KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 25, 2011

PAS cabar Profesor Datuk Dr Ramlah Adam jadi sahaja Ketua Wanita Umno, jangan rosakkan menara gading dengan hujah tin kosong


PAS kesal dengan kenyataan Dato' Prof. Dr. Ramlah Adam daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM),  yang memberi amaran kepada belia supaya jangan menukar kerajaan yang sedia ada. 

Ramlah berpesan supaya tidak terperangkap dengan rancangan pihak tertentu yang bercita-cita untuk menghancurkan sistem pemerintahan yang sudah menabur bakti sejak 54 tahun lalu. Tokoh akademik pro-Umno itu berucap di Forum Perpaduan Negara Melalui Komunikasi dan Media di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.  

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, menyifatkan kenyataan itu tidak layak dituturkan oleh seorang pensyarah Pentadbiran Awam yang mengajar pelajar-pelajarnya mengenai polisi pentadbiran awam dan sistem demokrasi yang jelas membenarkan rakyat membuat pilihan setiap kali pilihan raya.

"Apakah Ramlah buta sejarah demokrasi? Negara maju seperti Jepun dan United Kingdom yang bertukar kerajaan dan pemerintahan tidak mundur sebaliknya terus meluncur maju. Apakah kerajaan selain daripada BN bukan sejenis manusia? Apakah Ramlah tidak tahu Parti Demokratik Jepun (DPJ) menumpaskan Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun semenjak penubuhannya pada tahun 1955?

"Apakah Ramlah membayangkan United Kingdom sekarang sudah kembali kepada zaman batu sejak Parti Konservatif mengalahkan Parti Buruh pada 6 Mei 2010? Apakah Ramlah seorang yang buta maklumat mengenai pencapaian negeri-negeri Pakatan Rakyat, walaupun baru berusia tiga tahun berbanding dengan BN memerintah selama 54 tahun tetapi terus ungul dan maju," soal beliau.

Katanya, janganlah kerana tebalnya Umno dalam lubuk hatinya sehingga sudah tidak nampak kebenaran yang boleh dilihat secara akademik. PAS tegas Ustaz Idris, mahu menasihat kepada Ramlah agar jangan menjatuhkan taraf seorang ahli akademik semata-mata terikut-ikut dengan pegangan politik kepartaian yang sempit. 

"Kalau terus cakap macam itu, lebih baik jadi Ketua Wanita Umno Cawangan Seksyen 2 Shah Alam sahaja. Bukan seorang ahli akademik. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," tegas beliau.