Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dijangka menyaksikan satu senario baru 'mediated politic' atau persaingan politik yang memerlukan rencaman kepelbagaian bahan-bahan diskusi di ruang siber. Ketua Pengarang portal berita Malaysiakini, Fathi Aris Omar (gambar kiri bawah) berkata, perkara tersebut disebabkan beberapa faktor yang kian dinamik perubahannya dan ianya berlaku di mana-mana tempat sahaja.
"Trend global yang meletus sekarang melibatkan perpindahan bahan-bahan diskusi dalam bentuk tradisional dan baru," jelasnya baru-baru ini. Bagaimana pun katanya, perkembangan tersebut lebih tertumpu kepada kawasan bandar, khususnya diminati golongan muda serta mereka yang celik teknologi maklumat.
"Tidak dapat dinafikan media baru seperti laman sosial Facebook, Twitter dan sebagainya dilihat lebih berkesan kerana ianya lebih cepat disebarkan, ringkas serta mudah difahami. Namun ianya terbatas kepada beberapa faktor seperti lebih bertumpu kepada golongan muda yang berumur kurang daripada 40 hingga 45 tahun, ruang liputan internet yang terhad iaitu hanya di kawasan bandar serta dimanfaatkan oleh mereka yang tahu menggunakan teknologi maklumat," katanya.
Jelasnya lagi, di sebalik kelemahan dan keterbatasan yang dimiliki media baru, Fathi mengingatkan kepada semua pengamal media agar mendalami ilmu dan pengetahuan teknikal mengenai laman web bagi menangkis segala bentuk serangan pihak musuh dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Kalau berdepan dengan Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak kali ini pun, kami di Malaysiakini diserang dengan teruk, inikan pula Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Saya meramalkan persaingan akan menjadi lebih sengit, panas dan kita akan berdepan dengan tindakan digodam oleh pelbagai pihak," tegasnya.
Justeru, beliau menyeru agar semua pihak yang mengendalikan laman media alternatif agar mempelajari kaedah untuk mempertingkatkan sekuriti laman-laman web berkenaan. "Ia memerlukan kos yang agak tinggi untuk berdepan dengan risiko yang tidak menentu," katanya lagi.
Fathi menyarankan agar parti-parti politik yang terlibat melipat gandakan usaha dan mengambil inisiatif untuk mencari kaedah sebaran yang terbaik bagi memastikan keberkesanan bahan-bahan yang dimiliki supaya ianya sampai ke sasaran pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan