KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, April 12, 2011

Tiba-tiba "tsunami rakyat" meledak di Sarawak: Najib dan Taib Mahmud tidak duga rakyat sudah amat muak dan benci dengan simbol dacing



Sungguh pun tidak menjanjikan apa-apa daripada segi infrastruktur kepada penduduk Sarawak, namun PAS menawarkan untuk sama-sama berjuang mendapatkan hak dan memperbaiki nasib mereka. Sekiranya PAS diberi mandat menakluki Petrajaya dan Putrajaya, PAS berjanji akan selesaikan beberapa masalah yang dihadapi penduduk di sini. Itu antara yang dinyatakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub tentang harapan PAS di kelima-lima kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Sarawak ke-10. Wartawan NYZA AYOB mempunyai butirannya.  

Boleh saudara ceritakan perkembangan di Sarawak selepas penamaan calon pada 6 April lalu?

SALAHUDDIN AYUB: Sepanjang saya berada di Beting Maro pada hari penamaan calon, saya lihat suatu kelainan yang cukup luar biasa. Terutama sekali penerimaan masyarkat tempatan terhadap PAS dan calon PAS. Sokongan mereka terhadap PAS begitu menakjubkan. Begitu juga sewaktu saya berada di Saadong Jaya. Kita juga nampak perubahan positif penerimaan mereka terhadap PAS. Jika sebelum ini, apabila kita masuk ke kampung-kampung di Sarawak  mereka lihat kita seperti orang asing. Begitu juga apabila mereka menghulurkan salam dan senyuman, seolah-olah terpaksa. Tetapi hari ini, kita melihat mereka sudah boleh menerima kita. Apabila nampak kita, mereka terus melemparkan senyuman dan menghulurkan tangan. Bahkan mereka terus mengajak kita masuk ke dalam rumah mereka untuk bermesra dengan mereka.

Ini petanda mereka sudah boleh terima PAS?

Ini merupakan perubahan besar yang menampakkan sikap kaum bumiputera Sarawak yang dilihat sudah boleh menerima PAS di bumi kenyalang ini. Bukan setakat boleh menerima PAS, mereka juga telah mengenali PAS dan perjuangan yang dibawa PAS bagi membela nasib mereka. Seperti di Beting Maro, kita cukup terharu apabila penduduk tempatan di kalangan kaum Iban, Bidayuh dan Melanau yang bukan beragama Islam turut memegang bendera PAS dan menunggu dengan setia sehingga PAS selesai mengemukakan calon pada hari penamaan calon tersebut. Ini merupakan perkembangan positif ditambah pula dengan komitmen jentera-jentera PAS di setiap negeri yang turut membantu sepanjang kempen ini. Mereka juga telah menunjukkan kesungguhan untuk membantu jentera PAS bagi mencipta kejayaan pertama di Sarawak. 

Adakah ini juga menunjukkan kelima-lima calon PAS di lima kawasan tersebut berpotensi menduduki Dun Sarawak?

Kita mempunyai peluang untuk menarik perhatian pengundi di kelima-lima kawasan tersebut. Itu harapan saya agar PAS dan juga Pakatan Rakyat dapat mencipta sejarah di Sarawak ini. Secara keseluruhannya sama ada daripada segi calon dan gerak kerja PAS di kelima-lima kawasan ini merupakan komponen penting yang dapat menjadi pemangkin ke arah kejayaan PAS pada Pilihan Raya Sarawak kali ini. Sungguhpun terdapat kawasan yang bertanding di kawasan pedalaman dan  kawasan geografi yang agak luas serta pelbagai dugaan terpaksa kita lalui seperti menyeberang sungai, menaiki bot dan feri, kita akan cuba sedaya mungkin dan kita akan cuba sampai ke kampung-kampung.

Apakah isu tanah adat merupakan isu penting di sini?

Ya, dua isu penting yang mendapat tempat di kalangan rakyat Sarawak ialah isu tanah adat dan tanah-tanah mereka yang dirampas kerajaan negeri. Ini merupakan isu yang sangat besar bagi mereka. Mereka amat jauh ketinggalan daripada segi infrastruktur. Selain itu, peluang lebih 50 tahun yang mereka berikan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak(PBB) yang dipimpin Tan Sri Taib Mahmud amat menghampakan mereka. Perkara tersebut diluahkan sendiri oleh mereka kepada kami.

Bagaimana pula dengan isu video lucah babitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim? Apakah strategi Umno-BN ini berjaya menarik perhatian masyarakat Sarawak untuk menjauhkan diri daripada Pakatan Rakyat?

Isu tersebut dilihat langsung tidak berkesan kerana kita dapati masyarakat di sana langsung tidak bercakap tentang isu tersebut. Starategi kotor dan jijik ini sebenarnya memakan diri mereka sendiri.

Akhir sekali, apakah nasihat saudara kepada jentera dan petugas PAS serta pengundi-pengundi di Sarawak dalam menentukan pemimpin mereka dalam pilihan raya ini?

Kepada semua jentera PAS, teruskan bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana PAS mempunyai potensi di sana. Kepada pengundi-pengundi di Sarawak, inilah masanya kita mencuba era politik baru yang memberikan jaminan masa depan untuk menyelesaikan masalah dan perjuangan mereka. PAS menjanjikan untuk sama-sama berjuang mendapatkan hak mereka dan memperbaiki nasib mereka. Kita tidak dapat menjanjikan apa-apa daripada segi infrastruktur. Tetapi sekiranya kita diberi mandat dan menakluki Petrajaya dan Putrajaya,  kita akan dapat menjanjikan segala isu berkaitan tanah mereka yang tidak dapat diselesaikan. 
Antara yang terkandung dalam Buku Jingga ialah kita akan berikan Sarawak 20 peratus hasil royalti. Ini  antara perkara yang kita dapat janjikan apabila diberi mandat memerintah Sarawak. 

Tiada ulasan: