KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 07, 2011

Kematian Sarbani jadi Teoh Beng Hock kedua buat SPRM: Mak arwah pengsan lihat wajah jenazah, rakan-rakan macam tak percaya dia sudah tiada...


Kira-kira 400 orang yang memenuhi Surau Ar-Rahman, Kelana Jaya untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Sarbani Mohamed

Ketibaan jenazah Ahmad Sarbani Mohamed petang tadi disambut dengan perasaan sayu dan hiba oleh kira-kira 400 orang yang memenuhi Surau Ar-Rahman, Kelana Jaya untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Ada di kalangan mereka yang mengalirkan air mata, malah wanita yang dikenalpasti sebagai ibu kepada Allahyarham turut pengsan untuk beberapa ketika apabila melihat wajah Ahmad Sarbani.

Jenazah yang telah dikafankan itu dibawa daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan tiba dengan kenderaan jenazah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada kira-kira jam 5.10 petang tadi.

Sebaik tiba, jenazah Allahyarham diletakkan di hadapan mimbar surau berkenaan dan wajahnya dibuka untuk ditatap buat kali terakhir. Jenazah itu kemudiannya disembahyangkan oleh jemaah yang turut mengadakan majis tahlil dan bacaan surah Yassin serta solat hajat sebelum itu.

Jenazah berkenaan kemudian dibawa ke tanah perkuburan Islam di Kota Damansara dan disemadikan pada kira-kira jam 6.30 petang.

Difahamkan, satu bedah siasat juga telah dijalankan ke atas jenazah Allahyarham di HUKM dan satu analisis juga dibuat ke atas keputusan bedah siasat berkenaan. Jenazah Allahyarham telah dimandi, dikafan dan turut disembahyangkan di HUKM. 

Ahmad Sarbani ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi 6 April.

Ahmad Sarbani yang merupakan Pembantu Pengarah di pejabat JKDM Selangor berada di Pejabat SPRM itu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Terdahulu, imam bagi solat hajat yang dijalankan sebelum itu mengumumkan bahawa solat sunat berkenaan bertujuan untuk mendapatkan petunjuk Allah bagi menyerlahkan kebenaran dan menyelesaikan kes berkenaan.

Malaysiakini turut menemui beberapa orang rakan Allahyarham ketika kunjungan di kediaman Allahyarham di Kelana Jaya. Ada di antara mereka yang datang dari Kampung Lambor Kanan, Parit, Perak, untuk menziarahi keluarga Allahyarham.

Ada juga di kalangan mereka yang menyatakan rasa terkejut dan tidak percaya bahawa kawan sekampung mereka itu telah meninggal dunia. Salah seorang daripada mereka berkata Ahmad Sarbani adalah seorang rakan yang baik dan tidak pernah meninggalkan solat.

"Kami boleh cakap mengenai peribadinya sahaja. Mengenai kes ini, kami tak tahu," sampuk seorang rakannya yang lain.

Sementara itu, seorang guru agama kepada anak bongsu Allahyarham turut menyatakan rasa sedihnya atas pemergian Ahmad Sarbani. Said Mahmud berkata beliau juga seperti tidak percaya bahawa pegawai kastam itu telah meninggal dunia.

Tiada ulasan: