Calon PAS di N24, Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus 'muda' orangnya.
Calon PAS di N24, Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus 'muda' orangnya. Memiliki perwatakan yang cukup menarik, petah bercakap, dan yang paling penting berkarisma, walaupun usianya baru mencecah 32 tahun. Dalam usia yang muda, anak kelahiran Pusa ini menjadi perhatian masyarakat di Beting Maro setelah diumumkan bertanding mewakili PAS bagi menentang calon BN, Razaili Gapur. Di sebalik wataknya yang ceria, Abang Ahmad Kerdee atau panggilan mesranya di sini Abang Mat, mempunyai prinsip yang jelas. Selaku calon PAS, jika menang pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) kali ini, beliau telah merencana perubahan untuk masyarakat Beting Maro. Ikuti wawancara Wartawan WAN NORDIN WAN YAACOB dengan Abang Mat pada 6 April lalu.
Setelah diumumkan sebagai calon PAS bertanding menentang calon BN pada 16 April ini, apa perasaan saudara? Bagaimana perubahan boleh dilakar di sini?
ABANG AHMAD KERDEE: Alhamdulillah, sebelum ini tiga hari jentera kita dan saya sendiri berkempen di rumah panjang, di kampung-kampung bersama dengan jentera PAS Kelantan. Dengan kekuatan saudara mara, mak-mak saudara, sepupu sepapat dan ahli keluarga yang ramai di sini, saya nak nyatakan semua tempat ramai saudara saya dan mereka suka saya bertanding. Mereka suka kehadiran saya di sini untuk wakili PAS melakar perubahan di Beting Maro.
Kenapa masyarakat di sini mahukan perubahan? Apa faktor dan apakah ianya boleh menjadi asas sokongan kepada saudara meningkat?
Orang di sini mahu sokong PAS sebab mahukan perubahan. Mereka mahu hantar mesej yang jelas kepada BN dengan menyokong PAS. Wakil rakyat di sini Beting Maro perlu diberi pengajaran. Rakyat mahukan perubahan yang baik, nak yang lebih baik. Saya dapat lihat, ada rumah panjang yang kita masuk semalam (5 April) kalau pada tahun 2006, kita tak boleh masuk sampai kena kejar dengan parang. Tetapi kini boleh masuk dan mereka menyediakan tempat untuk kita berbincang sesama mereka. Kali ini Ketua Rumah Panjang yang mengalu-alukan kita, menghamparkan tikar untuk menyambut kita. Ini satu perubahan yang tidak kita lihat sebelum ini, rombongan kami dosokong amat positif.
Adakah saudara yakin mereka akan tolak calon BN?
Insyalallah. Saya yakin akan ada satu perubahan. Setakat yang kita lihat dan pergi bertemu dengan pengundi, walaupun mereka pakai baju BN, mereka komited untuk memberi undi kepada PAS. Mereka mahu perubahan, baju, topi, bendera bukan kekangan dengan kita. Walaupun baju berbeza tetapi mereka boleh terima kita sebabnya mereka mahukan perubahan. Telah lama mereka duduk di bawah BN, nasib mereka tiada siapa yang pedulikan. Mereka lihat calon muda, mereka nak orang yang boleh ke tengahkan suara rakyat di Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, dan juga menegur kerajaan BN.
Apa agenda saudara?
Yang pertamanya, apabila kita fokuskan isu di sini, kita dah berjalan banyak tempat. Kita dapat simpulkan, isu tanah yang tidak pernah selesai di bawah BN menjadi isu besar dan pokok di sini. Ini akan saya tumpukan. Yang keduanya, kita tengok kebebasan beragama di sini cukup cantik. Pengundi di sini hidup aman damai, antara Islam, Kristian dan sebagainya. Namun, segelintir media memainkan isu sentimen keagamaan, menggambarkan kononnya ada pergeseran, namun ia bukan realiti yang sebenar. Kita hidup dengan aman damai, dan saya mahu keadaan ini kekal. Isu kitab Injil, PAS konsisten mereka nak terjemah guna nama Allah. Yang ketiganya, kita akan memberi ilmu kepada orang-orang di sini, kerana orang-orang di sini tak ada ilmu. Mereka mahukan maklumat, mereka mahu belajar. Kita akan bawa sahabat-sahabat mengajar bahasa Arab, mengajar Al-Quran, kita akan buka kelas tuisyen di sini untuk anak-anak.
Sejauhmana saudara yakin akan berlaku perubahan di sini, maknanya Abang Mat boleh melakar kemenangan?
Kita yakin, insyaAllah akan ada perubahan kerana ke mana sahaja kita pergi, orang di sini akan menzahirkan sokongan mereka kepada PAS. Saya pergi ke rumah panjang semalam, mereka bukan sahaja 'teruja' bertemu saya, mereka juga kata kalau ada poster saya, mereka mahu lekatkan di dalam bilik mereka, sebab mereka sukakan kehadiran saya selaku orang muda mewakili mereka nanti di sini.
Apa corak kempen saudara?
Kita akan mengetengahkan kempen bersifat persaudaraan, kasih sayang dan kesejahteraan. Kita tidak akan menyerang peribadi lawan, dan kita akan berkempen dengan baik. Kita tidak akan menggunakan isu sentimen, perkauman dan agama, mahupun peribadi calon untuk menyerang, sebaliknya kita menerangkan kepada rakyat tujuan perubahan perlu dilakukan.
Apa yang saudara akan buat jika ditakdirkan menang, dan menjadi wakil rakyat?
Setakat ini, insyaAllah saya bersyukur kerana dipilih oleh pucuk pimpinan PAS mewakili parti di kawasan N24 Beting Maro. Jika menang, saya akan menjadi wakil rakyat yang memperjuangkan isu-isu tanah rakyat di sini, selain membawa isu-isu membabitkan kemiskinan rakyat, soal hal rakyat ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak.
Harapan saudara... untuk lakar kemenangan?
Ya. Saya yakin ada harapan, insyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan