Dari 213 calon yang bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN-Sarawak) ke 10, 16 April ini, hanya 71 sahaja bakal terpilih menjadi yang berhormat (YB), mana yang bakinya, 142 orang lagi hanya bergelar bekas bakal YB.
Tentunya, dalam pemikiran pengundi di Sarawak, apakah mereka mahu merasai kerajaan baru atau mereka mahu memperbaharui kerajaan – selepas mereka tahu macam-macam cerita mengenai penyelewengan dan memunggah kekayaan secara salah.
Sehingga hari ini, BN yang dipimpin Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, kononnya mahu menampilkan tokoh-tokoh muda dan mereka yang dibawah 45 tahun, hanya mampu dilakukan di Dun Tenang (Johor), Melimau (Melaka) dan Kerdau (Pahang) tetapi tidak di Sarawak.
Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud terus dicalonkan semula di Dun N.51 Balingian, walaupun semua tahu usia Taib bukan di bawah 45 tahun. Khabarnya, Taib juga tidak akan berundur dalam masa yang singkat, sebaliknya hanya bersedia untuk berundur selepas dua setengah tahun selesai PRN-Sarawak dan bukan berundur segera.
Kenapa ya, di Semenanjung, Najib begitu kuat pengaruhnya untuk menentukan hanya calon di bawah usia 45 tahun sahaja dicalonkan tetapi apabila di Sarawak, suara Najib tiba-tiba tidak boleh melepasi kerongkongnya, bagi menukarkan Taib yang sudah lebih 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak?
Taib yang ditentang Suriati Abdullah (KeADILan dan Dato' Salleh Jafaruddin (Bebas)) mungkin yakin bahawa dia akan menang mudah tetapi, jika pengundi Dun Balingian pernah membaca sejarah kejatuhan Tun Dr. Lim Chong Eu di Pulau Pinang – ia tidak mungkin menjadi mustahil di Sarawak.
Jika Taib enggan berundur, pengundi Dun Balingian boleh membantu Taib untuk berundur dengan mengalahkannya dalam pilihan raya ini. Mungkin dengan mengalahkan Taib, Taib boleh berehat bersama isteri barunya tetapi jika pengundi masih mengundi dan memenangkannya, dia tidak mungkin mempunyai cukup masa untuk berehat bersama isteri barunya, lebih-lebih lagi, usia penikahannya masih dalam suasana berbulan madu.
Apakah BN Sarawak tidak mempunyai seorang pemimpin yang dilihat layak menggantikan Taib? Jika ada, kenapa Taib masih mahu bertanding lagi dan kenapa Taib tidak menamakan penggantinya? Apakah Taib belum bersedia mengakhiri karier politiknya. Jika belum, bila? Andainya terlalu sukar bagi Taib membuat keputusan ini, adalah lebih mudah jika pengundi yang membantu Taib membuat keputusan untuk berundur.
Pengundi di Parlimen Sungai Siput telah membantu Datuk Seri S. Samy Vellu untuk berundur. Jika tidak, sampai hari ini Samy Vellu masih tidak menjamah kerusi Duta Khas ke India kerana sebagai Presiden MIC (yang akhirnya jawatan itu diserahkan kepada pengantinya), tentulah dia masih mahu dikekalkan sebagai anggota kabinet.
Begitu juga dengan pengundi di Parlimen Batu Kawan, Pulau Pinang kerana mereka membantu Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berundur dari politik buat seketika, walaupun dia adalah Presiden Gerakan kerana kalah dalam pilihan raya umum yang lalu.
Namun, dia akhirnya dilantik menjadi anggota Senate dan melayakkannya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri – masuk menganggotai kabinet melalui pintu belakang. Sebenarnya, Taib sepatutnya sudah mengumumkan persaraan sebaik sahaja kerusi Parlimen Sibu tewas beberapa bulan yang lalu. Namun, Taib menyifatkan kekalahan itu bukan kekalahannya sebaliknya kekalahan SUPP, parti kaum Cina yang dikatakan bertanggungjawab untuk menang di kerusi Parlimen itu.
Hari ini, Taib dengan penuh semangat masih mahu bertanding dan masih mahu kekal sebagai Ketua Menteri, kerana Taib tahu tiada sesiapa berani memintanya berundur dari kerusi Ketua Menteri kerana "kekuatan kewangan" Taib yang banyak membantu BN di Pusat.
Jadi, kalau pengundi di Dun Balingian mahukan Taib mempunyai cukup masa untuk isteri barunya, usahlah mengundinya dalam pilihan raya kali ini, selepas menyokongnya lebih 30 tahun, baik dia sebagai Adun dan dia sebagai seorang Ahli Parlimen.
Pengalaman (mendiang) Dr. Lim Chong Eu, Samy Vellu dan Tsu Koon sepatutnya turut dilakukan oleh Taib, keselesaan dan kesenangan selepas dikalahkan. Taib sebenarnya sudah boleh berundur kerana mustahil dia tidak puas menjadi Ketua Menteri sejak 1981.
Namun, dia tidak tahu bahawa dia sudah sepatutnya berundur dan kerap-kali apabila Pengerusi BN memberitahu, era sekarang adalah era mereka yang muda dan bertenaga, kata-kata itu turut menyindir kehadiran Taib di Sarawak.
Malangnya, mesej jelas Najib itu tidak difahami Taib. Di Sarawak sendiri tiada siapa yang berani membisikkan kepada Taib bahawa masanya sudah sampai untuk mencari pengganti. Hanya, yang boleh menasihatkan Taib untuk bersara ialah pengundi. Jika pengundi tahu menggunakan hak mereka, inilah masanya untuk mereka menggunakannya secara paling wajar.
Jika tidak, pengundi dan rakyat Sarawak sebenarnya menghukum Taib untuk terus kekal di situ dengan alasan belum terjumpa penggantinya. Sebenarnya, pengganti Taib sudah ada tetapi tidak diberi peluang. Jika tidak terjumpa pengganti di kalangan kepimpinan dalam BN, rakyat Sarawak boleh sahaja memilih mereka dari kalangan kepimpinan Pakatan Rakyat.
Ketika mereka selama ini tahu kemampuan yang Taib ada, mereka juga tidak boleh menafikan kemampuan tokoh-tokoh yang ada dalam KeADILan, PAS dan SNAP, termasuk Bebas. Sebenarnya, Sarawak seperti terputus hubungan media dengan Semenanjung. Berbeza dengan Sabah, Sarawak dilihat lebih tertutup.
Rakyat Sarawak seperti gagal melihat kemajuan di luar hanya kerana "usaha menyekat" pelbagai media untuk menyelinap di Sarawak. Namun, kewujudan media baru, sedikit sebanyak telah merubah minda pengundi Sarawak terutama orang muda yang inginkan pembaharuan dan nafas baru.
Mereka tahu, ada pemimpin BN di Sarawak yang memunggah kekayaan negeri untuk mereka dan keluarga sendiri tanpa memperdulikan rakyat yang masih susah dan miskin. Inilah masa yang paling sesuai untuk mereka melakukan perubahan!
Sumber: Safar Jumaat ialah penulis yang rapat dengan serambi kuasa Umno-BN.
3 ulasan:
org semenanjung jgn msk campur politik sarawak terutamanya pembangkanga
Politik pembangunan di Sarawak adalah tidak seimbang. Lihat jalan dan jambatan di kawasan Sibu dan Belawai (atas alasan untuk Halal Hub dab SCORE), nilainya ratusan juta sedangkan tempat lain lebih memerlukan.
Datang sendiri untuk melihat bagaimana jalan secantik ini, jembatan moden dibuat di dalam 'hutan' dan hanya 2-3 kereta melaluinya, sedangkan di Sg Samarahan masih menggunakan feri..
Inilah caranya untuk menyalurkan dana Kerajaan masuk ke akaun kontraktor. Kontraktor siapa? Semua orang Sarwak tahu tapi tak berdaya mengekangnya.. hanya dengan sebatang pensil boleh mengubahnya.. PERCAYALAH! (meminjam kata Pak Najib)
Hi there! I simply wоuld likе to offer you a big
thumbѕ up for your excellent infо you have got гіght herе on
this ρost. I'll be coming back to your website for more soon.
my web-site: payday loans
Catat Ulasan