KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, April 22, 2011

Kempen berganda: Tingkatkan peranan dan perluaskan ruang media online hadapi Umno-BN dalam PRU-13!



Penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan juga blog dilihat medium paling penting masa kini. Media berpengaruh ini dikatakan sebagai kayu ukur dan penentu dalam kejayaan mana-mana parti dalam pilihan raya termasuklah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sedang berlangsung. Sudah pasti parti-parti bertanding akan memanfaatkan sepenuhnya media untuk kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang juga 'blogger' percaya penggunaan media itu lebih dinamik menjelang PRU nanti. Ikuti temubual Wartawan SALMIYAH HARUN bersama beliau baru-baru ini.

Pada pendapat YB, adakah kempen di internet  khususnya melalui Facebook dan laman blog lebih dinamik menjelang PRU-13 ini? 

Sudah pasti. Saya nampak penggunaan media sosial ini lebih dinamik dalam PRU-13  berbanding pada Pilihan Raya Umum 2008. Umno-BN juga turut menggunakan media ini, walaupun mereka mempunyai media arus perdana tetapi mereka dapati mereka juga perlu berdepan melalui media alternatif ini. Dan dalam keadaan itu mereka tidak mempunyai kelebihan sewaktu mereka mempunyai media arus perdana. Jadi dia pun mengambil kesempatan untuk sama-sama memiliki media alternatif termasuk Facebook dan blog. 

Adakah blogger Umno dibayar? Pro Pakatan Rakyat macam mana?

Yang membezakan Umno-BN, mereka mampu membayar blogger-blogger profesional untuk menjalankan kerja-kerja kempen mereka sama ada di peringkat global international ataupun dalaman. Tetapi dari segi medianya ia tetap sama, begitu juga dari segi kekuatannya tetap sama. Dari segi jumlah dan kepakaran mungkin agak berbeza kerana ia bergantung kepada kos upah kepada pakar yang memberi perkhidmatan profesional. Sedangkan Pakatan Rakyat ini lebih ramai daripada kalangan yang freelance dan indipendent selain mereka yang buat secara sukarelawan dalam memanfaatkan media sosial ini termasuklah blog.

Jika PRU sebelum ini, pada tahun 1999 dan 2008 website dan blog dijadikan medan kempen cyber, dan penggunaannya telah memberi kemenangan kepada pembangkang dalam PRU 2008. Bagaimana kali ini?

Pada PRU ke-13 akan datang, ia agak berbeza kerana pihak Umno-BN pun menggunakan media alternatif dan di antara yang mereka akan lakukan termasuklah respons terhadap kenyataan dan artikel serta komen-komen di dalam blog Pakatan Rakyat. Selain membuka dan menambahkan blog mereka sendiri, dan ini sudah tentu saingan bertambah sengit. Ini juga memerlukan penelitian oleh pembaca-pembaca blog yang menginginkan maklumat yang lebih tepat dan sahih kerana sumber-sumber itu boleh dipertikaikan. Kalau kita bercakap sesuatu di dalam blog kita, akan ada orang memberi komen dan mempertikaikan tidak boleh dibiarkan. Misalnya ada pembaca mempertikaikan kerajaan Pakatan Rakyat... kita kena terangkan berdasarkan sumber yang kita ada. Inilah yang membezakan suasana tahun 2008 dan PRU akan datang. 

Cabaran makin besar sebab Pakatan Rakyat juga memerintah...

Ya. Kita kena ingat PRU akan datang, kita juga akan diserang berhubung dasar-dasar yang kita laksanakan di negeri-negeri yang kita perintah iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Dulu kita hanya menjadi sebagai penyerang dan tidak banyak untuk menjelaskan  dasar-dasar yang kita laksanakan tetapi sekarang ini di dalam suasana yang kita sedang lalui ini, misalnya empat buah negeri akan dijadikan bahan untuk diserang dan dikritik oleh BN. 

Sejauh mana YB lihat keberkesanan Facebook dan Twitter khususnya yang semakin diminati sehingga negara ini mempunyai 9 juta pengguna Facebook, sedangkan maklumat yang disampaikan tidaklah selengkap sebagaimana di dalam blog?

Penggunaan media sosial ini mempunyai had, tetapi hakikatnya ia tetap merupakan media yang berkesan daripada Facebook dan Twitter berbanding blog. Ia menjadi sebagai pintu untuk membawa kepada artikel yang lebih rancak dan panjang. Facebook ini adalah pintu kepada medium lain seperti blog dan Youtube, di mana ia melengkapkan maklumat yang hendak disampaikan. Misalnya maklumat yang dimasukkan ke FB walaupun ia tidak selengkap blog tetapi di'attach' bersama dengan visual daripada Youtube di samping gambar-gambar ia secara tidak langsung menjadi medium yang cukup lengkap dan sudah tentu ia bertambah berkesan. 

Adakah Pakatan Rakyat akan menggunakan sepenuhnya medium seperti Facebook dan Twitter dalam kempen PRU ke-13?

Semestinya begitulah, sejauh mana ianya akan berjaya, ia banyak bergantung kepada kemampuan kita. Walaupun media itu sama, tetapi dari segi kita membayar, melantik dan menggajikan golongan profesional yang sepenuh masa, hanya duduk mengadap blog semata-mata, ianya mungkin satu perkara yang tidak mampu berbanding Umno BN. 

Tiada ulasan: