Setelah agak lama menyepi, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin (gambar bawah) tiba-tiba muncul di dada akhbar arus perdana, dalam satu wawancara eksklusif menyentuh beberapa perkara, termasuk melahirkan kekagumannya terhadap cara pemerintahan Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
Rata-rata pandangannya sederhana tetapi, bila dia menyentuh tentang bekas PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato' Seri Anwar Ibrahim, ia perlu diulas bagi memberi fikiran kedua kepada pembaca, agar tidak lupa sejarah politik Umno, kenapa Daim berundur dari kebinet!
Apa pun yang Daim hendak katakan terhadap Dr. Mahathir dan Anwar, mereka ini adalah dalam kumpulan "AIDS" (Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi Junid) yang pada suatu ketika, terlalu berkuasa dalam Umno – sehingga ada yang berkata, pemikiran Dr. Mahathir dikuasai oleh mereka bertiga.
Apabila Daim dan Sanusi tidak bersetuju dengan Anwar, akhirnya menyebabkan Anwar dan Dr. Mahathir berbalah sehinggalah terjadi pemecatan, walaupun alasan demi alasan diberikan (dicipta) untuk menghalalkan pemecatan tersebut.
Kelebihan yang ada pada Daim ialah dia seorang yang pendiam (Daim yang diam). Disebabkan dia pendiam, banyak rahsia tidak terungkai kerana sifat diamnya itu. Tetapi, ia bukan bererti semua benda boleh disembunyikan kerana krisis antara Daim dengan Dr. Mahathir di penghujung karier politiknya, turut menimbulkan spekulasi yang menjejaskan pasaran saham di papan bursa.
Maklumlah, pada suatu ketika, jika Daim "batuk" sekali pun, saham boleh naik dan saham juga boleh jatuh. Begitu hebat Daim di mata pelabur. Daim juga sebenarnya banyak memainkan peranan penting dalam politik Umno dan banyak pihak mendakwa, Dr. Mahathir menggunakan khidmat Daim jika hendak menegur mana-mana menteri atau timbalan menteri hingga ada beberapa pihak mendakwa, Daim juga sering menggunakan nama Dr. Mahathir dalam beberapa tindakannya yang menyebabkan banyak pihak tidak puashati – tetapi mereka takut hendak bertanya kepada Dr. Mahathir.
Satu kelebihan Daim yang pendiam ini ialah, ketika beliau menjadi Bendahari Umno, banyak ketua Umno bahagian yang mendapat pertolongannya dengan pengagihan projek secara runding terus. Itulah sebabnya, dalam Perhimpunan Agung Umno, jarang benar ada mana-mana perwakilan atau jurucakap menyentuh tentang Daim kerana masing-masing sudah dijadikan kroni dan kolusi.
Hari ini, Daim dikatakan sudah terlalu berjaya hingga berniaga (mempunyai bank) di Afrika dan itulah sebabnya, masanya banyak di luar negara daripada berada di dalam negara.
Tetapi, biasalah. Mana mungkin dia tidak mempunyai keinginan untuk terus bertapak di Malaysia. Oleh sebab itu, setiap kali dia bercakap, dia kenalah menyentuh tentang politik Malaysia. Memuji Perdana Menteri dan mengeji lawan Perdana Menteri.
Jadi, usahlah sesiapa terkejut, jika dalam hari yang sama, akhbar arus perdana menyiarkan wawancara Daim dengan Sanusi Junid serentak kerana mereka adalah dari satu kumpulan "AIDS". Ingat! Sanusi adalah bekas Setiausaha Agung Umno dan Daim adalah bekas Bendahari Umno. Kedua-dua jawatan ini adalah jawatan lantikan Presiden Umno.
Kedua-duanya dari Kedah di mana Sanusi (gambar kanan) merupakan Ahli Parlimen Langkawi dan Daim pula Ahli Parlimen Merbok (ketika itu) – sementara Dr. Mahathir pula adalah Ahli Parlimen Kubang Pasu. Selepas ketiadaan Dr. Mahathir, Umno teraba-raba mencari seorang calon menteri dari Kedah hingga terpaksa melantik bekas pegawai Tentera, Dato' Seri Jamil Khir Baharom sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, walaupun dia bukan pemimpin Umno.
Jangan sesiapa terkejut jika selepas ini, ramai lagi mereka yang boleh menyerang Anwar akan ditampilkan termasuk Tan Sri Rahim Tamby Chik, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan beberapa nama lagi, yang suatu ketika tidak bernasib baik, apabila Anwar dikatakan cukup dominan di dalam Umno, ketika itu.
Daim tidak timbul ketika era Umno dipimpin Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pemikiran Daim khabarnya ditolak mentah-mentah kerana Abdullah dikatakan lebih mengenali Daim dari Najib. Itulah sebabnya, Daim khabarnya hanya mendapat tempat di akhbar Cina ketika era Abdullah. Dalam satu wawancara Daim dengan akhbar Cina ketika itu, Daim dikatakan sudah meramalkan tiga negeri akan tumbang dalam PRU 12, iaitu Selangor, Perak dan Kedah.
Namun, tiada siapa yang nampak, ketika Daim membuat ramalan itu (khabarnya bersama-sama hujah-hujahnya yang kukuh), Dr. Mahathir sibuk ke hulu ke hilir menyerang kepimpinan Abdullah dengan isu Proton dan Agusta.
Sanusi juga tidak berdiam diri. Dalam keuzuran pengidap kencing manis ini turut membuat pelbagai andaian, yang boleh disifatkan sebagai "bersengkongkol" dengan Dr. Mahathir dan Daim untuk menyusahkan Abdullah. Akhirnya, apabila keputusan PRU 12, Mac 2008 diketahui, mereka bertiga mungkin antara puak yang paling seronok meraikannya. Mereka mula menjalankan desakan untuk melihat Abdullah berundur.
Malangnya, ketiga-tiga tokoh terbilang yang mahu didendangkan ini, bukan sahaja tidak berguna kepada Umno, malahan mereka bertiga tidak dapat membantu Umno Kedah mempertahankan Kedah dari terlepas ke tangan Pakatan Rakyat.
Apa yang mereka boleh katakan, di zaman mereka, Kedah lebih hebat dari Kedah hari ini tetapi mereka terlupa, kesan-kesan yang mereka tinggalkan inilah yang menjadi sebab mengapa rakyat menolak Umno. Malahan, Umno Kedah hari ini cukup terasa betapa mereka ketandusan pemimpin angkara Dr. Mahathir, Sanusi dan Daim yang gagal menyediakan barisan pelapis yang boleh diharapkan untuk menempuh alaf 21.
Ketika mereka bercakap soal Wawasan 2020, apakah yang mereka boleh banggakan untuk Umno Kedah? Siapa pemimpin Umno Kedah yang mereka lahirkan – selain Umno yang berpecah-belah di Kedah angkara politik merebut kuasa dan tidak ada harga diri yang ditinggalkan.
Dr. Mahathir mungkin berbangga dengan meninggalkan warisnya di Kedah, Dato' Muhkriz Mahathir tetapi Sanusi dan Daim, hanya boleh memandang sambil menggigit kuku. Mereka bertiga mempunyai saham menghancurkan Umno di Kedah!
Sumber: Safar Jumaat - penulis prolifik tanahair yang rapat dengan serambi kuasa Umno-BN
1 ulasan:
Hello my family member! I ωant to say that thіs post is amazing, grеat written and include aρproхіmately
all vital infos. I would like tо ρееr more рosts liκe this .
Here is my website: payday loans
Catat Ulasan