demokrasi jika 100 peratus suara mereka sahaja yang masuk dalam akhbar arus perdana begitu juga mereka menguasai siaran televisyen sepenuhnya. Katanya, Umno sudah lama berbohong selagi media massa tidak bebas maka tidak boleh diadakan pilihan raya sebab mustahil boleh diadakan pilihan raya yang adil. 

Seharusnya rakyat menuntut untuk media massa yang adil kerana setiap hari disogokkan dengan berita fitnah dan pembohongan, ujarnya. Kadir melahirkan rasa hormat dengan ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara kerana rela tidak dapat bantuan kebajikan dan sebagainya daripada menggadaikan maruah menyokong Umno. 

Manager Kempen Presiden Mesir yakin Angin Timur Tengah akan sampai ke Malaysia



Mashul Tarbiyah Ikhwanul Muslimin, Sheikh Ismail Hamid Ismail Nasir melahirkan isi hatinya jika menjadi rakyat Malaysia sudah pasti akan menjadi ahli PAS. Ucapan beliau diterjemah oleh Ustaz Imran Al-Malizi berkata, Allah tidak menyukai kezaliman dan kejahatan maka percayalah bahawa jalan untuk menuju perubahan sudah terlalu hampir dan perubahan yang bermula di Timur Tengah akan sampai ke Malaysia. 

"Saya bertanya, adakah kamu ketika ini sudah bersedia untuk melakukan perubahan. Apakah kamu sudah bersedia untuk melakukan pengorbnan demi perubahan ini, adakah kamu sudah bersedia untuk membawa perjalanan terus ke tempat pemerintahan di mana kamu akan memerintah negara ini dengan syariat Islam," jelasnya. Beliau yakin kemenangan dan kejayaan akan tiba dengan syarat berpegang teguh dengan agama Allah dan kemenangan itu akan datang kepada kamu daripada Allah SWT. 

Tiga bekas pegawai kanan kerajaan ikrar bantu PAS bentuk Kerajaan Persekutuan



Kemuncak Himpunan Hijau PAS Selangor yang disambut di Stadium Kuala Selangor pada 15 Jualai lalu, apabila tiga orang pegawai kanan kerajaan menyerahkan borang menjadi ahli PAS kepada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu serta berjanji akan sama-sama meruntuhkan Kerajaan Umno-BN yang zalim dalam PRU-13 akan datang. Jaminan itu dinyatakan oleh wakil tiga pegawai kanan iaitu bekas Pengarah Bahagian Perhubungan dan Sumber Manusia Jakim, Yusof Hasan. Sebelum itu beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang Bahagian Pengurusan Jawatan.

Seorang lagi, bekas Pengarah Kanan Pertubuhan Peladang, Abdul Rahman Taib yang pernah menjadi ahli Umno selama 31 tahun serta pernah ditahan ketika menyertai Himpunan Bersih 1. Turut menyerahkan borang PAS, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ismail Hamzah selama enam tahun dan telah bersara pada tahun 2001 dan sebelum itu Pegawai Tadbir Diplomatik selama 33 tahun.  Tiga pegawai kanan kerajaan yang menjadi ahli PAS daftar terus itu berjanji akan menyediakan pakar-pakar yang sesuai untuk membantu PAS dan Pakatan Rakyat menguruskan pentadbiran apabila mengambil alih kerajaan Putrajaya. 

Mereka akan mencurahkan semua pengalaman yang ditimba selama bekerja di jabatan kerajaan bagi membantu PAS menguasai Putrajaya. Kezaliman yang dilakukan oleh Umno-BN telah dirasai oleh mereka selama bertugas di jabatan kerajaan tetapi perkara itu "ditahan" dan sudah tiba masa untuk dizahirkan bersama-sama dengan ahli dan penyokong PAS menuju ke Putrajaya. Katanya, mudah-mudahan "tentera" tambahan daripada pegawai kerajaan akan memberi kekuatan yang sangat hebat untuk meruntuhkan kezaliman yang berlaku. Mengakhiri ucapan, Yusof berpantun; "Apa guna pergi ke bendang, kalau tidak menanam padi, apa guna keris di sandang kalau tidak berani mati."

Tamrin Tun Ghafar Baba dakwa Kerajaan Umno-BN ada hubungan dengan Israel



Mengenai hubungan Malaysia dengan Israel ini, saya melihat persepsi rakyat amat keliru kerana Dato' Seri Anwar Ibrahim cuba dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel. Hakikat yang terbentang di depan mata ialah wujudnya hubungan dagang yang berterusan antara Malaysia dan Israel seperti pengakuan di Parlimen serta tindakan Dato’ Sri Najib Tun Razak melantik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Israel iaitu Apco Worlwide sebagai perunding media kepada kerajaan dengan bayaran RM77 juta setahun. Ini menjadikan apa pun penjelasan yang cuba diberi oleh pihak kerajaan sentiasa menimbulkan kesangsian serta tanda tanya.

Sebenarnya hubungan dengan Israel bermula dalam sekitar 1980an semasa zaman Tun Mahathir Mohamad lagi apabila beliau secara senyap-senyap menghantar Tengku Abdullah (Melewar) ke Tel Aviv. Saya masih menyimpan ucapan saya di Parlimen di mana saya menegur tindakan kerajaan berhubung perkara itu. Amat menghairankan lagi apabila usul yang cuba dikemukakan oleh wakil pembangkang berhubung isu ini di Parlimen baru-baru ini, agar kerajaan menghentikan sama-sekali perdagangan dengan Israel dan dalam masa yang sama meningkatkan jumlah bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza, telah ditolak oleh Speaker.

Jika benar-benar ikhlas, Najib sepatutnya tidak merasa takut untuk mengarahkan Speaker agar menerima usul tersebut untuk dibahas dan diundi dan bukan sebaliknya. Sekarang rakyat khasnya masyarakat Islam sudah mulai nampak siapakah (antara Najib dan Anwar) yang menyokong Israel. Untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya, selain keyakinan rakyat terhadap Umno dikembalikan, pemilihan calon yang sesuai dan diterima rakyat juga amat penting.  

Sementara Najib meletakkan kriteria "winnable"  sebagai prasyarat terhadap calon dalam pilihanraya, rakyat juga sebenarnya ingin melihat Najib tidak begitu terkongkong dengan faktor jawatan seseorang dalam Umno bagi pemilihan calon pilihanraya. Sebagaimana pandangan  Tun Dr Mahathir, kebanyakan calon Umno-BN kini membawa imej rasuah dan agar Umno perlu memilih calon yang lebih  berkelayakan walaupun orang luar dalam pilihanraya akan datang jika ingin menang. 

Saya amat bersetuju dengan pandangan tersebut dan ingin menarik perhatian Najib sebagai contoh  wakil-wakil rakyat PAS terutamanya di Kedah mereka terdiri daripada kalangan professional, berkelayakan serta berhemah berbanding wakil-wakil rakyat Umno-BN di sana yang majoritinya tidak pun lulus SPM.  Dalam isu Raja-raja Melayu, Umno cuba nak jadi hero baru-baru ini. Apabila ada wakil-wakil rakyat Pakatan tidak menghormati Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada majlis pertabalan baru-baru ini, satu lagi taktik kotor dan 'desperado' Umno-BN terdedah.

Setelah dicabar menama dan membuktikan tuduhan tersebut, Menteri Penerangan dan pemimpin-pemimpin Umno lain yang turut bersuara, gagal berbuat demikian. Mereka mengingatkan saya bagaimana pada awal tahun 1980an, pemimpin-pemimpin Umno yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir telah mencaci dan menghina Raja-Raja Melayu semasa meminda Perlembagaan dahulu di mana kuasa Raja-Raja ditarik balik.

Semasa itu rapat-rapat umum diadakan secara besar-besaran di seluruh negara. Kakitangan kerajaan diarah turut serta manakala akhbar, khususnya Utusan dan Berita Harian termasuk stesen tv kerajaan dan swasta (TV3) diarah mengorek dan mendedahkan cara hidup mewah dan kelemahan Raja-Raja Melayu sehinggakan kos membiayai berpuluh ekor kuda Sultan Pahang pun disiarkan berulang kali.

Dengan ingatan mereka itu, saya teringat bagaimana saya sendiri telah diminta oleh Umno mengepalai Pergerakan Pemuda Umno ketika itu untuk menyerang Sultan Selangor  Almarhum Sultan Sallahuddin Abdul Aziz atas campurtangan Baginda dalam urusan pentadbiran Negeri Selangor serta Sultan Perak berhubung kos pertabalan Baginda ketika itu. 

Saya dipilih di kalangan Exco Pemuda Umno ketika itu kerana saya berasal dari Melaka, negeri yang tidak mempunyai Raja, justeru saya bebas untuk bercakap. Menurut mereka lagi, kini Umno-BN melalui akhbar dan tv cuba menutup pekung lama mereka dengan mencipta isu dan membesar-besarkannya dengan niat dan harapan agar rakyat khususnya pengundi Melayu  benci kepada parti pembangkang dalam pilihanraya ini.

Mereka meminta saya menyampaikan kepada Najib agar memulangkan semula kuasa Raja-Raja yang dirampas dahulu sebagai bukti Umno-BN hari ini benar-benar mencintai dan menghormati Raja-Raja Melayu.  Mereka amat kecewa dan jijik dengan permainan pemimpin-pemimpin Umno yang selalu berpura-pura dan menganggap rakyat khususnya orang Melayu mudah lupa serta boleh diperbodoh-bodohkan.

Kepada mereka, tindakan Umno ini tidak ubah seperti orang sedang dalam kelemasan yang akan melakukan apa saja cara untuk menyelamatkan diri. Terserahlah kepada Najib untuk memikirkan pandangan ini sama ada mahu menerima atau menolaknya. Dalam isu ini, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein mengatakan Suruhanjaya Siasatan Diraja patut diadakan segera untuk menyiasat mereka yang memomok dan menghina Yang Dipertuan Agong. 

Kiranya suruhanjaya itu ditubuhkan, ia sepatutnya juga menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin-pemimpin Umno, termasuk akhbar dan tv yang lebih dulu menghina dan memaki hamun Raja-Raja Melayu.

>> Tamrin Tun Ghafar ialah ahli Umno dan bekas Pengerusi MARA.

PAS kini sudah tawan Putrajaya?



PAS pada simboliknya telah berjaya menawan Putrajaya, apabila kira-kira 1,000 anak muda berjaya mengelilingi kawasan pentadbiran Kerajaan Pusat itu dengan konvoi bermotorsikal sambil mengibarkan bendera PAS pada 14 Julai lalu.Program simbolik itu dilangsungkan sempena Perhimpunan Hijau PAS Wilayah Persekutuan Ke Putrajaya, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Perarakan motorsikal itu dan turut diiringi tidak kurang 100 buah kereta pelbagai jenis.

Sebelum berkonvoi, mereka berkumpul di hadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya atau Putrajaya International Convention Centre (PICC) mengikuti amanat Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan beberapa pemimpin PAS Wilayah Persekutuan. Mereka memakai baju T hijau dan mula berkonvoi secara aman jam 10.50 pagi, sebaik selesai acara melepaskan belon ke udara yang disempurnakan Mohamad. Dalam ucapannya, Mohamad berkata, penyelewengan yang dilakukan oleh para pemimpin Umno dan BN kini sudah tidak dapat disembunyikan lagi oleh mereka daripada pengetahuan rakyat kerana ia bukan hanya didedahkan oleh para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, tetapi turut disahkan oleh Jabatan Audit Negara. 

Ustaz Idris dalam ucapannya sebelum itu berkata, kebangkitan anak muda di kota memang amat membanggakan sehingga menyebabkan mereka sendiri turut melakukan pelbagai usaha untuk mengubah landskap politik tanah air. PAS pula, menurut beliau, sememangnya diyakini dapat mentadbir negara dengan baik sekiranya diberikan mandat memerintah negara bersama dengan Pakatan Rakyat pada PRU-13 akan datang dengan dibuktikan pada kemampuannya mentadbirkan negeri dengan baik termasuk di Kelantan dan Kedah, di samping Selangor dan Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat. "Sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat dapat memerintah negara pada PRU-13 akan datang, antara penekanan yang akan diberikan termasuklah dengan melaksanakan penjimatan wang negara dan ketelusan dalam segala aspek bagi kepentingan negara dan rakyat," tegas beliau. 

Sementara Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzaman Mohamad pula berkata, kejayaan PAS Wilayah Persekutuan berkumpul dan berkonvoi di Putrajaya pada 14 Julai lalu merupakan sesuatu yang amat bermakna, setelah PAS dinafikan hak oleh Kerajaan Umno-BN untuk berkumpul di dewan-dewan dan di padang-padang terutama di kawasan itu. Bermula di hadapan PICC, mereka menjelajah aman tanpa sebarang kekacauan ke segenap presint Putrajaya. Ini menyebabkan seluruh penduduk yang melihat "pemandangan" itu terpukau dengan "izzah" yang ditunjukkan oleh PAS di tengah-tengah tekanan Umno-BN trehadap Pakatan Rakyat.  

Sementara itu pada sebelah malamnya, lebih 1,000 orang membanjiri  Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru bagi mendengar amanat pemimpin PAS dalam merealisasi sasaran ke Putrajaya dapat dicapai. Majlis bermula dengan solat Magrib dan Isyak berjemaah serta diikuti munajat yang diketuai Ahli Badan Perhubungan PAS Wilayah, Ustaz Dr(H) Ali Jamil. Selain pimpinan PAS Pusat dan Wilayah Persekutuan, turut menjadi tetamu pada malam tersebut ialah bekas AJK Umno Bahagian Gopeng, Nazri Nordin; bekas Naib Presiden Kanan Felcra Bhd, Dato' Ramli Buyung serta lagenda bolasepak negara, Abdullah Ali. 

Selain Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, antara yang berucap ialah AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Hj Ahmad dan Mazlan Aliman. Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Noor Mohamad; Timbalan Pesuruhjaya, Ahmad Zamri A'sad Khuzami; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh; Pengerusi Kelab Penyokong PAS Wilayah, Vincent Lee serta Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali. Rata-rata pemimpin PAS dalam ucapan mereka mengajak rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan bekerja keras dalam menghadapi PRU-13 agar dapat memacu kejayaan untuk menawan Putrajaya.

Puisi 'Ku Lihat Hijau' yang dideklamasi Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan yang merupakan hasil nukilan beliau sendiri turut menyemarakkan lagi semangat penyokong PAS yang hadir. Selain itu, Himpunan Hijau PAS Wilayah Persekutuan menyaksikan pelancaran Pertubuhan Sekretariat Kebajikan Bekas Angkatan Tentera (Kerabat) peringkat Wilayah Persekutuan yang disempurnakan pengerusinya, Ahmad Nazari. Semangat hadirin semakin berkobar apabila lagu "Barisan Kita" diputarkan dan hadirin turut berdiri menyanyikan lagu tersebut dengan diiringi paparan montaj menggambarkan perjuangan prajurit tanah air.

Suasana program sepi seketika untuk mendengar ucapan daripada tetamu yang diterbangkan khas daripada Mesir iaitu Pengurus Kempen Presiden Mesir (Dr Mohamad Morsy), Ismail Hamid Ismail Nasir. Ismail dalam ucapannya yang diterjemahkan AJK Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Imran Al Malizi menyampaikan mesej utama beliau kepada seluruh ahli PAS. Antaranya beliau menekankan setiap kekuatan dalam perjuangan datangnya daripada Allah dan perancangan Allah adalah paling tinggi.