Apakah benar kewujudan media sosial seperti Facebook dan Youtube dikatakan medium paling berkesan kempen siber dalam menarik pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) nanti? Wartawan NYZA AYOB mendapatkan pandangan Pengasas Zentrum Future Studies, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah mengenai peranan media sosial ini dalam mempengaruhi khalayak pengundi.
Pada pendapat Prof, kempen di internet lebih dinamik menjelang PRU 13 khususnya melalui penggunaan Youtube?
Revolusi 2.0, Facebook (sosialsfera) telah mencetuskan realiti di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Syria dan seluruh negara tunademokrasi di seluruh dunia. Sekali gus membuktikan prediksi peranan media sosial yang telah dibincangkan sejak 2001 menjadi kenyataan. Sekali gus mengukuhkan, kekuatan media alternatif yang telah disebut dan dibahaskan pengaruh dan peranan mereka dalam proses demokrasi partisipasi seluruh dunia sejak 1998 lagi atau disebut sebagai kuasa blogosfera. Akhirnya kuasa media baru yang ditunjangi oleh blogosfera dan sosialsfera (blog dan facebook) benar-benar membuktikan kenyataan oleh pengasas internet iaitu Profesor Kleinrock bahawa sebaik internet wujud maka tidak akan ada satu kuasa yang boleh menghalang penyebaran, pengembangan dan pembentukan masa depan menggunakan informasi.
Bagaimana pengawalan di pihak kerajaan?
Segala sikap mengawal, mengatur, mengurung, dan mendera media tradisional seperti akhbar dan televisyen oleh para pemilik, penguasa yang menguasai dan memiliki media itu dengan sendiri akan tersembam di muka informasi media baru yang dimiliki sepenuhnya oleh setiap individu. Sekiranya penduduk negara itu adalah 26 juta maka penduduk yang 26 juta itu menerbitkan, menguruskan, menggunakan media mereka sendiri sebanyak 26 juta juga. Dan mereka saling berpartisipasi, bersekutu, bercantum dalam jaringan internet yang hidup sepanjang waktu berbanding media tradisi misalnya akhbar dan TV yang hanya hidup dalam beberapa waktu sahaja sehari.
Maksudnya media baru ini lebih advance sifatnya?
Iya. Berita yang diterbitkan oleh media tradisi sudahpun beberapa jam terlewat dari persepsi pertama berita itu tersiar. Maka tentulah kuasa media baru adalah sebuah kuasa strategi yang sangat bertenaga, mengatasi segala tenaga informasi yang sekian lama difahami dari teori-teori komunikasi dan media klasik. Maka tentulah tenaga ini menjadi sistem terkuat dalam mendepani strategi politik.
Jika pada PRU sebelum ini terutama sejak 1998, website dan blog menjadi medan kempen siber. Adakah kini penggunaan Youtube lebih berkesan, hanya melalui visual dan video boleh mempengaruhi masyarakat?
Facebook dan Youtube seperti yang telah disebut oleh Zentrum Future Studies dalam pelbagai pembentangan tentang strategi media, malah mengikut kajian Wave 3 sendiri akan menjadi media imlan informasi paling berkuasa dalam membentuk kepercayaan secara maksimum kerana ruang perbahasan, perdebatan, penilaian, dan pengukuhan terhadap informasi adalah lebih liberal, plural dan pelbagai lebuhraya maklumat berbanding media tradisi yang bergantung pada ruang dan lebuhraya satu arah sahaja. Masyarakat moden yang dinamik adalah masyarakat berbagai-bagai emosi, informasi dan kepercayaan. Ia bukan lagi masyarakat purba yang bergantung sepenuhnya pada propaganda, tohmahan dan tuduhan, hasutan dan ancaman sebaliknya mereka menilai setiap informasi secara teliti, berhemah, cermat dan intelektual dengan membandingkannya dengan maklumat lain yang bertaburan dalam internet.
Ada bukti tentang peranan yang dimainkan Facebook dan Youtube ini...
Ada. Gabungan Youtube dan Facebook telah menjayakan Revolusi Jasmin dan Revolusi Tahrir. Justeru tidak hairan sekiranya internet ini memasuki Burma, esoknya Sun Kyi akan membentuk kerajaan demokrasi di sana.
Adakah Youtube dilihat lebih berkesan kerana kombinasi bersama FB yang semakin popular?
Youtube menyebarkan visual. Visual adalah sejenis bahasa yang tidak dapat dipadamkan, ia yang mengembangkan maklumat dengan lebih jelas. Ia membuka ruang perdebatan yang lebih sempurna sebagaimana filem tidak mati. Meskipun pelbagai teknologi muncul kerana filem menyerap ke dalam teknologi itu maka selagi itu Youtube tidak akan mati. Maka peranan Youtube dan bergabung dengan media sosial yang mesra, pandai, cepat, dan nakal seperti Facebook tentulah menjadi sejenis budaya popular yang begitu mudah didekati oleh semua khususnya golongan pemuda moden.
Adakah ia media untuk orang muda sahaja?
Tentulah pemuda moden akan lebih akrab dengan gajet yang mereka bawa, daripada membeli senaskah akhbar bercetak, yang banyak tohmahan daripada berita, dan daripada sudut seorang penulis sahaja. Jika di awal 1998 website mendepani pengisian penyebaran informasi melalui internet, website yang sama hanya berubah bentuk daripada sejenis portal yang memaparkan kandungan maklumat individu atau institusi, kepada tempat setiap orang berbincang sebaik wujudnya Chat, Messenger, Forum, Guestbook dan lain-lain yang mengambil alih Surat Kepada Pengarang, Kartun Halaman Depan, Editorial dan sebagainya. Website ini semakin dipermudahkan proses komunikasi dengan lahirnya blog dengan setiap orang menjadi pemilik, pengarang, pembaca dan pengguna. Dipermudahkan lagi semuanya dengan membentuk Facebook, yakni di sinilah Chat, Messenger, Forum, Guestbook, ShoutBox, Portal, Blog, Youtube, Foto dan semua bentuk informasi dapat disatukan, bukan sahaja sebagai arkib tetapi dokumen penyebaran yang percuma dan cepat.
Pada pendapat Prof, adakah kempen siber melalui Youtube ini lebih panas dan berjaya mempengaruhi khalayak berbanding ceramah?
Media baru adalah strategi. Menggunakan media baru adalah strategi membentuk persepsi kerana persepsi akan membentuk informasi. Pembentukan informasi akan menguasai komunikasi dan akan menguasai apa pun misi visi. Maka tentulah Youtube dan Facebook lebih rancak dan meriah kerana sifat media ini yang liberal, pragmatik, dinamik dan memiliki graviti komunikasi yang sangat tinggi. Setiap orang bersuara, dan memberi perintah dalam waktu yang sama.
Internet mungkin popular kepada masyarakat bandar dan golongan muda serta profesional. Adakah ini menggambarkan pada PRU 13 ini, sasaran kepada mereka lebih penting melalui medium kempen siber ini?
Internet tidak mengenal bandar atau desa. Internet adalah penghidupan Kurun 21. Masyarakat broadband telah wujud di negara ini dengan cemerlangnya. Muda atau tua, mereka telah tidak membiarkan diri mereka dibuli oleh media tradisi yang sudah hilang prinsip asas komunikasi iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh, Fatanah yang menjadi asas dalam semua sistem penghidupan manusia sejagat.
0 ulasan:
Catat Ulasan