KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 25, 2011

PAS angkat suara dan peranan Muslimat dalam pilihan raya dan perjuangan Islam di negara ini



PAS menyifatkan dalam perjuangan pilihan raya melalui sistem demokrasi, 'suara' (undi) muslimin dan muslimat adalah sama penting. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata dalam sistem pilihan raya dengan kelebihan satu undi juga dikira pemenangnya.

Katanya, mana-mana parti yang bertanding dikira menang meski pun dengan satu undi lebih tanpa mengira sokongan itu dari muslimin atau muslimat.

"Kita (PAS) perlu menyedari dalam perjuangan (demokrasi) pilihan raya ini 'suara' (undi) muslimat sama dengan suara muslimin. Ini kerana, satu undi lebih dalam pilihan raya, dia (mana-mana parti) menang dan tidak kira undi itu dari muslimin atau muslimat. Jika kita (PAS) lebih satu undi, kita menang," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Muslimat Negeri Terengganu (Himat) 2011 di perkarangan Masjid Rusila, Marang, 15 April lalu. Justeru itu, kata Ustaz Abdul Hadi menjadi suatu kewajipan yang besar kepada ahli PAS untuk menggantikan Umno dalam pilihan raya akan datang. 

Menurutnya, Umno dan BN menentang PAS bagi menghalang parti ini melaksanakan perintah Allah SWT. Umno-BN adalah parti kemungkaran besar dalam negara ini kerana mengekalkan sistem serta mempertahankan dasar-dasar penjajah, tegasnya.

"PAS hendak laksanakan kebajikan, kita hendak laksanakan perintah Allah Ta’ala. Mereka (Umno) lawan kita (PAS).  Marilah kita lawan Umno dengan keyakinan, dengan kepercayaan. Umno dan BN adalah parti kemungkaran yang besar dalam negara kita, yang mengekal dan mempertahankan sistem yang dibawa oleh penjajah," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa Umno yang bertanggungjawab melemahkan agama Islam serta menggalakkan maksiat berlaku dalam negara. Oleh itu, katanya, menjadi satu kewajipan besar kepada PAS menggantikan Umno semula setelah dijatuhkan tahun 2004 lalu.

"PAS mempunyai satu kewajipan yang besar untuk mengganti Umno, setelah PAS dijatuhkan pada 2004. Kewajipan yang sangat besar, bukan kewajipan yang kecil. Umnolah yang melemahkan agama Islam, Umnolah yang menghapuskan tulisan jawi, Umnolah yang menghidupkan hiburan dan menggalakkan anak-anak muda kita kepada maksiat. 

"Umnolah yang menjadikan negara kita 'dibanjiri' oleh kemungkaran (maksiat) sehingga anak-anak muda kita tenggelam dalam kemungkaran," ujarnya di hadapan lebih 5,000 hadirin.

Menurutnya, Umno-BN perlu ditukar-gantikan dengan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya demi menyelamatkan bangsa, agama dan negara.

Hadir sama pada himpunan tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib dan seluruh Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terengganu, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Wanita Parti KeADILan Cabang Kuala Terengganu, Ruzita Ismail serta wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Tiada ulasan: