"Revolusi 13" perlu dimanfaatkan oleh Pakatan Rakyat dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat di negara ini disamping menangkis serangan fitnah yang dilakukan oleh cyber-trooper Umno-BN, tegas, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar kanan bawah).
Katanya, pemukiman bloggers yang diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur dan pelancaran "Revolusi 13" menunjukkan mereka sanggup mengambil tanggungjawab bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. Sekarang ini, katanya, Umno menggunakan bloggers yang menyokong mereka sebagai alat, apabila mereka tahu blog mempunyai pengaruh di kalangan masyarakat.
"Kita tidak kisah dari sudut itu. Cuma apa yang kita kesalkan blog Umno ini menggunakan cara tidak demokratik dan sebarkan fitnah untuk menyerang dan jatuhkan Pakatan Rakyat. Khususnya, kita lihat apa yang dilakukan oleh blogger Umno di Kelantan, seperti Papa Gomo dan blog yang pro Umno-BN yang lain," katanya.
Fadzli juga mengalu-alukan kesedaran di kalangan bloggers yang cenderung kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil tanggungjawab menyampaikan maklumat dan mematahkan fitnah jahat pihak Umno-BN. Jelasnya, dengan ini beban menyampaikan maklumat dan menangkis serangan melalui maya akan ditanggung bersama.
Jadi, kata beliau, setiap pihak mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing dengan harapan bloggers Pakatan Rakyat akan bersama, bersatu pandangan dan mengenal musuh mereka.
Fadzli juga meminta semua bloggers Pakatan Rakyat mengelakkan pertelingkahan antara satu sama lain dan menumpukan tugas menjelaskan hal yang sebenar kepada rakyat dan pada masa yang sama menangkis serangan blog atau cyber-trooper Umno yang tidak bermaruah.
Beliau juga menjelaskan, "Revolusi 13" diwujudkan untuk memanfaatkan ruang siber bagi menukar pemikiran masyarakat dan menyedarkan rakyat tentang penyelewengan yang dilakukan oleh Umno-BN.
"Revolusi bukanlah bermaksud menggunakan kaedah yang tidak demokratik tetapi ia adalah revolusi minda yang menggunakan ruang siber, kerana kita nampak ia sangat berkesan menyampaikan maklumat di dalam negara sekarang ini," ujarnya.
Fadzli juga gembira dengan tag line "Revolusi 13" iaitu "Selamatkan Rakyat, Bebaskan Malaysia" yang akhirnya menyatukan bloggers Pakatan Rakyat untuk bersama melawan dakyah yang dilakukan oleh Umno/BN.
Katanya, menjadi harapan beliau agar usaha ini ada peningkatan dan dibuat secara berterusan serta tersusun untuk menjatuhkan Umno/BN.
Revolusi yang paling kuat ialah revolusi internet yang menyaksikan kejatuhan kerajaan di Mesir dan Tunisia dengan penyebaran maklumat yang disalurkan kepada rakyat membuatkan rakyat di negara berkenaan bangkit menuntut hak mereka bagi menegakkan sebuah kerajaan yang adil.
"Rupanya walaupun kita tidak berjihad dengan mengangkat senjata, jika kena caranya, internet mampu menjadi gelombang menyedarkan rakyat bagi menumbangkan sebuah kerajaan yang zalim," jelasnya lagi.
Kesanggupan bloggers Pakatan Rakyat mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat adalah sumbangan yang terlalu besar dan beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sanggup bekorban masa dan wang ringgit demi menegakkan sebuah negara yang adil, tegas Fadzli.
Pada 2 dan 3 April lalu, pemukiman blogger rakyat telah mencetuskan "Revolusi 13" yang diketuai Editor Berita Harakah, Datuk Tarmizi Mohd Jam dan dibantu 13 exco dari kalangan blogger bagi menggerakkan "perang" maya terhadap fitnah dan dakwah gerila cyber-trooper Umno-BN.

0 ulasan:
Catat Ulasan